28.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

Tinggalkan 2023 dengan single ‘Tak Berharap Lagi’, Raisa tampilkan Meerqeen dalam muzik video

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Raisa Andriana bakal meninggalkan tahun 2023 dengan sebuah hadiah istimewa buat peminat menerusi kemunculan single terbarunya berjudul, Tak Berharap Lagi.

Dilancarkan hari ini, 15 Disember menerusi JUNI Records, karya ciptaan bersama Raisa dan Andmesh Kamaleng itu menyaksikan kolaborasi pertamanya dengan grup S/eek sebagai penerbit. 

Akui Raisa, 33, single itu memberi makna tersendiri kepadanya kerana ia adalah projek pertamanya bersama Andmesh.

Meskipun tidak menampilkan Andmesh sebagai pasangan duet, mereka sebaliknya berkolaborasi dalam menyempurnakan penulisan lirik Tak Berharap Lagi.

“Saya yakin lagu ini akan menjadi sebuah lagi lagu pop klasik galau Indonesia pilihan ramai, apatah lagi jalan ceritanya juga dekat dengan pengalaman yang pernah dilalui banyak orang. 

“Saya berharap lagu baharu yang digarap bersama Andmesh ini dapat membawa nostalgia, sekali gus bertahan sebagai karya malar segar,” katanya.

Sementara itu, Andmesh berkata, ketika lagu itu ditulis, fikirannya langsung membayangkan Raisa sebagai penyanyi yang serasi untuk membawakan karya berkenaan. 

“Karakter suara Raisa sangat sesuai untuk lagu ini. Tanpa ragu, saya terus mengirimkan lagu ini kepada Raisa,” kata penyanyi kelahiran 15 April 1997 itu. 

Tak Berharap Lagi, seperti mengajak pendengar untuk kembali ke era lagu galau Raisa.

Sejak Raisa berkongsi potongan lagu itu di media sosialnya beberapa minggu lalu, ia membangkitkan keterujaan peminat untuk turut bersama dalam projek berkenaan.

Malah, petikan lagu Tak Berharap Lagi turut digunakan oleh ramai peminat untuk membuat pelbagai video di media sosial yang secara tidak langsung menghangatkan lagi bahang kemunculan single terbabit.

Tak Berharap Lagi mewakili perasaan mereka yang pernah mengagung dan memuja cinta, tetapi berjalan waktu, perlahan ia hilang meskipun  menyangka sudah bertemu dengan orang yang menurut mereka tepat. 

“Seiring perjalanan waktu, tambatan hatinya itu menjadi sumber rasa sakit dan membuatkan dia tidak berani berharap lagi,” ungkap Andmesh sebagai penulis. 

Lagu ini turut diwarnai dengan kemunculan pelakon dan model asal Kuala Lumpur, Meerqeen. 

Berawal daripada pertemuan secara tidak sengaja di Jepun, Raisa memulakan komunikasi santai dengan Meerqeen hingga akhirnya mencetuskan idea untuk mengundang jejaka itu beraksi dalam video lirik Tak Berharap Lagi.

Penggambaran video lirik Tak Berharap Lagi yang disutradarai West Waisnawa dari MIURA Film dijalankan pada pertengahan September lalu di sekitar Kebun Raya Bali. 

Konsep video lirik itu menceritakan tentang kerisauan hati, namun tidak dipaparkan secara jelas dalam bentuk adegan. 

Ia sebaliknya diterjemahkan menerusi pemilihan shot, selain mengabadikan teknik pengambilan gambar dan penggunaan gelang kunci sebagai simbol seseorang yang telah mengunci rapat pintu hatinya.

Ia tidak akan dapat dibuka oleh sesiapa pun, kecuali dirinya sendiri. 

Tak Berharap Lagi boleh dinikmati di platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, Langitmusik, Spotify, Tiktok Music, YouTube Music dan lain-lain bermula hari ini.

Manakala, video lirik Tak Berharap Lagi pula boleh ditonton di saluran YouTube raisa6690 juga bermula hari ini, 15 Disember.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular