GOMBAK – Dalam usaha memberi kesedaran keselamatan jalan raya terhadap pengguna, Yayasan Ikhlas mengambil inisiatif dengan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya (KKJR) sepanjang Ramadan dan Syawal ini.
Bertempat di Plaza Tol Gombak, kempen itu turut mendapat kerjasama daripada ANIH Berhad dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Bilal Jailani berkata, inisiatif itu dilakukan bagi meningkatkan kempen keselamatan pengguna dalam usaha bersama-sama membantu menurunkan peratusan jumlah kematian akibat kemalangan musim perayaan sebanyak 10 peratus.
Katanya, kempen itu adalah usaha kolaboratif untuk sama-sama berusaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya.
“Di bulan Ramadan yang penuh berkat ini, marilah kita mengukuhkan rasa kasih sayang, peduli dan bertanggungjawab terhadap satu sama lain dengan memastikan keselamatan perjalanan kita bersama.
“Ini adalah langkah kecil tetapi bermakna dalam menyumbang kepada masyarakat yang lebih selamat dan harmoni,” katanya pada sidang media kempen berkenaan, hari ini.
Hadir sama pada kempen itu Pengarah Penyelidikan Kejuruteraan Jalan Raya dan Persekitaran (Reer) MIROS, Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan dan Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Datin Radzimah Mohd Radzi.
Pada kempen itu sebanyak 300 pek Ramadan ‘on-the-go’ serta risalah keselamatan jalan raya turut diedarkan kepada pengguna jalan raya.
SINGAPURA – Singapura mengekalkan kedudukannya sebagai negara paling bahagia di Asia untuk tahun kedua berturut-turut dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2024.
Namun begitu, di peringkat global ia jatuh lima anak tangga di kedudukan ke-30, lapor Berita Mediacorp.
Laporan tahunan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu, dikeluarkan pada Rabu.
Ia juga mendapati warga Singapura berumur bawah 30 tahun berada pada kedudukan lebih rendah dari segi kebahagiaan yang diukur berbanding rakan mereka dan berbanding warga berusia lebih 60 tahun.
Kedudukan itu berdasarkan tinjauan pendapat global yang dijalankan oleh Gallup, firma yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), yang meminta responden menilai kehidupan mereka pada skala 0 hingga 10.
Ia meninjau kira-kira 1,000 responden setiap negara setiap tahun, dengan kedudukan setiap tahun berdasarkan data yang dikumpul untuk tiga tahun terakhir.
Untuk laporan 2024, data dari 2021 hingga 2023 telah digunakan.
Kedudukan Singapura di senarai itu terus meningkat sejak tiga laporan lalu.
Ia berada di kedudukan ke-25, ke-27 dan ke-32 di peringkat global masing-masing pada tahun 2023, 2022 dan 2021.
“Finland masih berada di kedudukan teratas, dengan Denmark kini sangat hampir dan kelima-lima negara Nordik dalam 10 kedudukan teratas,” kata laporan itu.
Bagaimanapun, lebih banyak perubahan ketara dicatat dalam 10 kedudukan seterusnya dengan beberapa negara Eropah timur meningkat dalam senarai berkenaan manakala AS dan Jerman masing-masing terkeluar daripada 20 teratas kepada tempat ke 23 dan 24.
Mendahului carta global daripada 143 tempat yang ditinjau laporan tahun ini ialah Finland, diikuti oleh Denmark, Iceland, Sweden dan Israel.
Turut diletakkan di atas Singapura ialah negara-negara di benua Asia tetapi diiktiraf sebagai sebahagian daripada rantau Timur Tengah, seperti Kuwait (ke-13), Amiriah Arab Bersatu (ke-22) dan Arab Saudi (ke-28).
Malaysia menduduki tempat ke-59 manakala Indonesia di tempat ke-80. – Agensi
KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk menolak tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada Jumaat selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.
“Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
“Ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
KBS berkata, sesi penerangan mengenai tawaran berkenaan telah dibuat hasil pertemuan bersama deligasi CGF, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua pada 5 Februari lalu.
“Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.
“Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini,” katanya.
Sementara itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selaku Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia menghormati dan akur dengan keputusan ditetapkan kerajaan.
Presiden CGA Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Belia dan Sukan atas kesudian mempertimbangkan tawaran CGF.
“Selepas mengambil kira semua aspek penganjuran termasuk implikasi kewangan, kami memahami keputusan Kerajaan untuk memberi keutamaan kepada keperluan rakyat,” katanya.
窗体底端
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998 dan kembali menerima tawaran penganjuran sukan berkenaan bagi tahun 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri sebagai penganjur.
Victoria yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 menarik diri pada Julai tahun lalu disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan dari jangkaan awal AU$2.6 bilion (sekitar RM8.09 bilion) kepada AU$7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).
Berikutan itu, CGF membuat tawaran kepada Malaysia untuk menggantikan Victoria dan ia dilihat sebagai peluang terbaik berikutan ia hadir dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.
Bagaimanapun, beberapa pihak menzahirkan pandangan agar kerajaan meneliti tawaran itu sebaiknya mengambil kira tahap keupayaan Malaysia untuk melakukan persiapan dalam tempoh dua tahun, apatah lagi ketika negara masih berdepan masalah ekonomi.
PETALING JAYA – Keterujaan kembali apabila industri seni Malaysia bersiap sedia untuk mempamerkan bakat yang mempesonakan pada edisi ke-19 Anugerah Seni Cameronian BOH (19BCAA).
Bersedia untuk merai kecemerlangan penggiat seni persembahan negara yang terus memikat penonton dan mengekalkan semangat seni sepanjang tahun lalu.
Seraya kita bersedia untuk menghargai persaudaraan seni tempatan yang cemerlang, kita juga akan bersama-sama menikmati keajaiban yang mereka ciptakan, menyemarakkan hati dan minda dengan keazaman dan kreativiti mereka yang tidak terbatas.
Pencalonan 19BCAA sudahpun diumumkan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) di 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya pada 18 Mac lalu.
Ini adalah kemuncak acara yang dinilai sepanjang tahun lalu, dengan 74 produksi dari kategori tarian, muzik, teater muzikal dan teater diadili oleh sekumpulan juri yang hebat.
Terdapat sejumlah 37 sub-kategori termasuk Persembahan/Pelakon Terbaik untuk Watak Utama, Kostum Terbaik, Penggayaan & Solekan, Nilai Produksi dan lebih banyak anugerah untuk kategori bakat persembahan, teknikal & kreatif.
Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations Jason Foo berkata, 19BCAA adalah sesuatu yang istimewa kepada BOH kerana ia bertepatan dengan Ulang Tahun ke-95.
“Jika diimbas kembali, saya melihat terdapat banyak persamaan antara menyempurnakan seni pembikinan teh dan memajukan industri seni persembahan.
“Kedua-duanya memerlukan semangat yang tidak putus-putus dengan antusias yang kuat, dedikasi dan komitmen untuk menguasai kraf masing-masing.
“Melangkah ke hadapan, janji BOH adalah untuk sentiasa melabur dalam usaha ‘sustainabili–tea’ supaya kami boleh meneruskan pembuatan.
“Matlamat dalam perjalanan jenama kami adalah untuk berkongsi teh yang lazat kami dengan generasi akan datang disamping meningkatkan kesejahteraan komuniti yang kami berkhidmat.
“Saya yakin industri seni persembahan juga akan terus memupuk pertumbuhan ekspresi kreatif dan memacu kecemerlangan pada tahun-tahun mendatang. Inilah ‘tea toast’ kepada 19BCAA dan semua penggiat seni persembahan di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kakiseni Low Ngai Yuen berkata, ketika pihak mereka mendedahkan pencalonan 19BCAA, adalah penting untuk mengiktiraf dedikasi yang dicurahkan tanpa henti-henti sama ada di atas dan luar pentas.
“Penganugerahan ini bukan sahaja mengenai bakat ia adalah pengiktirafan kecemerlangan yang dipamerkan melalui antusias yang tidak terkira banyaknya, sinonim dengan komuniti seni persembahan Malaysia.
“Ini adalah tahun ke-19 Anugerah Seni BOH Cameronian, oleh itu marilah kita sama-sama luangkan sedikit masa untuk mengiktiraf legasi di sini.
“BCAA telah menjadi juara kecemerlangan yang teguh selama hampir dua dekad, berdedikasi untuk mengiktiraf yang terbaik.
“Di samping itu, adalah penting untuk menyerlahkan usaha berterusan dalam penghakiman dan inovasi dalam seni persembahan. Perubahan sedang berlaku dalam industri seni persembahan dan BCAA menerima evolusi ini, memastikan inovasi dan kebolehsuaian dinilai bersama tradisi dan penguasaan.
“Pasti akan ada kemas kini dan tweak terhadap format serta metodologi penghakiman untuk BCAA pada masa akan datang.
“Ini adalah komitmen untuk kekal relevan dan responsif terhadap sifat dinamik persada seni persembahan. Ini bagi menghormati legasi dan terus meningkatkan bakat luar biasa untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.
Tema tahun ini Pentas Kehidupan: Meneroka Tanpa Batasan, telah dipilih untuk meraikan penerokaan kreativiti tanpa batas dalam komuniti seni persembahan.
Dari yang biasa kepada yang luar biasa, pengalaman hidup berfungsi sebagai muse ultimate untuk inovasi dan imaginasi, dan BCAA ingin mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada kuasa transformatif seni serta kekayaan dan kerumitan pengalaman manusia.
Anugerah Seni BOH Cameronian dengan bangganya disokong oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan disokong oleh penaja utama, BOH Plantations.
Majlis Anugerah untuk 19BCAA dijadualkan berlangsung pada 5 Mei depan.
KUALA LUMPUR – HONOR mengumumkan pelancaran tiga telefon pintar flagship baharu iaitu HONOR Magic6 Pro, PORSCHE DESIGN HONOR Magic V2 RSR dan PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR.
Peranti baharu dalam Siri Magic HONOR ini ditawarkan pada harga bermula dari RM4,499. Selain itu, HONOR turut melancarkan tablet terbaharu HONOR Pad 9 yang direka untuk kerja dan hiburan.
Susulan pelancaran global telefon boleh lipat PORSCHE DESIGN HONOR Magic V2 RSR di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2024, HONOR Malaysia turut mengumumkan kerjasama terbaharu jenama ini dengan Porsche iaitu PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR.
Discover the Magic Dengan HONOR Magic6 Pro
HONOR Magic6 Pro menawarkan kemajuan dalam fotografi, paparan, prestasi dan pengalaman pengguna dikuasakan AI.
Peranti ini tampil dengan Sistem Kamera Falcon yang dinaik taraf terdiri daripada Kamera Utama 50MP, Kamera Ultra Lebar 50MP dan Kamera Tele-falcon HONOR 180MP.
Kamera Tele-falcon mempunyai keupayaan zum digital 100X mengagumkan untuk menangkap imej zum dekat dengan lebih jelas, sangat sesuai untuk acara sukan. Menariknya, algoritma HONOR AI Motion Sensing Capture mampu meramalkan detik terbaik dan menghasilkan gambar dalam definisi ultra tinggi.
Bagi memberi pengalaman pengguna terbaik, skrin HONOR Magic6 Pro dihasilkan daripada Pelindung NanoCrystal HONOR yang adalah sepuluh kali lebih kuat daripada kaca biasa.
Selain itu, peranti ini didatangkan dengan Paparan Keselesaan Mata LTPO Kuasa Rendah Semua Julat 6.8-inci yang terkemuka dalam industri untuk kesihatan mata pengguna.
Sama ada menonton filem atau melayari media sosial, paparan peranti ini mempunyai Pemalapan PWM 4320Hz yang tertinggi dalam industri bersama Pensijilan Bebas Kerlip TÜV Rheinland untuk tontonan mengasyikan.
Dengan generasi kedua bateri karbon silikon 5,600mAh, pengguna usah bimbang tentang bateri cepat habis. Ia disokong pengecas pantas berwayar HONOR Wired SuperCharge 80W dan mampu membekalkan kuasa yang penuh dalam tempoh kurang 40 minit.
HONOR Magic6 Pro dikuasakan oleh cipset terkini Snapdragon 8 Gen 3 untuk prestasi hebat serta keupayaan AI generatif untuk perhubungan lancar.
Peranti ini beroperasi dengan MagicOS 8.0 terbaharu sistem pengendalian berasaskan Android HONOR. Ia adalah UI berasaskan niat yang pertama dalam industri yang boleh memahami bahasa, imej, gerak isyarat dan pergerakan mata untuk memahami kemahuan pengguna.
Ciri seperti Magic Portal memudahkan tugas berdasarkan tingkah laku pengguna, manakala Magic Capsule menyediakan akses segera kepada maklumat tanpa perlu membuka beberapa aplikasi untuk pengalaman pengguna yang cekap.
HONOR Pad 9 – Perfect Work-Play Balance
HONOR Pad 9 dilengkapi Paparan Keselesaan Mata 12.1-inci 2.5K dengan kadar segar semula 120Hz, sistem audio pembesar suara lapan keliling yang menggabungkan teknologi penalaan bunyi HONOR Histen dan cipset Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1. Ia menawarkan pengalaman pengguna yang luar biasa dan reka bentuk menarik.
Tablet ini hadir dengan 8GB HONOR RAM Turbo yang boleh ditingkatkan kepada 16GB dan memori 256GB bagi membolehkan pengguna menyimpan lebih banyak koleksi multimedia serta, melakukan pelbagai tugas dengan lancar dan prestasi cekap.
HONOR Pad 9 didatangi dengan dua versi iaitu Wi-Fi dan 5G. Model 5G adalah pilihan baharu yang tidak ditawarkan dari model sebelumnya. Penambahbaikan membolehkan pengguna berhubung dan muat turun fail dengan lebih pantas serta penstriman lebih lancar.
Dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1, HONOR Pad 9 juga mempunyai bateri berkapasiti tinggi 8300mAh untuk bertahan lama sepanjang hari.
Memperkenalkan PORSCHE DESIGN HONOR Magic V2 RSR
Bersama siri Magic6, HONOR turut memperkenalkan PORSCHE DESIGN HONOR Magic V2 RSR. Telefon boleh lipat edisi khas HONOR Magic V2 ini telah dilancarkan di Malaysia awal tahun ini. Peranti eksklusif ini diilhamkan oleh sukan permotoran, tampil dengan reka bentuk hud Porsche 911. Berat peranti ini 234g dan hanya 9.9mm tebal. Ini menjadikannya telefon boleh lipat ini paling nipis dan ringan di dunia.
Engsel Titanium Super Ringan PORSCHE DESIGN HONOR Magic V2 RS menambah kebolehpercayaan dan menampilkan gaya. Menambahkan ciri-ciri inovatif telefon boleh lipat ini ialah Pelindung NanoCrystal Anti Calar yang pertama dalam industri, memberikan rintangan terhadap calar sepuluh kali ganda.
Dengan penarafan kekerasan melebihi tujuh pada skala Mohs, Pelindung NanoCrystal Anti Calar menawarkan perlindungan unggul terhadap kerosakan.
PORSCHE DESIGN HONOR Magic V2 RSR dikuasakan dengan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 dan mempunyai tiga kamera terdiri daripada Kamera Utama 50MP, Kamera Telefoto 20MP dan Kamera Ultra Lebar 50MP. Peranti ini dimuatkan dengan Bateri Karbon Silikon 5000mAh dan menyokong pengecasan pantar berwayar HONOR Wired SuperCharge 66W dan disertakan dengan stylus.
PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR
PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR adalah inspirasi daripada reka bentuk kereta mewah Porsche Taycan. Bahagian belakang dan bingkai logam peranti ini menyerupai penggayaan vertical hadapan kereta, manakala modul kamera belakang meniru struktur heksagon Porsche, sepadan dengan warna dan teksturnya.
Tersedia dalam warna Agate Grey dan Frozen Berry, peranti ini menampilkan sensor Super Dynamic HONOR Falcon Camera H9800 dan julat dinamik 15EV dipertingkatkan yang adalah enam kali lebih banyak daripada generasi sebelumnya.
Tangkap video dan foto dengan jelas walaupun dalam keadaan pencahayaan yang mencabar. Selain itu, peranti ini mempunyai Sistem Autofokus Matriks LiDAR yang canggih untuk tangkapan lebih pantas dan tepat.
Selain itu, bahagian hadapan PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR didatangi dengan HONOR Anti-calar NanoCrystal Shield yang terkemuka dalam industri dan dibuat daripada silikon nitrida, bahan kukuh dalam industri aeroangkasa dan automotive bagi memberi ketahanan jangka panjang.
Peranti ini turut menyertakan HONOR NanoCrystal Shield di bahagian belakang yang berupaya meningkatkan penyerapan hentakan sehingga sepuluh kali ganda untuk menahan jatuh secara tidak sengaja serta meningkatkan ketahanan.
Dari segi bateri, PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR mempunyai Bateri Karbon Silikon Generasi Kedua HONOR 5600mAh, dan Power Enhanced Chip HONOR E1 untuk ketahanan dan prestasi optimum walaupun dalam keadaan suhu rendah.
PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 yang termaju dan beroperasi pada MagicOS 8.0 berasaskan Android 14.
Harga dan Ketersediaan
HONOR Magic6 Pro direka untuk pengguna yang menggemari gaya anggun dan moden. Peranti ini hadir dalam 12GB RAM dan storan 512GB. Ia ditawarkan dalam Epi Green dan Black pada harga RM4,499. Prapesanan bermula hari ini hingga 27 Mac dengan deposit RM66.
Hadiah percuma eksklusif bernilai sehingga RM1,960, termasuk HONOR Watch 4, HONOR Earbuds X6, Jaminan Lanjutan 1 Tahun dan Penggantian Retak Depan & Belakang 365 hari. Pembeli juga akan mendapat rebat deposit 5 kali selepas pembayaran penuh.
HONOR Pad 9 didapati dalam dua warna menarik iaitu Space Grey dan Cyan Lake. Mulai 28 Mac, versi Wi-Fi akan tersedia untuk pembelian di seluruh negara pada harga RM1,499.
Hadiah percuma menarik bernilai RM698 menanti, termasuk papan kekunci Pintar HONOR Pad 9 Smart Bluetooth Keyboard dan HONOR CHOICE Pencil. Sementara itu, versi 5G akan tersedia di pasaran pada 19 April.
PORSCHE DESIGN HONOR Magic V2 RSR didatangkan dalam warna Agate Grey dan berharga RM10,999. Mereka yang sebelum ini mendaftar untuk mencuba peranti ini akan menerima pautan eksklusif untuk pembelian.
Sementara itu, PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR ditawarkan pada harga RM7,499 dengan 24GB RAM dan storan 1TB. Mereka yang berminat untuk mencuba telefon ini boleh mendaftar untuk mendapatkan jemputan eksklusif melalui laman web rasmi HONOR di sini.
KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung semua operasi penerbangan membabitkan pesawat Blackshape model BS 115, BK 160, BK 60-200 dan BK 160TR dalam ruang udara Malaysia, berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, penggantungan ini selaras dengan Arahan Kelayakan Udara Kecemasan (EAD) (AD No.: 2024-0074-E) yang dikeluarkan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) iaitu pihak berkuasa bagi pembuatan pesawat berkenaan pada 18 Mac untuk menggantung operasi penerbangan semua pesawat Blackshape, termasuk semua nombor siri berkuat kuasa pada 20 Mac.
Beliau berkata, penerbitan EAD oleh EASA adalah ekoran kemalangan maut membabitkan pesawat Blackshape baru-baru ini, yang telah meningkatkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan.
“CAAM komited dalam mengutamakan keselamatan penerbangan di Malaysia dan akan mengambil semua tindakan yang sewajarnya bagi memastikan operasi penerbangan yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, 13 Februari lalu, pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR yang dikendalikan oleh Aviation Safety Technology Pte Ltd, Singapura, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor ke kawasan barat Kapar untuk penerbangan riadah atau rekreasi.
Dalam kejadian pada jam 1.36 petang itu, pesawat berkenaan terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Selangor dan ditemukan musnah serta kedua-dua individu iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat itu, terkorban.
Laporan Awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan setebal 58 muka surat yang dikeluarkan 13 Mac lalu antaranya menunjukkan berlakunya penyelenggaraan yang tidak teratur dan berat melepasi had, yang direkodkan dalam penilaian kerosakan.
Laporan itu turut menyebut pesawat terbabit juga tidak dilengkapi dengan sebarang perakam data penerbangan selain dua paparan penerbangan utama Garmin G3X GDU 460 di kabin depan dan di kabin belakang pesawat.
KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Ernie Zakri kian menempa nama di Indonesia apabila menjadi penyanyi tempatan pertama tercalon pada acara anugerah berprestij sebuah stesen televisyen di sana iaitu SCTV Music Awards.
Pada acara itu, Ernie Zakri turut tercalon dalam tiga kategori menerusi gandingannya bersama pemuzik terkenal, Ade Govinda dalam lagu Masing Masing.
Kategori itu terdiri daripada Kolaborasi Paling Ngetop, Video Klip Paling Ngetop dan Lagu Pop Paling Ngetop.
Lebih membanggakan juga apabila lagu Masing Masing, lagu kolaborasi antara Universal Music Malaysia dan MyMusic Records yang digubah dan ditulis oleh Ade bersama Nabila V menduduki tangga teratas carta stesen radio di kedua-dua negara, iaitu GEN98.7 FM Jakarta di Indonesia serta Best FM dan Era FM di Malaysia.
Ernie yang juga pemenang Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2022 berkata, dia bersyukur dan bangga kerana lagu Masing Masing diterima baik peminat di Indonesia.
“Saya sangat gembira kerana lagu saya sampai ke Indonesia. Sungguh menggembirakan melihatnya bergema dengan pendengar di sana.
“Terima kasih Indonesia, kerana menerima Masing-Masing dan menjadikannya melonjak di carta radio anda,” katanya.
Bagi Ade Govinda, kolaborasi bersama Ernie satu pengalaman yang cukup manis dan hebat.
“Saya juga mewakili MyMusic Records sangat gembira mendengar khabar lagu karya saya berjudul Masing Masing yang dinyanyikan indah oleh Ernie Zakri berjaya menduduki tempat pertama di kebanyakan carta radio Indonesia dan Malaysia.
“Semoga kolaborasi ini boleh membawa penyanyi lain juga untuk bekerjasama antara dua negara dengan hasil yang membanggakan juga. Terima kasih pendengar Indonesia dan Malaysia yang sudah menikmati lagu Masing Masing,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Kim Lim berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan padu kepada Ernie Zakri.
“Universal Music Malaysia turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian dan pengiktirafan yang diperoleh melalui kerjasama ini dengan komposer terkenal Ade Govinda.
“Saya berasa gembira dan bangga kerana sekali lagi kolaborasi antara kemantapan vokal Ernie Zakri dengan sentuhan emas pencipta lagu terkenal Indonesia Ade Govinda membuahkan hasil yang memberangsangkan bukan sahaja di Malaysia tetapi merentasi sempadan dan sesuai dengan cita rasa pendengar yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Karya muzik ini mendaki carta dengan pantas di kedua-dua negara dan berjaya menawan hati pendengar. Kejayaan ini membuka peluang baharu untuk artis Malaysia dalam pasaran nusantara dan membuktikan kepentingan kerjasama rentas negara dalam industri muzik yang sentiasa berkembang,” katanya.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Rosmin Hashim pula berkata, pihaknya bangga atas pencapaian cemerlang Ernie di sana.
“Kami amat berbangga kerana salah seorang artis Malaysia mencapai kejayaan cemerlang di Indonesia. Pencapaian terbaru ini membuktikan sekali lagi bahawa bakat Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk menembusi pasaran muzik serantau dan global.
“RIM akan meneruskan usahanya untuk memupuk kerjasama yang saling menguntungkan antara bakat Malaysia dan Indonesia.
“Tahniah diucapkan kepada Ernie, Ade Govinda dan Universal Music Malaysia atas kejayaan manis ini,” katanya.
Lagu Masing Masing juga dipilih sebagai pembuka cerita kepada album perdana miliknya, yang juga single pertama memperkenalkan Aura.
KUALA LUMPUR – Baru sahaja menggondol anugerah Vokal Terbaik dan tempat ketiga di acara berprestij Anugerah Juara Lagu ke-38, penyanyi berbakat besar Aini Abdul muncul pula dengan sebuah karya kerohanian berjudul ‘Kembara Nabawi’.
Menariknya kali ini, lagu ini bukan ciptaan atau tulisan Aina sendiri tetapi ia dicipta oleh Anep Otwo, Alan Otwo dan FJ Muzik dengan lirik sentuhan FJ Muzik juga.
Seperti judulnya, lagu serta penulisan karya ini mengangkat kisah perjuangan serta kehidupan tokoh junjungan besar umat Islam iaitu Nabi Muhammad Rasulullah SAW dalam menegakkan Islam.
“Untuk lagu ini saya, Anep Monosterio dan Alan Monosterio merasakan sesuatu yang luar biasa dari segi penyampaian serta vokal Aina , ini kerana Aina mempunyai kebolehan menyampaikan lagu ini dengan penuh ikhlas sambil mampu menceritakan kisah di sebalik lirik berkenaan.
“Aina seorang penyanyi yang sangat luar biasa dan semestinya kami sangat teruja dapat bekerjasama dengan seorang penyanyi yang sememangnya sangat dikenali di Malaysia,” kata Anep Otwo selaku salah seorang pencipta lagu ini.
Untuk menghasilkan karya ini, terdapat beberapa rujukan yang perlu dilakukan terlebih dahulu.
“Dari segi penulisan lagu ini, ia ditulis oleh saudara FJ Muzik dan semua ini datangnya dari hasil membaca kisah Rasulullah SAW, tapi dalam masa yang sama agak susah untuk kami singkatkan dan menjadikannya sebuah lirik yang lengkap dan mahu setiap patah kata dalam lirik ini menjadi padat serta pendengar dapat merasai kisah di dalam lirik ini.
“Moga lagu serta penulisan ini akan membuatkan kami serba sedikit tahu secara ringkas tentang perjalanan dan kehidupan Nabi Muhammad SAW,” kata Anep lagi.
Lagu ini juga ditampilkan dengan sebuah video muzik dan telah dilancarkan bersama sejak 8 Mac lalu pada jam 12 pagi waktu Malaysia.
‘Kembara Nabawi’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.
KUALA LUMPUR – Hampir 7 tahun melalui pelbagai fasa jatuh dan bangun dalam dunia perniagaan, pelakon, pengacara dan usahawan Zoey Rahman masih meletakkan dirinya dalam proses belajar dan memahami selok belok perniagaan.
Zoey atau nama sebenar Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berkata, memiliki Diploma dalam bidang Hiasan Dalaman membuatnya berhasrat untuk menyambung pengajian di dalam bidang ekonomi dan perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi.
Ini bagi menambah ilmu dan dan meluaskan pengetahuan dalam mengurus tadbir dan mengembangkan perniagaan.
“Bagi saya ilmu itu adalah perkara asas yang paling penting jika seseorang mahu menceburi sesuatu bidang dan ingin berjaya.
“Sebelum ini saya sering mengikuti kursus latihan jangka pendek dan ianya masih belum mencukupi kerana semakin digali semakin banyak yang perlu kita tahu dan belajar,” katanya.
Zoey berkata, dia terfikir untuk melanjutkan pengajian di UKM kerana pernah dicadang dan ditawarkan secara tidak langsung oleh Pegawai tinggi UKM ketika mengendalikan majlis MOU antara Usanita dan UKM tahun lalu.
Zoey yang mula berjinak dalam dunia perniagaan dan menubuhkan syarikat miliknya Mikaseries Sdn Bhd sejak 7 tahun yang lalu, rasa terpanggil untuk memulakan perniagaan kerana terfikir sebagai anak seni dia perlu menyediakan ‘backup plan’ untuk jangka masa panjang.
“Jadi anak seni kena bijak mengatur masa depan. Kerana industri hiburan di negara kita bukanlah seperti Hollywood. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah.
“Oleh itu kena selalu bijak mengendalikan pendapatan yang ada dan jangan sesekali boros dan rasa duit yang kita dapat tu banyak dan takkan habis.
“Saya selalu dinasihatkan dari awal agar kembangkan pendapatan yang ada dan jangan sesekali terfikir untuk mewah berbelanja.
“Atas kesedaran itu saya mulakan perniagaan sewaktu saya sedang rancak menerima tawaran berlakon dan pengacaraan,” katanya.
Zoey berkata, dia sedikit pun tidak pernah terasa atau malu dengan kata-kata segelinitir pihak yang tertawa sinis apabila dia mula mengeluarkan skin care dan kosmetik di bawah jenama sendiri iaitu Mikaseries 7 tahun lalu.
“Saya tak kisah apa yang orang cakap, sebab masa depan saya dicorakkan oleh diri sendiri. Alhamdulillah berkat kesabaran dan bantuan team, kami berjaya mengembangkan perniagaan dan melepasi piawaian untuk meletekakan jenama produk Mikaseries ke lebih 110 rangkaian Watsons Malaysia dan mensasarkan untuk masuk ke lebih 150 rangkaian Watsons seluruh Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak penghujung tahun ini.
“Selain Watsons kami juga ada menerima tawaran dari beberapa jenama rangkaian lain tapi terpaksa diketepikan buat masa ini kerana Mikaseries telah menjalinkan kontrak secara Eksklusif untuk Watsons Malaysia,” katanya pada majlis berbuka puasa anjuran Mikaseries, baru-baru ini.
Selain itu Zoey Rahman turut merasa terharu apabila jenama Kosmetik dan set penjagaan skin care Mikaseries sedang diintai dan dalam proses di bawa memasuki ke pasaran luar negara iaitu Bangladesh.
Namun segalanya masih dalam peringkat awal untuk dikongsikan secara terperinci.
“Sebenarnya saya juga rasa macam tak percaya apabila ada wakil dari pihak sana menyatakan hasrat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Mikaseries.
“Selepas melihat profile syarikat dan tahu Mikaseries telah berada dalam pasaran Watsons Malaysia, minat mereka bertambah dan mereka minta untuk membeli beberapa produk Mikaseries untuk dicuba pakai di sana.
“Alhamdulilah setakat ini maklum balas yang mereka berikan sangat positif dan kami dalam proses perbincangan untuk keperingkat selanjutnya,” katanya.
Sempena majlis berbuka puasa yang diadakan, Mikaseries turut mengambil kesempatan untuk melancarkan rangkaian produk Skin care terbaru yang juga telah di jual di Watsons seluruh Malaysia sejak tahun lalu.
Kini, selain Skin Care Mikaseries, Zoey Rahman juga turut melancarkan secara rasmi satu lagi jenama terbaru dalam rangkaian perniagaannya iaitu Sambal Nengar yang bermaksud sangat sedap atau sangat pedas.
“Untuk permulaan ini kami menghasilkan 3 jenis sambal iaitu Sambal Bilis Petai Nengar Premium, Daging Dendeng Nengar Batang Pinang dan Sambal Belacan Nengar Exclusive.
“Sejak hampir sebulan Nengar mula diperkenalkan secara tidak rasmi, Daging Dendeng Nengar telah terjual lebih 10,000 botol termasuk jualan online di shopee dan tiktok dan diikuti dua sambal yang lain.
“Memang sedikit terkejut dan bersyukur kerana kami masih diperingkat warm up dan jenama sambal kami ini juga masih sangat baru di pasaran.
“Tapi Alhamdulillah ianya mendapat sambutan luar biasa bukan Sahaja di Malaysia malah di Singapura dan juga Brunei.
“Maklum balas yang diberikan oleh pembeli yang telah merasa sambal Nengar sangat positif dan hampir 99 peratus pembeli menyatakan Daging Dendeng Nengar sangat lembut, daging berketul ketul tidak hancur, rasa seperti masakan mak di kampung cukup pedas dan cukup rasa.
“Ramai juga yang dah beli berkali-kali Sambal Bilis Petai dan Sambal Belacan kerana selain sedap kata mereka ianya sangat memudahkan proses menyediakan hidangan berbuka dan sahur mereka,” katanya lagi.
Bersempena Ramadan dan menjelang Syawal, selain Skin Care Mikaseries dan Sambal Nengar, Zoey Rahman juga telah melancarkan koleksi Baju Melayu dan Sampin Instant INDRA EXCLUSIVE berkolabrasi dengan rakan niaganya iaitu Fateema Exclusive.
Koleksi Baju Melayu dan Sampin Instant Exclusive telah dilancarkan barubaru ini bersama Shopee dalam kempen SHOPEE RAI LOCAL – RAYA STAIL KITA di Rumah tangsi Kuala Lumpur pada 5 Mac yang lalu.
“Istimewa dan kelainan untuk tahun ini ialah, kami bukan Sahaja menjual Baju Melayu Ready To wear, malah kami juga turut menjual secara borong kepada pemborong dan penjual baju melayu seluruh Malaysia.
“Pembeli juga boleh custom baju mereka mengikut warna, jenis baju sama ada cekak musang atau leher teluk belanga dan saiz yang mereka kehendaki.
“Untuk Ready To Wear mereka boleh beli secara online di Shopee dan Tiktok selain boleh juga datang terus ke HQ Mikaseries di Permaisuri Cheras untuk beli terus atau ‘custom to wear’,” katanya.
Bercakap tentang kerjaya seni, Zoey menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang mengatakan bahawa dia telah memilih untuk bersara dalam dunia seni kerana sibuk dengan perniagaan.
“Saya masih lagi menerima tawaran berlakon, pengacaraan dan lain-lain seperti biasa. Tidak timbul dan tidak terfikir pun untuk bersara kerana saya sangat cintai dunia dan kerjaya lakonan dan pengacaraan sehingga sekarang.
“Kerana hasil pendapatan kerja senilah yang membawa saya bertapak kebidang perniagaan yang saya ceburi sekarang.
“Kepada penerbit yang nak panggil saya berlakon hubungi saja saya atau pengurus saya. Tiada istilah ‘demand’ atau sudah berubah walaupun saya bergelar CEO, kerana jika waktu berlakon saya hanyalah pelakon biasa sama seperti sebelum ini.” katanya.