30.3 C
Kuala Lumpur
Monday, April 13, 2026

Warga Maritim Malaysia disaran jadikan Ramadan sebagai medan perbaiki diri

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) disaran menjadikan bulan Ramadan tahun ini sebagai medan bagi memperbaiki diri khususnya dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang telah diamanahkan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan Zon Maritim Malaysia.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, warga Agensi ini perlu meletakkan integriti sebagai tunjang utama dalam diri masing-masing terutamanya ketika melaksanakan tugasan di perairan negara.

Katanya, pegawai dan anggota yang mempunyai sikap berkenaan akan menjadikan imej dan kualiti perkhidmatan Maritim Malaysia sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan dipandang tinggi di mata masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyerahan Bingkisan Raya Maritim Malaysia anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil Maritim Malaysia di Ibu Pejabat Agensi, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia Mohd Norzam Mustapa.

Terdahulu, Hamid memaklumkan, program ini dilaksanakan sebagai salah satu tanggungjawab sosial PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia bagi menghargai pengorbanan pegawai dan anggota Agensi ini yang terbabit dalam OP Khas Pagar Laut 1/2024 di seluruh negara pada tahun ini.

Katanya, melalui sumbangan ikhlas ini ia sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan perasaan rindu pegawai dan anggota yang bertugas berjauhan daripada keluarga sempena hari raya nanti.

Bagi tujuan berkenaan, sebanyak 2,500 kotak bingkisan raya bakal diagihkan kepada petugas-petugas penguat kuasa Agensi ini, melalui Ibu Pejabat, Maritim Negeri, Stesen Udara Maritim Subang (SUMS), Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA). 

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia, Datuk Sapiah Mohd Nor melalui gimik penyerahan kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia sebelum ia dihantar kepada penerima-penerima yang telah disenaraikan.

Selain penyerahan bingkisan raya, program kali ini turut dimeriahkan dengan penyediaan 30 kilogram bubur lambuk untuk diedarkan kepada warga Ibu Pejabat Maritim Malaysia di samping Majlis Berbuka Puasa bersama warga Maritim Malaysia.

Sesi berakhir dengan solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih secara berjemaah yang telah dipimpin oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Protokol dan Kerohanian Maritim Malaysia, Kepten Maritim Nik Kamaruddin Yunoh.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular