30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 13, 2026
Home Blog Page 210

Janji Berbaloi 149 kembali, TV9 dan ST Rosyam Mart kongsi rezeki di bulan Ramadan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bulan Ramadan bulan yang mulia bagi mengeratkan ikatan rohani dan sosial sesama kita serta memperbaiki hubungan dengan Allah.

Rentetan daripada Janji Berbaloi 149 tahun lalu, TV9 sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan ST Rosyam Mart untuk berkongsi rezeki dengan menawarkan pakej barangan dapur terpilih dengan harga istimewa serendah RM1.49 khas buat pengunjung yang terawal.

Janji Berbaloi 149 akan berlangsung pada 30 Mac ini di cawangan terbaharu ST Rosyam Mart bertempat di Semenyih pada jam 10 pagi. 

Ini adalah tahun ketiga TV9 menganjurkan kempen Janji Berbaloi dalam meringankan beban orang ramai bersempena dengan kempen Ramadan Raya Media Prima, RaRa Macam Dulu-Dulu. 

Pengurus Besar Program dan Kandungan Penyiaran TV9 Khairunnisa Kamarulzaman berkata, pihaknya sangat gembira dan teruja kerana sekali lagi dapat menjayakan kempen Janji Berbaloi ini.

“Objektif kita ialah ingin membantu dan meringankan beban orang ramai di musim perayaan ini. Oleh itu, kita menawarkan barangan keperluan asas di dalam pek Janji Berbaloi (yang mengandungi beras 5 kg, minyak masak 2 kg, gula 1 kg dan telur ayam 15 biji) pada harga RM1.49 sahaja.

“Kami berharap dapat menerima sambutan positif daripada penonton TV9 seperti tahun-tahun lalu dan jangan ketinggalan untuk sama-sama memeriahkan lagi kempen ini,” katanya.

Selain daripada pembelian pek istimewa ini, TV9 turut membawakan khas dua lagenda Senario iaitu Wahid dan Yassin bagi menzahirkan penghargaan buat semua penonton setia TV9 bersempena dengan tayangan istimewa filem-filem popular Senario di Hari Raya Aidilfitri nanti.

Turut hadir bagi memeriahkan suasana ialah hos program bual bicara TV9, Nasi Lemak Kopi O iaitu Fizo Omar. 

Jangan lepaskan peluang anda kerana TV9 menawarkan pakej produk masakan harian terhad kepada 250 orang terawal sahaja dengan harga istimewa serendah RM1.49.

Barangan keperluan dapur yang terpilih ini ditawarkan hanya pada 30 Mac sahaja.

KPM tidak bertolak ansur kes salah laku seksual babit guru, pelajar

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi amaran tidak akan bertolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikannya.

KPM berkata, pihaknya memandang serius kes salah laku seksual membabitkan guru dan pelajar seperti yang dilaporkan.

“Tiada tolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikan KPM,” tegas kementerian itu.

KPM berkata, kes berkenaan berada dalam perhatian KPM dan tindakan telah diambil mengikut garis panduan sedia ada.

“Kementerian juga bersedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, semua institusi pendidikan bawah KPM diminta untuk mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang berkuatkuasa bertujuan untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan murid.

Terdahulu, Ahad lalu media melaporkan polis sedang menyiasat laporan daripada keluarga pelajar lelaki berusia 17 tahun yang didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan guru sekolahnya sendiri.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, laporan diterima pada Disember tahun lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan dalam kes ini.

Ia susulan pendedahan ahli keluarga pelajar berkenaan yang mendakwa ibu remaja lelaki terbabit sudah membuat laporan polis serta laporan berasingan kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan lanjut.

Walaupun guru yang disiasat dalam kes ini dilaporkan sudah dipindahkan ke sekolah lain namun mereka mendakwa masih berhubung dan pernah bertemu dengan adiknya secara rahsia.

窗体底端

Perbualan intim guru bersama pelajar terbabit menerusi aplikasi WhatsApp turut dimuat naik dalam media sosial.

KoongWorld lancar single pertama Vin berjudul ‘Nail’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Album sulung penyanyi baru Korea, VIN yang bertajuk “Nail” telah dilancarkan di pelbagai laman muzik di media sosial pada 17 Februari lalu.

Single sulung Nail ini adalah lagu yang mengandungi perasaan seorang wanita yang biasa menggigit kuku sambil mengenangkan kekasih yang telah berpisah.

Single ini dikuatkan dengan skor Lo-Fi serta melodi yang mudah dan beralunan, juga dengan rentaknya yang menarik.

Lagu ini dipersembahkan dengan penyampaian suara Vin yang unik, jelas, dan memikat. Vokal Vin juga  dibantu oleh penulis lagu dan penerbit Yoon Sang-jo dan Kang Yeon-wook, yang telah bekerja dengan artis K-pop terkenal seperti IZ*ONE dan Ryu Soo-jung.

Ketika rakaman, mereka turut membantu VIN untuk meningkatkan daya tarikannya dalam lagu itu. VIN adalah artis solo wanita baharu yang telah mengembangkan kemahiran menyanyi dan persembahannya selepas lapan tahun latihan.

“Saya gembira akhirnya dapat mengeluarkan album sendiri selepas latihan yang lama.

“Saya juga ingin berjumpa dengan peminat-peminat melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, agensinya ‘KoongWorld’ adalah platform muzik baharu yang berdasarkan ‘Transaksi Langsung’, yang membolehkan pengguna memuat naik muzik mereka sendiri dan mendapatkan pendapatan jualan, menawarkan perkhidmatan kepada pemuzik di seluruh dunia, di mana segala-galanya dari pembuatan hingga penjualan muzik K-pop boleh diadakan.

Selain itu, pelbagai acara akan diadakan di laman web rasmi  (https://koong.world) bermula dari Mac 2024.

Pengurusan hakcikpta lagu ini di Malaysia adalah di bawah Luncai Emas Sdn Bhd, syarikat milik Datuk M Nasir.

Semarakkan Aidilfitri dengan ‘Balik Raya’ dendangan Nadeera, Wani Kayrie dan Indah Ruhaila

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Demi menyemarakkan sambutan Aidilfitri pada tahun ini, artis-artis wanita tanah air naungan Rocketfuel Entertainment iaitu Nadeera, Wani Kayrie dan Indah Ruhaila digandingkan dalam sebuah single Raya yang  cukup menghiburkan berjudul ‘Balik Raya’ hasil ciptaan komposer muda berbakat, Rushdan.

Lagu Raya dalam nuansa pop moden dengan elemen klasik ini telah mengambil masa selama 2 bulan untuk dihasilkan secara berperingkat melalui proses rakaman secara berasingan bagi setiap artis yang terbabit dan kemudiannya digabungkan menjadi sebuah karya yang lengkap.

Bagi pendatang baharu, Nadeera, pengalaman merakamkan lagu Raya pertamanya adalah momen yang tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila dan bakal menjadi kenangan manis buatnya.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan gembira kerana dapat menghasilkan lagu Raya ini bersama penyanyi-penyanyi hebat seperti Wani Kayrie dan juga Indah Ruhaila.

“Sebagai artis baharu, Raya kali ini lebih istimewa kerana mendapat ucapan Raya daripada peminat-peminat saya dan sambutan Aidilfitri kali ini mungkin tidak banyak bezanya kerana setiap tahun saya akan bersama keluarga dan memilih untuk bersederhana sahaja,” katanya.

Bagi Wani Kayrie, sesibuk mana pun kita dalam menjalani kehidupan sehari-hari, apabila menjelang hari perayaan pastinya akan pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga.

“Sebagai anak seni yang bekerjaya dalam mencari rezeki, bila tibanya Hari Raya pasti saya akan meluangkan masa untuk pulang ke kampung halaman di Sandakan, Sabah bertemu dengan keluarga tercinta.

“Pengertian Balik Raya itu bukan sahaja semata-semata pulang ke kampung, namun lebih lagi, sebagai umat Islam kita hanya merayakan Lebaran setahun sekali, rebutlah peluang ini untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga, manfaatkanlah masa bersama dengan sebaiknya.

“Pengertian bahagia itu hanya dengan bersederhana, bukannya serba-serbi baharu tetapi lebih mensyukuri dengan adanya orang-orang tersayang kerana pasca bencana Covid-19 yang lalu, ramai yang kehilangan ahli keluarga.

Buat pelantun lagu ‘Indah’, Indah Ruhaila, sebagai ahli terbaharu keluarga besar Rocketfuel Entertainment, pengalaman merakamkan muzik video (MV) Balik Raya pastinya tidak akan dilupakan.

“Bayangkan kami melakukakan proses penggambaran MV selama 24 jam. Kesemuanya wrap sekitar jam 5 pagi dan dilakukan sebelum bulan puasa lagi di Sekinchan.

“Paling seronoknya dapat bekerjasama dengan rakan-rakan artis lain di bawah satu bumbung. 

“Lebih menarik lagi, Wani dan saya sempat mencipta koreografi sendiri sewaktu penggambaran dan semoga menjadi dance challenge di media sosial nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Indah turut berkongsi pengalaman berniaga di Bazaar Ramadan ketika berumur 15 tahun.

“Waktu itu, best gila, walaupun kadang-kadang hujan dan paras air naik, saya tetap meneruskan perniagaan bersama keluarga dan pengalaman itulah yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, selain dapat berjumpa sanak-saudara dan berkumpul beramai-ramai di hari bahagia,” katanya.

Sementara itu Ketua Rocketfuel Entertainment Prem Anand berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, Rocketfuel pasti ada buah tangan terbaharu setiap kali bulan Ramadan menjelma dan demi menyemarakkan bulan puasa pada tahun ini, mereka gandingkan tiga artis sekaligus untuk hiburan semua.

“Semoga lagu ini terus terpahat di ingatan pendengar semua setiap kali Hari Raya dan terus trending di media sosial.

Nadeera, Wani dan Indah masing-masing sepakat berharap agar lagu ini akan berkumandang setiap kali Hari Raya menjelma serta menjadi siulan ramai orang dan terus menjadi evergreen.

 “Semoga lagu Balik Raya dari trio wanita-wanita hebat Rocketfuel ini dapat diterima baik oleh semua pendengar kerana melodinya yang easy-listening dan malar segar,” kata Wani.

Lagu ‘Balik Raya’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Cheongsam Merah Darah filem Cina seram taruhan terbaru pengarah muda

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sering kali kita didedahkan dengan filem seram Melayu, dari seberang dan dari Thailand.

Kali ini, VL Film Productions mempertaruhkan filem seram Cina yang sudah pun menemui penonton di seluruh pawagam sejak 21 Mac lalu.

Filem seram Cheongsam Merah Darah turut mendapat kerjasama daripada syarikat produksi Laku Pictures yang menampilkan Andy Ko, anak kepada legenda muzik Taiwan, Frankie Kao, sebagai watak utama.

Watak pelakon wanita diperankan oleh Miko Wong, seorang sensasi internet yang terkenal dan baru-baru ini mendapat kemasyhuran di Hong Kong.

Filem ini juga menampilkan pelakon muda Yuan Teng dan Lovell Tan, serta personaliti internet yang terkenal, YBB Yang Bao Bei, dan pelakon yang memenangi anugerah, Remon Lim.

Selain daripada jalan cerita yang misteri dan menarik, ciri utama filem ini terletak pada adegan-adegan seram, darah dan keganasan yang sukar untuk dibayangkan.

Filem ini mengetengahkan bakat pengarah muda iaitu VV Wee, yang turut digelar “pengarah yang bengkok” dalam industri.

VV berkata, dari awal perancangan menghasilkan filem ini, dia mahukan kelainan terhadap jalan cerita seram yang bakal dipaparkan.

“Saya inginkan sebuah kisah seram yang berdarah dan kejam, mungkin itu kepakaran saya seperti gelaran ‘perkara yang bengkok’ yang diberikan,” katanya.

Seorang graduan sekolah filem Jepun, VV dulunya adalah pengarah kreatif syarikat selebriti internet Red People dan begitu memahami kemahiran lakonan dan ciri-ciri ramai selebriti internet tempatan.

Ketika pemilihan pelakon, dia tidak ragu untuk mengambil pelakon bukan profesional dari dunia selebriti internet.

Bagi Miko Wong dan Yang Bao Bei, kerjasama terdahulu mereka dengan VV memberi sedikit pengalaman untuk mereka memahami kehendak pengarah terhadap watak masing-masing dalam cerita ini.

“Pengarah telah memberi amaran kepada kami untuk tidak mengharapkan sebuah penggambaran yang mudah. Kami perlu bersedia secara psikologi.

“Dia juga sempat mengusik kami dengan mengatakan penggambaran yang kami lalui ini pastinya akan sukar.

“Walaupun sedikit gugup, kami bersedia menerima cabaran itu,” kata Miko dan Yang.

Pernah bersekolah di Kuala Lumpur 10 tahun lalu, Andy Ko, mengakui pada awal sedikit bimbang ketika menerima tawaran menjayakan filem ini.

“Saya memainkan watak yang tidak baik dan terbabit dalam adegan katil yang intim dengan lebih daripada satu perempuan.

“Saya perlu menggambarkan kedua-dua versi watak yang dijayakan sebagai Jimmy dan Kodii disamping mengendalikan pelbagai emosi ekstrem ketika adegan seram.

“Rasa tekanan yang besar, membuatkan saya sukar untuk tidur dan berehat dengan baik selepas setiap hari penggambaran,” katanya.

Sinopsis

Cheongsam Merah Darah mengisahkan tentang empat orang pekerja syarikat pembersihan sementara yang melancong dari Kuala Lumpur ke sebuah rumah lama yang menakutkan di Melaka.

Ketika menjalankan perkhidmatan pembersihan, mereka secara tidak sengaja membebaskan roh pembalas dendam yang sudah lama tidur dari sebuah telaga di halaman belakang, yang membawa kepada pembunuhan yang mengerikan dan kejam.

Ternyata segala-galanya berkaitan dengan Cheongsam merah darah yang tersembunyi di bilik pemiliknya, dan tragedi ini disebabkan oleh pemilik Cheongsam berkenaan.

Adun Lembah Jaya semai kebaikan melalui Program Edaran Kari Ayam

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Di tengah-tengah bulan Ramadan yang penuh berkat ini, satu inisiatif yang tidak hanya menyuburkan jiwa tetapi juga melembutkan hati adalah program edaran kari ayam.

Ia diperkenalkan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet sebagai salah satu program yang menghadirkan kesempatan bagi masyarakat untuk bersatu dalam kebaikan.

Program Edaran Kari Ayam disempurnakan Setiausaha Politik Kanan Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar bertempat di Dewan Sri Watan, Lembah Jaya.

“Membangun bersama Lembah Jaya, kami berkongsi rezeki melalui program edaran kari ayam membawa bersama-sama rakan-rakan dari berbagai lapisan masyarakat sepanjang bulan mulia ini.

“Dalam menyediakan makanan untuk diedarkan kepada yang memerlukan, masyarakat secara langsung merasakan kebersamaan dan solidariti yang kuat.

“Ini bukan hanya tentang memberi makanan, tetapi juga tentang membangun jaringan saling percaya dan dukungan di antara sesama manusia terutama di bulan Ramadan,” katanya.

Ketika seseorang menerima sebungkus kari ayam, bukan hanya perut mereka yang terisi, tetapi juga hati mereka yang terasa hangat hasil kari yang dimasak secara bersama.

Program ini tidak hanya memberikan nutrisi bagi tubuh, tetapi juga menyentuh jiwa dengan pesanan untuk berbuat kebaikan.

“Di kala laman sosial penuh dengan ketegangan yang cuba ditimbulkan pihak tertentu, Lembah Jaya terus ke depan dan program ini adalah salah satu contoh.

“Program edaran kari ayam bukan hanya tentang memberi makanan kepada yang memerlukan, tetapi juga tentang membuka pintu bagi mereka yang ingin terbabit dalam kegiatan sosial yang bermanfaat.

“Melalui kerjasama sukarelawan dan sumbangan dari berbagai pihak, program ini tidak hanya menjangkau lebih banyak orang yang berpuasa tetapi juga memberikan kesempatan bagi individu-individu untuk bersama sifat komuniti secara positif dalam masyarakat,” kata Syed Ahmad.

Bagi orang ramai yang terbabit dalam program ini, pengalaman memberi dan menerima tidak hanya meninggalkan jejak pada perut tetapi juga dalam kenangan yang tak dilupakan dan hubungan yang berharga.

“Program Kari Ayam sedikit unik kerana ramai yang biasa dengan bubur lambuk ketika bulan puasa tapi Lembah Jaya hadir dengan keunikannya dan kita harap ia kekal,” katanya.

Dalam kesimpulannya, program edaran kari ayam adalah contoh nyata bagaimana kebaikan dapat disebarkan melalui tindakan sederhana namun bermakna.

“Di dalamnya terdapat kekuatan untuk menyatukan masyarakat, menyebarkan kebaikan, membuka pintu bagi keterlibatan sosial dan membentuk hubungan yang berharga,” katanya.

Lebih 100 masyarakat di Lembah Jaya yang bukan saja menerima kari ayam tapi juga barangan keperluan asas lain seperti beras, susu, minyak, gula dan sebagainya.

Lebih empat periuk besar digunakan untuk memasak kari ayam dengan lebih 20 sukarelawan terbabit dengan program ini.

Meraikan ulangtahun ke-10, Elrah Exclusive persembah filem pendek, ‘Mak’ kisah El Azman bikin sebak

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan ulangtahun ke-10 penubuhannya, jenama pakaian Elrah Exclusive tampil menghasilkan filem pendek berjudul Mak.

Filem yang dibarisi oleh duta-duta Elrah seperti Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Amir Ahnaf, MK K-Clique, Meerqeen dan Fadhli Masoot serta penampilan istimewa Khairy Jamaluddin (KJ) dan Shahril Hamdan itu mengisahkan cerita sebenar El Azman sendiri.

Naratif filem yang  sangat menyentuh hati ini berkisahkan perjalanan seorang remaja bernama Hilmi, yang mendambakan belaian dan kasih sayang ibunya.

Filem “Mak” menjalinkan kisah kerinduan seorang anak dan harapan ibu yang tidak berbelah bahagi.

Melalui penceritaan yang menyentuh hati ini, El Azman mengharapkan penonton dapat merasai kerumitan emosi dalam ikatan kekeluargaan dan kuasa kasih sayang seorang ibu yang kekal abadi.

Elrah Exclusive adalah salah satu jenama yang terkenal dalam fesyen baju melayu lelaki.

Ia sering mempersembahkan koleksi Baju Melayu dan Kurta yang tersendiri, melambangkan gaya dan keunggulan untuk si pemakai.

Ditubuhkan pada tahun 2014 di Bangi Sentral, Elrah Exclusive telah meluaskan jenamanya di seluruh Malaysia, dan kini melebarkan sayapnya ke pasaran Asia Tenggara.

Ia juga telah menjadikan jenama ini sebagai “Top Brand In Asia”.

Setiap koleksi yang direka dengan teliti mencerminkan revolusi industri fesyen terkini, terutamanya dalam Baju Melayu.

Barisan produk Elrah Exclusive memenuhi keperluan lelaki dengan mempromosikan ciri ketahanan dan penggunaan kain tekstil yang menjamin keselesaan kepada si pemakai.

Direka bentuk untuk memudahkan pemakaiannya, produk Elrah Exclusive melangkaui halangan usia, menggabungkan keanggunan abadi dan gaya kontemporari.

Beroperasi sebagai sebuah syarikat milikan tunggal, komitmen El Azman berpunca daripada aspirasinya untuk memupuk komuniti yang berfesyen, dimana individu menunjukkan keyakinan dalam menggayakan produk Elrah Exclusive.

KKM nasihat KPM tangguh aktiviti luar bilik darjah jika cuaca panas Tahap 1

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan buat sementara waktu di lokasi yang merekodkan status cuaca panas Tahap 1.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abdu Hassan, berkata jika cuaca panas terus berpanjangan sehingga bertukar status gelombang haba, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil tindakan selanjutnya antaranya dengan menutup institut pendidikan di bawah kelolaannya.

“Sekiranya status cuaca bertukar kepada status gelombang haba, tindakan selanjutnya boleh diambil oleh KPM sebagaimana Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016, Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Gelombang Haba 2021 yang dikeluarkan KKM.

“Ia termasuk Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Semasa Cuaca Panas yang dikeluarkan pada 18 April 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu merujuk status cuaca panas yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam, membabitkan Perlis yang mengalami gelombang haba dengan suhu maksimum harian di negeri itu melebihi 37 darjah Celsius sejak 19 Mac lalu.

Cuaca panas Tahap 1 pula direkodkan di sebahagian besar Kedah meliputi Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik dan Baling.

Beberapa kawasan di Perak termasuklah Hulu Perak dan Kuala Kangsar turut mengalami cuaca panas Tahap 1.

Cuaca panas Tahap 1 merujuk suhu maksimum harian melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius.

MET Malaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius masih berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung dan Sabah hingga bulan depan.

Mengenai pendedahan kepada cuaca panas yang berpanjangan, Dr Muhammad Radzi berkata ia boleh memudaratkan kesihatan terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas termasuk individu menghidap penyakit kronik.

Katanya, murid-murid sekolah antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas.

Beliau menjelaskan ia disebabkan faktor fisiologi dan kurang pengambilan air.

“Sehubungan itu, KKM menasihati ibu bapa untuk memastikan anak-anak mengambil air secukupnya.

“Bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadan ini, ketika bersahur dan berbuka puasa hendaklah meminum air yang mencukupi.

“Awasi tahap hidrasi dan kesihatan anak-anak sepanjang berpuasa,” katanya.

Vibes lagu raya 70-an dalam Syukurnya Raya, Vit’s Kan Ada

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan Ramadan ini, VIT’S melancarkan lagu dan muzik video raya yang bertajuk “Syukurnya Raya, Vit’s Kan Ada” dengan penampilan khas penyanyi lagenda negara Datuk Khadijah Ibrahim.

Membawa sedikit kelainan dengan mencipta lagu raya bersama Khadijah Ibrahim, seperti tahun sebelumnya, VIT’S lebih memfokuskan kepada pelbagai promosi seperti drama raya yang memberi banyak pengajaran dalam kehidupan dengan inisiatif yang mendekatkan jenama dengan pengguna di Malaysia yang lebih terhibur dengan drama atau sketsa di bulan Ramadan dan Aidilfitri.

Penghasilan muzik video dan lagu Syukurnya Raya VITS Kan ada ini mengambil masa 1 bulan yang bermula dari penghasilan lirik oleh Baizura Tazri, penghasilan melodi oleh Syahir Miswan, muzik yang di gabungkan oleh Aliyas Zakaria serta konsep muzik video oleh Hairul Asyraf.

Lagu dan muzik video ini menampilkan suasana beraya di zaman 1970-an serta transformasi ke zaman moden kini bersesuaian dengan perjalanan di sebalik jenama VIT’S yang telah bermula sejak tahun 1975 lagi.

VITS adalah jenama mi segera buatan Malaysia yang sudah lama bertapak di Malaysia sejak 1975.

VITS juga pemegang sijil Halal Jakim sejak 1980-an dan telah melebarkan sayap ke lebih 25 pasaran antarabangsa.

Pengarah Urusan VIT’S YT Lai berkata, tahun ini VIT’S membawa banyak kelainan dalam penghasilan produk yang lebih memikat selera.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Noodlesman Malaysia juga memberitahu VIT’S telah melancarkan mi segera terbaharu yang diberikan nama Pan Mee Segera.

“Tekstur mi yang lebih tebal dan kenyal, sesuai untuk kita seisi keluarga,” katanya.

Lagu Syukurnya Raya, VIT’S Kan Ada kini boleh di stream secara digital rasmi di semua portal muzik digital dan media sosial.