editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Lebih setahun menjadi penyampai radio di segmen Morning Morning Suria, kini kerjasama Suria FM bersama Shuib telah berakhir berkuat kuasa 4 Disember 2023, hari ini.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) berkata, kerjasama yang telah terjalin selama hampir 2 tahun ini adalah satu langkah strategik bagi Suria FM dalam rangka perancangan bagi tahun 2023 lalu membabitkan kolaborasi khas dengan Shuib untuk beberapa tempoh sahaja disamping dia ingin menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan yang semakin berkembang.

“Komitmen Shuib bersama Suria FM bukan sahaja menjadi sebahagian daripada perancangan tahunan stesen radio, tetapi juga menjadi satu pengalaman yang amat berharga buat kami.
“Mewakili keluarga Suria FM, kami berterima kasih diatas segala komitmen padu dan elemen kreatif yang dibawakan oleh Shuib kepada stesen radio kami. Diharapkan beliau terus berjaya dalam setiap usaha perniagaan dan kerjayanya,” katanya.
Walau bagaimanapun, Suria FM juga berharap untuk terus menjalin kerjasama dengan Shuib dalam pelbagai inisiatif pada masa mendatang.
Persoalan mengenai siapakah pengganti Shuib masih terlalu awal untuk diputuskan, namun pihak Suria FM akan memaklumkan kepada umum mengenainya sebaik keputusan rasmi dicapai.

Untuk rekod, Shuib mula berkhidmat sebagai penyampai di Suria FM pada 29 Ogos 2022.