32.9 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 200

Tiara Andini tidak berani ungkap perasaan cintanya menerusi “Kupu-Kupu”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Mootiara (gelaran untuk peminat Tiara Andini) sepertinya sedang dimanjakan oleh penyanyi kesayangan mereka, Tiara Andini.

Bukan tanpa alasan, baru sahaja selesai dengan projek muzikalnya bersama Arsy Widianto, Tiara Andini kini kembali mengeluarkan lagu terbaharu yang diberi judul “Kupu-Kupu”.

Single “Kupu-Kupu” ini sangat berbeza dengan lagu sebelumnya yang menyajikan rentak dan muzik ala K-Pop. Kini Tiara Andini memberikan sesuatu yang segar dengan membawa nuansa muzik tarian pop ala 80-an.

Di lagu ini Tiara Andini bekerjasama dengan Laleilmanino yang dikenali sebagai pencipta lagu-lagu hit masa kini di Indonesia.

Menerusi single ini Laleilmanino bertindak sebagai penulis dan pencipta serta penerbit lagu. Lagu ini dikeluarkan di bawah label rakaman Universal Music Indonesia, label yang menaungi Tiara Andini selama ini.

“Saat pertama dengar lagu ini saya langsung jatuh cinta, kerana nada-nadanya sangat nyaman didengar, dan lagunya juga sangat rancak, apalagi ini ciptaan Laleilmanino, saya sangat suka bekerjasama dengan mereka,” kata Tiara.

Untuk pengetahuan semua lagu “Kupu-Kupu” adalah lagu cinta yang menceritakan tentang dua orang yang sama-sama saling suka, namun saling tidak berani menyampaikan perasaan cinta itu.

“Tahu kan? Kalau sedang suka, biasanya jadi sedikit takut untuk mengungkapkan perasaan. Ini terjadi pada kedua-dua orang dalam kisah ini, padahal saling suka. Lebih kurang begitulah cerita lagunya,” katanya.

Sementara itu, dari sudut suara, seperti yang sudah disebutkan, lagu ini menyajikan nuansa tarian pop 80-an yang sangat menyeronokkan, ceria, dan menyenangkan.

Nada-nada yang ditampilkan juga mudah ditarikan. Pelancaran “Kupu-Kupu” sangat dinantikan oleh Mootiara, iaitu peminat Tiara, kerana sebelum ia dikeluarkan lagi, Tiara sudah memberikan banyak pembayang bertemakan kupu-kupu yang membuat peminat tertanya-tanya.

Semuanya bermula saat Tiara mengganti Spotify Canvas kesebelas lagu-lagunya dengan tema kupu-kupu, hingga mengirimkan pesan kupu-kupu kepada penggemarnya di Instagram.

Hal ini tentunya membuat Mootiara sangat teruja, mengenangkan Tiara Andini memang suka memberikan petunjuk atau hint tentang karya-karyanya.

Dede Sunandar tampil di video muzik Kupu-Kupu

Hala lain yang menggembirakan ada dalam video muzik lagu ini ialah kerana ada penampilan salah satu pelawak Indonesia, Dede Sunandar.

Kehadiran Dede di video berkenaan menambah keceriaan pada konsepnya.

“Video muzik ini adalah hasil kerja AVSLZM production, bersama Michael Budihardjo yang bertindak sebagai sutradara. Konsep video muziknya sendiri dibuat dengan nuansa 80-an, vintage.

“Penuh warna-warni, latarbelakangnya juga diolah ceria, begitu juga dengan tatabusananya. Apalagi, di saat tarian Dede, Tiara, dan keempat-empat penari beraksi ria di lantai dansa.

“Saat perbincangan, saya begitu teruja dengan konsep video muziknya. Apalagi di sana juga ada Dede. Ternyata hasilnya sangat bagus dan sangat memuaskan,” katanya.

Dengan pelancaran lagu “Kupu-Kupu” ini, Tiara berharap lagu ini menjadi tular, didengarkan banyak orang, dan dapat menjadi sesuatu yang segar untuk dinikmati baik buat Mootiara serta penikmat muzik serantau.

“Menurut saya lagunya sangat enak, dan ceria untuk dinikmati, semoga ramai yang suka, dan harap ia bakal didengari oleh banyak orang,” katanya.

Tiada alasan untuk tidak menjadikan lagu “Kupu-Kupu” sebagai lagu harian yang boleh didengari sepanjang hari, kerana memang tidak membosankan, dan sangat menyenangkan untuk dinikmati.

Single ini sudah tersedia di semua platform digital. Untuk video muzik ia boleh ditonton di akaun rasmi YouTube milik Tiara Andini.

Anwar sambut baik pengumuman Google labur AS$2 bilion di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pengumuman Google yang mengesahkan komitmen pelaburannya sebanyak AS$2 bilion (RM9.4 bilion) untuk Malaysia.

Berkongsi perkara itu di media sosial, Anwar berkata ia dijangka membawa kesan berganda kepada ekonomi negara, iaitu sekitar AS$3.2 bilion, sekali gus mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030.

“Pelaburan terkait pusat data yang pertama bagi Google di Malaysia dan pembangunan rantau Google Cloud ini adalah bukti bahawa perencanaan kerajaan yang jelas, selain kekuatan ekonomi dan sumber negara menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur sedia ada dan baharu.

“Nescaya, ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital.

“Dalam pertemuan secara maya bersama pengurusan kanan Google pada 6 Mei yang lalu, saya telah tekankan bahawa selain dukungan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara umum, kerjasama strategik perlu ditumpukan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertanian,” katanya.

Anwar berkata, ia penting bagi memastikan Malaysia memanfaatkan kemahiran dan pendekatan berteraskan teknologi terkini.

Terdahulu Google hari ini mengesahkan komitmen pelaburan sebanyak AS$2 bilion bagi menyokong agenda kerajaan Malaysia dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara.

Cliff Umar mengaku bersalah miliki heroin

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Penyanyi Cliff Umar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, atas pertuduhan memiliki dadah jenis heroin, Ahad lalu.

Cliff Umar atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Sasha Diana Sabtu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah seberat 0.39 gram, di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dekat sini pada jam 3.30 petang, 26 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 12 (3) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon tarikh baharu dan mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.

Peguam Sallehuddin Salam yang mewakili Cliff Umar dalam rayuannya memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan laporan kimia ditetapkan 31 Julai depan.

Cliff Umar adalah juara program nyanyian Gegar Vaganza musim ke tujuh.

PBAKL24: Reruai Karyaseni tak menang tangan, novel popular dan baharu tarik minat pengunjung

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR: Kehadiran ramai pengunjung yang membanjiri reruai Karyaseni di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 membuatkan penerbit tidak menang tangan.

Pengarah Urusan Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd., Datuk Seri Mohd Muzri Ramli berkata, kombinasi novelis terbaik dan penerbit terbaik memberi aura terbaik dan padu bagi menarik pengunjung ke reruai Karyaseni.

“Alhamdulillah, kehadiran pengunjung ke reruai Karyaseni tidak putus-putus. Seperti tahun lalu, ramai mengambil peluang untuk mencari dan membeli novel-novel popular di bawah penerbitan kami.

“Antara novel terlaris di reruai Karyaseni adalah Lelaki Astatine karya Anjell, Anak perempuan Dato Pengarah (Rehan Makhtar), Pergilah Sayang (Marissa), Kumbang Dihatiku (Rose Harissa) dan Bersyurga Di Rusukmu (Lily Haslina Nasir).

“Kita mengharapkan sambutan seperti ini akan berterusan dan meriah. Kita dapat lihat budaya membaca masih menebal dalam kalangan rakyat tempatan berbilang usia, kaum dan lokasi,” katanya.

Sebelum ini, penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd. dinobatkan reruai paling viral di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.

Dalam pada itu, Mohd Muzri berkata, reruai Karyaseni turut mempamer dan menjual novel-novel baharu dan istimewa terbitannya.

“Antara novel baharu terbitan Karyaseni adalah Tiada Noktah Cinta (Fatinilam Sari Ahmad), Terindah Pernah Ada (Pynat Mourn), Serigala Metropolis (Rose Harissa) dan Layar Damar (Lily Haslina Nasir).

“Diharapkan kehadiran pengunjung ke PBAKL dan reruai Karyaseni akan terus meriah serta bertambah.

“Festival seperti ini seharusnya berterusan. Kita meraikan budaya membaca dalam kalangan rakyat tempatan dan juga menarik minat pelancong untuk ke PBAKL,” katanya lagi.

Selain jualan novel, reruai Karyaseni turut dimeriahkan dengan kehadiran artis tempatan antaranya Izzue Islam dan ramai lagi.

Untuk info, Karyaseni Sdn. Bhd. pernah meraih pelbagai anugerah berprestij dalam dunia penerbitan antaranya Anugerah Tokoh Usahawan Tahunan (Penerbitan), Anugerah personaliti industri & usahawan Malaysia 2017 dan Tokoh Penerbit Novel Prolifik, Anugerah Buku Negara 2022.

Selain itu, penerbitan itu juga pernah dinobatkan sebagai Asia Excellence Publishing Company Winner Choice (Asia Excellence Choice Award 2024) dan dua kali Penerbit Novel Terbaik Anugerah Telenovela.

PBAKL 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu membuka tirainya 24 Mei lalu dan berlangsung sehingga 2 Jun ini.

Gandingkan pelakon hebat, Astro tampilkan dua drama baharu Mei ini, Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro mempersembahkan dua drama baharu, ‘Cinta Untuk Sekali Lagi’ dan ‘Bunga Salju’, menampilkan gandingan hebat dari dua naskhah yang pastinya mampu membuatkan penonton drama tegar di seluruh Malaysia terpesona.

Drama-drama ini bergenre romantik, menyusuri kisah cinta yang mencabar dengan plot berbeza, disiarkan pada bulan Mei ini, menerusi Astro Ria (Saluran 104), On Demand, Astro GO dan sooka.

Sebagai salah satu genre popular masa kini, Astro ingin menampilkan penceritaan yang lebih dekat dengan permintaan serta minat penonton dengan memperluas karya-karya drama rantaiannya kepada golongan muda menerusi ‘Cinta Untuk Sekali Lagi’ di slot MegaDrama, nostalgia cinta antara pasangan muda yang bertemu kembali lima tahun selepas perpisahan mereka, serta memperkukuhkan proposisi drama di slot Tiara menerusi ‘Bunga Salju’ yang memaparkan naratif percintaan dari perspektif yang lebih matang, penuh dengan cabaran dan kesulitan. 

Pengurus Saluran Astro Ria Idlan Zahari berkata, Astro teruja untuk memperkenalkan dua drama baharu yang bakal menemani penonton Astro Ria menerusi slot MegaDrama dan Tiara.

“‘Cinta Untuk Sekali Lagi’ memaparkan kisah cinta yang berputik kembali di antara pasangan sudah berpisah, manakala ‘Bunga Salju’ mengisahkan kehidupan perkahwinan yang membabitkan pasangan kelainan upaya.

“Kedua-dua drama ini berpaksikan cinta tetapi dengan plot yang berbeza, memberikan nafas baharu kepada penggemar genre romantik.

“Uniknya juga buat ‘Cinta Untuk Sekali Lagi´dan ‘Bunga Salju’ adalah gandingan watak utamanya yang dibarisi pelakon popular, berbakat dan sedang meningkat naik. 

“Sebagai pelopor drama tempatan terbesar di Malaysia, kami ingin memberikan jalan cerita yang segar, sekaligus menepati citarasa semua penonton yang padat dengan nilai-nilai yang boleh diambil dan diterapkan kepada semua lapisan masyarakat.

“Kami berharap penonton dapat menerima naskhah terbaharu daripada Astro Ria ini dengan memberi sokongan penuh kepada gandingan-gandingan baharu kami menerusi kedua-dua naskhah ini,” katanya.

 
Mengejar Peluang Kedua dalam ‘Cinta Untuk Sekali Lagi
MegaDrama di Astro Ria bakal diperkenalkan dengan drama bergenre romantik komedi dengan menampilkan gandingan baharu Meerqeen (Alan) dan Erysha Emyra (Anne) sebagai teraju utama.Drama rantaian 20 episod ini mengisahkan Anne dan Alan yang bertemu kembali selepas lima tahun berpisah apabila abang kepada Anne, Fazlee meminta Alan untuk menjadi peguam kepada Anne selepas dia terbabit dengan satu tuntutan mahkamah. Pertemuan ini menjentik semula perasaan mereka. Alan yang masih mencintai Anne cuba menawan hatinya semula walaupun menghadapi pelbagai halangan daripada ibunya. Namun dia sentiasa mencari peluang untuk mendekati Anne semula dan bertekad tidak mahu kehilangan Anne buat kali kedua. Gandingan baharu ini menjadi penantian penonton Astro dan juga peminat selepas bibit-bibit rakaman dan gambar mereka dimuat naik di media sosial. Drama ini turut dibintangi oleh barisan pelakon tempatan popular seperti Nina Juren, Ozlynn Waty, Haidar Hasanudin, Malle Christian, Nik Rifaie dan juga juara Hero Dewi Remaja 2023, Aiman Ameer. ‘Cinta Untuk Sekali Lagi’ diterbitkan oleh Playwright Pictures Sdn Bhd, drama berkonsepkan youth romance ini diarahkan oleh Hadith Omar dan diadaptasi daripada novel nukilan Liva Vee yang sama judul.‘Cinta Untuk Sekali Lagi’ akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis bermula 27 Mei 2024, jam 10 malam secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104). 

Sengsara Cinta Demi Kesenangan dalam ‘Bunga Salju’ 

‘Bunga Salju’ mendominasi slot Tiara pada kali ini dengan memaparkan seorang gadis bernama Qaisara yang menghadapi tekanan daripada ibunya yang hanya memikirkan tentang duit hingga sanggup mengahwinkan anaknya dengan anak seorang pengusaha terkemuka bernama Azizi, demi kesenangan hidup.

Hal ini menjadi lebih teruk apabila satu-satunya lelaki yang Qaisara percaya, Farouk turut menyokong rancangan ibu Qaisara semata-mata untuk mendapatkan kesenangan hidup keluarga Azizi.

Perkahwinan yang tidak diingini ini kini semakin mencabar apabila Qaisara menyedari bahawa suaminya ialah seorang autistik.

Adakah Qaisara akan bahagia selepas berkahwin dengan Azizi, atau adakah dia akan terus menderita?

Kisah percintaan tragik ini diterajui oleh Amyra Rosli sebagai Qaisara, dan didampingi oleh hero-hero hebat seperti Hisyam Hamid sebagai Azizi, serta Hariz Hamdan sebagai Farouk.

Drama ini turut diarahkan oleh sutradara Ejump Mohd dan diterbitkan oleh MIG Pictures, serta dibarisi pelakon berpengalaman dan yang baharu seperti Zarina Zainoordin, Hasnul Rahmat, Syad Mutalib, Zul Huzaimy dan Arabella Ellen. 

Episod baharu ‘Bunga Salju’ ditayangkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104).

Konsert Divas & Diamonds 2024 satukan penyanyi Malaysia dan Indonesia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Divas & Diamonds adalah sebuah konsert berkonsep yang menampilkan bakat-bakat hebat dari Indonesia dan Malaysia iaitu artis fenomena Datuk Seri Rossa, Datuk Jamal Abdillah yang tiada tandingan dan artis yang penuh berkaliber iaitu Dayang Nurfaizah.

Bakal berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 7 September depan, bagi melengkapkan barisan artis konsert Divas & Diamonds 2024, seorang lagi superstar bakal bersatu dan berkongsi pentas pada hari berkenaan.

Pengarah Projek Divas & Diamonds 2024, Aman Ali berkata, pemilihan penyanyi untuk konsert itu adalah sesuatu yang istimewa kerana artis yang terbabit mempunyai lebih daripada 60 album diantara mereka.

“Mereka yang terbabit juga telah merangkul berbagai anugerah berprestasi dan permata utama industri muzik. Seperti yang semua tahu, diva adalah orang yang mempunyai bakat yang luar biasa, sangat dihormati dan diraikan sebagai yang terbaik.

“Kami yakin bahawa barisan artis yang kami persembahkan untuk konsert ini akan bersinar seperti berlian dengan lagu-lagu dan persembahan mereka,” katanya.

Sementara itu, Rossa berkata, dia sudah merindui peminat-peminatnya di Johor Bahru selepas hampir sedekad tidak berkunjung ke sana dan tidak sabar untuk membuat persembahan.

“Saya sudah tidak sabar untuk menghiburkan peminat di sana, sudah lama saya tidak bertandang ke Johor Bahru,” katanya.

Dayang pula berkata, pembabitannya dalam konsert berkenaan adalah satu penghormatan buat dirinya apabila dapat berkongsi pentas dengan penyanyi hebat seperti Rossa dan Jamal.

“Saya akui terharu dan teruja menjadi sebahagian daripada artis yang akan menjayakan konsert ini nanti. Persembahan saya bersama dengan Rossa dan Jamal akan menjadi sesuatu konsert yang sangat istimewa, Insya-Allah,” katanya.

Konsert ini akan menampilkan lagu-lagu kegemaran sepanjang masa hingga ke single hit terkini, oleh kesemua barisan artis nanti.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mega Eve Sdn Bhd, Dr Farhan Razali berkata, sebanyak 5 peratus daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Sumbangan Kemanusiaan Gaza.

“Bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin, sebanyak 5 peratus akan disumbangkan dan diserahkan terus kepada pegawai Kedutaan Palestin untuk membantu saudara dan saudari kita di Gaza,” katanya.

Harga tiket untuk Divas & Diamonds bermula dari RM288 hingga RM888. Untuk membeli tiket dan untuk segala pertanyaan, layari ticket2U.com.

MyRide beri alternatif dan pilihan kepada pemandu e-hailing

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha membantu memberi pilihan kepada pemandu e-hailing yang semakin bertambah sekarang ini, aplikasi e-hailing lokal, MyRide dilancarkan.

Ketua Pegawai Operasi MyRide, Azlin Othman berkata, usaha  Myride mempunyai dua motif iaitu ingin memartabatkan kembali industri e-hailing dengan menyusun strategi memperkasakan kembali pendapatan rakan pemandu dengan sistem pelan langganan yang diyakini dapat memberi pulangan pendapatan bersih yang lebih tinggi berbanding sistem komisen sedia ada.

“MyRide akan memastikan pengguna sentiasa mendapat kadar tambang yang berpatutan sepanjang masa, serta perkhidmatan yang selamat dan cekap dengan suntikan teknologi sistem dari pakar jurutera sistem.

“Penubuhan MyRide dicetuskan oleh rintihan dan kisah sebenar pengalaman pemandu e-hailing berpengalaman yang banyak memberi input mengenai keadaan dan isu semasa industri ini di mana perlu wujud satu syarikat yang benar-benar memahami kehendak pemandu.

“MyRide adalah platform yang mendengar rintihan pemandu dengan membuka platform whatsapp bagi memberi ruang kepada pemandu untuk meluahkan pendapat dan masalah mereka dan kami mengambil data-data ini bagi tujuan penstrukturan strategi operasi, pemasaran serta penetapan tambang,” katanya pada majlis pelancaran MyRide, hari ini.

Azlin berkata, bagi mengalakkan penumpang agar terus kekal menggunakan Myride, mereka bakal bekerjasama dengan gergasi e-wallet negara, untuk mengadakan program ganjaran buat pengguna setia MyRide.

“MyRide akan terus meneroka kerjasama dengan jenama-jenama terkenal tanahair dan syarikat SME dalam memperbanyakkan dan memperkasakan lagi program ganjaran MyRide.

“Di samping itu jaminan MyRide ialah mengekalkan harga tambang yang berpatutan, progresif dan relevan agar dapat mengimbangi kos yang perlu ditanggung oleh rakan pemandu pada ketika ini.

“Kami berharap selepas pelancaran MyRide ini, lebih ramai lagi rakyat Malaysia serta pemandu e-hailing tempatan memberi sokongan.

“Kami juga menyasarkan akan kawasan kecil dan terpencil dalam usaha meluaskan pasaran MyRide diseluruh Malaysia,” katanya.

HONOR bakal perkenalkan telefon pintar flagship estetik AI baharu di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR Malaysia memuat naik poster mengacah kedatangan telefon pintar baharu di Facebook yang akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat.

Pengarah Negara HONOR Malaysia, Justin Li menggambarkan peranti baharu ini sebagai gabungan Flagship Estetik AI dan estetika fotografi.

Menampilkan Teknologi AI Terkini HONOR

Pada VivaTech 2024, 23 Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif HONOR Device Co. Ltd, George Zhao menekankan tentang konsep AI pada peranti.

Zhao menonjolkan kelebihan AI pada peranti berbanding AI berasaskan Cloud seperti keselamatan yang diperbaiki akibat pengurangan risiko kebocoran data.

AI pada peranti juga melaksanakan pembelajaran mendalam terhadap tingkah laku pengguna, seterusnya memahami pengguna dengan lebih baik berbanding AI berasaskan Cloud.

Sebagai tambahan, AI pada peranti membolehkan kefungsian merentas antara peranti HONOR pengguna. Contohnya, jika pengguna memiliki telefon pintar, komputer riba, tablet, jam tangan pintar, fon putik telinga serta peranti pintar lain HONOR, semua peranti ini boleh memahami tingkah laku pengguna dan bekerjasama antara satu sama lain untuk memberikan pengalaman yang lebih peribadi.

Buat masa sekarang, fungsi AI HONOR telah digunakan pada Siri HONOR Magic seperti AI Motion Sensing, Magic Portal, Magic Capsule, AI Privacy dan AI Eye Protection. Menurut Zhao, fungsi AI HONOR akan disepadukan ke dalam semua produk kelas pertengahan hingga kelas atas HONOR pada masa hadapan.

Seperti disahkan Li, produk baharu HONOR akan datang di Malaysia juga bakal dilengkapi fungsi AI terkini dan pengalaman pengimejan yang setanding kamera profesional.

HONOR Bakal Perkenalkan Estetika Fotografi

HONOR telah bekerjasama dengan sebuah studio fotografi lagenda Paris untuk tereka bentuk bersama sistem kamera telefon pintar baharu berkenaan.

Kolaborasi perintis ini membolehkan pengguna menangkap gambar potret menakjubkan dan berkualiti studio dari peranti ini.

Dengan teknologi pengimejan berkuasa HONOR, produk baharu akan datang memperkasakan pengguna untuk meneroka fotografi telefon pintar ke tahap baru.

HONOR Umumkan Peranti Flagship Estetik AI Baharu Minggu Depan

Nantikan maklumat lanjut daripada HONOR mengenai telefon pintar Flagship Esterik AI ini dalam minggu yang akan datang.

Konsert Dolla Re:Birth The Experience, Ogos ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Walaupun dilahirkan ketika dunia berada di tahap terlemah, iaitu semasa kemuncak wabak Covid-19, kumpulan wanita Malaysia Dolla telah membuktikan bahawa mereka ada segala yang diperlukan untuk bertahan.

Hanya dalam beberapa tahun kumpulan ini yang bermula dengan empat orang ahli telah berjaya meninggalkan kesan dalam dunia muzik umum.

Melangkaui Malaysia, nama Dolla telah diiktiraf di pelbagai pelosok dunia ini berkat muzik mereka yang unik dan gerakan tarian yang lincah.

Walaupun baru sahaja mengumumkan pengunduran salah seorang ahli kumpulan mereka iaitu Syasya, kumpulan itu terus berkembang maju, berkat sokongan berterusan peminat mereka yang dikenali sebagai iDollas dan label muzik Universal Music Malaysia.

Dengan cinta dan cita-cita yang tidak berkesudahan ini, Dolla memperkenalkan satu lagi kejayaan dalam kerjaya mereka apabila mereka mengumumkan konsert yang akan datang terbitan Hitman Solutions.

“Kami di Universal Music Malaysia, sangat teruja untuk mengumumkan konsert Dolla yang akan datang ini, ia bukti perjalanan luar biasa dan kerja keras mereka.

“Konsert ini mempamerkan dedikasi dan bakat mereka yang mewakili pencapaian penting dalam misi label kami untuk memartabatkan senario muzik tempatan dan membawa artis Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian Dolla dan usaha gigih pasukan kami di belakang tabir dalam menghidupkan konsert ini.

“Bersama-sama, kami bukan sahaja menghidupkan semula kumpulan nyanyian wanita di Malaysia tetapi juga menetapkan piawaian baharu untuk eksport serantau.

“Bersama-sama, marilah kita semua meraikan kejayaan Dolla dan masa depan muzik Malaysia yang bertenaga,” kata Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim.

Sementara itu, CEO dan Pengasas Hitman Solutions Rohit Rampal berkata, pihak mereka sentiasa bersemangat untuk menonjolkan bakat tempatan dan mahu memberikan kumpulan kelahiran Malaysia ini kesempatan untuk meraikan kejayaan dan kerja keras mereka.

“Bukan sekadar penghibur, Dolla telah menunjukkan bahawa kerja keras dan cita-cita besar adalah apa yang diperlukan untuk mencapai impian sendiri, sesuatu yang boleh diimpikan oleh semua artis yang akan datang,” katanya.

Konsert itu juga akan membolehkan Dolla mempamerkan semua yang telah mereka pelajari sejak kemunculan mereka beberapa tahun lalu.

“Saya berharap konsert ini dapat menjadi pengalaman dan kenangan buat semua iDollas yang akan menghadiri konsert itu.

“Matlamatnya adalah untuk mereka bergembira dan berseronok bersama kami sambil mencipta kenangan yang akan kekal selama-lamanya.

“Kami berhasrat mengadakan persembahan yang menakjubkan dan mencipta pengalaman terbaik untuk peminat tercinta kami. Jadi bersedia untuk dibawa ke dunia Dolla,” kata Tabby.

Seorang lagi ahli kumpulan Dolla iaitu Angel juga berkongsi sentimen yang sama tentang rancangan masa hadapan.

“Konsert Dolla ini akan menjadi era baharu, kelahiran semula Dolla. Kami sedang menyediakan susunan lagu Dolla yang baru dan segar untuk konsert itu.

“Sudah tentu persembahan yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun sebelum ini. Ia akan menjadi pengalaman yang penuh emosi dan istimewa untuk iDollas,” kata Angel.

Konsert yang dihasilkan oleh perusahaan konsert dan acara terkenal Malaysia, Hitman Solutions itu menjanjikan pengalaman visual dan audio yang menakjubkan.

Konsert itu juga adalah saluran untuk gadis-gadis ini menunjukkan kelahiran semula Dolla yang serba baharu dalam perspektif yang berbeza.

“Kelahiran semula Dolla memegang visi baharu yang berani, satu evolusi yang menangkap intipati keperibadian kami hari ini.

“Kami bakal melangkah ke satu ruang yang belum diterokai, menerima perubahan dan menghindari segala rintangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Bersedia untuk menyaksikan era baharu Dolla. Ini bukan sekadar konsert ia adalah pernyataan dedikasi kami untuk sentiasa berkembang berserta peluang tanpa had di hadapan.

“Kami teruja untuk memberi peluang kepada semua yang telah bersama kami untuk mentakrifkan semula Dolla yang baharu,” kata Sabronzo pula.

“Peminat juga boleh menjangkakan karya yang lebih gah dan pada masa yang sama lebih peribadi. Seiring masa berlalu, Dolla akan semakin terbabit dalam semua aspek muzik dan diharapkan penonton dapat mendengar sentuhan kami dalam cara kami menyampaikan dan menjadikan lagu-lagu lebih unik untuk pendengar dan peminat kami.

“Apa yang pasti, kami tidak akan memperlahankan rentak kami untuk karya-karya di masa hadapan,” bingkas Tabby.

Konsert Dolla bakal berlangsung pada 3 Ogos 2024, Sabtu di Zepp Kuala Lumpur. Tiket boleh dibeli di www.hitmanlive.com bermula 30 Mei, Khamis ini.