editormaxinfo@gmail.com
SUBANG JAYA – Usahawan dan penyanyi Ifa Raziah akui hampir putus asa dan tidak mahu meneruskan festival jualan Starvendors edisi ke-15 anjurannya yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 29 Mac hingga 1 April ini.
Ifa berkata, pelbagai dugaan dan halangan terpaksa ditempuhi termasuklah membabitkan masalah pekerja dan isu boikot yang mengaitkan pelakon Ruhainies.
“Jujur saya katakan, dari awal perancangan untuk edisi kali ini banyak masalah yang timbul. Malah untuk mendapatkan penaja juga saya rasa sangat sukar.
“Saya dapat tahu bukan saya seorang, ramai lagi penganjur yang mengalami masalah sama.
“Pernah juga terfikir mungkin edisi ke-15 ini penganjuran yang terakhir dan saya akan fokus dengan perniagaan yang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis Jom Berbuka Puasa bersama Artis Starvendors, baru-baru ini.

Ifa berkata, isu tentang Ruhainies, pelakon itu secara rasmi sudah menarik diri dan tidak bersama Starvendors tahun ini.
“Saya berharap tidak ada lagi isu atau rancangan untuk memboikot festival jualan saya ini,” katanya.
Sementara itu, Ifa mengakui sedikit lega apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersetuju untuk menjadi rakan strategik.
Katanya,KUSKOP menawarkan subsidi mencecah RM500,000 buat vendor yang menawarkan potongan harga.
“Alhamdulillah, rezeki saya hadir pada saat akhir. Peniaga jangan risau kerana mereka boleh menawarkan potongan harga pada waktu Happy Hour sebanyak tiga kali dalam sehari.
“Kerajaan bantu bayar untuk kadar diskaun yang diberikan. Peniaga juga bimbang dengan isu kuasa membeli ketika ini, jadi KUSKOP akan bantu peniaga agar mereka beri diskaun dan kos itu ditanggung,” katanya.

Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2024 bakal menyaksikan pembabitan 70 selebriti dan pempemgaruh terkenal tanah air yang turut membuka booth dan menjual rangkaian produk mereka sendiri.
Antara barisan yang turut serta ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Aliff Syukri, Shuib Sepahtu, Erra Fazira, Bella Astillah, Shahrul Ridzwan, Diana Danielle, Syatilla Melvin, Shahiezy Sam, Eira Syazira, Azad Jasmin, Aisha Retno, Chacha & Emma Maembong, Nadia Brian, Rita Rudaini, Mawar Rashid, Black, Zulin Aziz, Kak KM, Puspagomen, Cikidot, Han Budak Cina dan ramai lagi.
Starvendors Mega Raya Fest 2024 akan bermula dari jam 8 malam pada 29 Mac dan terus sehingga 12 tengahari pada 1 April.
Antara tarikan terbaharu bagi acara Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2024 adalah hadiah duit raya bernilai RM100,000, sebuah kereta Audi TT dan 5 buah unit Iphone sumbangan dari Bee Society milik Shuib Sepahtu dan sebuah kereta Perodua Alza dari jenama Sugarbomb yang bakal diberikan kepada pengunjung yang bertuah pada 1 April nanti.

Antara jenama terkenal yang turut serta ialah Bulan Bintang, Behati, Wonderlab, Juragan, Neutrovis, Aducktive, Noir, Simplysiti, Black & Supremacy, Munawareen, Ainaa Beauty, Ayuwan X Ernie Zakri, Chatime, House of Ridz Okumura, Muslim Vibes dan banyak lagi.
Tahun ini juga Bank Rasmi Starvendors, Affin Bank turut menyediakan fasiliti perbankan dan terminal kad khas untuk usahawan-usahawan Starvendors.
Rakan Kurier Rasmi, Pos Malaysia Berhad akan memberi perkhidmatan Pos sewaktu acara yang boleh di nikmati oleh pengunjung dan juga usahawan yang berniaga secara online sewaktu acara dijalankan.

