25.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 239

Bantu memerangi obesiti di Malaysia, Su.Re Sihat KL lancar kempen ‘Lose to Win’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memerangi obesiti di Malaysia, Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur (“Su.Re Sihat KL”) melancarkan Kempen ‘Lose to Win’.

Program itu dilancarkan berikutan pendedahan terbaharu mendapati Malaysia telah menduduki tangga pertama obesiti di Asia Tenggara dan tangga kedua secara global.

Justeru, badan bukan kerajaan itu berazam untuk menumpukan sumbernya dalam meningkatkan kesedaran terhadap epidemik berkenaan.

Presiden Su.Re Sihat KL, Shameem Akhtar Mohd Ashraf berkata, obesiti kini bukan lagi dilabel sebagai penyakit negara dan isi rumah berpendapatan tinggi.

“Dahulu kita menganggap orang menghidap obesiti akibat makan secara keterlaluan. Hari ini, anda pasti terkejut apabila mengetahui bahawa golongan B40 dan asnaf yang berpendapatan rendah juga boleh menghidap obesiti akibat faktor lain seperti kekurangan makanan berkhasiat, suasana bertekanan tinggi, genetik, kualiti hidup yang rendah dan banyak lagi.

“Oleh itu, kami akan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi kempen ini untuk mengumpul dana supaya 20 individu berpendapatan rendah yang terpilih dapat menjalani program pengurusan obesiti yang menyeluruh termasuk prosedur kesihatan, pelan nutrisi, senaman dan lain-lain.

“Kami mahu mengubah kehidupan individu terbabit supaya mereka boleh meneruskan pekerjaan mereka untuk menampung ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap apabila kempen ini dapat diteruskan dengan penyertaan rakan kongsi korporat, lebih ramai individu menghidap obesiti dapat menikmati program pengurusan obesiti ini secara percuma.

“Dalam jangka panjang, kempen ini akan mengubah landskap kesihatan di Malaysia apabila semakin ramai orang awam menjadi lebih aktif dalam meningkatkan gaya hidup mereka.

“Program prosedur kesihatan ini termasuklah pembedahan yang akan dilaksanakan oleh doktor pakar tersohor di Asia Pasifik dalam bidang saluran gastro usus atas (“upper gastrointestinal”) dan bariatrik, Dr Mustafa Mohammed Taher dari Pusat Perubatan Gastro Usus dan Hati (“CENGILD”).

“Prosedur bariatrik bukan lagi dikategorikan sebagai pembedahan kosmetik, sebaliknya prosedur penjagaan kesihatan profesional yang menawarkan penyelesaian yang baik untuk obesiti.

“Dari situ, pesakit obesiti akan dibimbing dengan program kesihatan yang lengkap untuk memastikan mereka pulih dengan cepat dan boleh meneruskan pekerjaan masing-masing secara lebih produktif untuk menyara keluarga mereka,” katanya.

Pemilihan calon-calon untuk Kempen ‘Lose to Win’ Su.Re Sihat KL ini akan disaring daripada pencalonan yang dihantar oleh komuniti tempatan dalam kawasan Lembah Klang.

Pesakit obes dengan Index Jisim Tubuh 35 ke atas akan diberikan keutamaan selepas lulus ujian klinikal untuk memastikan mereka sesuai untuk menjalani pembedahan bariatrik.

Pesakit diabetes jenis 2, darah tinggi dan gangguan tidur (“sleep apnea”) juga boleh menjalani prosedur terbabit.

Ketika pelancaran Kempen ‘Lose to Win’ baru-baru ini, penyanyi terkenal Malaysia, Datuk Aishah dan Datin Alyah turut dijemput untuk berkongsi perjalanan mereka menjalani program pengurusan berat badan di bawah pemantauan Dr Mustafa untuk meningkatkan kesihatan dan gaya hidup mereka.

Sementara itu, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan, kira-kira 50 peratus orang dewasa di Malaysia adalah obes manakala 1 dalam 3 orang remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun juga mempunyai berat badan berlebihan berpunca daripada tabiat pemakanan dan gaya hidup.

Dalam satu laporan lain yang diterbitkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (“UNICEF”) pada tahun 2019 mendedahkan bahawa 12.7 peratus kanak-kanak berusia antara 5 hingga 19 tahun adalah obes bukti bahawa isu obesiti telah mencapai tahap membimbangkan di seluruh negara.

Kempen ‘Lose to Win’ ini akan menjadi salah satu tonggak utama di bawah Su.Re Sihat KL sebagai usaha mendukung inisiatif kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat di Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2019, Su.Re Sihat KL telah menganjurkan pelbagai acara mengumpul dana untuk menyokong agenda kesihatan lain termasuklah kanser dalam kalangan kanak-kanak dan mempromosikan aktiviti sukan dan riadah seperti Quidditch, gusti dan zumba untuk kanak-kanak.

Bakat tidak dihargai, Liza Hanim pernah terdetik berhenti menyanyi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi Liza Hanim, 44, mendedahkan dia pernah terdetik untuk berhenti menjadi penyanyi disebabkan terdapat segelintir pihak yang tidak percaya dengan bakatnya.

Namun begitu, dia memadam perasaan itu selepas memikirkan masih ada peminat yang sentiasa memberikan sokongan dan ingin melihatnya untuk terus menyanyi.

“Ada momen dalam kerjaya seni saya merasakan seperti sudah tiba masanya untuk berhenti menjadi penyanyi, tapi ada segelintir kumpulan peminat yang masih percaya dengan bakat seni saya dan mahukan saya untuk terus menyanyi.

“Pasukan saya itu termasuklah media yang masih percaya dengan saya dan itu yang membuatkan saya meneruskan kerjaya ini,” katanya.

Liza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas konsert akhir All Stars Gegar Vaganza (ASGV), yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Pelantun lagu Gelisah Mimpi itu berkata, perasaan sama berulang kembali ketika dia mengalami waktu yang agak sukar dalam program berkenaan.

“Sepanjang saya berada dalam program ini (ASGV) saya sedar kalau mereka minat seseorang artis itu, mereka akan sokong bermatian-matian dan kalau tidak suka mereka akan cakap mereka tak suka.

“Pun begitu, saya menerima semua ini dengan hati yang terbuka dan menganggap komen kurang senang itu tandanya mereka sayang pada saya.

“Beberapa minggu lalu ketika saya mengalami waktu yang agak mencabar dalam program ini, perasaan itu (berhenti menyanyi) datang semula, tetapi saya perlu perasaan itu untuk memberikan yang terbaik di final ASGV,” katanya.

Liza berkata, semua itu akan dikongsikan pada konsert sulung ‘Liza Hanim 27 Years Journey In Concert’ yang bakal berlangsung tahun depan.

“Saya ingin kongsi rasa susah senang dan jatuh bangun sebagai penyanyi pada konsert itu nanti.

“Penyanyi lain, mungkin 10 tahun sudah buat konsert, sedangkan saya tiada peluang itu jadi saya akan kongsikan semuanya pada malam konsert itu nanti.

“Kadang-kadang saya terfikir adakah saya layak atau tidak mengadakan konsert kerana sokongan bercampur baur, ada yang sokong ada juga yang tidak,” katanya lagi.

Terdahulu, ASGV menobatkan Jaclyn Victor sebagai juara yang membawa pulang RM200,000.

Manakala Liza mendapat tempat keempat dengan jumlah markah 72.34 peratus.

Finalis lain yang terbabit ialah Hady Mirza, Nikki Palikat, Naqiu, Azharina, Tomok dan Siti Nordiana. 

Konsert ‘Cari Jodoh’ dan ‘Dawai’ temui peminat di Penang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan di luar jangkaan dan memberangsangkan konsert ‘Jujur Takkan Melupakanmu, Live In Concert Radja (Special Appearance Ella)’ pada November lalu yang berjaya menarik lebih dari 5,000 penonton, penganjur Orange International kembali dengan hiburan seterusnya khusus buat orang Pulau Pinang, ‘Konsert Wali “Cari Jodoh” & “Dawai” In Penang’.

Bertempat di Spice Arena, Pulau Pinang, konsert yang akan berlangsung pada 3 Februari depan turut menampilkan penyanyi Fadhilah Intan, Saixse dan juga Khai Bahar.

 CEO & Pengasas Orange International Dato’ Mohd Fadzli Idrus berkata, selepas beberapa siri konsert yang diadakan, Orange International (OI) terus berkembang dan berhasrat untuk memajukan industri hiburan tanah air, ekonomi serta aktiviti pelancongan dalam negara.

“Selepas kejayaan konsert Radja dan Ella tempoh hari, OI sekali lagi membawakan hiburan dari seberang iaitu kumpulan pop popular Indonesia, Wali Band buat peminat yang berada di sebelah utara khususnya Pulau Pinang.

“Selain Wali Band, turut ditampilkan, penyanyi Indonesia yang sedang meningkat naik, Fadhilah Intan yang viral dengan lagu ‘Dawai’, dan ini adalah kemunculan pertamanya di Malaysia, selain artis-artis terkenal tanah air seperti Saixse dan juga Khai Bahar,” katanya.

Sementara itu, Fadzli berkata, pihaknya menggalakan penonton yang hadir untuk mengenakan pakaian berwarna hijau pada malam konsert sebagai tanda sokongan terhadap program Eco-Schools. 

Konsert yang dijangkakan akan berlangsung selama 2 jam lebih ini bakal diserikan dengan persembahan di antara 13 sehingga 15 buah lagu kesemuanya bergantung permintaan penonton dengan mengangkat tema ‘hijau’ bersempena program ‘Eco-Schools’ yang diwar-warkan oleh kerajaan.

“Saya berharap agar peminat muzik akan terus menyokong kami dalam memberikan hiburan yang terbaik dan yang paling penting semua ‘enjoy’ dan ‘sing-along’ pada malam konsert nanti selama 2 jam tanpa henti kerana seleksi lagu dari pelbagai genre yang bakal dibawakan,” katanya.

Wali Band yang dianggotai oleh Faank (vokalis), Apoy (gitaris), Tomi (pemain dram) dan juga Ovie (pemain keyboard) mula ditubuhkan pada 1999 adalah salah satu kumpulan pop Indonesia popular dalam menyampaikan lagu-lagu bergenre alternatif, rock, religi, balada dengan sentuhan etnik Melayu yang sering menghasilkan hit-hit seperti Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Doaku Untukmu Sayang dan Ada Gajah Di Balik Batu.

Tiket-tiket ‘Konsert Wali “Cari Jodoh” & “Dawai” In Penang’ boleh didapati di ticket2u.com.my/walipenang atau talian hotline +6011-1133 7638. 

Juara All Stars Gegar Vaganza, Jaclyn Victor bawa pulang RM200,000

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Memberikan persembahan yang penuh bertenaga, juara All Stars Gegar Vaganza (ASGV) menjadi milik penyanyi Jaclyn Victor sekali gus membawa pulang hadiah utama wang tunai RM200,000.

Berlangsung penuh berprestij di Axiata Arena, Bukit Jalil, penyanyi berusia 45 tahun itu turut membawa pulang hadiah iringan berupa pakej percutian ke Switzerland, pakej penginapan di Royale Chulan Hotel London, baucar dekorasi ruangan dan trofi.

Pemilik nama penuh Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu turut menerima hadiah Bintang Paling Power Meow berupa wang tunai RM3,000 dan produk Adabi bernilai RM500.

Jac tampil dengan persembahan hebat menerusi lagu When You Believe nyanyian asal Whitney Houston dan Mariah Carey, manakala duet bersama Datuk Jamal Abdillah (Sandarkan Pada Kenangan) dan di pusingan battle menyanyikan lagu Let’s Kill This Love (bersama Siti Nordiana, Liza Hanim serta Tomok).

Tujuh lagi finalis lain iaitu Hady Mirza, Liza Hanim, Siti Nordiana, Nikki Palikat, Azharina, Tomok dan Naqiu menerima wang tunai RM10,000, pakej percutian dan trofi.

Selain itu, Naqiu turut menerima hadiah tambahan iaitu Anugerah Pilihan Bos Susu dan membawa pulang wang tunai RM10,000 serta Bintang Cuckoo Paling Gempak pada awal program.

Manakala Siti Nordiana menjadi pilihan peminat untuk menerima Anugerah Gegaran Generasi Juara Digi.

Lapan finalis  diadili juri tetap Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi popular Indonesia, Hetty Koes Endang serta juri jemputan Ratu Rock Ella.

ASGV dikendalikan oleh dua pengacara popular, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Sementara itu Hael Husaini, Amir Ahnaf, Anna Jobling, Aina Abdul, Cakra Khan, Ifan Seventeen, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Zainal Abidin, antara yang hadir memeriahkan lagi pentas akhir itu.

Berlangsung selama tiga jam setengah, pentas akhir ASGV menutup tirainya di Axiata Arena, Bukit Jalil selepas berlangsung di Auditorium MBSA selama 11 minggu. 

354 graduan pertama YEG Academy, Kolej Antarabangsa Inovatif berjaya tamat pengajian

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Seramai 354 graduan sulung berjaya menamatkan pengajian menerusi Diploma Pengurusan Haji dan Umrah (DHUMY) di bawah Your Education Guidance (YEG) Academy yang menjalinkan kerjasama dengan Kolej Antarabangsa Inovatif.

Ketua Pegawai Operasi YEG, Mohamad Fikri Hasbi berkata, sejak kursus DHUMY diperkenalkan pada Mei 2020, ia semakin mendapat permintaan tinggi kerana kursus itu telah diinovasi agar lebih relevan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, DHUMY bukan sekadar melahirkan golongan mutawif semata-mata sebaliknya menawarkan kerjaya dalam bidang pengurusan haji dan umrah dalam skop yang lebih luas.

“Industri haji dan umrah semakin berkembang dan memerlukan lebih ramai tenaga industri mahir untuk membantu jemaah yang dijangka meningkat setiap tahun.

“Lebih menarik lagi usaha ini juga mendapat sokongan oleh pakar-pakar industri antaranya syarikat-syarikat pelancongan Islamik terkenal yang menawarkan latihan praktikal.

“Oleh itu, DHUMY mewajibkan pelajar semester akhir menjalani latihan praktikal di Mekah dan Madinah sekaligus menjanjikan jaminan kerja sebaik tamat belajar,” katanya pada Majlis Pra Graduan 2023, baru-baru ini.

Mohamad Fikri berkata, tahun depan, kedua-dua pihak akan mengorak langkah dengan memperkenalkan sistem pembelajaran berasaskan kerja (WBL).

Katanya, ia adalah inovasi terkini dalam modul pendidikan tinggi yang dibenarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memenuhi permintaan anak muda hari ini.

Menurutnya, mengikut kajian pada akhir tahun 2022 di dapati sebanyak 72 peratus pelajar lepasan SPM tidak berminat untuk sambung belajar kerana kebanyakan mereka tertarik untuk terus bekerja.

“Program diploma yang diinovasi kepada WBL adalah menekankan ilmu praktikal bersama tenaga kerja industri yang berpengalaman dan pakar.

“Mengikut sistem, peserta perlu menyelesaikan program diploma yang dipilih termasuk DHMU di mana selama 12 bulan pembelajaran di dalam kelas secara teori dan 18 bulan latihan industri secara praktikal di lapangan.

“Lebih menarik lagi tentang sistem ini, pelajar yang menjalani praktikal akan dibayar gaji penuh dan diberikan penginapan serta makanan percuma sepanjang sesi bekerja,” katanya.

Sementara itu, dua alumni yang berjaya menghabiskan pengajian di peringkat Diploma Pengurusan Haji dan Umrah, Azmir Ismail dan Ismail Sharuddin mengakui keberkesanan menyertai pengajian ini.

Azmir, 45, berkata, dia yang kini bekerja sambilan sebagai Mutawif melihat program YEG memberi lebih banyak pendedahan tidak sekadar menjadi mutawif.

“Di sini saya belajar pelbagai perkara seperti pengurusan iaitu menguruskan jemaah, pimpin jemaah, menguruskan tiket penerbangan, penginapan dan pengangkutan, semua ini ada dalam subjek yang kami pelajari,” katanya.

Bagi Ismail, 21, pula, minat asal mahu menjadi pereka beralih kepada pengurusan haji dan umrah selepas melihat silibus yang ditampilkan sangat menarik dan lebih mendalam.

“Ramai berfikir jika menyertai program haji dan umrah kita difokuskan kepada mutawif sahaja. Di sini berbeza, kita akan didedahkan kepada pelbagai perkara.

“Ini memberi lebih peluang dan ruang kepada mereka yang berminat menyertai agensi pengurusan haji dan umrah kerana semua tersedia di sini,” katanya yang kini bekerja sebagai pengendali haramain di Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd.

Penyanyi Iman Troye, MK K-Clique beri nasihat pelajaran amat penting

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Duta dan ikon pusat peningkatan akademik dan pakar untuk membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) PTTI iaitu penyanyi Iman Troye dan MK K-Clique menekankan soal kepentingan pelajaran.

Iman atau nama sebenar Siti Nur Alyssa Sahabudin, 21, berkata, pembabitannya sebagai duta PTTI bukan satu tugas yang mudah.

“Menjadi duta berat, sebab bila ke siri jelajah bukan hanya membawa nama saya untuk buat persembahan, tapi saya akan ditanya beberapa soalan oleh pelajar di sana.

“Saya juga akan meluangkan masa dengan mereka, saya akan tengok cikgu mengajar, teknik digunakan.

“Dari situ saya akan tanya semula dan buat kuiz kepada pelajar. Saya akan bagi hadiah yang disediakan sendiri,” katanya.

Iman berkata, PTTI sudah banyak membantu pelajar yang bakal menduduki SPM.

“Saya sudah kenal PTTI sejak habis SPM. Cuma, agak kecewa sebab zaman saya belum ada lagi, jadi saya tak dapat alternatif seperti ini.

“Oleh itu, Saya tak nak adik-adik yang ambil SPM terlepas peluang yang disediakan PTTI. Kita boleh nampak usaha mereka dengan pelbagai program yang diatur.

“Saya akui peningkatan mencanak naik. Masa saya mula-mula terbabit dengan mereka, PTTI belum buat siri jelajah lagi dan masih dalam talian.

“PTTI juga pergi ke lebih 200 sekolah, tapi saya tak dapat turut serta. Kali ini saya dapat terbabit dalam pecutan akhir SPM di NTV7,” katanya.

Bagi MK, atau pemilik nama Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, pula berkata, segala usaha yang dibuat PTTI bersama guru yang bertugas semakin membuahkan hasil.

“Awalnya saya fikir sebagai duta saja, tapi sekarang segala usaha yang dibuat oleh PTTI dan cikgu-cikgu menunjukkan hasil apabila berlaku peningkatan dari segi keputusan SPM. Inisiatif untuk perlajar juga terlalu banyak.

“Pelajaran penting. Macam saya, habiskan pelajaran dulu baru ke dunia nyanyian. Saya tamat pengajian di UiTM baru fokus dengan muzik. Keluarga ada harapan untuk kita.

“Nasihat saya untuk semua adik-adik, belajar sangat penting. Kalau dapat ulang masa, saya akan belajar sepenuhnya untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya yang mendapat keputusan 5A 3B dalam SPM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, PTTI adalah platform pendidikan dalam talian di Malaysia dengan formula serta teknik menjawab peperiksaan yang terbukti berjaya membantu pelajar meningkatkan gred peperiksaan menerusi pembelajaran mudah dan ringkas.

“Inisiatif ini bukan saja meningkatkan akses pendidikan berkualiti tetapi juga membantu pelajar khususnya calon SPM mencapai kecemerlangan akademik mereka.

“Menerusi kolaborasi kali pertama dengan MPB yang mana ntv7 sebagai platform disediakan, saya percaya dapat membantu lebih ramai pelajar dan menaikkan lagi jumlah pelajar memperoleh keputusan semua A di Malaysia pada SPM ini,” katanya.

PTTI Pecutan Akhir SPM 2023 dikendalikan barisan 13 tenaga pengajar berpengalaman yang membantu teknik menjawab soalan-soalan SPM untuk mata pelajaran teras dan aliran Sains iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia.

Setakat ini, PTTI sudah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya mencatat jumlah pelajar memperoleh semua A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 lalu menerusi kategori ‘Most Straight A’s SPM Students In A Tuition.

Program PTTI Pecutan Akhir SPM 2023 di ntv7 juga boleh diikuti secara langsung menerusi tonton Live TV dan XTRA Live TV, myfreeview (saluran 107), Astro (saluran 147), unifi (saluran 107), dan secara maya menerusi platform digital YouTube @ntv7MALAYSIAOfficial.

Selain itu, PTTI turut mengadakan program Selekoh Akhir SPM yang dijalankan secara dalam talian. Untuk maklumat lanjut layari www.ptti.com.my. 

Universal Music Group umum kerjasama strategik dengan Raja Mandopop, Jay Chou

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Universal Music Greater China (UMGC), salah satu cawangan Universal Music Group (UMG), peneraju global dalam hiburan berasaskan muzik, mengumumkan kerjasama strategik baharu dengan Jay Chou, “Raja Mandopop” yang terkenal di peringkat antarabangsa berserta syarikat rakamannya JVR Music.

Perjanjian penting ini menjamin hak pemasaran dan pengedaran global untuk katalog muzik Jay Chou yang luas serta projek masa hadapan, selain menyokong bakat di bawah label JVR yang semakin meningkat, termasuk Patrick Brasca dan Young (Cao Yang).

Penyertaan penyandang Jualan Album Global IFPI 2022, Jay Chou, ke dalam senarai artis UMG menzahirkan komitmen syarikat untuk memartabatkan muzik Mandopop di pentas antarabangsa.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Greater China (UMGC) Timothy Xu berkata, dengan rasa bangga dan teruja mereka mengalu-alukan Jay Chou, ikon zaman kini, ke dalam keluarga Universal Music.

“Kerjasama ini bukan sahaja satu pencapaian penting bagi kami malah ia juga meraikan bakat seni dan daya tarikan global Jay yang luar biasa.

“Kami amat berbesar hati kerana diamanahkan dengan warisan muziknya dan tidak sabar untuk menonjolkan bakat beliau yang luar biasa ke seantero dunia,” katanya.

Jay Chou, yang diberi gelaran sebagai “Raja Mandopop”, adalah tokoh fenomenal di persada muzik Mandarin sejak penampilan pertamanya pada tahun 2000 dengan “JAY.”

Kerjayanya yang cemerlang merangkumi 15 album studio, setiap satu menyumbang kepada legasinya.

Karya Jay Chou pada tahun 2022, ‘Greatest Works of Art’, menandakan detik bersejarah apabila menjadikan beliau bukan sahaja artis Mandarin pertama yang berjaya menembusi senarai 10 teratas Carta Artis Global IFPI, malah artis Mandarin pertama yang berjaya mengungguli Carta Jualan Album Global.

Diasaskan pada tahun 2007 oleh Jay Chou, Vincent Fang, dan JR Yang, JVR Music adalah sebuah label dan agensi pengurusan artis yang berjaya dan amat disegani.

Ketua Pegawai Eksekutif JVR Music JR Yang berkata, penjajaran bersama UMG dalam kerjasama strategik ini, menandakan lembaran baharu untuk Jay dan JVR ke arah visi mereka untuk memartabatkan muzik pop Mandarin di peringkat dunia.

“Dengan memanfaatkan rangkaian global UMG yang luas membolehkan kami memperkasakan impak artistik Jay dan kepelbagaian senarai artis kami pada skala global.

“Kami teruja untuk memanfaatkan pakatan ini bagi melangkaui sempadan budaya serta mengukuhkan kehadiran antarabangsa warisan muzik kami yang unik,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Pembangunan Pasaran Universal Music Group Adam Granite berkata, mereka mengalu-alukan Jay Chou dan JVR ke dalam Universal Music Group dan ini adalah kejayaan strategik dan kemenangan dari sudut budaya.

“Kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk memupuk bakat yang pelbagai dan memperkenalkan mereka kepada peminat dan pendengar muzik di seluruh dunia.

“Bakat seni Jay yang luar biasa dan kehebatan kreatif JVR sejajar dengan misi kami untuk memperkayakan landskap muzik global,” katanya.

Selain kerjayanya sebagai artis persembahan, Jay Chou juga disanjungi sebagai penulis lagu. Beliau telah menggubah dan menghasilkan semua lagunya, kebanyakannya dengan kerjasama penulis lirik tersohor Vincent Fang.

Sejak 2013, Universal Music Publishing Group (UMPG), anak syarikat penerbitan terkemuka di bawah Universal Music Group, telah menjadi penerbit global untuk Jay Chou dan JVR, serta menguruskan keseluruhan katalog lagu mereka.

Perjanjian strategik global yang diperluaskan bersama UMGC menandakan era baharu peranan UMG sebagai rakan kongsi global holistik untuk Jay Chou dan JVR.

Media Prima Berhad, PTTI lancar misi bantu calon SPM menerusi ‘PTTI Pecutan Akhir SPM’

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 (SPM 2023), Media Prima Berhad menerusi saluran ntv7 berkolaborasi dengan PTTI dalam usaha membantu calon-calon SPM 2023 membuat persediaan akhir.

‘PTTI Pecutan Akhir SPM’ akan bersiaran secara langsung sebanyak 16 episod di ntv7 bermula hari ini 9 Disember setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 10 pagi hingga 11 pagi.

 Ketua Pegawai Eksekutif PTTI Siti Farhana Abu Osman berkata, PTTI adalah platform pendidikan dalam talian di Malaysia dengan formula dan teknik menjawab peperiksaan yang terbukti berjaya membantu pelajar meningkatkan gred peperiksaan menerusi pembelajaran mudah dan ringkas.

“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan akses pendidikan berkualiti tetapi juga membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik.

“Menerusi kolaborasi dengan Media Prima Berhad dimana ntv7 sebagai platform, saya percaya dapat membantu lebih ramai pelajar dan menaikkan lagi jumlah pelajar memperoleh

semua A dalam SPM 2023 ini,” katanya pada majlis pelancaran program berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd. Efendi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Seelan Paul; serta duta dan ikon PTTI iaitu Iman Troye dan MK K-Clique.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ntv7 Seelan Paul berkata, mereka amat mengalu-alukan kolaborasi sebegini untuk mempelbagaikan lagi program pendidikan dan kandungan didik hibur di ntv7.

“Kami berharap penonton ntv7 terutamanya calon-calon peperiksaan SPM 2023 akan mendapat manfaat besar daripada program ‘PTTI Pecutan Akhir SPM 2023’ yang memperkenalkan cara pembelajaran mudah, ringkas dan menyeronokkan,” katanya.

Ikuti pembelajaran dan teknik menjawab soalan-soalan peperiksaan SPM untuk mata pelajaran teras dan aliran Sains iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia daripada barisan tenaga pengajar PTTI yang berpengalaman.

‘PTTI Pecutan Akhir SPM’ 2023 dikendalikan oleh tenaga pengajar PTTI yang berpengalaman iaitu Muhammad Faizul Abd Hamid (Dr Faizul), Siti Farhana Abu Osman (Miss Fana), Race Monsopiad Moujing Jr (Sir Race), Amirul Asyraf Mustafakamal Shah (Sir Berg), Khairul Kamaruddin (Mr. K), Asrin Haikal Amir Hamzah (Sir Asrin), Hafiy Hanani Sarju (Miss Hanani), Muhammad Dzulfahmi Salehuddin (Sir Fahmi), Mohd Rashdan Fauzan (Sir Rashdan), Muhammad Rozi Zulamran (Sir Rozi), Khairul Hamidi Khairul Anuar (Sir Midi), Umi Nazira Mohd Yunan (Miss Umi), dan Nur Lahaniz Daud (Miss Neez).

Mereka akan mengajar teknik-teknik menjawab berdasarkan analisis soalan percubaan SPM dari setiap negeri di Malaysia.

Di studio, tenaga pengajar PTTI juga akan berinteraksi secara langsung dengan pelajar-pelajar yang dijemput hadir ke studio untuk membantu mereka untuk memahami, menguasai dan cara untuk skor peperiksaan SPM.

Pelajar-pelajar yang dijemput ini secara tidak langsung dapat merasai pengalaman pembelajaran yang dikeudarakan secara langsung menerusi platform televisyen.

PTTI turut mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya mencatat jumlah pelajar memperoleh semua A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 (‘Most Straight A’s SPM Students In A Tuition).

Diharap dengan adanya kolaborasi ‘PTTI Pecutan Akhir SPM’ 2023 dapat memberi manfaat kepada pelajar SPM dan sekaligus mendapat keputusan yang cemerlang.

Layari www.ptti.my untuk maklumat lanjut mengenai program pendidikan PTTI. 

‘The Masked Singer Malaysia’ kembali, tampil tema Flora, Fauna & Makanan dan gandingan pasangan duo

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program pertandingan nyanyian penuh misteri yang berjaya mencetuskan fenomena untuk tiga musim berturut-turut kini kembali dengan menampilkan kepelbagaian kostum dan daya tarikan yang menakjubkan.

 ‘The Masked Singer Malaysia’ musim keempat akan bersiaran secara langsung buat pertama kalinya, pada setiap hari Ahad, mulai 17 Disember, jam 9.00 malam di Astro Warna (Saluran 107 HD), dan juga boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand dan aplikasi Astro GO.

Tampil lebih gah dan bergaya, ‘The Masked Singer Malaysia’ musim keempat bakal membuka tirainya semula dengan kehadiran 15 orang barisan selebriti terkemuka negara daripada nama-nama hebat dari pelbagai cabang seni seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet sukan, pempengaruh media sosial dan ramai lagi. 

Dengan mengekalkan format asal program realiti terkemuka ‘The King of Mask Singer’ daripada Korea Selatan, bakat-bakat ini akan bertanding dan memaparkan kehebatan nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri selebriti.

Hanya suara sahaja yang akan dipertaruhkan pada masa yang sama membuatkan panel juri meneka dan berdebat siapa dalang di sebalik topeng untuk dinobatkan sebagai juara. 

Pengurus Saluran Astro Warna, Idlan Zaharie berkata, sebagai saluran komedi utama pilihan rakyat Malaysia, Astro Warna sentiasa peka dengan kehendak penonton dan berusaha menyajikan kandungan terkini, sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

“Kami menyambut baik sokongan peminat dan penontan yang mahukan perkembangan landskap industri hiburan dengan membawa kembali rancangan ‘The Masked Singer Malaysia’ di musim keempat yang akan bersiaran secara langsung dengan menggabungkan muzik dan komedi sebagai salah satu cabang seni yang bergerak secara beriringan; sekaligus mentakrifkan semula genre lawak. 

“Menerusi kejayaan pada musim-musim lalu, Astro terus ke hadapan dengan menaiktaraf kostum-kostum untuk diperlihatkan kepada peminat dengan menyelitkan elemen yang dekat dengan masyarakat Malaysia termasuk flora, fauna dan kepelbagaian makanan tempatan, hasil rekaan Akma Suriati Awang serta mendapat sentuhan istimewa daripada pereka terkenal tempatan Syomirizwa Gupta,” katanya.

Selain itu, penjurian di musim keempat turut mengambil kira undian daripada Juri Tetap sebanyak 80 peratus dan undian daripada penonton sebanyak 20 peratus untuk setiap minggu.

“Astro berharap musim keempat ini dapat mengekalkan tradisi seperti sebelumnya apabila rancangan ‘The Masked Singer Malaysia’ berjaya mengungguli hati rakyat Malaysia dengan nilai produksi yang hebat serta suara-suara mantap di sebalik topeng.

“Siapakah dalang di sebalik 15 topeng yang ada? Kita tunggu dan lihat,” katanya.

Seramai 15 orang selebriti dan personaliti tempatan dengan gabungan duo akan memperagakan 14 kostum unik pada musim ini yang merangkumi Musang, Sang Kancil, Putera Katak, Mat Helang, Abang Jagung, Roti John, Bawang Putih, Kak Cat, Ikan Emas, Teratai, Bunga Matahari, Pom Pom Kin, Biskut Aiskrim dan buat julung kalinya, kami memperkenalkan pasangan duo Cili Padi di pentas ‘The Masked Singer Malaysia’.

‘The Masked Singer Malaysia’ musim keempat ini bakal menyaksikan pembabitan seramai sembilan orang personaliti daripada pelbagai cabang industri hiburan untuk menduduki kerusi Juri Tetap termasuk Datuk Aznil Nawawi, Erra Fazira, Elly Mazlein, Nabila Huda, Rozita Che Wan, Sherry Alhadad, Zizan Razak, Michael Ang dan Angah (SINAR).

Manakala pengacara tersohor, Datuk AC Mizal menggalas tugas sebagai hos sekali lagi. 

Buat pertama kalinya, rancangan ‘The Masked Singer Malaysia’ bakal bersiaran secara langsung dengan durasi selama dua jam sehingga tiga jam bagi setiap episod, dan ini adalah satu lagi cabaran besar buat barisan peserta musim ini sekaligus menjadi cabaran baharu buat produksi.

Malaysia adalah negara ke-2 yang berani menyahut cabaran untuk bersiaran secara langsung. Walaubagaimanapun, pihak produksi telahpun meneliti setiap aspek keselamatan peserta sebagai langkah berjaga-jaga. 

Bakal berlangsung selama 10 minggu dan dijalankan di CIBD Convention Center Kuala Lumpur, pelanggan Astro boleh menyaksikan musim baharu ‘The Masked Singer Malaysia’ pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Warna (Saluran 107 HD) dan juga boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO.