editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Seramai 21 Penyelam Penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terbabit dalam fasa kedua pencarian kotak hitam helikopter AW139 milik Agensi ini yang telah melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa pada 5 Mac lalu.
Pencarian kali ini memfokuskan keluasan lokasi kotak hitam berkenaan antara 50 sehingga 100 meter radius berpandukan signal daripada pinger.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kotak hitam berkenaan dipercayai berada di sekitar 700-800 meter dari kawasan pendaratan cemas helikopter terbabit.

Mengikut laporan yang diterima, penyelam berhadapan kesukaran untuk mencari kotak hitam berkenaan akibat keadaan arus deras di dasar laut selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut yang berlumpur.
Walau bagaimanapun pihak Maritim Malaysia positif akan menjumpai kotak hitam berkenaan dalam masa terdekat berdasarkan kedudukan terkini kotak terbabit dikesan.
Selain penyelam penyelamat Maritim Malaysia, misi pencarian ini turut membabitkan kru sonar PHN TLDM, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd.
Fasa pertama pencarian kotak hitam pesawat berkenaan telah dilaksanakan bermula 6 Mac hingga 24 Mac lalu dengan lokasi tumpuan adalah di sekitar 1 kilometer radius di kawasan helikopter terbabit melakukan pendaratan cemas.