25.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 238

HONOR lancar dua telefon pintar baharu HONOR X8b dan HONOR X7b, 22 Disember ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Berikutan sambutan baik HONOR X9b 5G di Malaysia, HONOR bakal melancarkan dua telefon pintar baharu dalam Siri X iaitu HONOR X8b dan HONOR X7b pada 22 Disember ini.

Siri X sememangnya terkenal sebagai peranti berkualiti dan harga mesra poket dalam kalangan pengguna Malaysia.

Kedua-dua peranti ini adalah naik taraf daripada model HONOR X8a dan HONOR X7a terdahulu yang diperkenalkan pada awal tahun ini.

HONOR X8b – Storan Besar 512GB dan Kamera Swafoto Potret Spotlight 50MP

HONOR X8b didatangi dengan storan besar 16(8+8) GB + 512GB dan membolehkan menyimpan sebanyak 124,000 gambar. Storan luas tersebut setanding storan komputer riba, pengguna boleh mengakses fail di hujung jari. Pengguna boleh menyimpan gambar dan fail penting serta muat turun aplikasi permainan kegemaran tanpa bimbang storan tidak mencukupi.   

Beralih kepada kamera, HONOR X8b dilengkapi kamera hadapan Potret Spotlight 50MP dengan lampu sorot hadapan serta ciri Auto Switch Field of View (FOV). Oleh itu, HONOR X8b peranti terbaik untuk mengambil swafoto menawan di keadaan pencahayaan berbeza sambil merakam lebih banyak elemen dalam satu bingkai.

Kamera Utama Ultra Jelas 108MP bersama sensor ISOCELL HM6 canggih menghasilkan gambar jelas dan terang di keadaan cahaya rendah. Kamera tersebut termasuk mod Potret 2X dengan jarak fokus bersamaan 48mm bagi membolehkan pengguna menangkap gambar potret yang lebih terperinci dan terang.

Mengenai rekaan pula, HONOR X8b mempunyai badan yang sangat nipis iaitu hanya 6.78mm, manakala beratnya cuma 166g. Rekaan tersebut memudahkan pengguna memasukkan peranti ini ke dalam saku, beg kepit dan beg tangan. Menampilkan trend Retro, HONOR X8b ditawarkan dalam warna hijau Glamorous Green dan perak Titanium Silver.

HONOR X7b – Bateri Kapasiti Besar 6000mAh dan Ultra Tahan Lama dengan Storan Luas

Sementara itu, HONOR X7b dimuatkan Bateri Ultra Tahan Lama 6000mAh, sesuai bagi pengguna yang banyak menghabiskan masa bersama telefon pintar. Dengan sekali caj penuh sudah mencukupi untuk melayari media sosial, strim video dan bermain permainan mudah alih sepanjang hari.

Selain bateri yang bertahan lama, HONOR X7b turut didatangi dengan storan besar 16(8+8) GB + 256GB. Pengguna pasti berpuas hati dapat menyimpan lagu dan video HD dalam jumlah yang besar.

Untuk rekaan, HONOR X7b menampilkan Kuad Lengkung Backplane 3D, ketebalan 8.24mm dan berat hanya 199g membuatkan peranti ini selesa untuk digenggam. Rekaan tersebut memberi pengalaman visual yang menawan dengan kandungan dipanjangkan hingga ke sudut paparan.    

HONOR X7b didapati dalam dua warna menarik iaitu perak Flowing Silver dan hijau Emerald Green. Untuk maklumat lanjut mengenai HONOR X8b dan HONOR X7b, layari https://bit.ly/HONORX9bPR.  

‘Sifu Dan Aku’, Gandingan hebat sifu M Nasir dan anak muridnya Hattan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dua Legenda muzik nusantara, Datuk M Nasir dan Datuk Hattan, bakal berkongsi pentas sekali gus menggegarkan Sabah pada Konsert Sifu Dan Aku di Sabah International Convention Center (SICC) pada 3 Februari 2024.

Konsert ini adalah gabungan pertama yang menampilkan guru dan murid yang sudah berjaya dalam bidang seni suara selama lebih 38 tahun.

M Nasir, yang dikenali sebagai Sifu, adalah seorang penyanyi, pencipta lagu dan penerbit yang sudah menghasilkan banyak karya hingga menjadi ikonik dalam dunia muzik Nusantara. 

Hattan pula yang dikenali sebagai muridnya, adalah seorang penyanyi yang juga banyak merakamkan lagu-lagu yang menjadi kegemaran ramai hingga kini.

M Nasir berkata, Konsert Sifu Dan Aku ini adalah sebagai satu cabaran buatnya.

“Saya anggap persembahan ini satu cabaran memandangkan hubungan saya dan Hattan sudah lama. Bakatnya kian menyerlah selepas menyanyikan lagu-lagu saya dan kiranya menjadi anak buah saya dalam penerbitan dunia rakaman.

“Keunikan konsert ini terletak pada gandingan kami berdua pada satu pentas dengan persembahan yang berskala besar.

“Selepas sekian lama bekerjasama dengan Hattan, kali ini kami berada di satu pentas yang penonton akan melihat terbuktinya kombinasi kami. Saya pasti peminat di Sabah tidak sabar menantikan konsert ini,” katanya.

Sementara itu, Hattan berkata, konsert ini adalah penceritan daripada awal kariernya hingga ke konsert ini. 

“Daripada mula saya berguru dengan Nasir, belajar terbit lagu, menyanyi dan semua dari zaman dulu. Kiranya, konsert ini adalah klimaks pada perguruan saya bersama beliau. 

“Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu memori indah untuk karier seni saya kerana kita satu pentas bersama di dalam satu konsert yang ditujukan khas Sifu Dan Aku. Jadi, pada malam itu kami menyanyikan semua lagu hit.

“Memang ini bakal menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan. Rugi kalau orang tidak datang kerana penceritan itu saya dan M Nasir.

“Bagaimana saya mengenali beliau hingga saat ini. Malah, saya juga pernah menerbitkan satu album Palestin untuk Palestin yang diterbitkan olehnya,” katanya.

Kedua-dua seniman ini akan menyajikan persembahan yang menyentuh jiwa dan meruntun hati dengan lagu-lagu yang mempunyai sejarah dan makna tersendiri. 

Konsert Sifu Dan Aku adalah sebuah konsert yang unik dan istimewa kerana ia bukan sahaja menampilkan dua seniman yang berbakat tetapi juga menunjukkan hubungan yang erat dan harmonis antara seorang guru dan seorang murid yang saling menghormati dan menghargai.

Konsert ini juga adalah satu penghargaan kepada peminat di Sabah yang jarang mendapat peluang untuk menyaksikan persembahan dua legenda ini secara langsung. 

Konsert Sifu Dan Aku dianjurkan oleh Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group.

Borneo Excursions adalah agensi pelancongan rasmi untuk Konsert Sifu Dan Aku yang menawarkan tiket konsert, pakej pelancongan, pengangkutan dan hotel dengan harga yang menarik.

Tiket konsert boleh didapati di https://ilassotickets.com/event/konsert-sifu-aku/ pada harga RM988 (VIP- tempat duduk bernombor), RM488 (tempat duduk bebas), RM388 (tempat duduk bebas), RM288 (tempat duduk bebas) dan RM188 (tempat duduk bebas). 

RIM, MPA runding dengan Media Prima isu terma & syarat Muzik Muzik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) kedua-duanya kini berada dalam rundingan dengan Media Prima mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam ‘Muzik Muzik’, program carta lagu mingguan yang disiarkan di TV3.

Pengerusi RIM Rosmin Hashim berkata, banyak ahli mereka yang terdiri dari syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa tidak mencalonkan rakaman lagu artis-artis mereka dalam program Muzik Muzik tahun ini kerana tidak bersetuju dengan klausa tertentu dalam borang pencalonan lagu program berkenaan.

“Kami telah mengadakan sesi dialog bersama pihak pengurusan tertinggi Media Prima mengenai perkara ini pada awal Ogos tahun ini dan telah mengetengahkan klausa bermasalah dalam borang pencalonan itu buat perhatian mereka.

“Walaubagaimanapun, sehingga kini, kami masih belum mendapat penyelesaian yang memuaskan sepenuhnya berhubung perkara ini dan berharap kami dapat mencapainya dengan segera untuk klausa dan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MPA Ng Ay Na berkata, ramai ahli mereka dari kalangan syarikat penerbit juga tidak mencalonkan lagu-lagu baharu yang mereka tadbir bagi pihak penulis lagu masing-masing dalam program Muzik Muzik tahun ini.

“Pihak kami juga telah membangkitkan klausa yang berkaitan dalam borang pencalonan lagu Muzik Muzik yang menjadi isu buat ahli-ahli kami ke perhatian Media Prima.

“Kami berharap dapat mencapai kata sepakat dengan pihak Media Prima dalam isu ini agar ahli-ahli kami dapat meneruskan pencalonan lagu-lagu baharu mereka dalam program itu,” katanya.

Sebagai persatuan yang mewakili pemegang hak rakaman bunyi/video dan karya muzik masing-masing, RIM dan MPA mahu isu tertunggak berhubung borang pencalonan lagu Muzik Muzik diselesaikan segera dengan Media Prima demi kebaikan kedua-dua pihak. 

Berjaya tarik 8,000 pengunjung, Putrajaya Green Light Run 2023 unik

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Program Putrajaya Green Light Run 2023 mendapat sambutan meriah apabila lebih 8,000 pengunjung menyemarakkan acara yang berlangsung di Anjung Floria Putrajaya, Sabtu lalu.

Menampilkan larian sebagai kemuncak acara pada sebelah malam, perlumbaan yang diinspirasikan dari larian di Tokyo, Jepun anjuran Tune Advertising Sdn Bhd itu menjadi tarikan ramai.

Ini berikutan keunikannya apabila pelari perlu mengatasi masa lampu isyarat bertukar warna hijau dan melepasinya sebelum merah sekaligus meneruskan perlumbaan mereka hingga ke penamat.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Advertising Sdn Bhd, Muhammad Hafiz Rozlan berkata keunikan larian berkonsep seumpama itu yang pertama di negara ini memerlukan peserta berlawan dengan kepantasan lampu isyarat sekali gus membezakan perlumbaan ini dengan pertandingan lain.

“Inilah keistimewaan Putrajaya Green Light Run yang bukan sahaja memerlukan peserta bersaing dengan pelari lain, bahkan menguji kekuatan tenaga serta mental semua pelumba mengatasi kepantasan masa lampu isyarat.

“Sekiranya gagal melepasi waktu selepas lampu isyarat bertukar merah, pelari perlu berhenti untuk menunggu warna lampu berubah hijau semula.

“Melihat demografi jalan utama di pusat pentadbiran negara ini yang unik dengan adanya beberapa lampu isyarat di sepanjang laluan perlumbaan, kami yakin cabaran 7 kilometer itu juga membuatkan peserta teruja untuk ke garisan penamat,” katanya selepas pelepasan peserta.

Majlis pelancaran serta melepaskan perlumbaan di garisan permulaan disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan berkata keindahan serta kelebihan yang ditawarkan Putrajaya yang juga pusat pentadbiran negara itu menjadi bonus buat penganjur serta peserta program memanfaatkan segala kemudahan sekaligus menikmati keindahan lokasi tarikan ramai.

“Kita boleh nampak potensi Putrajaya dalam pembangunan sukan riadah atau aktiviti seumpamanya melihatkan keadaan lokasi ini yang boleh dijadikan hub bagi program seumpamanya.

“Jangan sia-siakan kemudahan sedia ada yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti dan acara terutama membabitkan gaya hidup sihat.

“Seperti penganjuran larian Putrajaya Green Light Run ini, perlumbaan mengejar lampu isyarat sesuatu yang unik sekaligus mempunyai tarikan tersendiri.

Diharapkan program ini diteruskan pada tahun hadapan,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran.

Terdahulu, cabaran larian bermula pada jam 8.30 malam dan memerlukan pelari mempunyai stamina, strategi dan memberikan fokus dalam melepasi semua lampu isyarat di sepanjang laluan.

Pada masa sama, Putrajaya Green Light Run 2023 yang turut berkonsepkan sebuah karnival bermula pada sebelah siang itu juga sarat aktiviti untuk semua lapisan usia.

Antaranya sesi karoeke terbuka, permainan pentas, lukisan wajah kanak-kanak, Bazar Makanan, zumba bersama penyanyi Nas Adilla, Belon Udara Panas, serta Konsert Mini membariskan artis popular tanah air.

“Selain acara larian, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan konsert terbuka yang dihoskan Fara Fauzana dengan barisan penyanyi terdiri daripada Ernie Zakri, Afieq Syazwan Amir Masdi dan ramai lagi.

“Sambil menikmati pilihan seleksi lagu hits secara ‘live’ dan merasai suasana di Putrajaya, pengunjung seisi keluarga boleh menyertai pesta jualan selain mengikuti pelbagai aktiviti menarik termasuk belon udara panas.

“Ini juga antara tujuan untuk masyarakat sekitar mengamalkan gaya hidup sihat sambil beriadah bersama sahabat dan keluarga serta mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi riadah pada waktu malam,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan, Tune Advertising Sdn Bhd turut menawarkan hadiah berupa voucher Decathlon, Skuter Elektrik, Smart TV 55 inci serta Motosikal Modenas untuk cabutan bertuah kepada peserta.

Acara ini ditaja VFive Group, Gloria Jeans, 1901 Hotdog dan Decathlon yang juga penganjuran bersama Kelab Kita Kasih Malaysia dan Persatuan Sukan Rekreasi Putrajaya dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Tourism Malaysia. 

PH langgar prinsip bila Anwar kekal Menteri Kewangan

editormaxinfo@gmail.com

PASIR MAS – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan Pakatan Harapan (PH) melanggar janji yang dibuat menerusi manifesto sebelum ini apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Menteri Kewangan walaupun rombakan Kabinet diumumkan hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu menunjukkan Perdana Menteri tidak mempunyai kepercayaan kepada menteri-menteri yang lain untuk melaksanakan tugas sebagai Menteri Kewangan.

“Sejujurnya saya mengharapkan tugas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipecahkan.

“Ia adalah perkara paling utama yang mahu dilihat oleh rakyat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penyerahan Projek Pelaksanaan Segera Menangani Runtuhan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan Kementerian Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri.

Mengulas mengenai saiz Kabinet, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, beliau berharap ia mampu memenuhi keperluan semasa rakyat.

“Jika dulu Kabinet kecil jimatkan duit rakyat, sekarang jika ia besar apa lagi alasan kerajaan.

“Saya mengharapkan Kabinet ini lebih bersikap proaktif dan juga praktikal,” katanya.

Kemenangan dipertikai, Jaclyn Victor minta semua bertenang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kemenangan penyanyi Jaclyn Victor menerusi program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) pada malam Ahad lalu menimbulkan pertikaian ramai netizen melalui media sosial.

Rata-rata mempunyai pilihan juara mereka sendiri dan merasakan ada penyanyi yang lebih layak untuk menjadi pemenang utama dalam pertandingan itu.

Sedikit pun tidak melatah, Jaclyn, 45, berkata, bukan dia yang memberi markah, sebaliknya persembahan peserta dinilai oleh juri profesional yang terdiri daripada Maestro Muzik, Datuk Ramli MS selaku Ketua Juri bersama, Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Ella.

“Harap peminat semua boleh bertenang, bukan saya yang berikan markah. Sejujurnya, ketika saya berdiri di pentas, saya hanya berserah.

“Saya langsung tidak memikirkan tentang kejuaraan kerana saya tidak mahu letak tekanan pada diri saya.

“Ini kerana jika saya tertekan, orang boleh nampak daripada reaksi wajah saya.

“Saya hanya ingin melakukan yang terbaik dan siapa sahaja yang menang saya tumpang gembira dengan mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang media program All Stars Gegar Vaganza malam Ahad lalu.

Pada malam itu, Jaclyn tampil dengan persembahan hebat menerusi lagu When You Believe nyanyian asal Whitney Houston dan Mariah Carey, manakala duet bersama Datuk Jamal Abdillah (Sandarkan Pada Kenangan) dan di pusingan battle menyanyikan lagu Let’s Kill This Love (bersama Siti Nordiana, Liza Hanim serta Tomok).

Tujuh lagi finalis lain iaitu Hady Mirza, Liza Hanim, Siti Nordiana, Nikki Palikat, Azharina, Tomok dan Naqiu menerima wang tunai RM10,000, pakej percutian dan trofi.

Berkongsi mengenai wang kemenangan yang diterima, Jaclyn berkata, wang itu akan disimpan ke dalam akaun bank dua anaknya iaitu Jonah Joshiah Rivera, 8, dan Molly Marguerite Rivera, 6 tahun.

Jaclyn berkata, setiap kali keluar bekerja, dia sering mengingatkan anak-anak bahawa apa yang dilakukannya itu adalah untuk mereka berdua.

“Saya tidak tahu berapa lama lagi boleh bersama mereka, oleh itu saya sentiasa simpan wang untuk kegunaan mereka pada masa depan.

“Seperti tahun lalu, saya tidak sentuh langsung wang kemenangan RM100,000 yang diterima dan saya masukkan ke akaun bank mereka. Kali ini saya juga akan lakukan hal yang sama,” katanya lagi.

Sibuk berswafoto, beberapa pelancong jatuh gondola

editormaxinfo@gmail.com

ROM – Gara-gara sibuk mahu berswafoto, beberapa pelancong Asia terjatuh ke dalam air di Venice selepas gondola yang dinaiki mereka terbalik di Sungai Rio de la Verona.

Menurut laporan portal USA Today, ketika menghampiri jambatan rendah, pengendali gondola memberitahu penumpang supaya kekal duduk bagi merendahkan pusat graviti.

Walaupun pengendali itu sudah menjerit kepada mereka namun kumpulan pelancong itu tidak menghiraukan amaran malah mereka terus bergerak untuk berswafoto dan menangkap gambar.

Ia menyebabkan gondola itu menjadi tidak seimbang sebelum terbalik dan mengakibatkan penumpang terjatuh.

Video yang dikongsikan di aplikasi TikTok memaparkan lima pelancong berpaut pada gondola yang terbalik serta sebuah lagi gondola lain ketika pengendalinya berusaha menyelamatkan mereka.

Seorang wanita yang panik kedengaran menjerit ketakutan dan cuba memanjat gondola berhampiran ketika penumpang lain yang berbahasa Cina cuba menenangkannya.

Berdasarkan laporan, kumpulan itu terdiri daripada enam pelancong.

Pengendali gondola berjaya menyelamatkan salah seorang daripada mereka sebelum yang lain turut diselamatkan.

Tiada mangsa yang cedera, kecuali kehilangan satu telefon bimbit.

Persatuan Gondola Venice memberitahu agensi berita bahawa tidak ada kerosakan berlaku pada gondola.

Tapak Warisan Dunia UNESCO Venice bagaimanapun menindas tindakan pelancong yang berkelakuan buruk dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Bulan lalu, bandar itu mengumumkan bahawa ia akan mengenakan bayaran 5 euro (kira-kira RM25) untuk pelawat harian pada Januari ke Venice semasa waktu puncak. -Agensi

MyDigital ID tidak simpan data biometrik, tidak guna cip atau implan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR –  Sistem MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data biometrik seperti cap jari, maklumat mata atau pengecaman muka dan tidak menggunakan sebarang cip atau implan.

MIMOS Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, MyDigital ID juga tidak mengumpul, memantau atau menyimpan pangkalan data peribadi atau aktiviti pengguna dalam talian.

 Selain itu ia juga tidak mendedahkan data peribadi secara terbuka dan ia juga tidak membolehkan pengguna memiliki lebih daripada satu identiti digital.

“MyDigital ID juga tidak berfungsi sebagai pengganti MyKad untuk bukti pengenalan, dan penggunaan sistem ini pada portal kerajaan juga dapat menjamin transaksi yang selamat melalui sistem berasaskan kriptografi yang terjamin keselamatannya,” katanya.

MIMOS berkata, keselamatan MyDigital ID turut diperakui Pensijilan Kriteria Umum yang diiktiraf di peringkat antarabangsa pada EAL3+.

Selain itu, aplikasi MyDigital ID pada telefon pintar mengandungi identiti digital rakyat yang terikat secara kriptografi iaitu teknologi yang sangat selamat kepada nama dan nombor kad pengenalan.

MyDigital ID adalah tunjang komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan digital yang mudah diakses dan selamat untuk semua rakyat.

“MyDigital ID itu juga menandakan satu langkah penting ke arah persekitaran digital yang lebih mesra pengguna dan selamat, sejajar dengan visi kerajaan untuk memanfaatkan teknologi demi memperkasakan rakyat,” katanya.

MIMOS memberitahu, MyDigital ID juga berfungsi sebagai kaedah pengesahan dalam talian, memberikan rakyat akses yang lancar kepada pelbagai platform digital kerajaan.

“Dengan penyepaduan proses pengesahan dalam talian, individu boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan tanpa menghadapi kerumitan log masuk berbilang dan memudahkan interaksi digital dengan agensi-agensi kerajaan,” katanya lagi.

Pendaftaran bagi MyDigital ID akan dibuka kepada semua petugas kerajaan bermula Mac 2024 dan semua maklumat mengenai pendaftaran serta kios pendaftaran akan disenaraikan melalui laman web MyDigital ID.

Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, pengguna boleh menghantar e-mel ke info@mimos.gov.my atau https://www.mimos.my/main/portfolio/mydigital-id/.  

Kai Hassan, muka baru di Suria FM

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pendatang baru, Kai Hassan atau nama sebenar, Abdul Karim Hassan bakal memulakan tugas sebagai penyampai radio di Suria FM bermula 12 Disember, hari ini.

Nantikan ‘Muka Baru di Suria’ di mana beliau akan keudara bersama barisan penyampai di segmen Morning Morning Suria, Gaya Suria, Suria Petang, dan Suria Cinta.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berkata, kemasukan Kai Hassan sebagai penyampai baru di Suria FM meyakinkan mereka akan membawa impak baru.

“Pada peringkat awal ini, Kai akan diberikan pendedahan serta pengalaman untuk mengendalikan semua segmen utama di Suria FM, iaitu Morning Morning Suria, Gaya Suria, Suria Petang dan Suria Cinta.

“Diharapkan dengan kemasukan Kai Hassan sebagai antara tunggak utama barisan penyampai Suria FM, akan membawa impak lebih baik dan positif dalam mengukuhkan lagi pasukan kami di tahun 2024,” katanya.

DJ Lin turut mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kai diatas kesudiannya untuk bergabung dan menjadi sebahagian daripada keluarga Suria FM sekaligus mengharapkan perubahan ini mampu meningkatkan lagi kualiti stesen radio Suria.