24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 241

Warna Ungu bakal memenuhi ruang di Mega Star Arena KL, 25 Februari depan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Cinta Dalam Hati, Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Tercipta Untukmu dan Andai Ku Tahu.

Lagu-lagu hit ini cukup meledakan nama Ungu tidak hanya di negara kelahiran mereka Indonesia, tetapi juga Malaysia. Malah ia tidak akan pernah dilupakan meski telah ada yang mencapai usia lebih 10 tahun.

Sifat malar segar dan mengundang nostalgia dalam setiap lagu yang dihasilkan selalu disifatkan punya kisah peribadi buat semua peminatnya dan membuatkan Ungu masih menjadi kugiran yang kemunculan mereka di atas panggung konsert selalu dinantikan.

Untuk menyuburkan  nostalgia dan kecintaan terhadap Ungu, AKE Group selaku penaja manakala Icon Entertainment selaku penganjur dengan bangga membawa kugiran yang ditubuhkan pada 1996 di Jakarta ini kembali bertemu peminat di Malaysia.

Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless, begitulah nama konsert yang akan berlangsung di Mega Star Arena KL pada 25 Februari tahun depan.

Kugiran yang dianggotai oleh Pasha (vokalis), Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (Bass), Rowman (dram) akan mengisi konsert dengan 1001 nostalgia dan kenangan baharu yang bakal dicipta.

“Kami sedar Ungu dan peminat di Malaysia sangat akrab dan penggemar di sini juga memainkan banyak peranan menyokong karier mereka sejak menembus pasaran di sini lebih satu dekad lalu.

“Oleh kerana itu, walaupun dalam perjalanan karier Ungu sudah melakukan banyak konsert atau persembahan di Malaysia namun kami di AKE Group tidak gentar membawa mereka kembali ke rumah kedua ini pada 25 Februari 2024.

“Kami yakin banyak peminat yang sudah merindui Ungu dan mahu menonton persembahan secara langsung dalam sebuah konsert, ia juga adalah kerana mereka memiliki segudang hit yang akan membuat Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless istimewa.

“Istimewa kerana Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless akan menyaksikan kugiran popular ini mempersembahkan sekitar 30 lagu hits di sepanjang karier mereka khusus buat peminat semua,” kata Dato’ Bakhtiar dari AKE Group.

AKE Group secara amnya menaungi AKE Seni khusus untuk aktiviti seni kumpulan AKE. AKE Seni adalah rakan kerjasama untuk konsert ini.

Ini adalah pembabitan kedua AKE Group dan AKE Seni selepas muncul dengan Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi Opick & Sakti yang meninggalkan banyak momen bermanfaat dan manis buat khalayak yang hadir di Zepp Kuala Lumpur, 11 November lalu.

Menguatkan kenyataan diberikan AKE Group, Ungu yang memiliki lapan album studio dengan yang sulung dirakamkan pada tahun 2002 iaitu Laguku, beberapa album keagamaan yang cukup hit termasuk SurgaMu (2006) serta album runut bunyi sendiri berikrar untuk tampil maksimal pada Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless.

“Sangat senang untuk kembali konsert di Malaysia yang sudah ibarat seperti rumah kedua kami.

“Hasil perbincangan dengan penganjur Ungu akhirnya mencapai kata sepakat Ungu Live In Kuala Lumpur akan menyaksikan kami dengan 30 karya paling unggul yang pernah diciptakan Ungu akan dipersembahkan kepada peminat, Insya-Allah.

“Seperti apa konsertnya nanti, Ungu berharap jangan sampai ada peminat yang melewatkannya (terlepas). Semoga kelak ia akan menjadi sebuah lagi konsert Ungu yang meninggalkan memori terbaik buat semua,” kata Pasha.

Pasha berkata, mereka bakal memedleykan lagu-lagu hits dari Malaysia dan Indonesia sebagai salah sebuah hadiah untuk penonton.

Untuk sama-sama meraikan Ungu dan 30 karya hits mereka, jangan sampai terlepas membeli tiket-tiket dengan harga RM138 (DEMI WAKTU, SEATING 2), RM218 (KEKASIH GELAPKU, SEATING 1) dan RM338 (TERCIPTA UNTUKMU, STANDING).

Kesemua kategori tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my atau hubungi talian hotline di 012 6530 700 menerusi Whatsapp.

Penonton juga disarankan memakai salah satu aksesori, busana atau kasut berwarna UNGU bertepatan dengan konsep konsert.

Diharapkan, ia akan menambahkan keserian suasana malam itu dengan limpahan warna Ungu yang bakal bertebaran di lokasi konsert.

Pembeli tiket melalui Maybank bakal menerima diskaun sebanyak 10 peratus untuk pengguna kad debit manakala 12 peratus untuk pengguna kad kredit.

Batik Boutique sumbang 10 peratus hasil pembelian pelanggan kepada Palestin

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan sambutan Hari Batik Malaysia yang diadakan setiap 3 Disember, Batik Boutique turut mengambil inisiatif dalam membuat kutipan bagi membantu rakyat di Palestin.

Pengasasnya, Amy Blair berkata, sebagai seorang ahli perniagaan memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya.

Begitu juga inisiatif dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat di Palestin.

“Sempena meraikan sambutan Hari Batik Malaysia, saya melancarkan koleksi terbaharu bermotifkan negara Malaysia seperti corak nasi lemak,buah-buahan tempatan dan juga pemandangan bukit serta gunung-ganang.

“Sebanyak 10 koleksi terbaharu dilancarkan dan saya sepakat untuk menyumbangkan sebanyak 10 peratus hasil pembelian pelanggan di butik untuk disalurkan kepada Palestin,” katanya pada majlis pelancaran koleksi terbaharu, yang diadakan baru-baru ini.

Pada pelancaran kali ini, Batik Boutique berkolaborasi dengan beberapa artis dan model tanahair untuk memperkenalkan koleksi terbaharu ini.

Antara artis yang hadir memperagakan koleksi ialah Sean Ghazi, Atilia Haron, Mimi Fly dan Muaz Fitri.

Artis-artis yang dipilih untuk memperagakan koleksi ini adalah mereka yang selalu menyokong dan menghargai batik.

Seperti Atilia Haron,Batik Boutique pernah mengeluarkan tikar yoga yang berunsurkan batik.

Pada masa akan datang Batik Boutique telah memilih Muaz Fitri dan Aizat Amdan untuk berkolaborasi dalam koleksi Hari Raya 2024.

“Muaz Fitri dipilih berdasarkan komitmen yang diberikan sepanjang menjadi duta dan dia juga antara artis yang selalu mempromosikan Batik Boutique didalam drama mahupun aktiviti harian.

“Begitu juga Aizat Amdan yang selalu mempromosikan jenama Batik Boutique,” katanya.

Pada pelancaran itu, Aizat turut menghiburkan tetamu yang hadir.

Koleksi Batik Boutique tidak hanya tertumpu pada pakaian lelaki dan perempuan.

Malah terdapat koleksi tudung, beg, aksesori wanita dan juga barangan korporat.

Batik Boutique diasaskan oleh Amy Blair pada tahun 2013. Sepanjang penubuhannya Batik Boutique telah berkolaborasi dengan lebih 400 artisan untuk memartabatkan batik.

Selain itu, Batik Boutique juga banyak memberi peluang pekerjaan kepada ibu tunggal,OKU dan juga golongan B40.

Buat masa ini, Batik Boutique mempunyai tiga cawangan yang terletak di The Row Jalan Doraisamy, Desa Sri Hartamas Kuala Lumpur dan di The Westin Desaru Coast Resort, Johor. 

Kempen Sunplay ‘We Care For The Ocean 2023’ berjaya bersihkan 1,490kg sisa dari pantai

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama pelindung matahari yang dipercayai di Malaysia, Sunplay berjaya melaksanakan inisiatif CSR tahunan syarikatnya buat kali ketiga dengan tema ‘We Care for the Ocean 2023’.

Menerusi kerjasama dengan Watsons, Persatuan Pecinta Alam Malaysia (MNS) dan aktivis tindakan iklim Melissa Tan, impak yang berkesan telah dicapai dalam menangani pencemaran pantai di tujuh lokasi di serata Malaysia.

Pengurus Besar Rohto-Mentholatum (M) Sdn Bhd Lim Mei Yuen berkata, peluang bekerjasama dengan Watsons, MNS dan Melissa Tan telah meningkatkan capaian usaha dan menjadikan kempen ini benar-benar berjaya.

“Kami telah dapat mengumpulkan dana sebanyak RM40,000 sepanjang bulan November.

“Kami juga teruja dengan jumlah sisa yang berjaya dialihkan dari pantai-pantai di negara kita,” katanya.

Kempen pada tahun ini telah disertai oleh seramai 256 orang sukarelawan. Mereka berjaya mengumpulkan sebanyak 1,490kg sisa dari tujuh pantai di Malaysia.

Jumlah ini melebihi sisa yang terkumpul pada tahun lalu iaitu sebanyak 1,348kg.

Usaha pembersihan dibahagikan kepada beberapa buah lokasi termasuk Pantai Sekendi di Sabak, Selangor, di mana sisa sebanyak 165.9kg telah dikutip; Pantai Sungai Kajang di Tanjong Karang, Selangor, dengan 720.9kg sisa; Pantai Redang di Sekinchan, Selangor, sebanyak 80.3kg sisa; Pantai Batu Laut di Tanjung Sepat, Selangor, dengan 23kg sisa; Pantai Cunang di Tanjung Sepat, Selangor, mengumpulkan 116kg sisa; Pantai Blue Lagoon di Negeri Sembilan, sebanyak 284.3kg; dan Pantai Morib di Selangor, dengan 99.2kg sisa.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MNS, I.S. Shanmugaraj berkata, mereka percaya fokus utama kempen ini menyerlahkan misi persatuan yang memberi penekanan terhadap pemuliharaan dan penghargaan terhadap alam sekitar.

“Kami juga berbesar hati dapat berganding bahu dengan ahli-ahli pasukan di mana usaha ini memberi kami peluang untuk menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu,  Aktivis Tindakan Iklim dan Kemampanan Melissa Tan berkata, kempen ini dilakukan bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran tentang pencemaran laut tetapi perlu menggalakkan rakyat Malaysia untuk bertindak.

“Kita perlu menghentikan pencemaran plastik di peringkat sumber. Pilihan yang kita buat pada setiap hari menyumbang secara langsung kepada masalah pencemaran.

“Harapan saya adalah untuk setiap beg sisa yang terkumpul akan menggalakkan setiap orang untuk mengurangkan satu beg sisa setiap hari,” katanya.

Kempen Dine and Donate Me’nate Steak Hub berjaya capai sasaran RM300,000

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Restoran Me’nate Steak Hub berjaya mencapai sasaran mereka dengan memperoleh RM300,000 menerusi kempen Dine and Donate yang dianjurkan sejak 6 hingga 20 November lalu.

Kempen itu dianjurkan bagi mengumpul dana untuk disumbangkan ke Tabung Kemanusiaan Palestin.

Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali berkata, pihaknya terharu dan gembira atas sambutan yang diberikan oleh semua terutama pelanggan Me’nate Steak Hub dalam menjayakan misi ini.

“Alhamdulillah dalam tempoh yang singkat kami berjaya mengumpul dana seperti yang diharapkan.

“Semua ini juga berkat sokongan daripada semua pelanggan Me’nate Steak Hub yang turut serta dalam kempen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penyerahan dana berkenaan yang diserahkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima dan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT).

Hadir mewakili badan masing-masing Pengarah Jualan Media Prima Omnia, Sharifah Omar dan Presiden SEJAGAT Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan.

Setiap badan itu masing-masing akan menerima RM150,000 daripada jumlah kutipan.

Sementara itu, Syed Ashraf yang juga pemilik Me’nate Steak Hub berkata, atas kejayaan kutipan ini memberi semangat kepadanya untuk memberikan yang lebih lagi pada masa akan datang.

“Ini adalah kempen kali pertama kami anjurkan dan melihat sambutan menggalakkan diterima, kami berharap dapat melakukan kempen seperti ini lagi.

“Jika tidak dengan cara seperti ini mungkin kami akan lihat apakah cara lain lagi yang boleh dilakukan dalam usaha membantu mereka di sana.

“Andai diberi peluang jika keadaan sedikit baik di Palestin kami juga berharap dapat menghantar lebih banyak bantuan makanan di sana,” katanya lagi.

Dalam pada itu, sebagai antara jenama yang cukup kukuh dalam bidang perkhidmatan makanan dan minuman, Syed Ashraf berharap Me’nate Steak Hub juga akan kekal sensitif dengan isu-isu seumpama ini dalam memastikan rangkaian perniagaan dibawah kendaliannya ini lebih dekat dengan masyarakat.

“Dalam bidang ini kepuasan pelanggan memang menjadi keutamaan kami, melalui isu-isu seperti ini kami juga ingin mengambil peluang dalam mendidik masyarakat di luar sana akan kepentingan kempen kemanusiaan seperti ini.

“Bagi Me’nate Steak Hub kami tidak hanya tertumpu dalam pasaran dalam negara, mengorak langkah sebagai antara jenama Malaysia yang sudah mendapat tempat di pasaran antarabangsa, usaha-usaha seperti ini juga memberi peluang untuk kami mendapat pengiktirafan dari masyarakat di luar sana,” katanya.

Tular video ‘busking’ La Bamba, Azharina tidak teragak ambil tindakan undang-undang

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Penyanyi Azharina Azhar bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang sengaja menyebarkan video persembahannya sedang ‘busking’ La Bamba sekiranya berniat hendak menjatuhkan reputasinya sebagai penyanyi.

Azharina, 38, berkata, dia sudah berbincang dengan dua peguamnya mengenai video yang sengaja di viralkan itu.

“Saya sudah berbincang dengan peguam mengenai perkara ini. Semua bukti sudah saya kumpul termasuklah komen-komen yang diberikan oleh warganet.

“Andai si penyebar meneruskan lagi perkara ini saya tidak akan berdiam diri dan takkan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas konsert separuh akhir All Stars Gegar Vaganza (GV10), malam tadi.

Mengulas lanjut, Azharina berkata, video itu tersebar selepas dia didakwa menipu Ketua Juri GV10, Datuk Ramli MS (Tok Ram) mengenai isu tidak pernah menyanyikan lagu La Bamba.

Penyanyi berasal dari Sabah itu berkali-kali menegaskan tiada niat untuk berbohong kerana sememangnya langsung tidak ingat mengenai persembahan busking yang pernah dilakukannya.

“Kalau anda berada di posisi saya, disoal bertubi-tubi, bolehkah ingat semula memori itu? Pasti tidak.

“Sejujurnya saya memang tidak ingat perkara itu pernah berlaku. Saya disoal adakah pernah menyanyikan lagu La BamBa dalam majlis makan malam. Jawapannya memang tidak pernah,” katanya.

Pelantun lagu Elegi Sepi itu menegaskan, nyanyiannya pada persembahan busking itu juga tidak sempurna dan huru-hara.

“Jujur saya beritahu, memang saya tidak boleh ingat, persembahan pula secara spontan. Nyanyian pun huru-hara, di tepi jalan pula.

“Persembahan busking itu berlaku sekitar tujuh tahun lalu di ibu negara dan saya diminta untuk menyanyi lagu La Bamba secara spontan dan hasilnya memang tunggang-langgang.

“Bolehkah anda ingat apabila sudah melakukan banyak persembahan ditambah pula perlu menelan ubat sebanyak 32 biji sehari,” katanya lagi.

Minggu lalu, nama Azharina menjadi perbualan hangat selepas muncul sebuah video dia menyanyikan lagu La Bamba milik Los Lobos secara busking di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Video berkenaan tular dan ada pihak mendakwa dia menipu Ramli MS kerana menyatakan tidak pernah menyanyikan lagu berkenaan dalam mana-mana persembahan sebelum ini.

Pertanyaan itu diajukan oleh Ramli selepas persembahannya pada konsert suku akhir GV10 minggu lalu namun dinafikan oleh Azharina.

Shuib tinggalkan Suria FM

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih setahun menjadi penyampai radio di segmen Morning Morning Suria, kini kerjasama Suria FM bersama Shuib telah berakhir berkuat kuasa 4 Disember 2023, hari ini.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) berkata, kerjasama yang telah terjalin selama hampir 2 tahun ini adalah satu langkah strategik bagi Suria FM dalam rangka perancangan bagi tahun 2023 lalu membabitkan kolaborasi khas dengan Shuib untuk beberapa tempoh sahaja disamping dia ingin menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan yang semakin berkembang.

“Komitmen Shuib bersama Suria FM bukan sahaja menjadi sebahagian daripada perancangan tahunan stesen radio, tetapi juga menjadi satu pengalaman yang amat berharga buat kami.

“Mewakili keluarga Suria FM, kami berterima kasih diatas segala komitmen padu dan elemen kreatif yang dibawakan oleh Shuib kepada stesen radio kami. Diharapkan beliau terus berjaya dalam setiap usaha perniagaan dan kerjayanya,” katanya.

Walau bagaimanapun, Suria FM juga berharap untuk terus menjalin kerjasama dengan Shuib dalam pelbagai inisiatif pada masa mendatang.

Persoalan mengenai siapakah pengganti Shuib masih terlalu awal untuk diputuskan, namun pihak Suria FM akan memaklumkan kepada umum mengenainya sebaik keputusan rasmi dicapai.

Untuk rekod, Shuib mula berkhidmat sebagai penyampai di Suria FM pada 29 Ogos 2022.

Kapal Maritim Nusa harungi 750 batu nautika demi Eksesais Maritim Perkasa Barat

editormaxinfo@gmail.com

BUKIT MALUT – Kapal Maritim (KM) Nusa telah mengharungi sejauh 750 batu nautika secara solo dari Kuala Terengganu ke Pulau Langkawi bagi menyertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Sempat berada di dalam kelompok 14 buah kapal yang terbabit dalam eksesais berkenaan ketika melalui kawasan perairan Pulau Pinang, KM Nusa turut berjaya menamatkan pelayaran dengan berlabuh di jeti Pulau Langkawi bersama kapal-kapal lain.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, semangat dan iltizam yang ditunjukkan pegawai dan anggota KM Nusa adalah sebahagian contoh kesungguhan warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memberikan komitmen mereka demi memastikan sesuatu arahan berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

Katanya, selain bersemangat melaksanakan tugasan yang diamanahkan, warga Maritim Malaysia perlu meningkatkan kepakaran dalam bidang tertentu khususnya ilmu pelayaran dan penguatkuasaan.

“Komunikasi taktikal misalnya perlu ditingkatkan kerana bilangan anggota semakin berkurangan disebabkan ramai warganya telah bersara wajib dalam perkhidmatan.

“Oleh itu, tindakan segera perlu diambil dengan memberikan pendedahan ilmu komunikasi berkenaan kepada pelapis muda demi kepentingan operasi di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Norzam Mustapa serta Pengarah Maritim Negeri Kedah Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.

Pada ucapan yang sama Datuk Hamid berkata, Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 turut berjaya mempamerkan keberadaan aset dan kesiagaan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan Selat Melaka.

Sepanjang eksesais ini berlangsung, Datuk Hamid turut memaklumkan tiada sebarang aktiviti penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dikesan berlaku di kawasan berhampiran sempadan negara di Selat Melaka.

Walau bagaimanapun katanya, KM Burau yang dalam eksesais yang sama berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang telah melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia untuk menggajikan pekerja warga asing.

Membabitkan hampir 500 orang peserta, Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 yang bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor telah menjalani tiga fasa latihan iaitu Fasa Pelabuhan pada 26 dan 27 November, Fasa Laut bermula 28 November hingga 1 November 2023 serta Fasa Penutup pada 2 dan 3 Disember 2023 di Pulau Langkawi.

Acara larian unik di Putrajaya Green Light Run 2023

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Diinspirasikan dari acara larian unik di Tokyo, Jepun, TuneAds Sdn Bhd membawakan kepada peminat acara larian Putrajaya Green Light Run 2023 (PGR23) pada 9 Disember ini bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam bertempat di Anjung Floria, Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Advertising Sdn Bhd,Muhammad Hafiz Rozlan, berkata larian ini unik kerana pelari perlu berlari mengatasi masa lampu isyarat bertukar warna hijau dan melepasinya sebelum lampu isyarat bertukar merah.

“Sekiranya gagal melepasi selepas lampu isyarat bertukar merah, pelari perlu berhenti untuk menunggu lampu isyarat bertukar hijau semula. Ia menyebabkan pelari akan berdepan kesuntukan masa untuk menamatkan acara larian.

“Cabaran larian ini memerlukan pelari mempunyai stamina, strategi dan fokus dalam melepasi semua lampu isyarat di sepanjang laluan sejauh tujuh kilometer,” katanya.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik lain turut berlangsung antaranya Zumba bersama Nas Adila Dance Crew, pertandingan E-Sport, gerai jualan, belon panas, zon kanak-kanak serta cabutan bertuah seperti motosikal, skuter elektrik, televisyen 50 inci dan banyak lagi.

Pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan konsert terbuka yang dihoskan oleh Fara Fauzana bersama artis terkemuka tanah air antaranya Ernie Zakri, Afieq Syazwan, Amir Masdi dan ramai lagi.

“Selain daripada mengamalkan cara hidup sihat di kalangan masyarakat, kami juga mempromosikan Putrajaya sebagai satu tempat riadah pada waktu malam.

“Larian ini unik dan pertama di Malaysia. Kami memilih Putrajaya agar masyarakat dapat menikmati suasana beriadah di Putrajaya bersama keluarga dan kawan-kawan,” katanya.

Hafiz turut menyasarkan seramai 8,000 hingga 10,000 pengunjung bakal memeriahkan acara ini.

Acara yang ditaja VFive Group, Gloria Jeans, 1901 HotDog dan Decathlon itu adalah penganjuran bersama Kelab Kita Kasih Malaysia, Persatuan Sukan Rekreasi Putrajaya dengan sokongan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Tourism Malaysia.

Acara larian ini terbuka kepada semua peringkat umur dengan bayaran masuk RM48 dan RM68 sahaja.

Peserta yang berminat untuk menyertai acara larian boleh melayari www.raceaxia.com. Untuk maklumat lanjut, emel kepada sales.pgr23@gmail.com.

ASEAN Festival 2023 sasar 20,000 pengunjung

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – ASEAN Festival 2023 yang sedang berlangsung menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung dalam usaha mempromosikan budaya, masakan dan hiburan daripada negara ASEAN yang terbabit.

Berlangsung di LaLaport BBCC, Kuala Lumpur acara yang dijangka berakhir Ahad ini menjanjikan persembahan dan sambutan budaya yang luar biasa.

Pengasasnya, Eldrick Koh berkata pemilihan lokasi yang strategik meyakinkan beliau festival berkenaan tidak hanya menarik pengunjung tempatan malah mampu menarik pelancong asing untuk hadir.

“Festival ini julung kali diadakan dan ia adalah bukti kepada warisan ASEAN yang kaya dan beraneka selain menawarkan pengalaman berbeza dalam budaya pelbagai termasuk masakan, muzik dan persembahan memukau.

“Menerusi festival ini kami membahagikan kepada tiga komponen utama iaitu ASEAN Market di mana kira-kira 90 gerai menawarkan pelbagai produk dan kraf dari negara-negara ahli termasuk barangan unik, dan hidangan makanan serta minuman.

“Komponen kedua adalah ASEAN Travel Fair yang menyediakan Pameran ASEAN untuk Muslim dan bukan Muslim yang menampilkan wakil-wakil dari pelbagai agensi pelancongan negara terbabit.

“Seterusnya, komponen terakhir adalah Pesta Muzik ASEAN yang menyajikan pertunjukan budaya oleh kedutaan Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia termasuk tarian tradisional selain petunjukan muay thai, peragaan fesyen dan konsert muzik,” katanya.

Eldrick berkata, pihaknya berharap dengan penganjuran kali pertama ini ia bakal menjadi festival tahunan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia.

Antara negeri yang disenarai sebagai lokasi untuk penganjuran seterusnya ialah Pulau Pinang dan Sabah.

Sementara itu, pengasas bersama Gillian Ooi berkata, festival ini mendapat sokongan rasmi oleh Tourism Malaysia, Kerajaan Malaysia Madani dan Kedutaan ASEAN serta pelbagai persatuan, jenama dan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa di negara ini.

“Kami berharap orang ramai akan datang dan tidak melepaskan peluang dalam mencuba pelbagai keunikan budaya merangkumi seksyen gastronomi yang menawarkan pengembaraan dari negara ASEAN yang berbeza.

“Selain makanan, mereka juga boleh menerokai produk-produk aksesori tulen dan produk seni dan kraf yang menarik.

“Sepanjang acara juga, pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti pakej pelancongan dalam dan luar negara serta beberapa lagi hadiah lain termasuk telefon Vivo terbaharu, jam tangan Honor, peluang untuk memandu uji dan memenangi basikal elektrik,” katanya.