24.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 20, 2026

Khadim Ummah Holidays, Lah Ahmad lancar pakej Umrah Kasih Premium Maulidur Rasul 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Khadim Ummah Holidays Sdn Bhd secara rasmi memeterai perjanjian kerjasama strategik bersama penyanyi, komposer dan penulis lirik tanah air, Lah Ahmad, bagi penganjuran Pakej Umrah Kasih Premium Maulidur Rasul bersama Lah Ahmad yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2026.

Majlis menandatangani perjanjian itu telah diadakan di Mardhiyah Hotel & Suites, Shah Alam, sekali gus menandakan satu kolaborasi istimewa yang menggabungkan elemen ibadah, seni dan penghayatan cinta kepada Rasulullah dalam sebuah pengalaman umrah yang eksklusif serta bermakna.

Kerjasama ini dilihat sebagai pendekatan baharu dalam industri pengurusan umrah, khususnya dalam menawarkan nilai tambah dari sudut pengisian rohani dan emosi jemaah.

Lah Ahmad sememangnya dikenali sebagai figura seni yang konsisten menghasilkan karya-karya berunsur ketuhanan, sarat dengan mesej positif serta kecintaan kepada Allah dan Rasulullah.

Keperibadian dan latar belakang seni beliau yang dekat dengan nilai spiritual menjadikan Lah Ahmad pilihan tepat untuk mengiringi konsep Umrah Kasih Premium, yang menekankan ketenangan jiwa, pengisian rohani serta nilai kasih sepanjang perjalanan ibadah di Tanah Suci.

Ketua Pegawai Eksekutif Khadim Ummah Holidays Sdn Bhd, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil berkata, kerjasama strategik ini adalah satu inisiatif segar yang memberi dimensi baharu kepada pengalaman umrah.

Menurut beliau, seni yang baik mampu menyentuh hati dan menjadi medium mendekatkan manusia kepada Penciptanya.

“Kehadiran Lah Ahmad dalam Pakej Umrah Kasih Premium Maulidur Rasul ini diharap dapat membantu jemaah menghayati perjalanan umrah bukan sekadar sebagai ibadah fizikal semata-mata, tetapi sebagai satu perjalanan hati yang dipenuhi rasa cinta kepada Rasulullah,” katanya.

Melalui pakej eksklusif ini, jemaah bakal menikmati pengisian khas bersama Lah Ahmad sepanjang tempoh perjalanan, termasuk sesi refleksi Maulidur Rasul, perkongsian pengalaman peribadi, serta penghayatan mesej-mesej kasih dan ketuhanan yang selari dengan tema sambutan Maulidur Rasul.

Pengisian ini dirangka bagi memperkukuhkan penghayatan rohani jemaah di samping menambah nilai kepada pengalaman umrah mereka.

Pakej Umrah Kasih Premium Maulidur Rasul bersama Lah Ahmad dijadualkan berlangsung dari 25 Ogos hingga 4 September 2026.

Ia turut menawarkan penginapan bertaraf premium yang berhampiran dengan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, penerbangan terus, pengangkutan berhawa dingin, khidmat mutawwif berpengalaman serta pelbagai aktiviti istimewa yang dirancang secara tersusun dan eksklusif bagi memastikan keselesaan serta kekhusyukan jemaah.

Kerjasama antara Khadim Ummah Holidays Sdn Bhd dan Lah Ahmad ini dijangka mendapat sambutan menggalakkan, khususnya daripada jemaah yang menginginkan pengalaman umrah yang lebih mendalam dengan gabungan ibadah, ilmu, seni dan penghayatan rohani bersempena sambutan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pakej Umrah Kasih Premium Maulidur Rasul bersama Lah Ahmad boleh melayari laman web rasmi Khadim Ummah Holidays Sdn Bhd di www.khadimummahholidays.com.my.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular