30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 13, 2026
Home Blog Page 208

Dakwaan aniaya penganjuran konsert artis tempatan, Aizuddin anggap isu selesai

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Aizuddin Ghazali menafikan dakwaan kononnya pihak mereka menganiaya seorang artis tempatan dan tidak telus dalam menganjurkan sebuah konsert tahun lalu.

Mohd Aizuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) berkata, berikutan isu berkenaan pihaknya sudah bertemu bagi menyelesaikan masalah yang berbangkit.

“Saya sudah bertemu dengan pihak berkenaan dan pertemuan itu dihadiri oleh pihak saya dan pengurusan artis berkenaan.

“Pada pertemuan itu artis terbabit juga membawa peguam untuk mendapatkan gambaran jelas berhubung isu yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar & Penyampaian Sumbangan Nurjiwa Perihatin, baru-baru ini.

Katanya, artis berkenaan sebenarnya telah dianiaya oleh orang terdekat iaitu pihak pengurusannya sendiri.

“Selepas kami memberikan gambaran sebenar, barulah artis itu tahu yang dia telah dianiaya oleh satu pihak lagi.

“Mereka akui telah berlaku salah faham. Saya anggap ini bukan satu isu yang perlu diperbesarkan. Lagipun, ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan artis,” katanya.

Mohd Aizuddin berkata, akibat masalah yang berlaku membuatkan dirinya berasa agak susah untuk bekerjasama dengan artis tempatan.

“Masalah ini berlaku kerana kita menggunakan platform pihak ketiga iaitu pengurusan artis.

“Mungkin sebab ini juga ramai yang mempersoalkan mengapa saya sering bekerjasama dengan artis luar.

“Saya bukan tidak mahu bekerjasama dengan artis tempatan cuma ada segelintir artis yang mempunyai pengurusan yang tidak betul,” katanya.

Tambah Aizuddin, isu ini telah pun selesai dan hubungannya bersama artis itu masih baik.

“Bagi saya, untuk menjadi artis yang berjaya, mereka kena ada pihak pengurusan yang kuat. Saya kesiankan artis itu dan saya tidak salahkan dia.

“Bila saya terangkan keadaan sebenar, dia pun faham. Dia ada bakat dan vokalnya bagus tapi bila diberikan sepenuh kepercayaan, pihak pengurusan ambil kesempatan pula,” katanya.

Berkongsi mengenai majlis sambutan Iftar bersama Yayasan Nurjiwa, Mohd Aizuddin mengakui kagum dengan semangat Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mahu menyantuni golongan tidak bernasib baik di bulan Ramadan ini.

Malah dia juga menyokong usaha Siti yang mahu membalas jasa pihak media yang menjadi tulang belakang sepanjang bergelar anak seni.

“Saya menghormati Siti Nurhaliza dan suami Datuk K. Sangat senang untuk berurusan dengan mereka dan kami di Yayasan Prihatin Nasional berbangga dapat bekerjasama dalam program amal seperti ini,” katanya.

Ybae Suria meriahkan Iftar @ KL hari ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program ‘Ybae Suria Masuk Kampung’ bagi lokasi kedua bertempat di Masjid Sungai Abong, Muar Johor pada Sabtu (23 Mac) lalu berlangsug dengan cukup meriah dengan kehadiran penduduk dan peminat setia Suria FM dari selatan tanah air.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), berkata beliau berasa sangat teruja dan menzahirkan rasa syukur di atas sambutan luar biasa yang diberikan oleh warga Muar khususnya di Sungai Abong dan lebih istimewa lagi turut menyaksikan kehadiran pendengar Suria FM yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur bagi menyemarakkan lagi program Ybae Suria Masuk kampung edisi Muar, Johor.

“Majlis yang turut dihadiri oleh Tuan Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman, ADUN Simpang Jeram itu bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk beramah-mesra bersama barisan penyampai, tetapi juga menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi merewang bersama penduduk, pembahagian 600 bekas bubur lambuk kepada jemaah masjid, berbuka puasa, dan solat berjemaah.

“Bagi meneruskan lagi kempen #SuriaKongsiRezeki, majlis turut disempurnakan dengan sumbangan wang tunai sebanyak RM 11,500 kepada pihak Masjid Sungai Abong, termasuk pemberian duit raya kepada jemaah yang hadir.

“Selain itu, barisan penyampai Suria FM, Datuk Fizz Fairuz, Kai Hassan, Suraya, Cik Piah, Chiwan, Rara dan DJ Lin bersama pihak masjid turut berpeluang menyantuni beberapa keluarga asnaf di kawasan Sungai Abong untuk memberikan sedikit sumbangan iklas kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Jangan lupa temui Ybae Suria di lokasi akhir bertempat di Jalan Raja, Dataran Merdeka Kuala Lumpur bersempena Iftar @ KL pada 30 Mac, hari ini.

Pelbagai aktiviti menarik seperti pengagihan bubur lambuk, solat berjemaah, Tadarus Al-Quran, Tazkirah Ramadan daripada Ustaz Don Daniyal, Bicara Ramadan, sukarelawan skuad budaya, kaunter zakat fitrah, jualan makanan Food Truck dan banyak lagi menanti anda di sana.

Canon perkenal pencetak format besar Siri imagePROGRAF GP dan Siri imagePROGRAF PRO baharu 

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Canon Marketing Malaysia (“Canon”) mengumumkan pelancaran inovasinya yang terbaharu dalam segmen pencetakan format besar, dengan memperkenalkan tiga pencetak Siri imagePROGRAF GP (GP-526S/546S/566S) baharu, dan tiga pencetak Siri imagePROGRAF PRO (PRO-526/546/566) baharu.

Siri GP baharu ini diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pasaran seni grafik, manakala Siri GP baharu lebih sesuai untuk cetakan imej foto dan cetakan seni halus.

Ketua Bahagian Penyelesaian Pengimejan Perniagaan (BIS), Canon Marketing Malaysia, Jeffrey Kung berkata, pihaknya dengan sukacita memperkenalkan inovasi terkini dalam segmen pencetakan format besar, yang direka khusus untuk meningkatkan kualiti cetakan, melicinkan operasi, dan menangani keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang.

“Dengan pelancaran pencetak Siri imagePROFRAF GP dan Siri imagePROGRAF PRO baharu ini, Canon mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian sehenti, memastikan prestasi luar biasa dan penyelesaian yang mengutamakan alam sekitar.

“Matlamat kami ialah untuk memperkasakan perniagaan, dengan menyediakan alat yang diperlukan oleh mereka untuk merealisasikan visi kreatif mereka.

“Di Canon, kami percaya bahawa perniagaan boleh menjadi mudah, dan kami sentiasa menerajui inovasi untuk mencapai matlamat itu,” katanya.

Setiap pencetak berkenaan menggunakan dakwat pigmen LUCIA PRO II baharu, yang dibangunkan untuk memberikan kualiti cetakan yang baik bagi menghasilkan poster yang bukan sahaja terang tetapi mampu menarik perhatian, sesuai untuk pengiklanan produk dan memiliki ciri-ciri tahan cahaya dan tahan calar yang lebih baik.

Kedua-duanya dilengkapi dengan penutup lut sinar untuk kertas gulung dan tangki dakwat, memudahkan pengguna memeriksa bekalan.

Pencahayaan dalamannya membolehkan pengguna memeriksa cetakan yang sedang berjalan, dan panelnya yang luas memberikan pandangan jelas baki kertas dan paras dakwat.

Untuk operasi yang lebih lancar, pencetak ini turut dilengkapi dengan sistem pengesanan dakwat baharu yang memantau keadaan dakwat bagi mengoptimumkan kedudukan pendaratan, memastikan kualiti imej yang tinggi serta menghalang berlakunya peralihan warna.

Fungsi “Smart Roll Paper Set” mengesan sumber kertas, jenis, dan anggaran baki kertas secara automatik, mempercepatkan proses suapan kertas dan memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan pencetak untuk operasi yang stabil. 

Siri imagePROGRAF GP direka bentuk untuk pencetakan berkelajuan tinggi, bagi memenuhi pelbagai segmen pasaran seperti agensi pengiklanan dalaman dan kedai mencetak.

Dengan 7 dakwat pigmen warna LUCIA PRO II, pencetakan cemerlang dengan penggredan yang licin boleh dicapai, menyokong pencetakan poster bertekstur halus dan berkualiti tinggi.

Sementara itu, Siri imagePROGRAF PRO pula menetapkan standard baharu untuk pencetakan dengan menampilkan 12 dakwat pigmen LUCIA PRO II yang memberikan julat warna yang lebih meluas, sesuai untuk cetakan foto dan aplikasi seni halus pada pelbagai media kertas.

Bagi menyokong kemampanan, pencetak inkjet format besar baharu Canon didatangkan dalam bungkusan kadbod mesra alam dan bukannya Styrofoam.

Penggunaan bahan pembungkusan busa polistirena telah dikurangkan sebanyak 89.5 peratus dalam kedua-dua model “GP-546S” dan “PRO-546”.

Bungkusan kadbod beralun itu boleh dilipat, menjadikannya lebih kompak semasa pemasangan dan dapat mengurangkan sisa buangan.

Kedua-dua pencetak Siri imagePROGRAF GP dan Siri imeagePROGRAF PRO boleh didapati di rakan pengedar Canon yang sah.

HONOR Magic6 Pro sudah dijual di seluruh negara sejak 28 Mac

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Telefon pintar flagship terbaharu Siri Magic HONOR yang dinanti-nantikan, HONOR Magic6 Pro sudahpun mula dijual di seluruh negara.

Selepas pelancarannya pada minggu lalu, telefon pintar terkemuka dalam industri ini menjadi bualan hangat kerana menawarkan inovasi terkini.

Peranti ini berjaya mencapai lima rekod DXOMARK bagi kategori Kamera, Paparan, Audio, Swafoto dan Bateri.

Malah, HONOR Magic6 Pro turut menerima lima Gold Label bagi kesemua kategori berkenaan. 

HONOR Magic6 Pro hadir dengan 12GB RAM dan storan besar 512GB. Ia ditawarkan dalam warna hijau cair Epi Green dan hitam Black pada harga RM4,499.

Dengan setiap pembelian, pelanggan akan membawa pulang hadiah percuma bernilai sehingga RM1,197 merangkumi HONOR Earbuds X6, Satu Tahun Jaminan Tambahan serta Gantian Retak Depan dan Belakang 365 Hari.

Mulai 28 Mac, HONOR Magic6 Pro tersedia di pelbagai platform, termasuk laman web rasmi HONOR, Kedai HONOR, Shopee, Lazada, TikTok Shop dan pengedar sah Harvey Norman, Senheng, SenQ, dan Urban Republic. 

HONOR turut menawarkan pilihan pembayaran lebih mudah dengan pelan ansuran 0 peratus selama 6 hingga 24 bulan.

Kamera Magis: Kamera Tele-falcon 180MP  

Tangkap gambar jarak jauh yang jelas dan terang dengan Kamera Tele-falcon 180MP, sekaligus menjadikan HONOR Magic6 Pro peranti terbaik untuk fotografi sukan. Ia turut didatangi Kamera Utama Super Dynamic Falcon 50MP dan Kamera Ultra Lebar 50MP untuk menghasilkan gambar menawan.

Skrin Magis: Pelindung NanoCrystal HONOR, 10 kali ganda lebih rintangan jatuh 

Mengenai ketahanan pula, skrin HONOR Magic6 Pro sangat tahan lasak kerana diperbuat daripada Pelindung NanoCrystal HONOR yang adalah 10 kali ganda lebih rintangan jatuh berbanding kaca biasa. Skrin ini turut menerima pensijilan Overall Glass Drop Resistance Ability lima bintang daripada SGS dalam pelbagai senario. 

Bateri Magis: Bateri Karbon Silikon 2.0 5600mAh

HONOR Magic6 Pro dimuatkan dengan bateri karbon silikon generasi kedua 5600mAh yang mampu bertahan sepanjang hari. Ia turut disokong dengan pengecas pantas berwayar HONOR Wired SuperCharge 80W dan mencapai bateri penuh dalam tempoh kurang daripada 40 minit. 

Pengalaman Magis: MagicOS 8.0 dan Magic Portal

Peranti ini dikuasakan dengan Android 14 dan cip mudah alih terbaharu Snapdragon 8 Gen 3, menjadikan HONOR Magic6 Pro telefon pintar berkuasa yang menyampaikan prestasi luar biasa dan kebolehan kecerdasan buatan (AI) untuk keterhubungan lancar.

Menerusi sistem operasi MagicOS 8.0, seret, kongsi maklumat dan berhubung kini di hujung jari sahaja. Ciri Magic Portal menggunakan teknologi AI untuk memahami apa yang ingin dilakukan pengguna dan memudahkan tugas tersebut. 

Sebagai contoh, sekiranya pengguna menerima mesej mengenai alamat ke sesuatu lokasi, hanya perlu menekan lama pada teks tersebut dan menarik ke aplikasi pilihan dalam menu di kanan peranti.

Selain itu, teks atau imej juga boleh diseret ke dalam emel atau memuatnaik di media sosial dengan mudah. Perkongsian kandungan kini lebih pantas dan cekap.

Astro himpun lebih 180 program istimewa sepanjang Syawal

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Bertemakan ‘Masa, Anugerah Terindah’, Astro bakal memeriahkan sambutan Syawal tahun ini dengan menghimpunkan lebih 180 program istimewa pelbagai genre.

Ia terdiri daripada telefilem, program hiburan, drama-drama tempatan berkualiti tinggi, segmen bual bicara, program realiti dan gaya hidup.

Tidak ketinggalan rancangan kanak-kanak serta filem-filem blockbuster yang boleh dinikmati bermula malam raya, melalui platform Astro termasuk televisyen, radio dan ruangan digital. 

Meneruskan tradisi tahunan, Astro juga membawakan sebuah iklan komersil ‘Ada Apa Dengan Masa’ terbitan Astro dengan kerjasama agensi Talon Creative yang diarahkan oleh Junad M. Nor daripada produksi Layar Lucida.

Kisah disebalik ‘Ada Apa Dengan Masa’ memaparkan seorang bapa yang merindui anak-anaknya tatkala mereka sibuk dengan tugasan harian dan menyimpulkan bahawa dengan meluangkan masa ia dapat mencipta momen-momen indah bersama keluarga dan orang tersayang.

Iklan berdurasi 5 minit itu menampilkan 33 bakat Astro dan selebriti terkenal tempatan termasuk Datuk Jalaluddin Hassan, Keanu Azman, Nas Muammar Zar (Nas T), Shiqin Kamal, Umar Shakur dan ramai lagi.

Ia sudahpun ditayangkan sejak 27 Mac di televisyen dan platform digital Astro. 

Ketua Saluran Melayu Astro Azlin Reza Azmi berkata, Astro menjanjikan penawaran kandungan yang komprehensif di sepanjang Syawal ini bagi memberi nilai tambah kepada pelanggan yang setia bersama mereka selama ini.

“Perancangan rapi telah dilakukan bagi meneruskan kesinambungan kemeriahan program-program hebat pada Ramadan lalu dan berterusan ke Syawal ini.

“Terdapat lebih daripada 180 program telah disusun dan bakal dihidangkan menepati citarasa semua dengan berlandaskan tema kempen kami iaitu ‘Masa, Anugerah Terindah’.

“Syawal ini juga bakal memperlihatkan iklan komersil rasmi Astro, ‘Ada Apa Dengan Masa’ yang menggabungkan 33 bakat-bakat Astro dan selebriti tempatan yang bersama-sama menjayakan kisah Tok Zan (Datuk Jalaluddin Hassan) dan tiga orang anaknya, Zulkifli (Nas T), Nazira (Shiqin Kamal) dan Azlan (Keanu Azman) sebagai teraju utama.

“Penceritaan dari iklan ini bersifat dinamik dengan mengingatkan kita semua tentang kepentingan untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga dan orang tersayang. 

“Diharapkan santapan Syawal kami mampu menyemarakkan semangat Aidilfitri penonton untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dengan program-program terbaik di Astro,” katanya.

Sementara itu, pelanggan berpeluang mendapatkan sampul raya eksklusif Astro melalui aplikasi My Astro, dari 19 Mac hingga 7 Mei.

Penebusan sampul raya boleh dibuat di rangkaian premis Eksklusif Astro dan Rakan Kongsi Eksklusif Astro berdekatan. 

Pelanggan juga boleh memeriahkan bulan Syawal ini bersama Astro dan jadikan ‘Masa, Anugerah Terindah’ dengan berkongsi sticker eksklusif Raya Astro di aplikasi WhatsApp bersama keluarga dan insan tersayang.  

Muat turun sticker WhatsApp Raya Astro di aplikasi My Astro dan SYOK. Sempena Ramadan dan Raya kali ini, Astro Kasih telah membuka tabung khas dengan kerjasama Yayasan Ikhlas menerusi Kempen Kasih Ramadan.  

Tabung ini bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan di seluruh Malaysia dan segala sumbangan yang diterima akan disalurkan sepenuhnya untuk golongan yang memerlukan.

 

Menangis bersebab, Siti Nurhaliza tidak peduli tuduhan pihak lain

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak peduli dengan tuduhan yang dilemparkan individu dan menuduh kononnya beliau menggunakan air mata bagi meraih simpati.

Siti berkata, beliau tidak faham niat sebenar pihak berkenaan kerana terus mencari salah tanpa sebab.

Katanya, air mata yang jatuh setiap kali berkongsi kisah penderitaan penduduk Gaza ialah kerana mendapat maklumat harian mengenai apa yang dilalui oleh mereka.

“Bila saya lihat gambar dan video yang dikongsi wakil kami di sana saya memang sebak dan susah hati melihat perjuangan mereka setiap hari untuk meneruskan hidup.

“Sebagai seorang ibu, bila tengok kanak-kanak menderita dan berdepan ancaman saya tersentuh kerana terkenangkan Aafiyah dan Afwa.

“Bayangkan anak-anak seusia mereka dan kalau anak-anak saya sendiri di sana memang satu perkara yang sangat sukar,” katanya.

Baru-baru ini menerusi ruangan X ada dakwaan secara sinikal menuduh Siti Nurhaliza terpaksa menangis untuk meriah simpati bagi mendapatkan sumbangan orang ramai dalam misi kebajikan penyanyi itu.

Enggan melayan perkara remeh seperti itu, Siti Nurhaliza memilih untuk memberi fokus kepada rutin harian yang lebih penting termasuk urusan kerjayanya.

Siti ditemui pada Majlis Iftar Nurjiwa Prihatin anjuran Yayasan Nurjiwa dan kolaborasi dengan Yayasan Prihatin Nasional yang menyantuni lebih 100 penerima sumbangan barangan keperluan berserta duit raya.

Mengulas sekeping foto dirinya yang ditularkan kononnya ditahan polis, Siti ketawa dan tidak sangka dirinya turut menjadi mangsa seperti rakan selebriti lain.

“Macam-macam mereka ini, tak ada kerja. Saya pun baru tahu. Tak perlulah hal-hal seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi keadaan terkini wakil Yayasan Nurjiwa di Gaza, Siti melahirkan rasa syukur kerana Allah terus melindungi Dr Mohanad dari sebarang ancaman bahaya.

“Setiap malam saya dan suami, Datuk Khalid akan berdebar menanti kemaskini dari Dr Mohanad dan kami bersyukur dia masih selamat dan dapat terus menyalurkan sumbangan kepada rakyat di sana.

“Saya sangat terharu kerana bantuan yang disalurkan dapat membantu kira-kira 10,000 penduduk di sana termasuk untuk kelengkapan dan makanan.

“Paling bersyukur kami dimaklumkan mereka juga sudah berjaya menyimpan stok makanan selama sebulan sepanjang Ramadan ini.

“Tidak ada ayam, ikan atau daging, tetapi Alhamdulillah ada beberapa jenis kekacang yang digunakan untuk menyediakan juadah mengisi perut waktu berbuka dan sahur.

“Kelengkapan pakaian dan selimut juga dapat disediakan memandangkan musim sejuk di sana,” katanya.

Siti Nurhaliza melahirkan penghargaan kepada semua penyumbang dan rakyat Malaysia yang perihatin sehingga membantu Yayasan Nurjiwa meneruskan bantuan kepada saudara di sana.

Katanya, usaha itu tidak dapat dilakukan sendiri oleh Yayasan Nurjiwa tanpa sokongan dan sumbangan daripada semua pihak.

Kisah perseteruan antara Luka dan Bono, ‘Rebel: Berontak untuk Berotak’ filem aksi arahan pertama Awie

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu Datuk Awie kini diberi peranan sebagai seorang pengarah.

Menariknya, Awie telah dipilih untuk bertindak selaku pengarah menerusi sebuah filem aksi berjudul REBEL: Berontak Untuk Berotak.

Berkongsi tentang permulaan beliau diberikan peluang mengarah filem, Awie memberitahu ia berlaku setelah pertemuan dengan Allahyarham Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London.

“Arwah bersama penerbit datang berjumpa saya dan kami berbincang mengenai filem Rebel, namun agak terkejut apabila mereka turut menawarkan saya mengarahkan filem ini.

“Secara jujurnya, saya anggap ini satu tanggungjawab yang besar. Apapun saya terharu dengan peluang yang diberikan dan menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Menariknya, filem berkenaan menampilkan dua pelakon lelaki popular iaitu Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama, selain Shiqin Kamal, Azlan Komeng dan Awie sendiri yang turut berlakon.

Rebel: Berontak Untuk Berotak mengisahkan tentang perseteruan antara dua individu iaitu Luka (Ben Amir) dan Bono (MK K-Clique), meskipun mereka berada dalam sebuah pertubuhan yang sama.

Biarpun idea dan cerita asal filem Rebel ini adalah cetusan daripada dirinya sendiri, Awie menyatakan jalan ceritanya langsung tiada berkaitan dengan mana-mana pihak atau pertubuhan.

Awie berkata, apa yang ingin dipaparkan olehnya adalah tentang proses ‘baik pulih’ dalam sesebuah pertubuhan yang mungkin ada berlaku sebarang kepincangan.

“Intipati paling utama yang ingin saya paparkan adalah sikap ‘rebel’ atau memberontak yang ada dalam diri dan jiwa seorang individu. 

“Dalam kehidupan ini, setiap manusia tak ingin dilahirkan nak jadi jahat. Tentu ada punca yang membuatkan individu itu ada sikap ‘rebel’ dalam dirinya, Itu yang saya ingin tonjolkan dalam filem ini,” katanya lagi.

Mengenai pemilihan Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama, Awie merasakan sudah tiba masanya untuk industri perfileman menampilkan muka-muka baharu berlakon dalam filem aksi.

“Memang saya rancang untuk tampilkan pelakon seperti Ben Amir yang sebelum ini lebih dikenali dengan naskhah romantik. Saya cuba nak ubah dia untuk menjadi hero dalam filem aksi pula.

“Begitu juga dengan MK yang lebih menonjol dalam bidang nyanyian dan sudah mula aktif berlakon. Sepanjang penggambaran, saya lihat dia mempunyai kebolehan dan bakat yang besar,” katanya.

Memandangkan Rebel adalah naskhah sulung buat dirinya selaku pengarah, Awie meletakkan harapan yang tinggi agar filemnya itu dapat diterima penonton.

Katanya, setelah agak lama bergelar pelakon, sudah tiba masanya untuk dia menonjolkan diri sebagai pengarah pula.

“Tidak dinafikan tugas menjadi pengarah itu lebih sukar berbanding pelakon. Namun, sekurang-kurangnya saya belajar banyak perkara.

“Untuk filem pertama ini mungkin ada beberapa kelemahan dan kekurangan, tetapi saya akan perbaiki sekiranya mendapat peluang sebegini lagi pada masa akan datang,” kata Awie.

Sementara itu, selaku penerbit Zamin Fakry Zainol berkata, pemilihan Awie sebagai pengarah dibuat lantaran pengalaman luas beliau dalam bidang lakonan.

Oleh itu, pihaknya merasakan sudah tiba masa untuk Awie diberi peluang meraih pengalaman sebagai seorang pengarah filem.

“Sudah banyak filem yang beliau berlakon dengan pelbagai watak yang pernah dilakonkan. Kami begitu yakin pengalaman yang dimiliki itu dapat diterjemahkan pula apabila beliau duduk di kerusi pengarah.

“Sepanjang penggambaran dilakukan kami lihat beliau melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan ia dibuktikan dengan filem ini,” katanya.

Pada masa sama, Zamin juga berharap filem Rebel ini akan mendapat tempat serta memberikan impak kepada penonton terutama sekali penggemar filem aksi.

“Sudah tiba masanya penonton dapat menonton karya sulung daripada Awie, apatah lagi jalan cerita dan idea asal adalah daripada beliau sendiri.

“Kami juga yakin peminat yang suka kepada filem-filem genre aksi berpuas hati dengan naskhah yang dihasilkan ini,” katanya.

Dihasilkan dengan kos hampir RM1 juta, filem Rebel akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 2 Mei.

SINOPSIS

Luka, seorang pemuda yang berasal dari penempatan setinggan, membesar dalam keadaan serba kekurangan dan di kelilingi elemen-elemen yang tidak sihat seperti penagihan dadah, pelacuran dan gangsterism.

Walaupun berasal dari persekitaran sedemikian, Luka tetap cuba untuk menjalani kehidupan yang normal. Luka bagaimanapun mempunyai satu sifat yang membezakan dirinya dengan orang lain seperti tidak boleh menahan diri jika melihat ketidakadilan berlaku di depan matanya. 

Pada masa sama, berlakunya perseteruan antara Luka dan Bono, seorang budak nakal yang sering mengganggu ketenteraman di situ.

Berlaku pergaduhan ketika mereka remaja apabila Bono dan gengnya cuba memeras ugut gerai ibunya. Pergaduhan itu tidak memihak kepada Luka, tetapi ia adalah titik perubahan dalam hidupnya. Dia mula memberontak dan menentang ketidakadilan yang berlaku di sekelilingnya.

‘Cuti Raya’ versi The Gadys meriahkan sambutan Aidilfitri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR- Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi pastinya menjadi satu-satunya peristiwa yang begitu ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam selepas menjalani ibadah puasa selama sebulan.

Kemeriahan dan kegembiraan hari raya ini sungguhlah memikat hati dan menggamit kenangan indah dalam ingatan semua orang yang menyambutnya dengan penuh rasa syukur.

Mengiringi sambutan hari kemenangan itu tentu saja dendangan lagu raya yang berkumandang di corong-corong radio.

Selain menggamit memori dengan rangkaian lagu raya lama, tidak dilupakan karya baharu lagu raya yang turut mencuit hati pendengar.

Kumpulan The Gadys misalnya muncul dengan lagu raya berjudul Cuti Raya yang dianggap sangat dekat dengan kehidupan harian semua orang yang bekerja pada musim perayaan ini.

The Gadys dianggotai Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan mahu lagu Cuti Raya ini menjadi antara lagu raya paling diminati tahun ini seterusnya kekal evergreen.

“Lagu Cuti Raya adalah sebuah lagu yang boleh dikatakan sangat rapat dengan kehidupan harian semua orang yang bekerja.

“Lagu Cuti Raya lebih kepada gambaran emosi dalam lirik lagu dan lirik yang ‘straightforward’ untuk menyatakan hasrat dan harapan untuk cuti beraya dan tidak mahu bekerja supaya dapat bergembira di hari raya dengan orang yang tersayang,” kata Aznie.

Berkongsi lanjut, Aznie berkata, proses rakaman lagu Cuti Raya sangat menyeronokkan.

“Proses rakaman lagu raya adalah antara proses yang sangat ‘fun’ sebabnya ini kan lagu raya, pelbagai emosi yang boleh kita letak dalam setiap melodi dan nyanyian yang kita nyanyikan.

“Pada mulanya banyak juga lirik yang cuba dan diubahsuai agar lirik itu lebih kena dengan situasi dan keadaan semasa ramai orang di luar sana apabila mendengar lagu ini,” katanya.

Bagi Ayunie, bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam penghasilan lagu Cuti Raya ini satu lagi pengalaman berharga buat mereka.

“Pengalaman yang kami lalui sangat seronok dan semuanya berjalan dengan lancar. Setiap pihak memberi kerjasama yang baik.

“Ketika rakaman kami bersama-sama berkongsi idea untuk menjayakan lagu Cuti Raya ini. Kami sangat selesa semasa bekerja dengan setiap pihak semasa proses Cuti Raya ini dijalankan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap lagu Cuti Raya ini dapat diterima baik oleh semua peminat dan pendengar.

“Kami berharap Cuti Raya ini akan sentiasa didengari oleh setiap orang setiap kali raya dan kami juga mengharapkan setiap pendengar Cuti Raya gembira dan menerima Cuti Raya dengan seadanya,” katanya.

Sementara itu, Thamiera berkata, lagu Cuti Raya ni sangat kena untuk orang yang bekerja dan tidak mendapat cuti pada sambutan hari raya ini.

Katanya, penggambaran video muzik lagu Cuti Raya ini dijayakan dengan baik hasil daripada kerjasama semua pihak.

“Alhamdullilah, penggambaran MV semua berjalan dengan lancar. ‘Calltime’ saya yang paling awal iaitu jam 6.30 pagi saya dah sampai ke lokasi yang diberi.

“Lepas habis bahagian saya, saya sempat tidur di bilik artis sementara menunggu gadys yang lain habis juga.

“Selepas mereka selesai, kami bersama-sama berbuka puasa dan selepas itu juga kami terus ke lokasi yang terakhir. Pasukan produksi sangat mudah untuk bekerjasama dan kami sangat selesa dan seronok sepanjang proses rakaman,” katanya.

Lagu Cuti Raya adalah ciptaan Ja’a, Mage dan Glowrush serta menampilkan Adib Hussin dan Glowrush selaku penerbit.

Lagu Cuti Raya boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.

Manakala muzik video akan ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi The Gadys bermula hari ini.

Pencarian kotak hitam helikopter AW139 milik Maritim Malaysia masuki fasa kedua

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Seramai 21 Penyelam Penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terbabit dalam fasa kedua pencarian kotak hitam helikopter AW139 milik Agensi ini yang telah melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa pada 5 Mac lalu.

Pencarian kali ini memfokuskan keluasan lokasi kotak hitam berkenaan antara 50 sehingga 100 meter radius berpandukan signal daripada pinger.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kotak hitam berkenaan dipercayai berada di sekitar 700-800 meter dari kawasan pendaratan cemas helikopter terbabit.

Mengikut laporan yang diterima, penyelam berhadapan kesukaran untuk mencari kotak hitam berkenaan akibat keadaan arus deras di dasar laut selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut yang berlumpur.

Walau bagaimanapun pihak Maritim Malaysia positif akan menjumpai kotak hitam berkenaan dalam masa terdekat berdasarkan kedudukan terkini kotak terbabit dikesan.

Selain penyelam penyelamat Maritim Malaysia, misi pencarian ini turut membabitkan kru sonar PHN TLDM, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd.

Fasa pertama pencarian kotak hitam pesawat berkenaan telah dilaksanakan bermula 6 Mac hingga 24 Mac lalu dengan lokasi tumpuan adalah di sekitar 1 kilometer radius di kawasan helikopter terbabit melakukan pendaratan cemas.