editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Penyanyi Cliff Umar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, atas pertuduhan memiliki dadah jenis heroin, Ahad lalu.
Cliff Umar atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Sasha Diana Sabtu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah seberat 0.39 gram, di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dekat sini pada jam 3.30 petang, 26 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 12 (3) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon tarikh baharu dan mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.
Peguam Sallehuddin Salam yang mewakili Cliff Umar dalam rayuannya memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan laporan kimia ditetapkan 31 Julai depan.
Cliff Umar adalah juara program nyanyian Gegar Vaganza musim ke tujuh.