26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
Home Blog Page 201

SC bakal tubuh ‘Social Exchange’ pertama di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menubuhkan ‘Social Exchange’ pertama di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempergiatkan dan meningkatkan ekosistem pelaburan di negara ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah pendekatan berstruktur untuk penyertaan modal swasta dalam projek dengan hasil sosial yang positif.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan akan memberi manfaat kepada entiti seperti badan bukan kerajaan (NGO), perusahaan sosial dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Selain itu, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur melalui Dana Pemacu sehingga RM3 bilion dalam pelaburan patuh Syariah untuk menyokong pertumbuhan tinggi syarikat tempatan Malaysia dan juga memangkin ekosistem pelaburan teroka.

“Saya juga berbesar hati memperkenalkan dimensi baharu kepada terbitan sukuk kita di bawah kerajaan Malaysia melalui struktur wakalah ‘bil-khadamat’.

“Kita merancang untuk memuktamadkan sukuk ini menjelang 2025 sambil berusaha untuk menyelesaikan semua pengaturan dan penyediaan yang diperlukan,” katanya dalam ucaptama di Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) 2024, hari ini.

Terdahulu, Anwar turut mengumumkan, kerajaan memperkenalkan program perintis Penghijauan Perniagaan Halal yang bertujuan membantu perniagaan halal di Malaysia untuk beralih kepada amalan yang lebih hijau dan mampan.

Katanya, ia akan dilaksanakan dengan menyediakan peralatan pembinaan kapasiti teknikal untuk mengukur dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau serta pembiayaan transisi termasuk pensijilan.

“Saya mengulangi komitmen kerajaan Malaysia terhadap inovasi ini melalui perkongsian dan pengumuman komitmen RM100 juta untuk menyuburkan lebih banyak inovasi seperti itu,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan Projek Hassan yang juga kerjasama antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Majlis Pimpinan MIFC (MLC), Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) serta Universiti INCEIF.

Jelasnya, projek terbabit untuk meningkatkan inisiatif zakat bagi memartabatkan sosioekonomi golongan asnaf di Kedah.

Melalui kerjasama berkenaan, sebanyak RM10 juta disasarkan bukan sahaja untuk memperkasakan komuniti asnaf, malah meningkatkan faedah langsung hasil tuaian untuk pesawah.

Cokelat ‘Kembali’ ke Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Band Cokelat, antara pemuzik terbaik yang dimiliki industri hiburan Indonesia. Deretan album dan lagu popular mereka berjaya meletakkan band asal Bandung ini sentiasa segar dalam ingatan peminat.

Band yang dianggotai oleh Kikan (vokalis), Edwin (gitar), Ernest (gitar), Ronny (bass) dan Ervin (dram) mengambil keputusan untuk ‘berpisah’ selama 12 tahun sebelum kembali bersatu pada 2022 menerusi persembahan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 2022.

Melalui media sosial, mereka muat naik hantaran video kembalinya Kikan dan Ervin. Malah, berita itu menjadi khabar gembira buat seluruh peminat Cokelat yang merindukan formasi terbaik band ini.

Terbaharu, Cokelat kembali ke Malaysia menerusi konsert yang bakal diadakan pada 7 September 2024 di Zepp Kuala Lumpur.

Mewakili Cokelat Kikan berkata, seperti semua tahu, kali terakhir Cokelat membuat persembahan di Malaysia adalah pada 14 tahun yang lalu.

“Memang sudah cukup lama. Kami berharap persembahan ini dapat mengubat rindu peminat-peminat setia. Terima kasih kami ucapkan kepada semua peminat di Malaysia.

“Kami juga sangat rindukan Malaysia yang sudah kami anggapkan seperti rumah kedua Cokelat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Tanjak Global Services selaku penganjur konsert Rosden Rahmat berkata, persembahan itu adalah kejutan dan hadiah buat peminat Cokelat.

Tanjak Global Services juga ingin menawarkan kepelbagaian dan pilihan konsert hiburan yang berlainan buat rakyat Malaysia, bukan sekadar menjemput artis atau band yang sama pada setiap tahun.

“Ahli kumpulan Cokelat secara peribadi juga sangat rapat dengan Malaysia dan teruja untuk bekerjasama lagi bersama kami di masa akan datang.

“Berita baik buat peminat Cokelat juga yang mana, kedua pihak sudah berbincang untuk berkolaborasi dalam beberapa perancangan dan program yang sudah disusun,” katanya.

Antara lagu-lagu popular Cokelat adalah Karma, Segitiga, Luka Lama, Ku Pilih Dia, Pergi, Jauh dan banyak lagi.

Tiket kategori Karma RM189 (Rockzone Standing), Segitiga RM159 (Premium Standing), Luka Lama RM139 (Free Standing), Jauh RM285 (Premium Seating), Pergi RM235 (Standart Seating) dan VIP RM380 (PER PAX) (8 PAX PER ROOM) boleh didapati menerusi https://tanjak_cokelat.ubertickets.asia

Rossa puji tindakan rakyat Malaysia sokong Blockout2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Seri Rossa memuji tindakan rakyat Malaysia yang menunjukkan sokongan terhadap pembebasan rakyat Palestin terutama dalam gerakan Blockout2024.

Rossa atau Sri Rossa Roslaina Handayani, 46, berkata, di Indonesia dia tidak merasai gerakan boikot berkenaan kerana masyarakat di sana mempunyai pemikiran yang berbeza.

“Sebenarnya  gerakan boikot di Indonesia tidak sekuat di Malaysia. Saya merasakan impak blockout itu hanya di Malaysia.

“Di Indonesia ada sebahagian masyarakat yang mempunyai pemikiran masing-masing yang berbeza dan saya menghormati itu,” katanya.

Rossa berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024 yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, semalam. 

Pelantun lagu Tegar itu berkata, biarpun gerakan boikot tidak terlalu kuat di Indonesia namun rakyat mereka tidak terlepas dalam menunjukkan solidariti terhadap saudara Islam di Palestin.

“Namun itu tidak bermakna mereka tidak menyokong saudara Islam di Palestin. Mereka juga mempunyai sikap solidariti yang tinggi.

“Setiap hari minggu di Indonesia selalu ada perhimpunan untuk memperjuangkan nasib rakyat di Palestin,” katanya.

Rossa bagaimanapun memaklumkan dia tidak lagi mempromosikan jenama produk yang menunjukkan sokongan terhadap Zionis.

“Saya tidak lagi mempromosi barangan jenama pro Israel tetapi kalau untuk tujuan kerja dan selagi ia bukan ‘hard sell’, mungkin saya tidak kisah untuk terbabit dalam menghadiri acara mereka,” katanya.

Sebelum ini, wujud gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.

Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti tanah air yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk ada kaitan dengan Israel di media sosial milik mereka.

Gerakan berkenaan disambut baik oleh warganet Malaysia yang juga menyenaraikan beberapa nama artis yang dipercayai melakukan kerjasama dengan jenama pro Zionis.

Antara selebriti Malaysia yang tersenarai adalah Meerqeen, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan ramai lagi.

Rata-rata warganet mula tidak mengikuti dan menyekat media sosial selebriti kegemaran mereka.

IPT perlu manfaat sepenuhnya keanjalan diberikan MQA

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Universiti tempatan perlu memanfaatkan sepenuhnya keanjalan yang diberikan oleh Agensi Kelayakan Malasia (MQA) terutama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dengan sepenuh jiwa.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan fleksibiliti kepada semua instusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan supaya boleh menjalankan PdP bersesuaian dengan keadaan semasa.

Katanya, keanjalan itu bukan hanya merangkumi silibus, bahan dan teknik pengajaran tetapi juga aspek penilaian pelajar terhadap subjek yang diajar.

“Secara konvensional, penilaian pelajar dibuat berdasarkan kuliah dan peperiksaan, namun dalam konteks hari ini, diharap IPT lebih terbuka dan PdP tidak semestinya berlaku di dalam kelas, ia boleh dilaksanakan di lokasi sesuai dengan konsep atau tajuk dibincangkan.

“Misalnya bagi kelas sains sosial, perbincangan boleh dibuat ditempat awam, kawasan perumahan, tempat tumpuan umum seperti pusat beli-belah dan lain-lain supaya pelajar dapat menghayati dan memahami senario semasa atau yang dibincangkan,” katanya.

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Prof. Dr. Syed Muhammad Khairudin Al-Junied menyatakan pandangan, kebanyakan universiti di beberapa negara Islam, termasuk Malaysia seolah-olah sudah ‘hilang roh’ dalam melahirkan ilmuan terbilang berikutan hasil penyelidikan dan kajian menerusi penulisan yang diterbitkan mereka tidak lagi memberi impak kepada masyarakat.

Mengulas perkara itu, Mohammad Shatar berkata, beliau setuju dengan pandangan Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam(JKNC/RUA) yang menyatakan universiti mempunyai tanggungjawab penting dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi, dan sumbangannya perlu berubah selari dengan perkembangan semasa, namun perlu berpegang teguh dengan falsafah asal penubuhannya.

Beliau berkata, dalam konteks itu, MQA sentiasa bersifat fleksibel dan memberi sokongan kepada kaedah PdP terkini dan inisiatif itu selaras dengan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global seperti yang dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya, peperiksaaan juga tidak perlu berteraskan kaedah konvensional pelbagai pilihan jawapan yang mana pelajar perlu menghafal, tetapi apa yang perlu dinilai ialah sama ada pelajar itu boleh membuat analisis, mengaplikasikan apa yang dipelajari dan ini jauh lebih penting supaya mampu melahirkan pelajar yang kompeten serta sesuai untuk menembusi pasaran pekerjaan hari ini.

“MQA sudah menjangkakan fenomena ini sama ada kita suka atau tidak, justeru IPT perlu bersedia untuk berhadapan situasi ini menerusi inovasi pendidikan, perubahan minda serta cara kerja yang lebih kreatif.

“Sekiranya tidak bersedia menyediakan fleksibiliti sedemikian, dikhuatiri IPT tempatan tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa kerana dalam mendepani dunia VUCA yang merujuk kepada volatile (bergejolak), uncertain (tidak pasti), complex (kompleks) dan ambiguity (tidak jelas), kini mod pengajian yang lebih ‘mesra pengguna’ adalah diperlukan,” katanya.

‘Hening Rindu’ taruhan terbaharu Marsha Milan

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Selepas fenomena drama ‘Lelaki Itu’, lagu nyanyian Marsha Milan, ‘Dulu Kini Dan Akhirnya’ yang menjadi lagu runut bunyi bagi drama itu mula trending dan mendapat perhatian ramai.

Kini Marsha Milan sekali lagi memukau peminatnya dengan sumbangan terbaharunya, Hening Rindu yang turut menjadi lagu runut bunyi untuk drama televisyen TV3, Aku Bukan Ustazah yang sedang bersiaran di slot Akasia setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam dan boleh di strim secara langsung secara HD di Tonton melalui aplikasi atau www.tonton.com.my.

Lagu Hening Rindu, sebuah balada yang menggugat jiwa adalah hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fattana dan Wan Salleh, dan liriknya ditulis oleh Wan Salleh sendiri. 

Lagu ini adalah single ke-9 Marsha Milan bersama Alternate Records & Talents.

Ikhwan Fatanna berkata, vokal Marsha yang sangat luar biasa dapat menyampaikan mesej yang meyakinkan dalam Hening Rindu.

“Ini adalah kolaborasi saya yang pertama dengan Marsha dan Marsha adalah sangat-sangat hebat. Saya sangat teruja untuk melihat kejayaan Marsha bagi Hening Rindu ini.

“Hening Rindu adalah sebuah lagu balada yang penuh dengan emosi dan perasaan rindu yang mendalam. Melalui melodi yang memukau, liriknya dibuai oleh gambaran perasaan kehilangan, kenangan yang berharga, dan cinta yang abadi walaupun dipisahkan oleh jarak dan waktu.

“Lagu ini menyentuh hati pendengar dengan tema universal tentang cinta dan rindu yang dialami oleh setiap insan,” katanya.

Sementara itu, Marsha yang telah menempa nama menerusi pelbagai anugerah dan pengiktirafan sepanjang kariernya dan terus mencipta nama dalam industri hiburan berkata, dia sangat berbesar hati dapat menyumbangkan suara sekali lagi untuk lagu tema drama iaitu kali ini ‘Aku Bukan Ustazah’. 

“Menyampaikan lagu tema drama memerlukan penghayatan emosi yang mendalam. Bukan sekadar menyampaikan lirik dan melodi, tetapi juga perlu merasai dan memahami emosi yang  disampaikan.

“Melodinya syahdu, sarat dengan maksud tersirat. Saya berharap ia dapat menyentuh hati penonton seperti mana ia menyentuh hati saya ketika merakamkannya.

“Mendengar melodi Hening Rindu sangat menangkap hati, saya terus menyukainya dan bersetuju untuk berkolaborasi. Lagu dan video ini sangat istimewa bagi saya, sesuatu saya rasa kita semua mungkin pernah rasa. 

“Ia membawa kembali suasana balada tahun 90-an tetapi dengan sentuhan yang moden. Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada projek kreatif yang besar ini.

“Sebagai  seorang penyanyi saya rasa ia sentiasa menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan dinamik rasa dan warna kepada mana-mana kanvas yang diberikan,” katanya.

Muzik video Hening Rindu adalah kesinambungan kepada Dulu, Kini dan Akhirnya. Diarahkan oleh Izuan Mokhtar,  ia membongkarkan tentang Marsha yang diabaikan sebelum ini oleh suaminya Mirza, kerana Mirza sudah mempunyai perempuan lain iaitu Qaidah.

Selepas pergaduhan, Marsha terbabit kemalangan sehingga meninggal dunia termasuk bayi di dalam kandungannya.

Penyesalan Mirza di atas segala perbuatannya terhadap isterinya digarap dengan baik dalam setiap babak. Muzik video ini juga menampilkan lokasi-lokasi yang indah dan sinematografi yang mempesonakan disekitar Eco Majestic, Batai, Sepang, UPM Serdang, Subang Bestari dan Tadom Hill, menjadikan ia sebuah karya seni yang lengkap.

Penggambaran yang mengambil masa 3 hari ini turut menampilkan penampilan khas Dato’ Adi Putra sebagai Mirza.

Sebelum ini, single Marsha yang berjudul ‘Dulu Kini Dan Akhirnya’ yang juga lagu runut bunyi kepada drama ‘Lelaki Itu’ telah mencatat sehingga 191 ribu tontonan di YouTube dan sekaligus menjadikan lagu berkenaan trending di YouTube Music di tangga ke-25 dan juga mendapat 70 Juta tontonan di aplikasi Tik Tok sehingga kini. 

Dengarkan lagu Hening Rindu dan ‘Dulu Kini Dan Akhirnya’ nyanyian Marsha Milan yang telah mula bergema di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify dan YouTube Music.

BoBoiBoy kembali beraksi dengan ‘BoBoiBoy Galaxy Windara’ di TV9

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Siri animasi popular BoBoiBoy mengumumkan akan kembali menghiburkan penonton di kaca televisyen melalui siri terbaharu BoBoiBoy Galaxy Windara.

BoBoiBoy yang telah memikat hati jutaan kanak-kanak dan keluarga di seluruh Malaysia, dijadualkan kembali untuk bersiaran di TV9 dengan siri terbaharu, bermula 2 Jun 2024, setiap Ahad, jam 6.30 petang dan boleh strim secara langsung dalam HD melalui www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton. 

BoBoiBoy kini sudah beraksi selama 12 tahun dan telah mencipta peminatnya tersendiri daripada pelbagai generasi.

Tayangan siri terbaru ini tentunya bakal meningkatkan rasa keterujaan dalam Generasi-B (BoBoiBoy) yang telah mengikuti BoBoiBoy dari siri pertama dan yakin bahawa episod-episod baharu ini akan terus mengukuhkan kedudukan BoBoiBoy sebagai siri animasi kegemaran di Malaysia yang sentiasa menjanjikan animasi yang lebih hebat, segar, penuh pengajaran dan hiburan berkualiti.

Selain daripada jalan cerita yang menarik, penonton juga boleh menjangkakan peningkatan dalam kualiti animasi dan efek visual yang lebih mengagumkan.

Pasukan produksi telah bekerja keras untuk memastikan setiap episod memenuhi standard tertinggi dalam industri animasi.

Dihasilkan oleh MONSTA, BoBoiBoy Galaxy Windara membawa penonton menyertai pengembaraan BoBoiBoy yang menghadapi dilema apabila Kuputeri iaitu pemegang asal kuasa Elemen Tempest tiba di Bumi untuk menuntut semula kuasanya dan menyelamatkan rakyatnya.

Untuk memujuk BoBoiBoy, Kuputeri telah menjemputnya ke Planet Windara, dimana dia dapat menyaksikan sendiri penderitaan rakyatnya yang telah lama bertahan di bawah naungan Maharaja Reramos yang jahat.

Sempena dengan pelancaran siri terbaharu ini, BoBoiBoy Galaxy Windara mengumumkan pelancaran peraduan “Tonton dan Menang” yang bakal memberikan peluang kepada penonton setia untuk memenangi hadiah-hadiah menarik.

Peraduan ini akan berlangsung bermula dari 2 Jun 2024 hingga 7 Julai 2024. Peraduan “Tonton dan Menang” bertujuan untuk menghargai sokongan padu daripada peminat siri BoBoiBoy. 

Untuk menyertai peraduan ini, penonton hanya perlu menonton setiap episod BoBoiBoy Galaxy Windara, dan meneka watak yang muncul di kaca televisyen sewaktu tayangan berkenaan. 

Penonton dikehendaki mencipta dialog tersendiri dengan cara kreatif berdasarkan situasi yang diberi. Jangan lepaskan peluang ini kerana anda boleh memenangi pelbagai barangan eksklusif BoBoiBoy.

Gagal menang trofi, Barcelona buat keputusan pecat Xavi

editormaxinfo@gmail.com

BARCELONA – Barcelona telah memecat pengendali pasukannya, Xavi Hernandez pada Jumaat selepas gergasi Catalan itu gagal memenangi trofi musim ini.

Xavi akan mengendalikan perlawanan terakhir La Liga pasukan pada hari Ahad di Sevilla sebelum melepaskan jawatannya itu.

“Presiden Barcelona, Joan Laporta telah memberitahu Xavi Hernandez bahawa tugas beliau sebagai jurulatih untuk musim 2024-2025 tidak diteruskan,” kata Barcelona dalam satu kenyataan.

Bekas jurulatih Bayern Munich dan Jerman, Hansi Flick dijangka menggantikan Xavi.

Pada bulan Januari, Xavi berkata, dia akan mengundurkan diri pada penghujung musim tetapi, selepas prestasi cemerlang, pada April dia dan presiden Laporta bersetuju jurulatih itu akan kekal untuk kempen seterusnya, dengan kontraknya akan tamat pada Jun 2025.

Bagaimanapun, keadaan berubah dengan laporan media Sepanyol Laporta berasa marah dengan komen Xavi yang menunjukkan sukar untuk kelab yang kurang kewangan itu untuk bersaing dengan Real Madrid dan pasukan elit Eropah yang lain.

“Barcelona ingin mengucapkan terima kasih kepada Xavi atas kerjanya sebagai jurulatih, yang menambahkan lagi kerjayanya yang tidak dapat ditandingi sebagai pemain dan kapten pasukan utama, dan mendoakan yang terbaik untuknya pada masa hadapan,” kata kenyataan itu lagi. -Agensi

Haidar Hasanudin terkejut ‘Mak Datin’ tawar kemewahan kepadanya

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pelakon baharu Haidar Hasanudin, 35, mendedahkan dirinya diganggu peminat wanita yang menawarkan kehidupan mewah kepadanya.

Bermula sebagai peminat, Haidar tidak menyangka wanita berstatus ‘mak datin’ itu mahu memberikan wang sejumlah RM50,000 kepada aktor berkenaan.

“Semuanya bermula ketika saya membawakan watak ‘anak ikan’ bernama Arjuna dalam drama bersiri Layang Layang Perkahwinan.

“Ketika drama itu ditayangkan, dia mengikuti saya di Instagram dan sering menghantar mesej langsung (DM).

“Pada awalnya, dia memberikan komen mengenai drama terbabit. Lama kelamaan, keadaan menjadi pelik kerana dia mula bercakap soal peribadi dan pelbagai lagi.

“Saya terkejut kerana dia mula menawarkan kemewahan seperti wang tunai bernilai RM50,000 dan dia juga mahu menghadiahkan saya kereta, asalkan saya mahu menjadi teman rapatnya,” katanya.

Enggan termakan godaan dan hasutan, Haidar tidak melayan permintaan wanita terbabit dan mahu terus fokus mencipta nama dalam bidang lakonan.

“Kalau nak fikir mengenai kesenangan, mungkin saya sudah terima tetapi saya tak mahu apa yang saya usahakan selama ini tidak membuahkan hasil.

“Saya bermula dari bawah, nama saya sebagai pelakon mula dikenali, kalau saya berhenti kerana wang atau kemewahan, sia-sia sahaja segala susah payah saya selama ini.

“Penyebab utama saya berlakon adalah minat, bukannya kerana wang. Jika nak senang, mesti saya sudah terima tawaran wanita itu.

“Kini, saya tidak melayan lagi mesej yang sering diberikan kerana bimbang ia akan melarat,” katanya lagi.

Haidar ditemui pada sidang media drama bersiri terbaharu Astro Ria, Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, Kuala Lumpur.

Terbabit dalam drama bersiri Cinta Untuk Sekali Lagi, Haidar membawakan watak sebagai Cikgu Safuan, bergandingan dengan Meerqeen dan Erysha Emyra.

“Ini adalah pengalaman pertama saya membawakan watak sebagai guru. Saya bersyukur dapat bergandingan dengan nama-nama popular seperti Meerqeen, Erysha Emyra, Ozlynn, Datin Nina Juren, Arash Mohd dan ramai lagi.

“Berlakon di bawah arahan Hadith Omar memberikan saya pengalaman baharu. Saya berdebar menantikan reaksi peminat memandangkan ia adalah adaptasi novel.

“Saya juga berharap drama bersiri ini mendapat tempat di hati peminat,” katanya.

Drama bersiri Cinta Untuk Sekali Lagi bakal bersiaran di slot Megadrama bermula 27 Mei, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di Astro Ria.

Saluran Malaysia4Palestine ketengah krisis kemanusiaan di Palestin

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malaysia4Palestine adalah saluran sementara selama 24 jam yang didedikasi untuk mengetengahkan krisis kemanusiaan di Palestin.

Saluran ini akan disediakan bermula 12 tengah hari, Sabtu, 25 Mei 2024 hingga 12 tengah hari, Ahad, 26 Mei 2024 di Astro saluran 111, Astro GO dan sooka, juga di Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Klik, tanpa caj tambahan. 

Kerjasama yang julung kali dilakukan ini menghimpunkan bakat, pempengaruh, pemain industri dan pekerja kemanusiaan dalam bersama-sama memupuk kesedaran tentang perjuangan rakyat Palestin.

Saluran Malaysia4Palestine akan menampilkan temubual, persembahan khas dan dokumentari dalam mengetengahkan nasib rakyat Palestin.

Sebagai tambahan, saluran ini memberi peluang kepada penonton untuk memberi sumbangan ke tabung rasmi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dengan mengimbas kod QR yang akan disediakan pada skrin.

Inisiatif ini mendapat sokongan lebih 100 personaliti tempatan dari dunia filem, TV, berita, muzik, media digital dan bantuan kemanusiaan. Personaliti-personaliti terkenal yang akan turut mengambil bahagian dalam inisiatif Malaysia4Palestine termasuk Dato’ M. Nasir, Datuk Aznil Nawawi, Dato’ Dr Ahmad Faizal Perdaus, Dato’ Aaron Aziz, Dr Soo Wincci, Alif Satar, Lisa Surihani, Denes Kumar, Datuk Syafinaz Selamat, Elizabeth Tan, Sherry Alhadad, Ceddy Ang, Nadhir Nasar, Meerqeen, Naim Daniel, Mira Filzah, Bella Astillah, Ella, Thomas Kok, Nabil Ahmad, dan ramai lagi.

Dengan menonton saluran Malaysia4Palestine, penonton berpeluang menyumbang secara langsung demi perjuangan untuk Palestin melalui seruan bertindak yang disediakan pada skrin.

Malaysia4Palestine juga boleh didapati di RTM melalui Klik serta NJOI, Gempak, XUAN dan Astro Ulagam.

Untuk maklumat lanjut tentang saluran khas sementara selama 24 jam ini, ikuti Astro Malaysia di platform media sosial.