25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, February 13, 2026

Akad Yang Hilang angkat isu nikah tidak sah dan stigma ‘anak haram’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Isu perkahwinan tidak sah sering dianggap terpencil dan jarang dibicarakan secara terbuka, sedangkan implikasinya mampu memberi kesan besar terhadap struktur keluarga dan masa depan anak-anak.

Membuka tirai tahun 2026, Astro Shaw tampil dengan sebuah karya berani berjudul Akad Yang Hilang, sebuah filem yang mengangkat realiti sensitif dalam masyarakat iaitu nikah fasid, sekali gus mencabar persepsi serta stigma sosial yang telah lama berakar umbi.

Nikah fasid merujuk kepada perkahwinan yang dilangsungkan tanpa memenuhi rukun dan syarat sah menurut hukum syarak.

Kesannya bukan sekadar membabitkan kesahan hubungan suami isteri, malah turut menjejaskan status anak yang lahir daripada perkahwinan berkenaan.

Realiti inilah yang menjadi nadi penceritaan Akad Yang Hilang, sebuah naskhah yang menyelongkar persoalan undang-undang, agama dan kemanusiaan dalam satu pengalaman sinematik yang menyentuh emosi.

Filem ini mengisahkan perjalanan hidup Maryam, seorang wanita yang ingin mendirikan rumah tangga bersama kekasih pilihannya, Ammar.

Proses pendaftaran perkahwinan yang pada awalnya kelihatan mudah bertukar menjadi rumit apabila Maryam memohon wali hakim berikutan bapanya telah meninggal dunia, manakala satu-satunya adik lelaki yang ada masih di bawah umur.

Namun, segalanya berubah apabila Mahkamah Syariah mendedahkan bahawa perkahwinan ibu bapanya sebelum ini tidak sah kerana fasid.

Pendedahan terbabit bukan sahaja menggugat impian Maryam untuk berkahwin, malah membuka ruang kepada kecaman dan perbualan negatif masyarakat, khususnya di media sosial.

Maryam terpaksa berhadapan dengan stigma yang berat, termasuk persoalan tentang status dirinya sebagai anak yang sah.

Dalam kekalutan emosi dan tekanan sosial, Maryam berusaha mencari jawapan, keadilan dan kekuatan untuk menentukan hala tuju hidupnya.

Menurut Penerbit Eksekutif Akad Yang Hilang merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, filem ini dihasilkan dengan keyakinan bahawa sinema mampu menjadi medium perubahan sosial.

Akad Yang Hilang bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah karya yang berpotensi mencetuskan perbualan dan perdebatan tentang realiti masyarakat yang sering dipandang sepi.

“Filem ini diharap mampu membuatkan penonton bertanya kepada diri sendiri tentang tindakan yang akan diambil sekiranya berdepan situasi yang sama, kerana kesedaran adalah langkah pertama untuk melindungi insan tersayang,” katanya.

Menggabungkan elemen cinta, konflik moral dan implikasi undang-undang syariah, Akad Yang Hilang tampil sebagai sebuah naskhah yang jarang dipersembahkan di pawagam tempatan.

Ia mengajak penonton memahami bagaimana satu keputusan atau kesilapan kecil boleh membawa kesan besar, di samping mencabar cemuhan serta penghakiman masyarakat terhadap individu yang terbabit.

Filem ini dibintangi Mira Filzah, yang dikenali dengan kekuatan lakonan emosinya, menandakan kemunculan semula beliau di layar perak selepas beberapa tahun.

Akad Yang Hilang turut menyaksikan gandingan pertama Mira bersama Syarul Ezany, yang kembali ke pawagam selepas penampilan terakhirnya pada tahun 2008.

Barisan pelakon hebat lain seperti Idan Aedan, Aleza Shadan dan Sherie Merlis turut menyumbang kepada penceritaan yang sarat dengan dramatik dan emosi.

Diarahkan oleh Bahri Uma Bajuri, Akad Yang Hilang adalah sentuhan sulung beliau untuk layar perak selepas pengalaman luas dalam pengarahan drama televisyen. Garapan emosi yang kuat disokong oleh skrip hasil penulisan Zuli Ismail dan Eenaz Mokhtar, manakala lagu tema berjudul Yang Tertulis nyanyian Dinda Dania melengkapkan pengalaman sinematik filem ini.

Akad Yang Hilang sudah pun menemui penonton di pawagam seluruh negara sejak 15 Januari 2026.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular