29.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

354 graduan pertama YEG Academy, Kolej Antarabangsa Inovatif berjaya tamat pengajian

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Seramai 354 graduan sulung berjaya menamatkan pengajian menerusi Diploma Pengurusan Haji dan Umrah (DHUMY) di bawah Your Education Guidance (YEG) Academy yang menjalinkan kerjasama dengan Kolej Antarabangsa Inovatif.

Ketua Pegawai Operasi YEG, Mohamad Fikri Hasbi berkata, sejak kursus DHUMY diperkenalkan pada Mei 2020, ia semakin mendapat permintaan tinggi kerana kursus itu telah diinovasi agar lebih relevan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, DHUMY bukan sekadar melahirkan golongan mutawif semata-mata sebaliknya menawarkan kerjaya dalam bidang pengurusan haji dan umrah dalam skop yang lebih luas.

“Industri haji dan umrah semakin berkembang dan memerlukan lebih ramai tenaga industri mahir untuk membantu jemaah yang dijangka meningkat setiap tahun.

“Lebih menarik lagi usaha ini juga mendapat sokongan oleh pakar-pakar industri antaranya syarikat-syarikat pelancongan Islamik terkenal yang menawarkan latihan praktikal.

“Oleh itu, DHUMY mewajibkan pelajar semester akhir menjalani latihan praktikal di Mekah dan Madinah sekaligus menjanjikan jaminan kerja sebaik tamat belajar,” katanya pada Majlis Pra Graduan 2023, baru-baru ini.

Mohamad Fikri berkata, tahun depan, kedua-dua pihak akan mengorak langkah dengan memperkenalkan sistem pembelajaran berasaskan kerja (WBL).

Katanya, ia adalah inovasi terkini dalam modul pendidikan tinggi yang dibenarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memenuhi permintaan anak muda hari ini.

Menurutnya, mengikut kajian pada akhir tahun 2022 di dapati sebanyak 72 peratus pelajar lepasan SPM tidak berminat untuk sambung belajar kerana kebanyakan mereka tertarik untuk terus bekerja.

“Program diploma yang diinovasi kepada WBL adalah menekankan ilmu praktikal bersama tenaga kerja industri yang berpengalaman dan pakar.

“Mengikut sistem, peserta perlu menyelesaikan program diploma yang dipilih termasuk DHMU di mana selama 12 bulan pembelajaran di dalam kelas secara teori dan 18 bulan latihan industri secara praktikal di lapangan.

“Lebih menarik lagi tentang sistem ini, pelajar yang menjalani praktikal akan dibayar gaji penuh dan diberikan penginapan serta makanan percuma sepanjang sesi bekerja,” katanya.

Sementara itu, dua alumni yang berjaya menghabiskan pengajian di peringkat Diploma Pengurusan Haji dan Umrah, Azmir Ismail dan Ismail Sharuddin mengakui keberkesanan menyertai pengajian ini.

Azmir, 45, berkata, dia yang kini bekerja sambilan sebagai Mutawif melihat program YEG memberi lebih banyak pendedahan tidak sekadar menjadi mutawif.

“Di sini saya belajar pelbagai perkara seperti pengurusan iaitu menguruskan jemaah, pimpin jemaah, menguruskan tiket penerbangan, penginapan dan pengangkutan, semua ini ada dalam subjek yang kami pelajari,” katanya.

Bagi Ismail, 21, pula, minat asal mahu menjadi pereka beralih kepada pengurusan haji dan umrah selepas melihat silibus yang ditampilkan sangat menarik dan lebih mendalam.

“Ramai berfikir jika menyertai program haji dan umrah kita difokuskan kepada mutawif sahaja. Di sini berbeza, kita akan didedahkan kepada pelbagai perkara.

“Ini memberi lebih peluang dan ruang kepada mereka yang berminat menyertai agensi pengurusan haji dan umrah kerana semua tersedia di sini,” katanya yang kini bekerja sebagai pengendali haramain di Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular