27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

Rossa puji tindakan rakyat Malaysia sokong Blockout2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Seri Rossa memuji tindakan rakyat Malaysia yang menunjukkan sokongan terhadap pembebasan rakyat Palestin terutama dalam gerakan Blockout2024.

Rossa atau Sri Rossa Roslaina Handayani, 46, berkata, di Indonesia dia tidak merasai gerakan boikot berkenaan kerana masyarakat di sana mempunyai pemikiran yang berbeza.

“Sebenarnya  gerakan boikot di Indonesia tidak sekuat di Malaysia. Saya merasakan impak blockout itu hanya di Malaysia.

“Di Indonesia ada sebahagian masyarakat yang mempunyai pemikiran masing-masing yang berbeza dan saya menghormati itu,” katanya.

Rossa berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024 yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, semalam. 

Pelantun lagu Tegar itu berkata, biarpun gerakan boikot tidak terlalu kuat di Indonesia namun rakyat mereka tidak terlepas dalam menunjukkan solidariti terhadap saudara Islam di Palestin.

“Namun itu tidak bermakna mereka tidak menyokong saudara Islam di Palestin. Mereka juga mempunyai sikap solidariti yang tinggi.

“Setiap hari minggu di Indonesia selalu ada perhimpunan untuk memperjuangkan nasib rakyat di Palestin,” katanya.

Rossa bagaimanapun memaklumkan dia tidak lagi mempromosikan jenama produk yang menunjukkan sokongan terhadap Zionis.

“Saya tidak lagi mempromosi barangan jenama pro Israel tetapi kalau untuk tujuan kerja dan selagi ia bukan ‘hard sell’, mungkin saya tidak kisah untuk terbabit dalam menghadiri acara mereka,” katanya.

Sebelum ini, wujud gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.

Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti tanah air yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk ada kaitan dengan Israel di media sosial milik mereka.

Gerakan berkenaan disambut baik oleh warganet Malaysia yang juga menyenaraikan beberapa nama artis yang dipercayai melakukan kerjasama dengan jenama pro Zionis.

Antara selebriti Malaysia yang tersenarai adalah Meerqeen, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan ramai lagi.

Rata-rata warganet mula tidak mengikuti dan menyekat media sosial selebriti kegemaran mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular