27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

Janji Berbaloi 149 kembali, TV9 dan ST Rosyam Mart kongsi rezeki di bulan Ramadan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bulan Ramadan bulan yang mulia bagi mengeratkan ikatan rohani dan sosial sesama kita serta memperbaiki hubungan dengan Allah.

Rentetan daripada Janji Berbaloi 149 tahun lalu, TV9 sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan ST Rosyam Mart untuk berkongsi rezeki dengan menawarkan pakej barangan dapur terpilih dengan harga istimewa serendah RM1.49 khas buat pengunjung yang terawal.

Janji Berbaloi 149 akan berlangsung pada 30 Mac ini di cawangan terbaharu ST Rosyam Mart bertempat di Semenyih pada jam 10 pagi. 

Ini adalah tahun ketiga TV9 menganjurkan kempen Janji Berbaloi dalam meringankan beban orang ramai bersempena dengan kempen Ramadan Raya Media Prima, RaRa Macam Dulu-Dulu. 

Pengurus Besar Program dan Kandungan Penyiaran TV9 Khairunnisa Kamarulzaman berkata, pihaknya sangat gembira dan teruja kerana sekali lagi dapat menjayakan kempen Janji Berbaloi ini.

“Objektif kita ialah ingin membantu dan meringankan beban orang ramai di musim perayaan ini. Oleh itu, kita menawarkan barangan keperluan asas di dalam pek Janji Berbaloi (yang mengandungi beras 5 kg, minyak masak 2 kg, gula 1 kg dan telur ayam 15 biji) pada harga RM1.49 sahaja.

“Kami berharap dapat menerima sambutan positif daripada penonton TV9 seperti tahun-tahun lalu dan jangan ketinggalan untuk sama-sama memeriahkan lagi kempen ini,” katanya.

Selain daripada pembelian pek istimewa ini, TV9 turut membawakan khas dua lagenda Senario iaitu Wahid dan Yassin bagi menzahirkan penghargaan buat semua penonton setia TV9 bersempena dengan tayangan istimewa filem-filem popular Senario di Hari Raya Aidilfitri nanti.

Turut hadir bagi memeriahkan suasana ialah hos program bual bicara TV9, Nasi Lemak Kopi O iaitu Fizo Omar. 

Jangan lepaskan peluang anda kerana TV9 menawarkan pakej produk masakan harian terhad kepada 250 orang terawal sahaja dengan harga istimewa serendah RM1.49.

Barangan keperluan dapur yang terpilih ini ditawarkan hanya pada 30 Mac sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular