editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pelakon baharu Haidar Hasanudin, 35, mendedahkan dirinya diganggu peminat wanita yang menawarkan kehidupan mewah kepadanya.
Bermula sebagai peminat, Haidar tidak menyangka wanita berstatus ‘mak datin’ itu mahu memberikan wang sejumlah RM50,000 kepada aktor berkenaan.
“Semuanya bermula ketika saya membawakan watak ‘anak ikan’ bernama Arjuna dalam drama bersiri Layang Layang Perkahwinan.
“Ketika drama itu ditayangkan, dia mengikuti saya di Instagram dan sering menghantar mesej langsung (DM).
“Pada awalnya, dia memberikan komen mengenai drama terbabit. Lama kelamaan, keadaan menjadi pelik kerana dia mula bercakap soal peribadi dan pelbagai lagi.
“Saya terkejut kerana dia mula menawarkan kemewahan seperti wang tunai bernilai RM50,000 dan dia juga mahu menghadiahkan saya kereta, asalkan saya mahu menjadi teman rapatnya,” katanya.

Enggan termakan godaan dan hasutan, Haidar tidak melayan permintaan wanita terbabit dan mahu terus fokus mencipta nama dalam bidang lakonan.
“Kalau nak fikir mengenai kesenangan, mungkin saya sudah terima tetapi saya tak mahu apa yang saya usahakan selama ini tidak membuahkan hasil.
“Saya bermula dari bawah, nama saya sebagai pelakon mula dikenali, kalau saya berhenti kerana wang atau kemewahan, sia-sia sahaja segala susah payah saya selama ini.
“Penyebab utama saya berlakon adalah minat, bukannya kerana wang. Jika nak senang, mesti saya sudah terima tawaran wanita itu.
“Kini, saya tidak melayan lagi mesej yang sering diberikan kerana bimbang ia akan melarat,” katanya lagi.

Haidar ditemui pada sidang media drama bersiri terbaharu Astro Ria, Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, Kuala Lumpur.
Terbabit dalam drama bersiri Cinta Untuk Sekali Lagi, Haidar membawakan watak sebagai Cikgu Safuan, bergandingan dengan Meerqeen dan Erysha Emyra.
“Ini adalah pengalaman pertama saya membawakan watak sebagai guru. Saya bersyukur dapat bergandingan dengan nama-nama popular seperti Meerqeen, Erysha Emyra, Ozlynn, Datin Nina Juren, Arash Mohd dan ramai lagi.
“Berlakon di bawah arahan Hadith Omar memberikan saya pengalaman baharu. Saya berdebar menantikan reaksi peminat memandangkan ia adalah adaptasi novel.
“Saya juga berharap drama bersiri ini mendapat tempat di hati peminat,” katanya.
Drama bersiri Cinta Untuk Sekali Lagi bakal bersiaran di slot Megadrama bermula 27 Mei, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di Astro Ria.

