26.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 237

Pendakian Trans 5 Puncak Latimonjong, tiada istilah patah balik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Gunung Latimonjong yang terletak di Kepulauan Sulawesi dengan ketinggian 3,478 meter, adalah gunung tertinggi di kepulauan itu.

Banjaran gunung itu mempunyai 5 puncak iaitu Pantealoan, Pokopinjan, Buntu Tillok, Tinabang dan Rantemario yang juga puncak tertinggi, Trans 5.

Gunung Latimonjong yang juga dikenali sebagai Trans 5 Puncak Latimonjong, adalah salah satu gunung dalam siri 7 puncak tertinggi di Indonesia.

Selain pendaki tempatan, kalangan penggiat gunung dari Malaysia juga tidak ketinggalan untuk cuba menawan puncak Latimonjong dalam usaha mereka melengkapkan siri pendakian ke 7 puncak tertinggi di Indonesia.

Terbaru, sekumpulan 17 pendaki berjaya menjadi pendaki pertama dari Malaysia yang menawan puncak Latimonjong menerusi satu ekspedisi yang dianjurkan oleh Kelab Jelajah Alpine Malaysia (Alpine Club Malaysia, ACM) dengan kerjasama Persatuan Malim Gunung Malaysia.

Presiden ACM, Muhammad Illaham Ishak atau lebih dikenali sebagai Pak Am berkata, pendakian di banjaran gunung Latimonjong amat mencabar kerana pendakiannya memerlukan semangat yang kental serta tiada istilah berpatah balik.

“Untuk ekspedisi pendakian di Latimonjong ini, kita bermula dari Desa Angin-Angin yang terletak di kaki gunung Latimonjong di sebelah selatan dan menuju ke Desa Karangan di kaki gunung di sebelah utara,” katanya.

Pak Am yang mengetuai ekspedisi pendakian itu berkata, pelbagai dugaan terpaksa diharungi peserta.

Antaranya, terpaksa meredah gelap malam, melalui trek pendakian yang menegak dan rabung-rabung puncak yang bahaya dengan laluan yang sempit sempit.

“Kami menyifatkan pengalaman pendakian di hutan dara yang jarang diterokai dan perjalanan melalui banjaran diliputi awan karpet ini amatlah mengujakan dan tidak salah kalau ekspedisi ini dinamakan sebagai “Trans Bayu” kerana sebahagian besar jarak pendakian umpama berjalan di atas awan,” katanya.

Beliau turut berkongsi kisah bagaimana situasi ketika pendakian turun yang amat ekstrem di mana laluan licin dan berbahaya membuatkan pendaki terpaksa berpaut pada akar-akar pokok dan tali untuk turun.

“Situasi ketika pendakian turun amat menyeksakan sehingga ada kalangan pendaki yang seolah-olah menyesal ikut ekspedisi kali ini dan berfikir inilah yang pertama dan yang terakhir ke gunung ini.

“Cukuplah sekali ini sahaja dan kalau ada lagi yang ajak untuk mendaki di gunung Latimonjong, kami tak nak ikut dah,” katanya.

Selain itu, kekurangan sumber air sepanjang perjalanan juga menyukarkan pendakian di mana pendaki terpaksa memikul dan membawa bekalan air untuk kegunaan di sepanjang ekspedisi iaitu selama tiga hari.

Bagi tujuan keselamatan dan memudahkan segala urusan pendakian, ekspedisi ini turut dibantu oleh pasukan Malim Gunung tempatan yang turut bertindak sebagai penunjuk arah dan juga pembawa barangan atau dikenali sebagai ‘porter’ yang diketuai oleh saudara Galih.

“Alhamdulillah dengan izin Allah dan semangat kental yang tidak pernah mengalah, tidak ada pendaki yang berpatah balik dalam ekspedisi ini sekaligus merealisasikan pendakian Trans 5 puncak ini.

“Walaupun ekspedisi ini sukar tetapi dengan pengalaman pendaki dan persediaan alatan kecemasan yang dititikberatkan termasuk penggunaan telefon satelit membolehkan kami  berhubung dengan Sekretariat Ekspedisi di Malaysia yang diketuai oleh Zainudin Lot atau Deeno bagi melaporkan keadaan pendaki dan situasi perjalanan,” kata Pak Am.

Katanya lagi, ekspedisi ke puncak Latimonjong juga dijayakan bagi melengkapkan Siri Pendakian ACM ke 7 Puncak Tertinggi Indonesia yang berbaki 3 puncak lagi iaitu Gunung Binaya di Maluku, Bukit Raya di Kalimantan dan Gunung Kerinchi di Sumatera.

Ekspedisi ini juga disertai oleh seorang pendaki dari MGP Kelantan iaitu Nor Muzhaffar Mat Hanaffi yang sedang membuat persediaan kecergasan untuk misi Expedition Kelantanese To Mt. Everest 2025.

Sementara itu, Presiden Malim Gunung Malaysia, Muhammad Fazlee Sabarudin atau dikenali sebagai Pak Lee berkata, Ekspedisi Latimonjong bukan pendakian biasa-biasa.

Sebaliknya, pendakian banjaran gunung di Kepulauan Sulawesi itu amat jarang mendapat perhatian pendaki dari Malaysia.

“Kami merancang pendakian ini dengan teknik “ultralite” yang amat membantu kejayaan ekspedisi ini kerana selain cabaran ketinggian, penyakit Akut Ketinggian Gunung (AMS), cuaca sejuk dan tiupan angin kuat, faktor berat peralatan juga memainkan peranan besar dalam menentukan pendaki dapat menawan puncak,” katanya.

Paling membanggakan, semua anggota ekspedisi berusia 31 tahun ke atas dengan lapan daripada 17 orang pendaki berusia antara 50 hingga 68 tahun.

Kelab ACM dan Persatuan Malim Gunung Malaysia mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya menawan puncak Trans 5 Latimonjong sekaligus mencipta sejarah menjadi kumpulan pendaki pertama dari Malaysia yang berjaya ke puncak itu.

Ernie Zakri akhirnya ke pentas separuh akhir Muzik Muzik 38

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kontroversi akhirnya terjawab apabila penyanyi Ernie Zakri bakal menyanyikan sendiri lagu miliknya berjudul Astana pada Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SFMM 38), hari ini.

Erni berkata, dia lega apabila dapat menyanyikan lagu Astana.

“Seperti yang diperkatakan sebelum ini, saya selaku penyanyi asal dan komposer lagu ini sudah tentu mahu menyanyikan lagu ini. Mana mungkin tidak.

“Malah, tidak pernah sekali saya berkata atau mengeluarkan kenyataan tidak mahu dan tarik diri.

“Jadi, selepas melalui proses perbincangan yang panjang antara semua pihak dan pihak Universal Music Malaysia pun tidak pernah menghalang saya untuk menyanyikan lagu ini, saya dengan penuh gembira akan menggalas sendiri tanggungjawab untuk mempersembahkan lagu Astana.

“Terima kasih sekali lagi kepada Universal Music Malaysia yang sentiasa memahami dan percaya akan bakat saya.

“Kepada peminat dan semua pihak yang sentiasa ambil berat, saya hargai sokongan anda,” katanya.

Sementara itu, Syarikat rakaman Universal Music Malaysia yang mewakili Ernie berkata, perkara itu diputuskan selepas pihak Rocketfeul menghubungi mereka.

“Rocketfuel ada menghubungi kami untuk berbincang perkara ini. Selepas mengambil kira banyak perkara selain tidak mahu membiarkan isu ini berlanjutan, jadi Universal Music Malaysia bersetuju dan membenarkan Ernie selaku penyanyi asal dan komposer lagu Astana untuk membuat persembahan.

“Berhubung terma perbincangan yang belum selesai antara Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dengan Media Prima Berhad, RIM menyerahkan perkara ini kepada kami di Universal Music Malaysia untuk membuat keputusan.

“Lagu ini sudah pun dicalonkan sejak Februari. Pada masa sama, kami tidak mahu isu ini terus berpanjangan dan diperdebatkan. Diharap pihak terbabit segera mencari solusi terbaik,” katanya.

Terdahulu, RIM dan MPA dalam kenyataan berkata, mereka masih dalam rundingan dengan Media Prima mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam program Muzik Muzik yang disiarkan di TV3.

Pengerusi RIM Rosmin Hashim berkata, sesi dialog sudah dibuat membabitkan semua pihak sejak Ogos lalu namun tidak dapat mencapai penyelesaian yang memuaskan.

Malah, Universal Music Malaysia juga berkata, Ernie selaku artis yang kini di bawah naungan mereka cakna mengenai kenyataan RIM dan MPA mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam Muzik Muzik yang masih dalam perundingan.

Lagu Astana adalah ciptaan bersama Ernie dengan Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman yang tercalon ke Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) ke-38 seperti yang diumumkan pada majlis sidang media yang dianjurkan oleh TV3 pada 10 Disember lalu.

Penyelidikan berpusat tingkat kualiti pendidikan tinggi negara – MQA

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan disaran untuk menjalankan penyelidikan secara berpusat supaya hasilnya dapat dirasai masyarakat dan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, satu daripada cara untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara ialah menerusi penyelidikan berpusat atau bersepadu dalam kalangan IPT.

Katanya, apabila geran penyelidikan ditawarkan, banyak IPT akan bersaing untuk mendapatkannya dan apabila satu IPT berjaya mendapat geran berkenaan, penyelidik mereka akan membuat kajian berdasarkan kapasiti kumpulan mereka sahaja.

“Pendekatan penyelidikan berpusat ini selaras dengan tuntutan era masa kini yang memerlukan penyelidikan silang bidang, misalnya kajian keterjaminan makanan dipimpin oleh universiti ABC tetapi keanggotaan kumpulan itu terdiri daripada penyelidik dari pelbagai jurusan dari IPT berbeza.

“Sekiranya sesuatu geran penyelidikan digunakan sepenuhnya untuk penyelidikan keterjaminan makanan, maka impaknya pasti berbeza,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, pendekatan penyelidikan berpusat diyakini mampu menghasilkan kajian terbaik kepada negara seterusnya meningkatkan keterlihatan pendidikan tinggi Malaysia.

Beliau berkata, kita tidak mahu kajian dijalankan hanya untuk menonjolkan penyelidik secara individu tetapi impaknya tidak dirasai oleh komuniti atau negara.

“Inisiatif ini juga secara langsung atau tidak langsung akan menaikkan imej serta kedudukan IPT kita di persada dunia walaupun bukan tujuan utama kita untuk memenuhi kriteria ditetapkan pembuat penarafan universiti global.

“Kita tidak tolak penarafan universiti dunia mentah-mentah, namun tidak mahu IPT terjerumus dengan permainan ‘ranking’ kerana kita perlu sentiasa ingat akan asas penubuhan IPT tempatan serta fungsinya dan cemerlang mengikut acuan kita,” katanya. 

32 orang ‘tergantung’ dalam keadaan terbalik di udara, roller coaster dinaiki terhenti

editormaxinfo@gmail.com

TOKYO – Sebuah roller coaster di Universal Studios Jepun di Osaka, terhenti pada separuh perjalanan, semalam, menyebabkan 32 orang ‘tergantung’ dalam keadaan terbalik pada ketinggian lebih 30 meter.

Gerabak roller coaster Flying Dinosaur berhenti di salah satu titik tertinggi apabila ia berpusing di sekitar paksi trek dan bergerak secara terbalik kira-kira 11 pagi, lapor penyiar awam Jepun NHK.

Pengendali taman itu dipetik sebagai berkata, ketika kejadian, 32 orang berada dalam gerabak itu.

Tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu kerana individu terbabit dapat keluar melalui tangga kecemasan.

Bagaimanapun laporan itu tidak memperincikan tempoh mangsa terkandas.

Pengendali taman itu berkata, roller coaster berhenti secara automatik jika sensor yang dipasang pada tarikan itu mengesan ‘kelainan’, tetapi punca sebenar kejadian masih tidak diketahui.

Insiden membabitkan roller coaster sama berlaku pada 1 Mei 2018 sehingga menyebabkan penumpang tergantung dalam keadaan terbalik selama kira-kira dua jam.

Dalam kejadian itu, dua gerabak roller coaster Flying Dinosaur yang membawa 64 penunggang turut berhenti secara tiba-tiba di tempat berlainan, di landasan sepanjang 1,120 meter itu.

Pihak pengurusan taman itu berkata, kerosakan itu disebabkan bahagian yang mengawal motor rosak.

Satu lagi roller coaster di Universal Studios Jepun juga mengalami isu mekanikal.

Pada 22 Januari 2022, kira-kira 30 orang diselamatkan daripada gerabak roller coaster Hollywood Dream.

Mereka terperangkap dalam keadaan duduk secara menegak selama kira-kira 90 minit sebelum berjaya diselamatkan.

Kejadian itu berlaku tiga bulan selepas roller coaster sama terhenti secara tiba-tiba kerana gangguan bekalan elektrik sehingga menyebabkan 35 orang terkandas. -Agensi

Tinggalkan 2023 dengan single ‘Tak Berharap Lagi’, Raisa tampilkan Meerqeen dalam muzik video

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Raisa Andriana bakal meninggalkan tahun 2023 dengan sebuah hadiah istimewa buat peminat menerusi kemunculan single terbarunya berjudul, Tak Berharap Lagi.

Dilancarkan hari ini, 15 Disember menerusi JUNI Records, karya ciptaan bersama Raisa dan Andmesh Kamaleng itu menyaksikan kolaborasi pertamanya dengan grup S/eek sebagai penerbit. 

Akui Raisa, 33, single itu memberi makna tersendiri kepadanya kerana ia adalah projek pertamanya bersama Andmesh.

Meskipun tidak menampilkan Andmesh sebagai pasangan duet, mereka sebaliknya berkolaborasi dalam menyempurnakan penulisan lirik Tak Berharap Lagi.

“Saya yakin lagu ini akan menjadi sebuah lagi lagu pop klasik galau Indonesia pilihan ramai, apatah lagi jalan ceritanya juga dekat dengan pengalaman yang pernah dilalui banyak orang. 

“Saya berharap lagu baharu yang digarap bersama Andmesh ini dapat membawa nostalgia, sekali gus bertahan sebagai karya malar segar,” katanya.

Sementara itu, Andmesh berkata, ketika lagu itu ditulis, fikirannya langsung membayangkan Raisa sebagai penyanyi yang serasi untuk membawakan karya berkenaan. 

“Karakter suara Raisa sangat sesuai untuk lagu ini. Tanpa ragu, saya terus mengirimkan lagu ini kepada Raisa,” kata penyanyi kelahiran 15 April 1997 itu. 

Tak Berharap Lagi, seperti mengajak pendengar untuk kembali ke era lagu galau Raisa.

Sejak Raisa berkongsi potongan lagu itu di media sosialnya beberapa minggu lalu, ia membangkitkan keterujaan peminat untuk turut bersama dalam projek berkenaan.

Malah, petikan lagu Tak Berharap Lagi turut digunakan oleh ramai peminat untuk membuat pelbagai video di media sosial yang secara tidak langsung menghangatkan lagi bahang kemunculan single terbabit.

Tak Berharap Lagi mewakili perasaan mereka yang pernah mengagung dan memuja cinta, tetapi berjalan waktu, perlahan ia hilang meskipun  menyangka sudah bertemu dengan orang yang menurut mereka tepat. 

“Seiring perjalanan waktu, tambatan hatinya itu menjadi sumber rasa sakit dan membuatkan dia tidak berani berharap lagi,” ungkap Andmesh sebagai penulis. 

Lagu ini turut diwarnai dengan kemunculan pelakon dan model asal Kuala Lumpur, Meerqeen. 

Berawal daripada pertemuan secara tidak sengaja di Jepun, Raisa memulakan komunikasi santai dengan Meerqeen hingga akhirnya mencetuskan idea untuk mengundang jejaka itu beraksi dalam video lirik Tak Berharap Lagi.

Penggambaran video lirik Tak Berharap Lagi yang disutradarai West Waisnawa dari MIURA Film dijalankan pada pertengahan September lalu di sekitar Kebun Raya Bali. 

Konsep video lirik itu menceritakan tentang kerisauan hati, namun tidak dipaparkan secara jelas dalam bentuk adegan. 

Ia sebaliknya diterjemahkan menerusi pemilihan shot, selain mengabadikan teknik pengambilan gambar dan penggunaan gelang kunci sebagai simbol seseorang yang telah mengunci rapat pintu hatinya.

Ia tidak akan dapat dibuka oleh sesiapa pun, kecuali dirinya sendiri. 

Tak Berharap Lagi boleh dinikmati di platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, Langitmusik, Spotify, Tiktok Music, YouTube Music dan lain-lain bermula hari ini.

Manakala, video lirik Tak Berharap Lagi pula boleh ditonton di saluran YouTube raisa6690 juga bermula hari ini, 15 Disember.

BoBoiBoy Galaxy SORI temani peminat cilik di musim cuti sekolah

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Selepas lima tahun sejak tayangan akhir BoBoiBoy Galaksi pada tahun 2019, siri animasi BoBoiBoy kini kembali dengan BoBoiBoy Galaxy SORI yang akan memukau penonton terutama si cilik.

Khas buat peminat siri animasi BoBoiBoy, saluran televisyen TV9 kini bakal menyajikan siri 6 episod BoBoiBoy Galaxy Sori bermula 13 Disember, setiap hari Rabu dan Khamis, jam 6.30 petang.

Kepada penggemar komik BoBoiBoy, jangan lepaskan peluang untuk saksikan siri terbaharu ini kerana animasinya yang berkualiti tinggi pasti dapat memberikan pengalaman berbeza.


Pengurus Besar, Pengurusan Program Dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarudin berkata, mereka di TV9 tidak sabar untuk menayangkan siri terbaharu Boboiboy, iaitu Boboiboy Galaxy Sori kepada penonton TV9.

“Selepas 5 tahun, ramai penonton kami yang menonton siri terdahulu kini telah meningkat remaja dan melalui siri terbaharu ini kami dapat mengumpul lebih ramai penonton, iaitu penonton terdahulu dan yang baru.

“Menariknya, siri animasi Boboiboy Galaxy Sori ini telah dilakukan dengan lebih halus dan berkualiti tinggi, selain memberikan jalan cerita yang segar.

“Tidak mustahil untuk setiap episod yang ditayangkan tidak kira di platform Youtube ataupun di saluran TV9, boleh mencecah lebih 500,000 jumlah tontonan,” katanya.

Pengembaraan baharu BoBoiBoy Sori ini mengisahkan tentang gabungan elemen antara BoBoiBoy Solar dan BoBoiBoy Duri.

BoBoiBoy dan rakan-rakannya telah berpindah ke pangkalan TAPOPS (Tracker And Protector Of Power Spheres) bertujuan untuk mengekalkan keamanan galaksi di mana mereka perlu menghalang Sfera Kuasa jatuh ke tangan yang salah. 

Demi menjayakan misi mereka, BoBoiBoy harus mempelajari kekuatan elemen tahap ketiga di Planet Rimbara yang juga bekas jajahan King Balakung, pemilik asal Kuasa Elemental Balak.

BoBoiBoy dan rakan-rakannya perlu menghadapi banyak cabaran dan melawan beberapa penjahat.

Dapatkah BoBoiBoy membongkar rahsia King Balakung dan dapatkan Kuasa Elemental Balak? Berjayakah BoBoiBoy akan mempelajari Kuasa Elemen Tahap Ketiga?

Ayuh sertai pengembaraan epik mereka di galaksi bersama BoBoiBoy, sahabat-sahabat dan keluarganya menerusi BoBoiBoy Sori yang bakal ditayangkan di TV9.

JPNT siasat dakwaan guru lempang, tolak murid kerana tak berdiri tegak masa perhimpunan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pendidikan negeri (JPNT) sedang menjalankan siasatan dakwaan seorang guru bertindak memukul murid di sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu yang tular, semalam.

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPNT, Azman Othman @ Abdullah, berkata pihaknya tidak boleh memberi sebarang kenyataan kerana kes itu masih dalam siasatan.

“Kita mengesahkan tindakan awal sudah dilakukan selepas menyaksikan video yang ditularkan melalui Facebook (FB) berdurasi 41 saat seorang guru memukul kepala dan menolak seorang murid di sekolah itu.

“Kita difahamkan kejadian itu dikatakan berlaku di dewan perhimpunan ketika perhimpunan diadakan sempena program cegah rokok dan vape, kira-kira jam 10 pagi, semalam,” katanya.

Video berdurasi selama 41 saat itu menyaksikan seorang guru memukul kepala dan menolak seorang murid tular dan ditonton kira-kira 35,000 orang dan mendapat 4,799 komen serta dikongsi 5,749 pengikut sejak disiarkan semalam.

Difahamkan, video insiden itu dirakamkan guru daripada sekolah berkenaan dan dimuat naik melalui FB sejak semalam.

Menurut video itu, guru berkenaan memukul kepala dan menolak murid atas kesalahan tidak berdiri tegak ketika perhimpunan itu diadakan.

Guru yang merakam video itu dikatakan tidak bersetuju dan kurang senang dengan tindakan dan kaedah pentadbiran sekolah berkenaan.

Seorang guru yang enggan namanya disiarkan berkata, dua murid lelaki yang hanya melakukan kesalahan tidak berdiri tegak dipukul guru berkenaan pada perhimpunan.

“Biarlah nak saman atau nak kena apapun, kita nak muat naik juga, tiada niat nak buka aib, tetapi untuk dijadikan peringatan kepada orang.

“Mu cikgu ke, guru besar ke atau penolong kanan (PK), tak kisahlah, kita bukannya bertujuan nak mengaibkan, tetapi dia yang mengaibkan diri sendiri,” komen beberapa pengikut FB berkenaan.

Seorang lagi pengikut FB secara ringkas berkata, pendidik harus terdidik.

Di Putrajaya, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan kejadian seorang guru didakwa mengasari seorang murid ketika penganjuran majlis rasmi di sekolah.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, golongan pendidik dinasihati sentiasa memelihara etika dan menjunjung tinggi martabat serta profesionalisme perguruan.

“Siasatan sedang dijalankan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera.

“KPM komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” menurut kenyataan itu. 

Perbincangan RIM, MPB belum selesai, Ernie akur tidak dapat buat persembahan di SFMM38

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengumuman 30 lagu yang layak ke Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) 38, baru-baru ini menimbulkan persoalan dalam kalangan ramai apabila tiada nama Ernie Zakri selaku penyanyi asal lagu Astana.

Susulan itu, nama Ernie terheret sama apabila didakwa menarik diri daripada menyanyikan lagu Astana yang juga ciptaan bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman.

Untuk rekod lagu itu dicalonkan selepas Ernie menyertai syarikat rakaman Universal Music Malaysia pada Julai lalu.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dalam kenyataan berkata, mereka masih dalam rundingan dengan Media Prima mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam program Muzik Muzik yang disiarkan di TV3.

Pengerusi RIM Rosmin Hashim berkata, sesi dialog sudah dibuat membabitkan semua pihak sejak Ogos lalu namun tidak dapat mencapai penyelesaian yang memuaskan.

“Banyak ahli kami yang terdiri dari syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa tidak mencalonkan rakaman lagu artis mereka dalam program Muzik Muzik tahun ini kerana tidak bersetuju dengan klausa tertentu dalam borang pencalonan lagu program itu.

“Kami sudah mengadakan sesi dialog bersama pihak pengurusan tertinggi Media Prima mengenai perkara ini pada awal Ogos tahun ini dan sudah mengetengahkan klausa bermasalah dalam borang pencalonan buat perhatian mereka.

“Walaubagaimanapun, sehingga kini, kami masih belum dapat penyelesaian yang memuaskan sepenuhnya berhubung perkara ini dan berharap dapat mencapainya dengan segera untuk klausa dan isu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Universal Music Malaysia berkata, Ernie selaku artis yang kini di bawah naungan Universal Music Malaysia, cakna mengenai kenyataan RIM dan MPA mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam Muzik-Muzik yang masih dalam perundingan.

“Ernie Zakri menyatakan bahawa beliau sentiasa mematuhi prosedur label antarabangsa Universal Music Malaysia serta menghormati pendirian kedua-dua persatuan iaitu RIM dan MPA yang mewakili syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa serta pemegang hak rakaman bunyi/video dan karya di Malaysia,” katanya.

Universal Music Malaysia juga menjelaskan Ernie tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pencalonan dan penyertaan lagu Astana sepertimana yang dilaporkan dalam beberapa media.

Dalam pada itu, Ernie menafikan dakwaan dia sengaja tidak mahu menyanyikan lagu Astana.

“Saya adalah penyanyi asal dan komposer lagu ini. Sudah tentu saya mahu menyanyikan lagu ini. Malah, tidak pernah cakap saya tak nak nyanyi atau tarik diri.

“Namun, disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak RIM dan MPB, ia menjadi penghalang untuk saya mempersembahkan lagu ini pada SFMM 38,” katanya.

Ernie adalah penyanyi asal serta penulis lagu Astana bersama dengan Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman yang tercalon ke SFMM 38 seperti yang diumumkan pada majlis sidang media yang dianjurkan oleh TV3 pada 10 Disember lalu.

Ubat Paxlovid masih berkesan rawat Covid-19

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ubat antiviral Paxlovid masih berkesan digunakan meskipun terdapat kemunculan varian Covid-19 baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata,  rawatan antiviral itu boleh mengurangkan gejala Covid-19 dan mengelakkan penyakit daripada menjadi lebih teruk.

Menurutya, pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas, mempunyai daya tahan badan rendah, mempunyai apa-apa komorbid atau obesiti disaran mendapatkan rawatan Paxlovid.

“Paxlovid berkesan apabila diambil dalam tempoh lima hari daripada hari gejala bermula. Oleh itu, pesakit yang berisiko tinggi disarankan menjalani ujian sebaik sahaja mereka mempunyai gejala.

“Jika ujian Covid-19 didapati positif, sila dapatkan penilaian perubatan awal di fasiliti kesihatan yang berhampiran untuk menentukan kelayakan anda mengambil Paxlovid,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa tanggapan bahawa ubat itu tidak berkesan merawat pesakit Covid-19 dan ia disebabkan beberapa kemungkinan antaranya ubat berkenaan digunakan oleh golongan bukan berisiko.

Dr Muhammad Radzi berkata, ia juga mungkin disebabkan pesakit lewat mendapatkan rawatan selain interaksi dengan ubat lain khususnya pesakit yang mengambil ubat-ubatan untuk penyakit kronik.