28.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

Astro himpun lebih 180 program istimewa sepanjang Syawal

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Bertemakan ‘Masa, Anugerah Terindah’, Astro bakal memeriahkan sambutan Syawal tahun ini dengan menghimpunkan lebih 180 program istimewa pelbagai genre.

Ia terdiri daripada telefilem, program hiburan, drama-drama tempatan berkualiti tinggi, segmen bual bicara, program realiti dan gaya hidup.

Tidak ketinggalan rancangan kanak-kanak serta filem-filem blockbuster yang boleh dinikmati bermula malam raya, melalui platform Astro termasuk televisyen, radio dan ruangan digital. 

Meneruskan tradisi tahunan, Astro juga membawakan sebuah iklan komersil ‘Ada Apa Dengan Masa’ terbitan Astro dengan kerjasama agensi Talon Creative yang diarahkan oleh Junad M. Nor daripada produksi Layar Lucida.

Kisah disebalik ‘Ada Apa Dengan Masa’ memaparkan seorang bapa yang merindui anak-anaknya tatkala mereka sibuk dengan tugasan harian dan menyimpulkan bahawa dengan meluangkan masa ia dapat mencipta momen-momen indah bersama keluarga dan orang tersayang.

Iklan berdurasi 5 minit itu menampilkan 33 bakat Astro dan selebriti terkenal tempatan termasuk Datuk Jalaluddin Hassan, Keanu Azman, Nas Muammar Zar (Nas T), Shiqin Kamal, Umar Shakur dan ramai lagi.

Ia sudahpun ditayangkan sejak 27 Mac di televisyen dan platform digital Astro. 

Ketua Saluran Melayu Astro Azlin Reza Azmi berkata, Astro menjanjikan penawaran kandungan yang komprehensif di sepanjang Syawal ini bagi memberi nilai tambah kepada pelanggan yang setia bersama mereka selama ini.

“Perancangan rapi telah dilakukan bagi meneruskan kesinambungan kemeriahan program-program hebat pada Ramadan lalu dan berterusan ke Syawal ini.

“Terdapat lebih daripada 180 program telah disusun dan bakal dihidangkan menepati citarasa semua dengan berlandaskan tema kempen kami iaitu ‘Masa, Anugerah Terindah’.

“Syawal ini juga bakal memperlihatkan iklan komersil rasmi Astro, ‘Ada Apa Dengan Masa’ yang menggabungkan 33 bakat-bakat Astro dan selebriti tempatan yang bersama-sama menjayakan kisah Tok Zan (Datuk Jalaluddin Hassan) dan tiga orang anaknya, Zulkifli (Nas T), Nazira (Shiqin Kamal) dan Azlan (Keanu Azman) sebagai teraju utama.

“Penceritaan dari iklan ini bersifat dinamik dengan mengingatkan kita semua tentang kepentingan untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga dan orang tersayang. 

“Diharapkan santapan Syawal kami mampu menyemarakkan semangat Aidilfitri penonton untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dengan program-program terbaik di Astro,” katanya.

Sementara itu, pelanggan berpeluang mendapatkan sampul raya eksklusif Astro melalui aplikasi My Astro, dari 19 Mac hingga 7 Mei.

Penebusan sampul raya boleh dibuat di rangkaian premis Eksklusif Astro dan Rakan Kongsi Eksklusif Astro berdekatan. 

Pelanggan juga boleh memeriahkan bulan Syawal ini bersama Astro dan jadikan ‘Masa, Anugerah Terindah’ dengan berkongsi sticker eksklusif Raya Astro di aplikasi WhatsApp bersama keluarga dan insan tersayang.  

Muat turun sticker WhatsApp Raya Astro di aplikasi My Astro dan SYOK. Sempena Ramadan dan Raya kali ini, Astro Kasih telah membuka tabung khas dengan kerjasama Yayasan Ikhlas menerusi Kempen Kasih Ramadan.  

Tabung ini bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan di seluruh Malaysia dan segala sumbangan yang diterima akan disalurkan sepenuhnya untuk golongan yang memerlukan.

 
ARTIKEL BERKAITAN

Popular