26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025

‘Hening Rindu’ taruhan terbaharu Marsha Milan

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Selepas fenomena drama ‘Lelaki Itu’, lagu nyanyian Marsha Milan, ‘Dulu Kini Dan Akhirnya’ yang menjadi lagu runut bunyi bagi drama itu mula trending dan mendapat perhatian ramai.

Kini Marsha Milan sekali lagi memukau peminatnya dengan sumbangan terbaharunya, Hening Rindu yang turut menjadi lagu runut bunyi untuk drama televisyen TV3, Aku Bukan Ustazah yang sedang bersiaran di slot Akasia setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam dan boleh di strim secara langsung secara HD di Tonton melalui aplikasi atau www.tonton.com.my.

Lagu Hening Rindu, sebuah balada yang menggugat jiwa adalah hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fattana dan Wan Salleh, dan liriknya ditulis oleh Wan Salleh sendiri. 

Lagu ini adalah single ke-9 Marsha Milan bersama Alternate Records & Talents.

Ikhwan Fatanna berkata, vokal Marsha yang sangat luar biasa dapat menyampaikan mesej yang meyakinkan dalam Hening Rindu.

“Ini adalah kolaborasi saya yang pertama dengan Marsha dan Marsha adalah sangat-sangat hebat. Saya sangat teruja untuk melihat kejayaan Marsha bagi Hening Rindu ini.

“Hening Rindu adalah sebuah lagu balada yang penuh dengan emosi dan perasaan rindu yang mendalam. Melalui melodi yang memukau, liriknya dibuai oleh gambaran perasaan kehilangan, kenangan yang berharga, dan cinta yang abadi walaupun dipisahkan oleh jarak dan waktu.

“Lagu ini menyentuh hati pendengar dengan tema universal tentang cinta dan rindu yang dialami oleh setiap insan,” katanya.

Sementara itu, Marsha yang telah menempa nama menerusi pelbagai anugerah dan pengiktirafan sepanjang kariernya dan terus mencipta nama dalam industri hiburan berkata, dia sangat berbesar hati dapat menyumbangkan suara sekali lagi untuk lagu tema drama iaitu kali ini ‘Aku Bukan Ustazah’. 

“Menyampaikan lagu tema drama memerlukan penghayatan emosi yang mendalam. Bukan sekadar menyampaikan lirik dan melodi, tetapi juga perlu merasai dan memahami emosi yang  disampaikan.

“Melodinya syahdu, sarat dengan maksud tersirat. Saya berharap ia dapat menyentuh hati penonton seperti mana ia menyentuh hati saya ketika merakamkannya.

“Mendengar melodi Hening Rindu sangat menangkap hati, saya terus menyukainya dan bersetuju untuk berkolaborasi. Lagu dan video ini sangat istimewa bagi saya, sesuatu saya rasa kita semua mungkin pernah rasa. 

“Ia membawa kembali suasana balada tahun 90-an tetapi dengan sentuhan yang moden. Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada projek kreatif yang besar ini.

“Sebagai  seorang penyanyi saya rasa ia sentiasa menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan dinamik rasa dan warna kepada mana-mana kanvas yang diberikan,” katanya.

Muzik video Hening Rindu adalah kesinambungan kepada Dulu, Kini dan Akhirnya. Diarahkan oleh Izuan Mokhtar,  ia membongkarkan tentang Marsha yang diabaikan sebelum ini oleh suaminya Mirza, kerana Mirza sudah mempunyai perempuan lain iaitu Qaidah.

Selepas pergaduhan, Marsha terbabit kemalangan sehingga meninggal dunia termasuk bayi di dalam kandungannya.

Penyesalan Mirza di atas segala perbuatannya terhadap isterinya digarap dengan baik dalam setiap babak. Muzik video ini juga menampilkan lokasi-lokasi yang indah dan sinematografi yang mempesonakan disekitar Eco Majestic, Batai, Sepang, UPM Serdang, Subang Bestari dan Tadom Hill, menjadikan ia sebuah karya seni yang lengkap.

Penggambaran yang mengambil masa 3 hari ini turut menampilkan penampilan khas Dato’ Adi Putra sebagai Mirza.

Sebelum ini, single Marsha yang berjudul ‘Dulu Kini Dan Akhirnya’ yang juga lagu runut bunyi kepada drama ‘Lelaki Itu’ telah mencatat sehingga 191 ribu tontonan di YouTube dan sekaligus menjadikan lagu berkenaan trending di YouTube Music di tangga ke-25 dan juga mendapat 70 Juta tontonan di aplikasi Tik Tok sehingga kini. 

Dengarkan lagu Hening Rindu dan ‘Dulu Kini Dan Akhirnya’ nyanyian Marsha Milan yang telah mula bergema di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify dan YouTube Music.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular