KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu rasuah diperangi sebagai musuh nombor satu negara, dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab serta integriti.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata ia selaras dengan peranan SPRM sebagai agensi penguat kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini.
Beliau berkata, SPRM sekali gus berharap semua rakyat Malaysia, khususnya keseluruhan jentera kerajaan, tanpa kompromi dapat berganding bahu menjunjung dan melaksanakan titah baginda itu.
“Sebagai agensi penguat kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Yang di-Pertuan Agong itu dilaksanakan sepenuhnya, dan menjalankan tanggungjawab berkenaan dengan penuh integriti,” katanya dalam satu kenyataan.
Kelmarin, Sultan Ibrahim menitahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM menumpukan usaha memerangi rasuah secara habis-habisan di negara ini.
Seri Paduka baginda sekali lagi menegaskan memerangi ancaman rasuah sebagai musuh nombor satu negara, adalah antara tumpuan utama dalam pemerintahan baginda.
Dalam pada itu, Azam berkata, titah Yang di-Pertuan Agong itu melambangkan ketegasan baginda memerangi ancaman rasuah.
“SPRM menjunjung kasih Seri Paduka baginda yang menitahkan bahawa memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara, adalah antara tumpuan utama dalam pemerintahan baginda.
“Titah Seri Paduka baginda melambangkan ketegasan baginda memerangi ancaman rasuah, malah perlu dijunjung oleh setiap lapisan masyarakat kerana rakyat bebas rasuah adalah kayu pengukur dan teras kepada keutuhan serta kestabilan negara,” katanya.
KUALA LUMPUR – Konsert yang telah ditunggu sekian lama bukan hanya dalam kalangan peminat tetapi kugiran rock dan ska tanah air, Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 bakal menemui peminat pada 22 Jun depan.
Bertempat di Zepp Kuala Lumpur ia akan menjadi saksi rendisi lagu terbaik Spider seperti Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi, Aladdin, Laukku Cukup Masin, dan Nazraku dilantunkan dengan ‘gila’ dalam Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur.
Tentu sahaja membayangkan kelincahan Juara Lagu 2004 menerusi lagu Relaku Pujuk dan lagu-lagu yang akan dipersembahkan sudah cukup membuat peminat teruja.
Apatah lagi kugiran yang diasaskan di Johor Bahru ini bukan pemain baharu dalam belantika muzik. Spider adalah salah satu kugiran legenda tanah air yang penuh karya sinis dalam stail tersendiri.
Spider dengan album-albumnya termasuk yang perdana, Ngam Ho dan terakhir, Ankabut yang lahir pada tahun 2016 sudah mencetak pelbagai sejarah sekaligus menjadi kugiran rujukan sepanjang hampir 30 tahun berkarier.
Justeru Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 disifatkan sebagai perjalanan panjang yang layak dinikmati bersama saat ia ‘keluar sarang’.
Selaku penganjur, pihak IFIX Entertainment juga optimis Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 akan mencipta sensasi tersendiri di sebalik penggeraknya.
“Secara jujurnya IFIX Entertainment sudah lama mengikuti perjalanan karier Spider. Spider adalah kugiran legenda yang bukan hanya memberi hiburan kosong tetapi banyak maksud tersirat dalam karya mereka.
“Karya-karya yang dilahirkan Spider cukup tersendiri menjadikan mereka sebagai kugiran rujukan buat generasi masa kini yang mahu mencipta aliran muzik seumpama Spider.
“Walaupun sepanjang hampir 30 tahun Spider hanya memiliki enam album studio penuh tetapi daripada setiap album yang terhasil, mereka punya banyak hit atau lagu popular yang diminati ramai,” katanya.
Sudah sekian lama mengidamkan sebuah konsert solo, Tam menyifatkan persetujuan di antara Spider dan IFIX Entertainment dapat dicapai dengan baik kerana konsep dan misi yang dibawa.
“Setelah banyak terbabit dengan persembahan-persembahan di festival atau gig kecil usai pandemik, Spider melihat ini adalah masa yang tepat untuk kami ‘keluar sarang’.
“Konsep ‘keluar sarang’ yang dicapai bersama IFIX Entertainment menjadi pertaruhan kami kerana peminat sedia maklum sudah cukup lama Spider tidak beraksi di pentas dalam konsert berskala besar.
“Tentu saja Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 akan menjadi medan tempur paling kecoh pernah dianjurkan,” kata Tam.
Tiket-tiket Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur dijual pada harga RM179 sehingga RM259 boleh dibeli menerusi tapautix.asia.
PUTRAJAYA- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bercadang untuk membuat sebarang majlis sambutan Aidilfitri di kediaman rasminya di Seri Perdana tahun ini, sebaliknya hanya mahu mengikuti sambutan anjuran kementerian di negeri-negeri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan harus mengamalkan langkah berjimat cermat, dan beliau mahu supaya tindakan itu dicontohi oleh agensi-agensi kerajaan yang lain.
Sehubungan itu beliau menggesa setiap agensi dan kementerian, terutama sekali Kementerian Kewangan supaya tidak bermegah dalam mengadakan majlis sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi.
“Janganlah bersaing siapa lebih megah, bukan duit kamu pun,” beliau berkata ketika berucap pada perhimpunan warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Sementara itu Anwar berkata keputusan kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam dibuat selepas mengambil kira kos sara hidup yang diakui sedikit meningkat ketika ini, selain memenuhi keperluan untuk menyambut Aidilfitri.
“Malam Ahad saya fikir mengenai BKK itu dan nak tidur pun terganggu. Jadi saya fikir bagi jelah sikit kurang-kurang reda sikit beban dan kerja pun semangat. Harap kita belanja dengan cermat dan berhemat,” katanya.
Anwar mengakui agihan bantuan RM2,000 (Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam) kepada penjawat awam bulan lalu, tidak dapat menampung keperluan sedia ada.
“Saya telah jelajah ke Sarawak, Pahang, Perak dan Perlis, saya lihat masih ada penjawat awam di peringkat bawah mengeluh kerana kos sara hidup yang meningkat sedikit,” katanya.
Semalam Anwar mengumumkan BKK Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini, di samping BKK Aidilfitri RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
Anwar turut menggesa semua agensi, badan-badan berkanun kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk mengumumkan bantuan sama kepada pekerja mereka.
“Kalau boleh bagilah pertimbangan untuk ratusan ribu pekerja di bawah supaya mereka dapat habuan untuk meringankan beban bagi sambut Aidilfitri,” katanya. -Bernama
KUALA LUMPUR – Tidak menyangka bakal menyambut anak kedua dalam waktu yang cepat, pelakon dan pelawak, Zalif Sidek pada awal terkejut apabila mendapat tahu isterinya menyorokkan kehamilan itu.
Zalif berkata, isterinya, Anis Marzuki, hamil lima bulan dan dijangka akan bersalin anak kedua mereka pada Oktober ini.
Berkongsi kejadian, Zalif berkata, pada awalnya isteri menyembunyikan berita gembira itu kerana bimbang dimarahi berikutan jarak kehamilan terlalu dekat dengan anak pertama mereka yang lahir pada 18 Januari tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya memang tidak sangka mendapat rezeki untuk timang anak kedua secepat ini. Memang kami plan kalau boleh tunggu anak sulung besar sikit.
“Pada awal saya tidak tahu, lama juga isteri sembunyikan hal ini daripada saya. Katanya dia bimbang saya marah sambil menangis isteri beritahu saya dia sudah hamil sebulan ketika itu.
“Saya tetap bersyukur Allah beri rezeki lebih cepat, anak pertama baru berusia setahun tiga bulan, Insya-Allah anak kedua bakal lahir Oktober ini,” katanya.
Zalif berkata, mungkin ini juga rezeki apabila Allah mengambil ayahnya digantikan dengan anak-anak.
“Saya anggap ini rezeki dari Allah. Arwah ayah saya dulu meninggal dunia pada 2021. Kemudian Allah gantikan dengan anak pertama. Tidak lama lagi kami bakal timang anak kedua pula.
“Buat masa ini kami belum tahu lagi jantina anak kedua. Saya tidak kisah jantina apa pun, yang penting bayi sihat dan cukup sifat,” katanya.
Dalam pada itu, Zalif turut bersyukur kerana isterinya tidak mengalami sebarang alahan atau mengidam makanan pelik-pelik.
KUALA LUMPUR – Kerjaya sebagai seorang pengawal keselamatan mungkin dilihat antara pekerjaan yang sering dipandang rendah oleh segelintir pihak.
Bagaimanapun, kerja pengawal keselamatan ini sebenarnya sangat penting dalam mengawal keselamatan di sesebuah kawasan atau premis daripada sebarang kemungkinan.
Ia telah memberi ilham kepada syarikat produksi Alfanazra Productions untuk menghasilkan sebuah filem mengangkat mereka sebagai hero menerusi sebuah filem komedi berjudul Leha.
Pengarahnya, Azaromi Ghozali berkata, dia tertarik untuk menghasilkan filem Leha kerana ia sebagai tanggungjawab sosial sebagai warga tempatan untuk mengangkat taraf pengawal keselamatan ke satu tahap yang lebih tinggi agar masyarakat memandang mereka ini mempunyai keberanian tersendiri, malah turut dilatih dengan latihan ala tentera.
“Pada saya ini adalah antara tarikan utama dalam filem ini. Selalunya orang memandang rendah kerjaya sebagai pengawal keselamatan namun kali ini saya mengangkat mereka dengan sifat keberanian dan tanggungjawab.
“Sedangkan kita sedia maklum tentang pengorbanan mereka yang sangat besar dalam soal menjaga keselamatan orang awam.
“Boleh dikatakan filem Leha ini sebagai satu penghargaan buat seluruh warga pengawal keselamatan dan seluruh ahli Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM),” katanya.
Bercerita mengenai filem berkenaan, Azaromi berkata, menerusi filemnya itu, dia mengangkat dua orang pengawal keselamatan menjadi hero yang membantu membanteras sebuah kes jenayah.
Katanya, filem Leha mengisahkan tentang tiga orang pengawal keselamatan di sebuah kilang yang membantu menyelamatkan seorang gadis bernama Leha yang hampir menjadi mangsa culik gara-gara mempunyai maklumat dan dokumen mengenai jenayah pemerdagangan manusia di kilang terbabit.
Filem ini menampilkan barisan pelakon-pelakon seperti Ali Puteh, Kodi Rasheed, Dboy Hamdan, Silfeny Osman, Khir Rahman, Cat Farish, Deen Wahab, Ikhwan Khairudin, Bidin Al Zaifa dan ramai lagi.
Azaromi berkata, kali ini dia memilih genre aksi komedi kerana ingin memberikan penonton rasa terhibur dengan lawak jenaka yang disampaikan dan secara tidak langsung dapat melihat kisah keberanian 3 orang pengawal keselamatan berkenaan.
“Pemilihan genre aksi komedi ini bukanlah ingin memperlekehkan kisah pengawal keselamatan dalam filem ini, tetapi saya mahu ia sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur.
“Dengan cara ini akan menarik minat penonton dan tanpa ragu-ragu untuk menonton bersama anak dan isteri.
“Saya juga mahu menampilkan sedikit kelainan berbanding filem aksi komedi yang lain, kerana dalam penceritaannya terdapat ‘plot twist’ yang semestinya akan memberikan kejutan kepada penonton,” katanya lagi.
Mengenai cabaran yang dilalui sepanjang pembikinan filem Leha ini, pengarah itu mengakui menghasilkan sebuah filem komedi memang agar sukar.
Katanya, sebagai seorang pengarah, dia perlu memastikan komedi yang disampaikan dapat difahami oleh penonton.
“Kalau nak buat cerita air mata atau kisah seram, ia memang agak mudah, namun jika filem komedi, ia sangat subjektif kerana bukan senang untuk buat penonton terhibur.
“Setiap orang ada citarasa tersendiri dan tidak perlu hairan jika satu panggung ketawa tiba-tiba seorang daripadanya langsung tidak senyum dan begitu juga sebaliknya apabila kita langsung tidak ketawa.
“Inilah cabaran terbesar buat diri saya untuk mengarahkan sebuah filem komedi seperti Leha,” katanya.
Filem Leha akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 11 April ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
SINOPSIS
Mengisahkan tentang seorang gadis, Leha pekerja di sebuah kilang yang mengetahui rahsia di sebalik kes jenayah pemerdagangan manusia di kilang tempat dia bekerja.
Leha hampir-hampir diculik sekumpulan lelaki di depan kilangnya itu, namun kejadian berkenaan disedari dua orang pengawal keselamatan iaitu Sani dan Khai yang telah menyelamatkannya.
Rupa-rupanya, Leha telah menjumpai dokumen dalam sebuah pen drive yang mengandungi segala maklumat mengenai kegiatan jenayah yang dilakukan bosnya itu menjadi punca dia diculik.
Rentetan daripada itu, Leha bersama Sani dan Khai dan seorang lagi pengawal keselamatan yang baru bekerja iaitu Adam telah bergabung untuk membongkar kegiatan jenayah berkenaan.
KUALA LUMPUR – Seramai 8.4 juta bakal menerima subsidi bersasar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 sebanyak 20 peratus kepada RM1.5 bilion, berbanding RM1.26 bilion pada tahun lalu, selepas kerajaan bersetuju menambah peruntukan bagi program berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana rendah menangani peningkatan kos sara hidup.
Katanya, penerima STR Fasa 2 bakal menerima bayaran antara RM100 hingga RM650 pada Rabu ini.
“Reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan MADANI bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.
“Insya-Allah, kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara, termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank.
Bayaran STR itu turut disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Mulai tahun ini, MOF memaklumkan kerajaan mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
“Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.
“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” katanya.
Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
MOF ingin menasihati penerima STR supaya sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.
KUALA LUMPUR – Dilancarkan secara rasmi sebagai lagu tema drama Hati Tercarik Luka yang bersiaran di Slot Samarinda TV3, pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, Rasa adalah lagu duet antara penyanyi Farisha Iris dan kumpulan Cherpen.
Lagu Rasa adalah hasil ciptaan Syahir Cherpen, Nemo Cherpen dan Kimie Cherpen, manakala liriknya ditulis oleh Syahir Cherpen dan Nemo Cherpen.
Lagu ini mengisahkan tentang perasaan cinta yang sukar diluahkan dan dilepaskan, bersesuaian dengan jalan cerita drama Hati Tercarik Luka yang mengisahkan tentang percintaan antara dua insan yang berbeza latar belakang dan nasib.
Farisha Iris, yang juga peserta Big Stage 2020 berkata, dia teruja untuk bekerjasama dengan Cherpen dalam lagu yang bergenre Balada ini.
“Agak susah merakamkan lagu ini kerana sudah lama tak menyanyikan lagu yang mencabar Vokal. Sebagai penyanyi kita bukan sekadar nak menyanyi asal sedap didengar.
“Orang biasa dengar mungkin sedap tapi sebagai penyanyi saya sangat menitik beratkan perkara ini.
“Teknikal dalam vokal mengambil masa untuk saya berlatih yang mana kena serasikan dengan lagu ini. Lama juga saya ambil masa dalam sebulan hingga dua bulan.
“Memang kalau masuk kereta akan dengar demo lagu ini sepanjang perjalanan sejam ke KL.
“Saya sangat gembira dan bersyukur dapat berkolaborasi dengan Cherpen kumpulan yang saya kagumi sejak dulu.
“Lagu Rasa sangat menyentuh hati dan sesuai dengan drama Hati Tercarik Luka, yang juga drama yang saya ikuti setiap minggu,” katanya.
Cherpen pula berkata mereka gembira dapat menyumbangkan lagu untuk drama Hati Tercarik Luka, yang juga antara drama popular di Malaysia.
“Kami sangat berterima kasih kepada pihak TV3 dan Seventeen Eleven Music yang memberi kami peluang untuk menyertai projek ini.
“Kami juga berterima kasih kepada Farisha Iris yang telah menyanyikan lagu ini dengan begitu indah dan berjiwa. Kami berharap lagu Rasa dapat diterima oleh peminat-peminat drama dan muzik di Malaysia.
“Kelebihan lagu Rasa ini sudah tentu buat pertama kali kami berkolaborasi dengan penyanyi lain iaitu Farisha Iris. Semua orang tahu vokal Farisha macam mana.
“Dia antara penyanyi wanita yang memiliki vokal mantap. Keistimewaan dia banyak dari segala sudut, seperti gubahan muzik dan melodi,” katanya.
Lagu Rasa Kini boleh didengar di semua platform muzik digital dan YouTube Seventeen Eleven Music.
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) yakin mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata keyakinan itu disandarkan kepada komposisi pengundi Melayu seramai 51 peratus yang cukup mesra terhadap PN.
Bukan sahaja sokongan pengundi Melayu, malah kepercayaan yang tinggi anak-anak muda terutama undi 18 tahun yang cukup dekat dengan teknologi membuatkan mereka mudah terdedah dengan maklumat untuk dibandingkan, dan akhirnya akan cenderung memilih PN.
“Buktinya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos 2023, DAP hanya mendapat tambahan 761 undi berbanding pilihan raya sebelumnya manakala PN menerima pertambahan sebanyak 7,437 undi (PRU-14 bertanding atas tiket PAS),” katanya dalam satu kenyataan.
Kee Hiong, 58, yang menjadi ADUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 meninggal dunia Isnin lalu selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.
Pada PRN Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Mohamed Sukri berkata, kelebihan pertambahan undi lebih 10 kali ganda memberi isyarat jelas bahawa gelombang rakyat sedang mara bersama PN di DUN itu.
KUALA LUMPUR – Selepas dilancarkan bersama telefon pintar flagship baharu Siri Magic HONOR pada minggu lalu, kini HONOR Pad 9 boleh dibeli di kedai seluruh negara.
Tablet terbaharu ini mempunyai reka bentuk menawan dan memberi pengalaman audiovisual menakjubkan. Ia adalah peranti terbaik untuk melakukan kerja dan berhibur.
HONOR Pad 9 tersedia dalam dua warna menarik iaitu Space Gray dan Cyan Lake. Tablet ini didatangi dalam dua versi iaitu Wi-Fi sahaja dan 5G.
Model Wi-Fi ditawarkan pada harga RM1,499 dan sudahpun dijual di seluruh negara.
Turut disertakan adalah hadiah percuma bernilai RM698, termasuk papan kekunci pintar HONOR Pad 9 Smart Bluetooth Keyboard dan pen HONOR CHOICE Pencil.
Dengan aksesori yang diberikan, HONOR Pad 9 pasti melancarkan tugasan pengguna sama ada untuk belajar, kerja atau menghasilkan seni.
HONOR Pad 9 boleh dibeli di pelbagai platform seperti laman web rasmi HONOR, Kedai HONOR, Shopee, Lazada, TikTok Shop, dan juga pengedar sah Harvey Norman, Senheng, SenQ, dan Urban Republic.
Sementara itu, HONOR Pad 9 edisi 5G akan mula dijual pada 19 April ini. Berikut beberapa ciri menarik tentang tablet ini.
Paparan Keselesaan Mata 2.5K 12.1 inci
Pengguna pasti terpesona dengan Paparan Keselesaan Mata 2.5K 12.1 inci yang menakjubkan. HONOR Pad 9 mempunyai kadar segar semula 120Hz dan nisbah skrin ke badan adalah 88 peratus, menghasilkan imej yang jelas dan terang. Menampilkan resolusi 2560×1600 piksel dan menyokong 1.07 bilion warna, tablet ini menjanjikan pengalaman visual menyeronokkan.
HONOR Pad 9 turut mengutamakan kesihatan mata dengan menyertakan ciri-ciri keselesaan mata Pemalapan Dinamik dan Paparan Malam Sirkadia. Kini pengguna tidak perlu bimbang keletihan mata selepas menggunakan tablet ini untuk tempoh lama. Paparan peranti ini turut menerima pensijilan daripada TÜV Rheinland untuk Cahaya Biru Rendah dan Bebas Kerlipan yang meghasilkan warna lebih warm bagi tontonan lebih selesa.
Lapan Pembesar Suara Keliling
Tablet ini didatangi dengan lapan pembesar suara dengan dua di bahagian bawah peranti untuk menghasilkan audio 360 darjah bertenaga dan dinamik dari pelbagai arah untuk menghasilkan bunyi keliling yang sinematik.
Teknologi penalaan bunyi HONOR Histen dan Bidirectional Vocal Enhancement menghasilkan bunyi yang sangat jelas, sesuai untuk membuat panggilan audio atau strim video.
Storan Besar 256GB
HONOR Pad 9 hadir dengan HONOR RAM Turbo 8GB yang boleh dipertingkatkan kepada 16GB dan mempunyai 256GB untuk menyimpan lebih banyak koleksi gambar, dokumen atau video. Pada masa sama, memberi prestasi melakukan pelbagai tugas dengan lancar.
Sambungan Sepantas Kilat
HONOR Pad 9 menawarkan dua versi iaitu Wi-Fi sahaja dan 5G. Tablet ini menjanjikan penyambungan sepantas kilat bagi membolehkan muat turun yang lebih pantas dan penstriman lancar.
Dikuasakan oleh cipset mudah alih Qualcomm® Snapdragon® 6 Gen 1, HONOR Pad 9 dimuatkan bateri berkapasiti besar 8300mAh untuk kegunaan sepanjang hari. Dengan sekali cas, HONOR Pad 9 mampu bertahan sehingga 11 jam penstriman video, 11 jam melayari media sosial atau 15 jam penstriman muzik. Ia disokong pengecas pantas berwayar HONOR SuperCharge 35W.
Produktiviti Tahap PC
Kebolehan HONOR Pad 9 dipertingkatkan dengan dua aksesori pintar iaitu papan kekunci pintar HONOR Pad 9 Smart Bluetooth Keyboard yang memberi pengalaman seperti menggunakan laptop. Papan kekunci tersebut mempunyai sudut lebar ergonomic untuk keselesaan.
Manakala pen HONOR CHOICE Pencil memberikan ketepatan dan kelancaran dalam setiap seretan. Pen ini mempunyai aliran dakwat dan kepekaan tekanan responsif yang mencapai tahap 4096 yang mengagumkan, sekaligus melancarkan pengalaman menulis.
Pengalaman Pintar
HONOR Pad 9 menawarkan pengalaman pengguna yang canggih dengan akses kepada ciri-ciri pintar dan diperibadikan. Antaranya ialah HONOR Connect yang menyelaraskan kerjasama antara peranti untuk perkongsian rangkaian yang lancar, panggilan, pemberitahuan dan mengakses aplikasi merentas tablet dan telefon pintar. Ciri ini menyokong kolaborasi multi skrin, memperkasakan pengguna untuk menggunakan sehingga empat aplikasi serentak dengan mudah di satu skrin.
Keupayaan pintar ini digabungkan dengan ciri keselesaan mata, kecekapan dan paparan sinematik terbaik untuk mengimbangi kerja dan berhibur.