editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal dan usahawan, Datuk Jovian Mandagie mengumumkan telah bercerai dengan isterinya, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri pada Ogos lalu.
Berita itu dikongsi sendiri oleh Jovian menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagramnya, semalam.
Katanya, meskipun sudah tidak lagi hidup sebagai suami isteri, dia dan Nina akan terus menjadi sahabat baik demi kebahagiaan puteri tunggal mereka, Jeanelle Nika Mandagie.
“Sesetengah perkahwinan adalah istimewa dan dibuat untuk kekal seumur hidup, tetapi perkahwinan kami istimewa kerana ia telah berkembang menjadi persahabatan yang akan kekal seumur hidup.
“Pada bulan Ogos, kami saling memutuskan untuk menamatkan perkahwinan 10 tahun kami atas sebab yang kami percaya adalah yang terbaik,” katanya.
Jovian berkata, pada mulanya dia mahu merahsiakan hal perceraian itu namun, selepas melihat komen orang ramai yang memuji keutuhan rumah tangganya bersama Nina pada siaran langsung di TikTok baru-baru ini, menjadikan mereka berdua nekad untuk berterus terang.
“Kami mengadakan sesi langsung di TikTok dan tersentuh dengan komen-komen menarik tentang kami sebagai pasangan suami isteri.
“Kami merasakan adalah penting untuk kami berkongsi perkara ini dengan anda semua. Walaupun berita ini mungkin tidak dijangka, sila percaya bahawa kami berdua berada di tempat yang baik.
“Apa sahaja yang anda lihat di media sosial kami selama empat bulan yang lalu adalah nyata. Kami tidak mungkin membenci.
“Terima kasih sekali lagi atas doa dan sokongan anda untuk kami memulakan lembaran baharu yang berasingan,” katanya.
Tedahulu, Jovian dan Nina Sabrina berkahwin pada 11 Disember 2013.
Pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie yang kini berusia enam tahun.

