26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025

Konsert Divas & Diamonds 2024 satukan penyanyi Malaysia dan Indonesia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Divas & Diamonds adalah sebuah konsert berkonsep yang menampilkan bakat-bakat hebat dari Indonesia dan Malaysia iaitu artis fenomena Datuk Seri Rossa, Datuk Jamal Abdillah yang tiada tandingan dan artis yang penuh berkaliber iaitu Dayang Nurfaizah.

Bakal berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 7 September depan, bagi melengkapkan barisan artis konsert Divas & Diamonds 2024, seorang lagi superstar bakal bersatu dan berkongsi pentas pada hari berkenaan.

Pengarah Projek Divas & Diamonds 2024, Aman Ali berkata, pemilihan penyanyi untuk konsert itu adalah sesuatu yang istimewa kerana artis yang terbabit mempunyai lebih daripada 60 album diantara mereka.

“Mereka yang terbabit juga telah merangkul berbagai anugerah berprestasi dan permata utama industri muzik. Seperti yang semua tahu, diva adalah orang yang mempunyai bakat yang luar biasa, sangat dihormati dan diraikan sebagai yang terbaik.

“Kami yakin bahawa barisan artis yang kami persembahkan untuk konsert ini akan bersinar seperti berlian dengan lagu-lagu dan persembahan mereka,” katanya.

Sementara itu, Rossa berkata, dia sudah merindui peminat-peminatnya di Johor Bahru selepas hampir sedekad tidak berkunjung ke sana dan tidak sabar untuk membuat persembahan.

“Saya sudah tidak sabar untuk menghiburkan peminat di sana, sudah lama saya tidak bertandang ke Johor Bahru,” katanya.

Dayang pula berkata, pembabitannya dalam konsert berkenaan adalah satu penghormatan buat dirinya apabila dapat berkongsi pentas dengan penyanyi hebat seperti Rossa dan Jamal.

“Saya akui terharu dan teruja menjadi sebahagian daripada artis yang akan menjayakan konsert ini nanti. Persembahan saya bersama dengan Rossa dan Jamal akan menjadi sesuatu konsert yang sangat istimewa, Insya-Allah,” katanya.

Konsert ini akan menampilkan lagu-lagu kegemaran sepanjang masa hingga ke single hit terkini, oleh kesemua barisan artis nanti.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mega Eve Sdn Bhd, Dr Farhan Razali berkata, sebanyak 5 peratus daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Sumbangan Kemanusiaan Gaza.

“Bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin, sebanyak 5 peratus akan disumbangkan dan diserahkan terus kepada pegawai Kedutaan Palestin untuk membantu saudara dan saudari kita di Gaza,” katanya.

Harga tiket untuk Divas & Diamonds bermula dari RM288 hingga RM888. Untuk membeli tiket dan untuk segala pertanyaan, layari ticket2U.com.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular