25.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 240

Incubus kembali ke Malaysia untuk jelajah Asia 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tahun 2024 bakal menjadi tahun penuh nostalgik bagi peminat setia rock di era ’90-an dengan kembalinya Incubus ke Malaysia untuk ‘Asia Tour 2024’ yang akan berlangsung di Mega Star Arena KL pada 27 April 2024.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1991 itu bermula dengan persahabatan mereka sejak di sekolah menengah dan telah mengukir warisan mereka dalam dunia muzik dengan mempamerkan kebolehannya dalam mencampurkan pelbagai genre seperti metal, funk, dan hip-hop dengan lancar.

Kini, Incubus dikenali sebagai kumpulan antarabangsa yang mencapai kejayaan luar biasa dengan lebih dari 23 juta album terjual di seluruh dunia, dianugerahkan pengiktirafan multi-platinum dan platinum accolades.

Sokongan peminat setia yang mengikuti band ini lebih dua dekad merindui untuk melihat band ini beraksi semula di atas pentas “konsert” menjadi faktor utama untuk mereka kembali mengadakan konsert jelajah pada tahun 2024.

Hitman Solutions bakal membawakan Incubus ke Kuala Lumpur untuk terus menawan hati penonton global.

Hitman Solutions sentiasa ingin memberikan pengalaman hiburan seni yang terbaik terutamanya terhadap peminat muzik ‘rock’ tempatan dan antarabangsa. 

CEO & Pengasas Hitman Solutions Rohit Rampal berkata, sebagai peminat rock sendiri, beliau sangat teruja untuk mengumumkan usaha konsert ini dengan salah sebuah kumpulan rock antarabangsa yang paling berjaya sepanjang zaman iaitu Incubus, untuk mengadakan persembahan mereka di Malaysia dalam jelajah Asia 2024.

“Permintaan untuk mereka kembali ke Malaysia begitu ketara, terutamanya ketika kami melihat keterujaan terhadap konsert ini di negara-negara jiran.

“Oleh itu, kami bertungkus lumus demi memuaskan hati peminat ‘rock’ tempatan dengan membawakan mereka untuk menyanyi bersama beberapa lagu klasik seperti ‘Drive’, ‘Wish You Were Here’, dan kegemaran peribadi saya, ‘Pardon Me’.

“Pada masa yang akan datang, nikmatilah lagu-lagu hebat Incubus dalam kereta anda atau bila-bila masa melalui Fly FM dan Hot FM, Rakan Radio Rasmi kami,” katanya.

Dapatkan tiket konsert ‘Incubus Asia Tour 2024’ yang dibahagikan kepada 3 zon utama, CAT 1 – VIP Seating (RM299), CAT 2 – Normal Seating (RM249), Rockzone – Free Standing (RM249) di www.hitmanlive.com

Seleweng dana dan pecah amanah, mahkamah Malaysia dan UK perintah Ranjeet bayar RM602 juta

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Malaysia dan United Kingdom (UK) untuk membayar Kumpulan Zavarco sebanyak RM602 juta atas pelbagai pelanggaran tugas jenayah komersial.

Eksekutif Pelabur dan Perhubungan Pelabur Zavarco PLC, BS Maniam dalam satu kenyataan berkata, Ranjeet yang juga bekas Ketua Pengarah Urusan Kumpulan Zavarco, Pengarah Semasa Kumpulan Vascory, Kumpulan 3Lyon dan pengawal benefisial Kuber Venture Berhad didakwa menyeleweng dana termasuk kes pecah amanah dengan secara tidak jujur memperuntukkan dirinya sebanyak 840 juta saham dalam Zavarco PLC setiap satu dengan nilai nominal RM0.50 dan tanpa membayar sebarang wang.

“Mahkamah Tinggi United Kingdom memerintahkan penghakiman sebanyak RM512 juta dalam kes Zavarco PLC lawan Ranjeet Singh Sidhu kerana bersalah mengeluarkan saham syarikat awam (Zavarco Plc) kepada dirinya tanpa membayar balasan tunai.

“Manakala Mahkamah Tinggi Malaysia memerintahkan penghakiman sebagai RM29 juta dalam kes Zavarco PLC lawan Ranjeet Singh Sidhu kerana secara salah memanipulasi akaun Zavarco Berhad menuntut wang untuk dirinya sendiri sebagai bayaran balik untuk pendahuluan pengarah.

“Ranjeet juga diperintahkan penghakiman sebanyak RM61 juta dalam kes Zavarco Plc lawan Ranjeet Singh Sidhu kerana melesapkan RM 12 juta wang pelabur ke dalam akaun peribadinya,” katanya.

Katanya lagi, Ranjeet telah menubuhkan Zavarco PLC di UK di bawah Akta Syarikat 2006 (CA2006) untuk tujuan dijadikan syarikat induk penyenaraian di suatu bursa saham Eropah kepada kumpulan Zavarco di Malaysia dengan objektif untuk mendapatkan pelaburan antarabangsa bagi pembangunan rangkaian telekomunikasi gentian optik di Malaysia.

“Dia mendakwa bahawa percubaannya sebelum ini untuk mendapatkan wang pelaburan melalui sebuah syarikat di Malaysia tidak begitu berjaya.

“Sebaik sahaja Zavarco PLC diperbadankan, pemegang saham syarikat Malaysia sepatutnya menukar pegangan saham mereka dalam syarikat itu kepda saham baharu dalam Zavarco PLC, yang kemudiannya akan disenaraikan di Bursa Saham Frankfurt.

“Di bawah proses pengaturan ini, Ranjeet, bertindak sebagai salah seorang pemegang saham di syarikat Malaysia, secara tidak jujur memperuntukkan dirinya sebanyak 840 juta saham dalam Zavarco plc setiap satu dengan nilai nominal RM0.50 dan tanpa membayar sebarang wang,” katanya.

Ranjeet telah memfailkan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan kemudiannya di mahkamah Persekutuan, di mana kedua-dua rayuan beliau ditolak sebulat suara dengan kos.

Terdahulu, baru-baru ini, Datuk Ranjeet didakwa memperdaya ramai mangsa dalam dan luar negara dengan beberapa pelaburan palsu bernilai lebih RM1 bilion. 

Kontrak ditamatkan tanpa sebab yang jelas, penyanyi Kaka terkilan

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Penyanyi Kaka Azraff mengakui terkilan apabila syarikat rakaman, Warner Music Malaysia tidak memberikan sebab dan penjelasan yang lebih terperinci berhubung penamatan kontraknya secara tiba-tiba pada 1 Disember lalu.

Kaka berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang berhubung kesan selepas penamatan kontrak sekiranya tiada jalan penyelesaian.

“Sebagai artis rakaman dan antara paling lama bersama Warner Music Malaysia, saya percaya seharusnya saya diberikan penjelasan rasmi mengapa pihak pengurusan memutuskan untuk menamatkan kontrak.

“Saya tidak terkilan kontrak ditamatkan kerana percaya rezeki Allah luas.

Namun, saya terkilan kerana ia ditamatkan secara tiba-tiba tanpa menyatakan sebab jelas atau ruang perbincangan walaupun tempoh notis diberikan selama 30 hari,” katanya.

Kaka berkata, dia ada menemui pihak pengurusan pada 30 November lalu, namun mereka hanya memintanya menandatangani surat penamatan kontrak.

“Kami ada berjumpa, tetapi bukan berbincang. Saya tidak tandatangani surat sebab saya perlu memperhalusi terma bersama peguam.

“Pengurusan hanya memberitahu tindakan saya bercanggah dengan polisi global,” katanya.

Kaka berkata, tindakannya membalas hantaran menerusi mesej langsung kepada pelakon Australia, Nathaniel Buzzolic, sekali gus menolak dakwaan menyebarkan perkara itu sebagai ucapan kebencian (hate speech).

“Saya bukan antisemitik dan tidak bersifat perkauman seperti didakwa. Saya hanya meluahkan pendapat peribadi kepada individu itu, bukan memberikan komen secara terbuka.

“Saya akui, mungkin pilihan kata-kata saya agak keras, tetapi itu menggambarkan kemarahan saya pada waktu itu.

“Mungkin saya seharusnya memilih kata-kata lebih sopan, namun saya tidak nafikan soal ini. Saya tidak mahu memandang ke belakang lagi,” katanya pada sidang media mengenai hal itu, malam tadi.

Sementara itu, peguam mewakili Kaka iaitu Aidil Khalid dari Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil berkata, ketidakadilan secara terangan berlaku apabila kontrak hanya memberikan keuntungan kepada pihak label, malah Warner Music Malaysia turut meletakkan klausa baharu.

“Kita buka ruang berbincang dengan Warner Music Malaysia kerana selepas penamatan kontrak ada kesan terhadap Kaka.

“Jika perbincangan berjalan dengan baik, kami boleh selesaikan dengan baik. Kalau sukar mendapatkan persetujuan, kemungkinan kes ini akan dibawa ke mahkamah, namun masih terlalu awal untuk bercakap soal ini,” katanya.

Aidil berkata, perjanjian rakaman antara Kaka dan Warner Music Malaysia sepatutnya masih berbaki beberapa tahun dengan opsyen atau pilihan untuk diperbaharui serta dilanjutkan daripada semasa ke semasa seperti kontrak sebelum ini sejak 2018 lagi.

“Bagaimanapun, Kaka diserahkan dengan satu Notis Penamatan oleh pihak pengurusan Warner Music Malaysia pada 1 Disember lalu.

“Seperti diteliti, Notis Penamatan itu hanya memaklumkan bahawa ia akan berkuatkuasa pada 31 Disember ini, iaitu tempoh notis selama 30 hari, tetapi tidak menyatakan sebab mengapa ditamatkan.

“Namun, tiada sebarang sebab munasabah diberikan oleh pihak pengurusan dalam Notis Penamatan, jadi kami meminta mereka mereka menjelaskan perkara ini.

“Adakah penamatan disebabkan oleh mesej langsung Kaka yang bersimpati terhadap rakyat Palestin serta menempelak Israel?

“Sekiranya tidak benar, maka sila nafikan dan berikan sebab mengapa penamatan kontrak Kaka diputuskan sedemikian,” katanya.

Terdahulu, kontraknya Kaka bersama Warner Music Malaysia didakwa ditamatkan gara-gara kelantangannya mengecam tindakan tidak berperikemanusian dilakukan Israel terhadap Palestin.

Kemelut Kaka bersama syarikat rakaman tercetus apabila Kaka meninggalkan komen secara mesej langsung kepada pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic mengecam perkongsian lelaki itu dalam Instagram Story.

Tindakan Kaka meraih perhatian pempengaruh popular itu yang kemudiannya memuat naik semula tangkap layar butiran mesejnya.

Difahamkan, kontrak Kaka dan Warner Music Malaysia ditamatkan walaupun sepatutnya berakhir pada April tahun depan.

Dalam pada itu, Warner Music mengesahkan penamatan kontrak Kaka disebabkan ‘penggunaan bahasa tertentu’ yang tidak disenangi syarikat rakaman itu.

Menurutnya, tindakan itu selepas Kaka meninggalkan mesej pada akaun Instagram seorang pelakon, Nathaniel Buzolic.

“Kaka Azraff adalah seorang artis yang sangat berbakat tapi malangnya, kami terpaksa berpisah dengannya disebabkan penggunaan bahasa tertentu dalam mesej langsung yang dipaparkan dalam talian.

“Warner Music tidak menghalang hak bersuara mana-mana artis di bawah naungan kami.

“Walaupun kami dengan teguh memperjuangkan hak kebebasan bersuara oleh artis di bawah naungan kami, namun sesiapa yang bertindak dengan cara sedemikian, tanpa mengira kumpulan, bangsa, atau agama, kami akan turut membuat keputusan yang sama,” kata Warner Music.

Pelakon Azlan Komeng dan Nur Nilam masih sah suami isteri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pelakon  Azlan Komeng mengakui dia dan Nur Nilam Ortiz masih sah sebagai suami isteri.

Azlan menjelaskan salah faham yang timbul apabila Nur Nilam mendakwa sudah diceraikan baru-baru ini.

Azlan atau nama sebenarnya Muhammad Azlan Kamiran berkata, Nur Nilam kurang memahami bahasa Melayu pasar kerana berdarah kacukan Thailand di sebelah ibu dan bapanya pula berasal dari Sepanyol.

Katanya, pertelingkahan yang berlaku antara mereka bukanlah disebabkan kehadiran orang ketiga, sebaliknya kerana berbincang mengenai perniagaan.

“Kami sekarang mula berjinak-jinak dengan perniagaan dan ketika berbincang mengenai idea berlaku pertengkaran.

“Ketika itu saya mengatakan kepadanya ‘kau ikut jalan kau, aku ikut jalan aku’, dan saya terus keluar dari rumah.

“Sebenarnya saya keluar rumah untuk redakan pertengkaran, tetapi isteri saya sangka dia sudah diceraikan,” katanya.

Azlan berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Anak Perjanjian Syaitan 2 di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur pada Selasa.

Azlan berkata, disebabkan sedang marah, Nilam bertindak berkongsi perkara berkenaan di sosial media sebaik dia keluar rumah.

Berikutan itu dia membawa Nilam merujuk perkara berkenaan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehari selepas kejadian iaitu pada 30 November lalu.

“Perkara ini bukan boleh di buat main-main. Saya orang Johor, belajar di sekolah agama. Hakim dengar pun dia ketawa kerana saya tidak berniat melafazkan cerai dan itu juga tidak dikira sebagai lafaz cerai.

“Saya juga tegaskan pada Nilam tidak ada orang ketiga dalam rumah tangga kami dan saya sendiri kalau boleh mahu perkahwinan ini menjadi perkahwinan terakhir buat saya.

“Saya mohon maaf bagi pihak isteri kerana dia terlalu cepat membuat tindakan dan meluahkannya di media sosial,” katanya.

Katanya lagi, dia memahami sikap Nilam dan sebagai seorang wanita mungkin dengan cara itu isterinya dapat meluahkan perasaan.

Terdahulu, Nur Nilam Ortiz memaklumkan dia sudah diceraikan Azlan menerusi satu perkongsian video di TikTok dan mendakwa wujud orang ketiga dalam perkahwinan mereka.

Pasangan ini berkahwin pada 22 Januari 2022.

Konsert ‘Jilid Akhir : Ella Puteri Kota’ ke Kota Kinabalu

editormaxinfo@gmail.com

KOTA KINABALU – Selepas kejayaan konsert ketiganya di Pulau Pinang pada 28 Oktober lalu dengan kehadiran hampir 14,000 orang penonton, ratu rock negara, Ella kini kembali untuk beraksi di hadapan ‘urang’ Sabah terutamanya yang berada di sekitar Kota Kinabalu.

Digelar konsert ‘Jilid Akhir : Ella Puteri Kita’ Kota Kinabalu, Ella bakal membuat persembahan keempatnya pada 20 Januari depan, bermula jam 8.30 malam, bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Mengambil petikan seusai konsertnya di Pulau Pinang, Ella berkata, rasa syukur atas sokongan padu daripada peminat yang membuatkan dia bersemangat untuk meneruskan siri jelajah ini.

“Bagi memuaskan hati semua pihak, kami akan ke Kota Kinabalu, Sabah pula dan tidak sabar rasanya untuk menghiburkan ‘urang’ di sana.

“Semoga peminat saya semua akan terhibur dan bahagia menyaksikan konsert saya nanti, pastinya sebuah pengalaman indah dan menjadi kenangan manis yang bakal dirindukan,” katanya.

Selain giat mempromosikan konsertnya, Ella juga aktif dalam bidang perniagaan produk RockQueen seperti abaya dan buku biografi yang bertajuk ‘Rockers Juga Manusia’. 

Masih mengekalkan tema ‘Glam Rock’, konsert yang dijangkakan berlangsung sekitar lebih dua jam itu bakal disajikan dengan kira-kira 25 ke 30 buah lagu bergantung dengan permintaan peminatnya, dan pastinya ada artis jemputan yang masih dirahsiakan nama mereka sebagai kejutan.

Ella kini sedang menjalankan sesi latihan muzik beberapa kali seminggu bersama pengarah muzik, Datuk Acis serta aktiviti rutin kecergasannya demi membina stamina menuju hari konsert.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, selepas kejayaan konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil yang berjaya memecahkan rekod The Malaysia Book of Records dengan penjualan tiket ‘sold-out’ dalam masa 24 jam membuktikan bahawa Ella sememangnya ratu rock negara yang tiada tandingan.

“Demi menyahut permintaan peminat Ella yang tidak berpeluang menonton konsert tempoh hari, pihak Hitman Solutions sedaya-upaya memberikan kepuasan sepenuhnya kepada penggemar rock di Sabah pula, dan nantikan pengumuman kami yang seterusnya,” katanya.

Tiket-tiket boleh dibeli di www.hitmanlive.com dan jualan tiket fizikal di semua cawangan D’bundle Mania.

Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2023 kembali, perkenal tiga kategori baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro kembali mempersembahkan anugerah berprestij Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2023, di bawah jenama Astro Gempak, platform hiburan digital No.1 di Malaysia.

Penganjuran kali ini menampilkan kandungan-kandungan terhangat dan terkini di tahun 2023, dengan memperkenalkan calon-calon Top 20 yang telah disenarai pendek menerusi 9 kategori utama dan peminat boleh membuat undian dari 30 November, jam 8.00 pagi hingga 30 Disember jam 11.59 malam untuk memilih calon Top 5 seterusnya menerusi pautan Gempak Most Wanted di laman rasmi Astro Gempak.

Penganjuran GMWA 2023 turut memperkenalkan tiga kategori baharu yang melengkapi kesemua 9 kategori utama, sejajar dengan penglibatan dan perubahan jaringan trend terkini pengguna-pengguna di media sosial.

Kategori-kategori baharu yang turut dibuka untuk undian peminat termasuk Lagu/Audio Tergempak, Content Creator (Hiburan) Tergempak dan Content Creator (Lifestyle) Tergempak.

Ketua Content Studio, Astro, Syazwan Zakariah, berkata pihaknya teruja untuk menampilkan Gempak Most Wanted Awards 2023 kepada semua peminat Astro Gempak.

“Selaku jenama hiburan nombor satu di Malaysia, kami membuka peluang kepada generasi pencipta kandungan hari ini untuk diberi pengiktirafan dan penghargaan berdasarkan idea dan hasil kerja yang dicurahkan dalam apa jua bidang, terutamanya untuk memberi motivasi, galakan, inspirasi dan hiburan di platform media sosial.

“Dengan evolusi media digital yang semakin meluas, kami terpanggil untuk memperkenalkan tiga kategori baharu yang menjurus kepada bidang lagu dan audio, serta pencipta-pencipta kandungan yang berunsurkan hiburan dan gaya hidup.

“Justeru, Astro Gempak ingin menerajui alam maya ini dengan mengiktiraf bakat-bakat pencipta kandungan dari pelbagai latar belakang dan bidang. Kami mempelawa semua peminat untuk membuat undian dan menentukan Top 5 dari 9 kategori yang dipertandingkan,” katanya.

GMWA 2023 mengekalkan format penjurian yang sama, di mana peminat diberi kuasa penuh untuk menentukan pemenang di setiap kategori.

Undian pula dibuka kepada dua fasa yang merangkumi fasa undian bagi menentukan Top 5 yang dipilih daripada senarai pencalonan Top 20 dan fasa undian untuk menentukan pemenang utama.

Sebagai tambahan, pencalonan Top 20 adalah kandungan yang dihasilkan oleh pengguna media sosial selama satu tahun, bermula 15 November 2022 hingga 15 November 2023.

Calon-calon ini disenarai pendek berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh pihak penganjur untuk melayakkan kandungan ini ke Carta Mingguan GMW.

Kandungan di dalam carta yang berjaya mengekalkan kedudukan lima teratas di setiap minggu dipilih sebagai calon Top 20, mengikut jumlah mata pada tarikh akhir undian yang ditetapkan.

Undian bagi pemilihan calon Top 5 pula boleh dilakukan di laman rasmi GMW bermula 30 November, jam 8.00 pagi sehingga 30 Disember 2023, jam 11.59 malam.

Undian terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan warganegara asing yang menetap di Malaysia. Pemenang utama di setiap kategori akan diumumkan pada acara kemuncak GMWA 2023 pada Februari tahun depan.

Accor jalin kerjasama strategik dengan India, Indonesia, Thailand dan Vietnam

editormaxinfo@gmail.com

SINGAPURA – Kumpulan hospitaliti yang besar dan terkemuka, Accor menjalin kerjasama dengan beberapa negara dalam usaha menekankan dedikasi syarikat yang tidak berbelah bahagi untuk memperluaskan jangkauan sambil memberikan pengalaman yang tiada tandingannya di seluruh Asia.

Setakat Oktober 2023, Accor telah menyempurnakan perjanjian pengurusan dengan lancar bagi 69 hartanah yang mengagumkan, menambah portfolio yang luas dengan lebih 16,500 unit penginapan.

Di tengah-tengah lonjakan yang luar biasa, kumpulan ini secara strategik terus menumpukan usaha ke arah kepemimpinan yang cekal dalam segmen Pertengahan dan Ekonomi yang diwujudkan oleh perwakilan yang teguh melalui jenama Novotel, Mercure dan Ibis.

Pendekatan strategik ini menyerlahkan komitmen Accor untuk memastikan pelbagai tawaran disediakan untuk tetamu.

“Kedinamikan pasaran hospitaliti menuntut lebih daripada pengembangan; ia menuntut inovasi. Penandatanganan strategik dan pengenalan jenama kami ke pasaran baharu adalah bukti janji kami untuk menjadi perintis dalam memberikan pengalaman tetamu yang tiada tandingannya, menandakan era baharu dalam evolusi hospitaliti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Bahagian Premium, Pertengahan dan Ekonomi untuk Accor di Asia Garth Simmons.

Accor meneruskan pertumbuhan di Thailand dengan penandatanganan ibis Styles Phuket Bangtao, baru-baru ini.

Hotel yang baru dibina ini, yang bakal dibuka pada tahun 2025, akan menampilkan 140 unit penginapan, restoran, bar, kolam renang dan gimnasium yang serba lengkap.

Terletak di kawasan kejiranan Bangtao yang meriah dan terkenal dengan pantai yang tidak tercemar serta kehidupan yang moden, ibis Styles bersedia untuk menggabungkan kepintaran artistik dan gaya kontemporari di persekitarannya.

Dengan penandatanganan ini, Accor mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pengendali hotel antarabangsa terbesar di Thailand, dengan rangkaian 73 hotel yang mantap dalam segmen Pertengahan dan Ekonomi dan 14 projek lagi yang sedang dalam pembangunan.

Novotel Jakarta Pulo Mas (Indonesia)

Accor berbesar hati untuk mengumumkan penandatanganan Novotel Jakarta Pulo Mas, yang terletak di Pulo Mas, Jakarta Timur. Hotel 36 tingkat ini yang merupakan sebahagian daripada pembangunan bercampur dengan bangunan pejabat dan studio TV Nusantara, akan menawarkan 175 buah bilik, termasuk bilik standard dan suite.

Menampilkan restoran yang dibuka sepanjang hari, ruang istirahat, pusat kesihatan dan kecergasan, spa, bar kolam renang dan kolam renang luar, Novotel Jakarta Pulo Mas menjanjikan suasana yang tenang buat tetamu sambil mereka menyaksikan pemandangan kota Jakarta yang menakjubkan dari atas.

Mercure Cat Tien dan ibis Styles Cat Tien (Vietnam)

Accor akan menyelia pengurusan dan operasi dua hotel dalam projek Imperial Oasis Quy Nhon di wilayah Binh Dinh, yang menampilkan jenama Mercure dan ibis Styles yang terkenal. Dijadualkan untuk dibuka pada tahun 2027, hotel Mercure Cat Tien dan ibis Styles Cat Tien yang terletak di pintu masuk kawasan bandar Cat Tien, masing-masing akan menawarkan 189 dan 250 buah bilik tamu.

Kedua-dua hotel ini akan menampilkan kemudahan canggih termasuk restoran yang dibuka sepanjang hari, bilik mesyuarat, kolam renang, kelab kolam renang dan gimnasium. Projek-projek ini selaras dengan penekanan strategik Accor terhadap pembangunan ekonomi pantai dan sektor komersil mewah di Vietnam.

Swissôtel Bangkok Pratunam (Thailand)

Accor akan melancarkan Swissôtel Pratunam Bangkok pada awal tahun 2027. Terletak di tengah-tengah daerah membeli-belah utama Bangkok yang meriah, hotel premium dengan 325 buah bilik dan suite yang dihias indah ini akan mentakrifkan semula kecanggihan bandar.

Tetamu akan dapat menikmati panorama latar langit dari kolam renang infiniti di atas bumbung, berehat di spa bertaraf dunia dan menikmati pilihan sajian yang menarik.

Grand Mercure Goa Candolim (India)

Grand Mercure Goa Candolim dijadualkan untuk mula menerima tetamu pada Suku Kedua 2024 dan akan menjadi Grand Mercure ke-7 di India. Hotel berkeluasan 6,500 meter persegi ini menawarkan 87 buah bilik yang serba lengkap, dua pilihan tempat makan, dewan bankuet berkeluasan 500+ meter persegi serta kemudahan pusat kecergasan dan spa.

Hotel yang dilengkapi kemudahan bertahap tinggi ini menyasarkan untuk memberikan impak yang besar ke atas suasana hospitaliti dinamik Goa dengan menyediakan penginapan menarik bagi para pengembara.

Melalui enam penandatanganan dengan lebih 1,100 unit penginapan tambahan di seluruh Asia pada bulan November 2023, Accor terus menunjukkan kehebatannya dalam industri hospitaliti lalu memberikan pengalaman yang luar biasa dan inovatif kepada tetamu di rantau ini.

HONOR bincang masa depan telefon boleh lipat dan teknologi berpusatkan manusia di Fortune Global Forum 2023

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama teknologi global HONOR telah membincangkan masa hadapan peranti pintar di Fortune Global Forum 2023 yang berlangsung di Abu Dhabi, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Pemasaran HONOR Device Co. Ltd, Dr Ray Guo bersama barisan ahli panel Ketua Penganalisis dan Ketua Pegawai Pemasaran CCS Insight, Ben Wood; dan Naib Presiden Global Elektrik TÜV Rheinland, Frank Holzmann telah membincangkan topik ‘Dunia Kecerdasan Baharu: Apa Seterusnya untuk Peranti Pintar.’

Panel yang dikendalikan Pengarang Eksekutif Asia, Fortune, Clay Chandler telah mengupas pelbagai topik menarik tentang teknologi baharu yang belum diuji, termasuk telefon boleh lipat, teknologi paparan berpusatkan manusia dan kecerdasan buatan (AI) pada peranti.

“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada Global Forum 2023. Dunia perniagaan sedang memasuki era baharu dan teknologi bakal memainkan peranan penting.

“Kami percaya inovasi berpusatkan manusia membolehkan pelbagai kemungkinan baru untuk generasi peranti baharu yang seterusnya.

“Telefon boleh lipat kini semakin diterima ramai, kecerdasan buatan pada peranti juga membuka jalan kepada era perubahan, dan teknologi berpusatkan manusia seperti teknologi paparan keselesaan mata menambah baik pengalaman interaksi antara manusia dan peranti. Berdasarkan perspektif kami, ini hala tuju yang seterusnya untuk peranti pintar,” kata Guo.  

Semasa perbincangan panel, penceramah telah berkongsi pandangan berhubung pembangunan telefon boleh lipat.

Satu persamaan menarik telah dibuat antara peranti lipat dan kenderaan elektrik iaitu kedua-dua teknologi berkenaan menyebabkan gangguan dalam industry masing-masing disebabkan konsep baru yang bertujuan membawa perubahan demi kebaikan semua.

Data terkini dari Counterpoint Research menunjukkan lebih 64% pengguna telefon pintar mewah bersikap terbuka untuk menukarkan peranti mereka kepada telefon boleh lipat. Ini menunjukkan telefon boleh lipat semakin mendapat sambutan dan ke arah menjadi arus perdana.

Sebelum ini, beberapa masalah utama telefon boleh lipat belum diselesaikan seperti mudah alih, ketahanan dan jangka hayat bateri. Kini, peranti seperti HONOR Magic V2 lebih nipis dan ringan berbanding telefon pintar flagship biasa selain menyediakan semua kepentingan skrin boleh lipat yang mengasyikkan.

HONOR Magic V2 telah diuji untuk menahan sekurang-kurangnya 400,000 lipatan, mengetengahkan ketahanan hebat dan disertakan dengan teknologi bateri silikon-karbon untuk bertahan sepanjang hari.

Selepas menyelesaikan masalah utama konsumer, HONOR baru-baru ini telah mencapai penanda aras penting dalam pembuatan 1 juta telefon boleh lipat dari kilang syarikat berkenaan. Menurut firma penganalis industri Omdia HONOR Magic V2 kini telefon boleh lipat nombor 1 di pasaran China dan menguasai 25 peratus saham pasaran telefon boleh lipat sebagai model tunggal.

Skala pengeluaran yang semakin meningkat menunjukkan bagaimana HONOR memacu rantaian bekalan industri ke hadapan yang sedang mencapai kematangan. Melepasi penanda aras 1 juta unit tersebut menunjukkan rantaian bekalan sedang mencapai ke tahap pengeluaran besar-besaran yang mana proses pembuatan adalah lebih automatik dan cekap.

Ini akan memanfaatkan industri luas, seterusnya meningkatkan keyakinan rantaian bekalan dan menggalakkan jenama lain untuk berinovasi dalam sektor telefon boleh lipat agar lebih mampu dimiliki ramai.

Inovasi teknologi berpusatkan manusia juga antara tema utama perbincangan barisan ahli panel. Menurut Guo, inovasi tersebut menandakan HONOR telah mengenalpasti masalah pengguna dan seterusnya menyelesaikan masalah terbabit.

Penyelidikan menunjukkan sekurang-kurangnya 2.2 bilion individu di seluruh dunia mengalami masalah penglihatan dan pencegahan boleh dilakukan terhadap sekurang-kurangnya 1 bilion daripada mereka.

Oleh itu, HONOR meletakkan teknologi paparan keselesaan mata sebagai keutamaan dengan melaburkan lebih US$140 juta dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi paparan, serta membangunkan lebih 500 paten berkaitan paparan. Terbaru, HONOR membuka makmal keselesaan mata khusus bagi mengembangkan kepakaran dalam bidang berkenaan.

“Dengan kemudahan baru ini, kami berharap untuk menghasilkan teknologi yang memberi keselesaan kepada individu dengan masalah penglihatan,” kata Guo.  

Selari dengan pelaburan dilakukan, HONOR telah memperkenalkan beberapa siri ciri keselesaan mata inovatif seperti teknologi pemalapan PWM 2840Hz dan Paparan Malam Sirkadia untuk melindungi mata pengguna. Inovasi berkenaan sudah beransur disebarkan dalam industri luas.  

Sebagai contoh, sejak ciri keselesaan mata pemalapan PWM berfrekuensi tinggi diperkenalkan, 12 jenama telefon pintar telah menerapkan teknologi terbabit. Kini, lebih 90 peratus paparan telefon pintar di China mempunyai ciri keselesaan mata seperti Pemalapan PWM berfrekuensi tinggi.

Tidak dinafikan AI antara topik perbincangan yang dinanti-nantikan. Sejak bertahun-tahun, HONOR melabur dalam AI dan telah memperkenalkan AI peringkat platform untuk meningkatkan pengalaman pengguna telefon pintar menerusi perkhidmatan berasaskan AI.

Semasa Sidang Kemuncak Qualcomm Snapdragon pada Oktober lalu, HONOR mendedahkan telefon pintar HONOR Magic6 yang bakal dilancarkan dilengkapi ciri LLM Pada Peranti dan dikuasakan oleh cipset Snapdragon 8 Gen 3.

HONOR meletakkan kepercayaan terhadap model AI hibrid, menggunakan AI pada peranti untuk kandungan dan perkhidmatan yang diperibadikan sambil memastikan privasi pengguna dengan mengekalkan data pada peranti.

Ketika HONOR meraikan ulang tahun ketiga, penyertaan jenama tersebut di Fortune Global Forum menunjukkan perkembangan HONOR kepada sebuah jenama premium global yang mendahului dalam inovasi telefon boleh lipat dan teknologi keselesaan mata.

Data menunjukkan inovasi ini membuahkan hasil. HONOR telah mencapai hampir 200 peratus pertumbuhan jualan di pasaran luar pada tahun ini. Di Eropah, laporan terkini dari Counterpoint Research menunjukkan HONOR satu-satunya jenama dalam lima teratas yang berkembang YoY pada suku ketiga.

Firma analisis industri utama Counterpoint Research dan IDC melaporkan HONOR berada di kedudukan teratas dalam pasaran peranti boleh lipat dan pasaran saham keseluruhan di China pada suku ketiga.

 

Selepas 10 tahun bersama, Jovian dan Nina sah bercerai

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal dan usahawan, Datuk Jovian Mandagie mengumumkan telah bercerai dengan isterinya, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri pada Ogos lalu.

Berita itu dikongsi sendiri oleh Jovian menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagramnya, semalam.

Katanya, meskipun sudah tidak lagi hidup sebagai suami isteri, dia dan Nina akan terus menjadi sahabat baik demi kebahagiaan puteri tunggal mereka, Jeanelle Nika Mandagie.

“Sesetengah perkahwinan adalah istimewa dan dibuat untuk kekal seumur hidup, tetapi perkahwinan kami istimewa kerana ia telah berkembang menjadi persahabatan yang akan kekal seumur hidup.

“Pada bulan Ogos, kami saling memutuskan untuk menamatkan perkahwinan 10 tahun kami atas sebab yang kami percaya adalah yang terbaik,” katanya.

Jovian berkata, pada mulanya dia mahu merahsiakan hal perceraian itu namun, selepas melihat komen orang ramai yang memuji keutuhan rumah tangganya bersama Nina pada siaran langsung di TikTok baru-baru ini, menjadikan mereka berdua nekad untuk berterus terang.

“Kami mengadakan sesi langsung di TikTok dan tersentuh dengan komen-komen menarik tentang kami sebagai pasangan suami isteri.

“Kami merasakan adalah penting untuk kami berkongsi perkara ini dengan anda semua. Walaupun berita ini mungkin tidak dijangka, sila percaya bahawa kami berdua berada di tempat yang baik.

“Apa sahaja yang anda lihat di media sosial kami selama empat bulan yang lalu adalah nyata. Kami tidak mungkin membenci.

“Terima kasih sekali lagi atas doa dan sokongan anda untuk kami memulakan lembaran baharu yang berasingan,” katanya.

Tedahulu, Jovian dan Nina Sabrina berkahwin pada 11 Disember 2013.

Pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie yang kini berusia enam tahun.