30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 13, 2026
Home Blog Page 209

Terhutang budi, Siti Nurhaliza bantu pengamal media, artis veteran

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui pihak media banyak membantunya sejak di awal kemunculan dalam industri seni hampir 30 tahun yang lalu.

Prihatin dan peka dengan nasib sesetengah pengamal media yang kurang bernasib baik atau berada dalam kesulitan, Siti menerusi Yayasan Nurjiwa tampil memberi bantuan bagi meringankan beban mereka.

Istimewa sempena Ramadan ini, Siti yang mengasaskan yayasan berkenaan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K berkolaborasi bersama Yayasan Prihatin National dengan menganjurkan Majlis Iftar Nurjiwa Prihatin bertempat di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur, Selasa lalu.

“Saya sangat terhutang budi dengan pengamal media yang saya sudah anggap seperti keluarga saya sendiri. Terima kasih kepada pihak media yang sudi hadir atau bertugas.

“Tidak lupa kepada wartawan yang mula-mula menemuramah saya iaitu Cikli (Rosli Manah) yang tidak dapat hadir. Huzz juga tidak dapat hadir, tapi kita ada Joha dan Abang Nas (Nas Melodi) yang suka ‘terjah’ saya.  Mereka inilah antara yang melihat saya dari awal kerjaya.

“Insya-Allah, apa yang Yayasan Nurjiwa boleh bantu, kita bantu sebaik mungkin,” katanya.

Antara wartawan yang diraikan dan menerima sumbangan  ialah Noor Joha, Nas Melodi, Bob,  Muhammad Basir (suami kepada jurugambar Utusan, Allahyarham Nor Azlina), Serimah dan ramai lagi.

Siti berkata, pertemuan dengan bekas-bekas wartawan memberi momen istimewa buat dirinya. Menurutnya, ramai wartawan yang sentiasa menyokong dan memberi publisiti kepadanya sejak awal pembabitannya.

“Kalau dulu, masyarakat nak tahu tentang artis semuanya melalui media. Iyalah dulu belum ada media sosial seperti sekarang.

“Artis-artis terkenal termasuk saya pun memang bermula dari pengamal media. Pengamal media yang membantu saya dari awal kerjaya juga ada pada majlis ini.

“Jadi inilah masa untuk kami membantu semula. Mungkin tidak banyak, tapi Insya-Allah boleh meringankan beban, memberikan senyuman kepada rakan-rakan media saya,” katanya.

Siti juga tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dalam masa sama bersyukur kerana berpeluang bertemu mereka.

“Ada rasa sedih, terharu dan gembira apabila melihat insan-insan yang melihat saya membesar sebagai penyanyi, momen-momen lama itu muncul kembali.

“Saya ingat saya nak jumpa Huzz malam ni, tapi dia belum sihat. Begitu juga Cikli wartawan pertama yang menulis tentang saya namun disebabkan keadaan tidak mengizinkan.

“Sumbangan kita berikan, tetapi waktu untuk bertemu itu mungkin di lain hari. Dalam masa yang sama saya doakan mereka diberikan kesembuhan dan kesihatan yang lebih baik.

“Mereka ibarat keluarga saya. Mereka tulis tentang saya di awal kerjaya saya dulu, banyak kenangannya. Mana yang menegur, mengusik, itulah kami ibarat keluarga,” katanya lagi.

Pada majlis berkenaan, selain pengamal media pelantun lagu Romansa Kita dan Magis ini turut menyantuni warga artis veteran antaranya Zaiton Sameon, Roy, Ali XPDC, Rashidah Jaafar, Roslan Ahmad, Dharma Harun, Mak Wan dan ramai lagi.

Tidak dilupakan ialah 60 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Permata Hatiku dan Rumah Pendidikan dan Kebajikan Al-Firdaus serta ibu tunggal seramai 40 orang dari Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GERAKWANIS) dan Pertubuhan Negarawati Tanahair (NEGARAWATI).

Yayasan Nurjiwa juga menyeru lebih ramai lagi masyarakat akan dapat bersama-sama dengan badan amal yang menjadi medium menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Kolaborasi antara Yayasan Prihatin Nasional dan Yayasan Nurjiwa pasti memberi impak yang luar biasa untuk terus membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama di seluruh pelusuk tanah air dan antarabangsa.

Lalui pelbagai dugaan, Ifa Raziah hampir putus asa teruskan Starvendors edisi ke-15

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Usahawan dan penyanyi Ifa Raziah akui hampir putus asa dan tidak mahu meneruskan festival jualan Starvendors edisi ke-15 anjurannya yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 29 Mac hingga 1 April ini.

Ifa berkata, pelbagai dugaan dan halangan terpaksa ditempuhi termasuklah membabitkan masalah pekerja dan isu boikot yang mengaitkan pelakon Ruhainies.

“Jujur saya katakan, dari awal perancangan untuk edisi kali ini banyak masalah yang timbul. Malah untuk mendapatkan penaja juga saya rasa sangat sukar.

“Saya dapat tahu bukan saya seorang, ramai lagi penganjur yang mengalami masalah sama.

“Pernah juga terfikir mungkin edisi ke-15 ini penganjuran yang terakhir dan saya akan fokus dengan perniagaan yang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis Jom Berbuka Puasa bersama Artis Starvendors, baru-baru ini.

Ifa berkata, isu tentang Ruhainies, pelakon itu secara rasmi sudah menarik diri dan tidak bersama Starvendors tahun ini.

“Saya berharap tidak ada lagi isu atau rancangan untuk memboikot festival jualan saya ini,” katanya.

Sementara itu, Ifa mengakui sedikit lega apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersetuju untuk menjadi rakan strategik.

Katanya,KUSKOP menawarkan subsidi mencecah RM500,000 buat vendor yang menawarkan potongan harga.

“Alhamdulillah, rezeki saya hadir pada saat akhir. Peniaga jangan risau kerana mereka boleh menawarkan potongan harga pada waktu Happy Hour sebanyak tiga kali dalam sehari.

“Kerajaan bantu bayar untuk kadar diskaun yang diberikan. Peniaga juga bimbang dengan isu kuasa membeli ketika ini, jadi KUSKOP akan bantu peniaga agar mereka beri diskaun dan kos itu ditanggung,” katanya.

Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2024 bakal menyaksikan pembabitan 70 selebriti dan pempemgaruh terkenal tanah air yang turut membuka booth dan menjual rangkaian produk mereka sendiri.

Antara barisan yang turut serta ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Aliff Syukri, Shuib Sepahtu, Erra Fazira, Bella Astillah, Shahrul Ridzwan, Diana Danielle, Syatilla Melvin, Shahiezy Sam, Eira Syazira, Azad Jasmin, Aisha Retno, Chacha & Emma Maembong, Nadia Brian, Rita Rudaini, Mawar Rashid, Black, Zulin Aziz, Kak KM, Puspagomen, Cikidot, Han Budak Cina dan ramai lagi.

Starvendors Mega Raya Fest 2024 akan bermula dari jam 8 malam pada 29 Mac dan terus sehingga 12 tengahari pada 1 April.

Antara tarikan terbaharu bagi acara Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2024 adalah hadiah duit raya bernilai RM100,000, sebuah kereta Audi TT dan 5 buah unit Iphone sumbangan dari Bee Society milik Shuib Sepahtu dan sebuah kereta Perodua Alza dari jenama Sugarbomb yang bakal diberikan kepada pengunjung yang bertuah pada 1 April nanti.

Antara jenama terkenal yang turut serta ialah Bulan Bintang, Behati, Wonderlab, Juragan, Neutrovis, Aducktive, Noir, Simplysiti, Black & Supremacy, Munawareen, Ainaa Beauty, Ayuwan X Ernie Zakri, Chatime, House of Ridz Okumura, Muslim Vibes dan banyak lagi.

Tahun ini juga Bank Rasmi Starvendors, Affin Bank turut menyediakan fasiliti perbankan dan terminal kad khas untuk usahawan-usahawan Starvendors.

Rakan Kurier Rasmi, Pos Malaysia Berhad akan memberi perkhidmatan Pos sewaktu acara yang boleh di nikmati oleh pengunjung dan juga usahawan yang berniaga secara online sewaktu acara dijalankan.

Selepas 63 tahun, Persekutuan Pengakap Malaysia perkenal pakaian seragam baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memperkenalkan pakaian seragam baharu yang lebih segar sejajar dengan perkembangan dunia kepengakapan moden pada era ini.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, pakaian seragam yang terdiri daripada baju berwarna ‘emerald sea’ dan  seluar (aspen green) itu disifatkan lebih menarik dan efektif dengan reka bentuk baharu.

Menurutnya, keputusan menukar pakaian seragam adalah satu langkah yang efisien bagi memastikan pergerakan kepengakapan negara sentiasa relevan dan dinamik dalam menyokong pembangunan golongan muda.

Katanya, pertukaran pakaian seragam baharu antara lain dapat membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa di pasaran.

“PPM sentiasa proaktif dalam memastikan pergerakan kepengakapan negara terus bergerak selari dengan peredaran zaman.

“Sejak diasaskan di negara ini pada tahun 1908, pergerakan kepengakapan melalui pelbagai fasa evolusi dan perubahan bagi memastikan ia terus relevan dan dinamik dalam melahirkan pemimpin masa depan negara.

“Selepas 63 tahun tidak tampil dengan pakaian seragam baharu, PPM dengan sukacitanya mengumumkan pertukaran warna pakaian seragam kepada warna yang lebih segar dan moden yang dinamakan Pakaian Seragam Pengakap No. 3.

“Selain memberikan wajah baharu kepada pergerakan pengakap, langkah ini juga menjadi mekanisme baharu yang penting dalam usaha kita untuk mengawal dan membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa.

“Ini adalah langkah proaktif yang diambil untuk memastikan imej dan integriti pergerakan ini sentiasa terpelihara dengan sebaik-baiknya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Seri Pertiwi  yang turut sama bertungkus-lumus dalam memberikan input untuk pertukaran pakaian seragam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pakaian Seragam Pengakap No. 3 di ibu pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia, semalam.

Beliau berkata, PPM akan memberi kelonggaran kepada ahli untuk menggantikan pakaian seragam lama kepada yang baharu secara berperingkat.

“PPM ingin menekankan bahawa pelaksanaan pertukaran pakaian seragam ini tidak akan membebankan ibu bapa atau ahli.

“Proses ini akan dilaksanakan secara berfasa, dan pakaian seragam lama masih boleh digunakan dalam tempoh peralihan iaitu tiga tahun lagi.

“Tiada paksaan kepada mana-mana ahli untuk menukar pakaian seragam mereka. Bagi pelajar yang kurang berkemampuan, mereka boleh memakai skarf untuk menyertai sebarang aktiviti yang dijalankan.

“Penggunaan warna kelabu sebelum ini didapati menimbulkan permasalahan, terutamanya dalam mendapatkan tona yang konsisten.

“Dengan warna baharu yang dipilih, ia diharapkan dapat menyediakan penyelesaian yang lebih praktikal dengan pakaian yang lebih seragam secara keseluruhan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, PPM berharap pertukaran pakaian seragam baharu dapat menarik lebih ramai ahli baharu sekali gus mempertingkatkan pertumbuhan keahlian.

“Ia adalah satu pencapaian besar yang menunjukkan PPM sedang memasuki fasa baharu. Kita sepatutnya berbangga kerana berjaya merealisasikan usaha penyegaran jenama pengakap ke arah sebuah pergerakan yang lebih berketrampilan dan moden selaras dengan misi dan visi Pengakap Dunia.

“Pakaian seragam baharu ini adalah lambang identiti dan kebanggaan bagi setiap ahli PPM.

“Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk menghargai dan memelihara pakaian seragam ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Converse Malaysia jalin kerjasama dengan Monkiddo menerusi kempen raya, merayakan kreativiti dan budaya

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Converse Malaysia dengan bangganya mengumumkan kerjasama dengan Monkiddo, jenama ilustrasi Malaysia yang terkenal dengan ciptaan yang penuh warna dan imaginatif, untuk kempen Raya eksklusif.

Kerjasama ini bertujuan untuk menyemarakkan musim perayaan dengan gabungan seni dan gaya yang unik, mempamerkan warisan budaya yang kaya dan kreativiti moden Malaysia.

Monkiddo, ciptaan Lim Jayee yang berbakat, telah menawan hati peminat seni dengan ilustrasi monster fantasi dan naratif yang menarik.

Kolaborasi jenama ini dengan nama-nama terkenal seperti Rhinoshield, Atmos, dan Kejap Food telah mengukuhkan reputasinya sebagai perintis dalam menggabungkan budaya tempatan dengan daya tarikan global.

Raya ini, Converse Malaysia dan Monkiddo menjemput orang ramai untuk merayakan semangat perayaan melalui koleksi edisi khas yang menampilkan ilustrasi khas Monkiddo di kedai Converse yang terpilih.

Koleksi ini adalah penghormatan kepada kepelbagaian budaya Malaysia, menawarkan pandangan segar dan kontemporari terhadap motif Raya tradisional.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Monkiddo bagi kempen Raya kali ini,” kata Wakil Converse Malaysia.

Sementara itu, pencipta di sebalik Monkiddo Lim Jayee berkata, seni unik mereka dan hubungan mendalam dengan budaya Malaysia menjadikan mereka rakan kolaborasi yang sempurna untuk merayakan musim perayaan ini bersama komuniti.

“Saya teruja untuk kerjasama ini dan bekerjasama dengan Converse Malaysia adalah impian yang menjadi kenyataan.

“Ini peluang untuk mempamerkan ilustrasi kami di platform global dan merayakan kepelbagaian budaya Malaysia sempena Raya,” katanya.

Kempen Raya Converse Malaysia x Monkiddo akan menampilkan filter AR eksklusif di laman media sosial Instagram, acara eksklusif, dan pemasangan interaktif yang mengajak peminat untuk menyelami dunia Monkiddo.

Pemasangan ini akan tersedia di kedai Converse terpilih dan dalam talian, menawarkan cara unik untuk merayakan Raya dengan gaya.

Sertailah Converse Malaysia dan Monkiddo dalam perayaan kreativiti, budaya, dan komuniti ini.

Nantikan maklumat mengenai pelancaran dan bagaimana anda boleh mengalami sebahagian daripada kolaborasi menarik ini.

EB Frozen Food tawar hadiah bernilai sehingga RM25,000 menerusi peraduan ‘Hoora Hooray Raya’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sudah dua minggu menjalani ibadah puasa, ternyata masyarakat Islam di negara ini cukup bertuah untuk menikmati pelbagai juadah berbeza.

Bukan sahaja ketika berbuka puasa tetapi juga waktu bersahur, namun menjadi persamaan setiap makanan yang dipilih harus memberikan kepuasan sewaktu menikmatinya.

Melihat perkara ini sebagai salah satu keutamaan, Syarikat pengeluar produk sejuk beku, EB Frozen Food Sdn Bhd (EB) sentiasa menyediakan produk yang berkualiti buat pelangganya.

Tidak hanya itu, dalam melengkapi kehidupan serba moden pelanggan terutamanya pada bulan Ramadan ini, fokus utama jenama ini juga adalah cara penyediaan produk EB Frozen Food yang  lebih cepat dan mudah.

Berkongsi mengenai kelebihan produk ini, Eksekutif Pemasarannya, Nurul Fatihah Jamil berkata, pihaknya sentiasa peka akan keperluan pelanggan mereka.

Melihat EB Frozen Food sebagai antara jenama pilihan ramai kini, pihaknya sentiasa komited dalam menyediakan produk sejuk beku yang sesuai dinikmati oleh semua golongan di negara ini.

“Menjadi lumrah setiap pelanggan untuk memilih produk yang sedap dan berkualiti tinggi, tetapi melihat keadaan ekonomi yang sangat mencabar, pelanggan lebih memilih produk yang memberi tawaran harga terhebat di pasaran.

“Bersempena bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya, istimewa buat semua peminat produk keluaran EB, pelanggan bukan hanya dapat membeli produk berkualiti tinggi dengan harga berpatutan malah boleh menikmati harga serendah kurang dari RM10 untuk satu paket.

“Semua pakej menerusi ‘Combo Deal’ bagi barangan terpilih itu boleh didapati di AEON, AEON Big, TF Value, Billion, Giant dan pasaraya berdekatan,”katanya.

Terus meraikan pelanggan sempena kehadiran bulan Syawal, EB Frozen Food turut menganjurkan peraduan ‘Buy and Win’ bertemakan “Hoora Hooray Raya” yang menawarkan hadiah bernilai sehingga RM25,000.

Nurul Fatihah berkata, peraduan ini juga dibuka kepada semua pelanggan produk jenama ini melalui pembelian sebanyak RM50 dan keatas bagi mana-mana produk keluaran EB.

“Sempena bulan Ramadan ini, pelanggan EB juga berpeluang untuk menyertai peraduan ‘Buy and Win’ bertemakan “Hoora Hooray Raya” bermula 8 Mac sehingga 28 April dengan tawaran hadiah bernilai sehingga RM25,000.

“Antara hadiah yang ditawarkan  termasuk wang tunai bernilai RM1,000 (5 pemenang), PS5, Insta 360 Go 3, Wet & Dry Vacuum, Instax Camera, RM50 TnG E wallet (20 pemenang),”Katanya.

Berkongsi keberkatan Ramadan kali ini agar lebih bermakna, EB Frozen Food  juga turut meneruskan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam meraikan pelanggan mereka.

“Kami akan  mengedarkan kira-kira 5,000 pek bubur lambuk beserta produk keluaran EB iaitu Tempura Chicken Nugget kepada orang ramai.

“Bagi mereka yang ingin menyertai program ini anda hanya perlu bertemu dengan pasukan kami di pasaraya yang terpilih sekitar Lembah Klang  sepanjang bulan Ramadan dan anda boleh mengunjungi laman media sosial EB Frozen Food untuk maklumat yang lebih lanjut mengenai aktiviti menarik yang dijalankan,” katanya lagi.  

Warga Maritim Malaysia disaran jadikan Ramadan sebagai medan perbaiki diri

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) disaran menjadikan bulan Ramadan tahun ini sebagai medan bagi memperbaiki diri khususnya dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang telah diamanahkan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan Zon Maritim Malaysia.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, warga Agensi ini perlu meletakkan integriti sebagai tunjang utama dalam diri masing-masing terutamanya ketika melaksanakan tugasan di perairan negara.

Katanya, pegawai dan anggota yang mempunyai sikap berkenaan akan menjadikan imej dan kualiti perkhidmatan Maritim Malaysia sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan dipandang tinggi di mata masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyerahan Bingkisan Raya Maritim Malaysia anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil Maritim Malaysia di Ibu Pejabat Agensi, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia Mohd Norzam Mustapa.

Terdahulu, Hamid memaklumkan, program ini dilaksanakan sebagai salah satu tanggungjawab sosial PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia bagi menghargai pengorbanan pegawai dan anggota Agensi ini yang terbabit dalam OP Khas Pagar Laut 1/2024 di seluruh negara pada tahun ini.

Katanya, melalui sumbangan ikhlas ini ia sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan perasaan rindu pegawai dan anggota yang bertugas berjauhan daripada keluarga sempena hari raya nanti.

Bagi tujuan berkenaan, sebanyak 2,500 kotak bingkisan raya bakal diagihkan kepada petugas-petugas penguat kuasa Agensi ini, melalui Ibu Pejabat, Maritim Negeri, Stesen Udara Maritim Subang (SUMS), Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA). 

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia, Datuk Sapiah Mohd Nor melalui gimik penyerahan kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia sebelum ia dihantar kepada penerima-penerima yang telah disenaraikan.

Selain penyerahan bingkisan raya, program kali ini turut dimeriahkan dengan penyediaan 30 kilogram bubur lambuk untuk diedarkan kepada warga Ibu Pejabat Maritim Malaysia di samping Majlis Berbuka Puasa bersama warga Maritim Malaysia.

Sesi berakhir dengan solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih secara berjemaah yang telah dipimpin oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Protokol dan Kerohanian Maritim Malaysia, Kepten Maritim Nik Kamaruddin Yunoh.

Perbelanjaan pelancongan domestik catat RM84.9 bilion

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Prestasi pelancongan domestik Malaysia pada tahun lalu merekodkan 210.9 juta pelawat, meningkat 22.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata rekod ketibaan pelawat itu mencatatkan RM84.9 bilion perbelanjaan pelancongan domestik iaitu meningkat 32.5 peratus berbanding 2022.

“Bagaimanapun, kedua-dua statistik ini masih di bawah paras pra-pandemik (2019) dengan pelawat domestik merekodkan -11.8 peratus dan perbelanjaan pelancongan domestik berkurang -17.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata, pelancongan domestik di Malaysia pula merekodkan 54.3 juta pelawat pada suku keempat 2023, melonjak 16.1 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

“Sementara itu, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 1.6 peratus. Bagi perbelanjaan pelancongan domestik, ia mencatatkan RM23.8 bilion, menandakan peningkatan 29.5 peratus tahun ke tahun dan peningkatan 18.5 peratus suku tahun ke suku tahun,” katanya.

Mengulas prestasi industri pelancongan pada suku keempat 2023, Mohd Uzir berkata, indeks hasil taman tema meningkat 49.2 peratus tahun ke tahun, diikuti ketibaan di lapangan terbang domestik (+1.7 peratus), trafik lebuh raya (+10.9 peratus) dan jualan runcit bahan api (+3.4 peratus).

“Sementara itu, indeks hasil penginapan juga meningkat dengan merekodkan 12.5 peratus. Kadar penghunian hotel lima bintang meningkat 2.1 peratus, diikuti hotel empat bintang (+0.7 peratus) dan hotel tiga bintang (+14.8 peratus).

“Kadar penghunian mengikut lokasi di bukit dan bandar masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 2.6 peratus, berbanding suku tahun yang sama tahun lalu,” katanya.

Ada apa dengan ‘rumah’ Salma Salsabil?

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas meraih kejayaan menerusi lagu Bunga Hati, penyanyi yang sedang meningkat naik, Salma Salsabil, kembali dengan karya terbaharunya berjudul “Rumah” yang dihasilkan di bawah label rakaman Universal Music Indonesia.

Menerusi lagu “Rumah” ini Salma Salsabil tidak hanya bertindak sebagai penyanyi, namun dia juga menjadi pencipta lagu.

Malah lantunan gitar akustik pada lagu yang bernuansa sayu ini juga dimainkan oleh Salma sendiri.

Lagu “Rumah” bercerita tentang rumah versi Salma, iaitu orang tua dan keluarganya. Pada lagu ini, dia menceritakan tentang bagaimana dirinya merindukan rumahnya kerana tinggal jauh dari mereka demi meraih mimpinya sebagai penyanyi.

Sebelumnya, lagu ciptaannya ini sudah pernah dibawakan di panggung Indonesian Idol dan disambut dengan baik oleh banyak pihak kerana maknanya yang dalam serta dapat dirasai oleh banyak orang, terutama mereka yang sedang merindukan rumah mereka.

“Melalui lagu ini, aku ingin menyampaikan bahawa rumah bukan selalu tentang tempat. Rumah bisa jadi mereka yang menerima dan mencintai kita apa adanya, sehingga ketika bersama mereka kita bisa jadi diri kita sendiri.

“Meskipun di lagu ini rumah versi aku adalah orang tua dan keluarga, aku yakin semua pendengar di luar sana punya rumah versi mereka sendiri. Bisa jadi teman atau pasangan,” katanya menjelaskan makna dari lagu ini.

Meskipun bukan termasuk kategori lagu religi, “Rumah” menjadi lagu yang sesuai di suasana Ramadan karena tema lagunya yang dekat dengan keluarga dan bagaimana seseorang merindukan rumahnya.

Berbeza dengan single sebelumnya yang sangat rancak, susunan lagu “Rumah” dibuat sangat mudah dengan menyajikan dominasi suara gitar akustik yang dimainkan sendiri oleh Salma.

Susunan yang minimalis ini memang sengaja disajikan oleh Salma kerana dia ingin memberikan rasa yang mendalam terhadap pesanan dalam tiap bait yang ada di lirik lagu “Rumah” itu.

Liriknya juga dibuat mudah dengan pemilihan kata yang mudah untuk difahami.

Hasilnya, anda dapat mendengar nuansa yang menenangkan sangat terasa saat mendengarkannya.

Sebuah lagu yang sangat sedap untuk didengarkan secara berulang-ulang.

“Aku berharap lagu ini boleh menjadi soundtrack buat semua yang sedang rindu dengan rumah masing-masing. Jangan lupa didengarkan secara terus-menerus,” katanya.

Single “Rumah” sudah boleh didengarkan di semua platform muzik digital.

Seminggu Op Khas Pagar Laut di laksana, Maritim Malaysia catat 50 kes tangkapan

editormaxinfo@gmail.com

KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencatatkan 50 kes tangkapan bagi pelbagai kesalahan dengan nilai dianggarkan lebih RM4.5 juta bagi seminggu pelaksanaan OP Khas Pagar Laut 1/2024 di seluruh perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kes-kes tangkapan adalah bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

Beliau turut memaklumkan, daripada jumlah yang dinyatakan, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan 16 kes tangkapan dengan nilai rampasan hampir RM400 ribu di bawah undang-undang yang sama.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjaun OP Khas Pagar Laut 1/2024 di perairan Sabah, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik serta Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim Ahmad Faridi Ferdaus.

Datuk Hamid berkata, operasi ini diaktifkan semula di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam usaha mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya di kawasan titik panas (Hotspot) pada bulan Ramadan dan Syawal.

Operasi khas ini dilaksanakan dalam empat fasa iaitu bermula Fasa I iaitu persediaan (pengumpulan maklumat dan siap siaga aset) pada 12 Mac hingga 17 Mac 2024 diikuti Fasa II iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan (18 Mac hingga 1 April).

Seterusnya Fasa III merangkumi penguatkuasaan semasa perayaan (2 April hingga 16 April) dan diikuti Fasa IV iaitu penguatkuasaan selepas perayaan (17 April hingga 30 April).

Dalam pada itu Hamid berkata, kejayaan yang dicatatkan adalah bukti pegawai dan anggota Agensi ini melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan dengan komitmen tinggi serta berintegriti.

Justeru beliau menyeru seluruh warga Maritim Malaysia meneruskan momentum berkenaan agar tanggungjawab yang digalas ini terus mendapat kepercayaan kerajaan seterusnya keselamatan dan ketenteraman rakyat terjaga khususnya ketika menjelang lebaran nanti.

Pada sesi tinjuaan berkenaan, Datuk Hamid turut berkesudian menyampaikan bingkisan raya kepada warga Kapal Maritim (KM) Arau melalui Pegawai Memerintahnya Kepten Maritim Solehudin Zakaria serta Pegawai-Pegawai Memerintah Kapal Maritim yang menjalankan operasi berkenaan di Sabah.

Melalui bingkisan yang disampaikan ini, beliau berharap ia dapat menceriakan pegawai dan anggota KM Arau yang kini bertugas berjauhan daripada keluarga sempena perayaan kali ini.