26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025

BoBoiBoy Galaxy SORI temani peminat cilik di musim cuti sekolah

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Selepas lima tahun sejak tayangan akhir BoBoiBoy Galaksi pada tahun 2019, siri animasi BoBoiBoy kini kembali dengan BoBoiBoy Galaxy SORI yang akan memukau penonton terutama si cilik.

Khas buat peminat siri animasi BoBoiBoy, saluran televisyen TV9 kini bakal menyajikan siri 6 episod BoBoiBoy Galaxy Sori bermula 13 Disember, setiap hari Rabu dan Khamis, jam 6.30 petang.

Kepada penggemar komik BoBoiBoy, jangan lepaskan peluang untuk saksikan siri terbaharu ini kerana animasinya yang berkualiti tinggi pasti dapat memberikan pengalaman berbeza.


Pengurus Besar, Pengurusan Program Dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarudin berkata, mereka di TV9 tidak sabar untuk menayangkan siri terbaharu Boboiboy, iaitu Boboiboy Galaxy Sori kepada penonton TV9.

“Selepas 5 tahun, ramai penonton kami yang menonton siri terdahulu kini telah meningkat remaja dan melalui siri terbaharu ini kami dapat mengumpul lebih ramai penonton, iaitu penonton terdahulu dan yang baru.

“Menariknya, siri animasi Boboiboy Galaxy Sori ini telah dilakukan dengan lebih halus dan berkualiti tinggi, selain memberikan jalan cerita yang segar.

“Tidak mustahil untuk setiap episod yang ditayangkan tidak kira di platform Youtube ataupun di saluran TV9, boleh mencecah lebih 500,000 jumlah tontonan,” katanya.

Pengembaraan baharu BoBoiBoy Sori ini mengisahkan tentang gabungan elemen antara BoBoiBoy Solar dan BoBoiBoy Duri.

BoBoiBoy dan rakan-rakannya telah berpindah ke pangkalan TAPOPS (Tracker And Protector Of Power Spheres) bertujuan untuk mengekalkan keamanan galaksi di mana mereka perlu menghalang Sfera Kuasa jatuh ke tangan yang salah. 

Demi menjayakan misi mereka, BoBoiBoy harus mempelajari kekuatan elemen tahap ketiga di Planet Rimbara yang juga bekas jajahan King Balakung, pemilik asal Kuasa Elemental Balak.

BoBoiBoy dan rakan-rakannya perlu menghadapi banyak cabaran dan melawan beberapa penjahat.

Dapatkah BoBoiBoy membongkar rahsia King Balakung dan dapatkan Kuasa Elemental Balak? Berjayakah BoBoiBoy akan mempelajari Kuasa Elemen Tahap Ketiga?

Ayuh sertai pengembaraan epik mereka di galaksi bersama BoBoiBoy, sahabat-sahabat dan keluarganya menerusi BoBoiBoy Sori yang bakal ditayangkan di TV9.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular