28.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
Home Blog Page 199

Persembahan bertenaga Melly Goeslaw pikat lebih 9,000 penonton di Axiata Arena

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tampil sekali lagi menjayakan konsert Ada Apa dengan Melly & Friends? di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu, nyata persembahan penyanyi dan komposer popular Indonesia, Melly Goeslaw begitu hebat dan mempesona.

Berlangsung lebih dua jam, konsert berkenaan memukau lebih 9,000 peminatnya yang rata-rata hadir dengan mengikut tema ‘malam graduasi’ pakaian sekolah.

Malah persembahan malam itu membawa mereka mengimbau semula saat tamat persekolahan melalui lagu-lagi hit Melly Goeslaw.

Persembahan pemilik nama Melliana Cessy Goeslaw itu disempurnakan dengan iringan okestra yang dipimpin oleh suaminya Anto Hoed sebagai pengarah muzik.

Melly membuka panggung dengan lagu Tak Tahan Lagi yang terus mencuit adrenalin peminat sebelum disambung Ingin Dicintai dan Mencintai, Pencinta Wanita dan Berdua Lebih Baik yang membuat seluruh isi Axiata Arena bergema.

Melly turut mempamerkan kehebatan dalam menghasilkan lagu apabila hanya memerlukan masa 15 minit menulis lirik lagu spontan di atas pentas bersama dua orang peminat yang didedikasikan khas buat rakyat Palestin.

Lagu berkenaan juga ditujukan khas buat rakyat Palestin yang kini telah hilang tempat perlindungan selepas tentera Zionis melakukan serangan di Rafah.

Melly turut menyuarakan solidariti terhadap Palestin dengan mengatakan individu itu tidak perlu seagama Islam untuk mempamerkan sokongan kepada Palestin.

“Lagu ini saya hibahkan kepada sesiapa sahaja di sini yang ingin menggunakannya. Kalau ada yang nak gunakannya, saya dan dua penonton yang hasilkannya hadiahkan dengan ikhlas.

“Tidak mengira sama anda seorang yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa agama sekalipun, tidak perlu menjadi bangsa negara Malaysia, Indonesia atau apa saja.

“Tapi yang utama adalah kita perlu menjadi manusia dan melihat dari sudut kemanusiaan,” katanya.

Lagu berkenaan dinyanyikan oleh Melly dan peminat dengan iringan muzik orkestra sehingga mengundang sebak dan menitiskan air mata ketika di atas pentas.

Konsert yang berlangsung meriah itu menyaksikan untaian 29 buah lagu yang dipersembahkan sehingga tidak ada ruang untuk peminat berasa bosan lantaran penyanyi itu begitu bersahaja di atas pentas sambil berdansa mengikut rentak muzik.

Suasana di dalam dewan kian rancak apabila Joe Flizzow tampil berduet, mendendangkan lagu Jika.

Tidak cukup dengan itu, Melly juga memberi kejutan kepada penonton apabila menampilkan penyanyi dan pemenang tempat keempat peringkat akhir America’s Got Talent (AGT) musim ke-18, Putri Ariani.

“Saya ingin berterima kasih kepada Putri dan sebab itu saya berikan kepercayaan kepadanya membawakan lagu yang bagiku adalah magma dalam perjalanan karier sebagai pencipta lagu,” katanya sambil beredar memberi pentas kepada Putri Ariani membawakan lagu Cinta Sejati serta Kamu dan Kenangan.

Antara lagu lain yang dipersembahkan pada malam itu ialah Gantung, Suara Hati Seorang Kekasih dan Let’s Dance Together.

Melly turut menyanyikan beberapa lagu yang dipopularkan oleh beberapa selebriti lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza (Biarlah Rahsia), Datuk Seri Rossa (Ayat-Ayat Cinta), Menghitung Hari (Kris Dayanti), Pencinta Wanita (Irwansyah), Sampai Menutup Mata (Acha Septriasa) dan Jangan Pernah Berubah(Marcell).

Sebelum meninggalkan konsert dengan tema graduasi yang menurut Melly ‘semuanya lulus’, Melly mengumumkan akan kembali bertemu peminat lewat kesinambungan konsert ketiga dengan tema Prom Night pada 31 Mei tahun depan.

Boleh dikatakan perjalanan Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends? yang dibawakan oleh AKE Group dengan kerjasama Icon Entertainment berakhir dengan penuh mengujakan.

Bawa kenangan silam ke masa kini, A Time Travel Diskoria tampilkan Datuk Sheila Majid

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Mendengar namanya sahaja sudah boleh membuat badan bergoyang dan ingin berdansa.

Bayangkan bagaimana pula jika grup yang menjadi pelopor muzik disko lokal Indonesia, Diskoria yang sedang hangat dengan single terkini, Badai Telah Berlalu (bersama Bunga Citra Lestari & Laleilmanino) berada di depan anda lalu mempersembahkan karya mereka secara langsung.

Itulah yang akan anda nikmati di Zepp Kuala Lumpur, pada 14 Jun ini.

MY Deteksi bersama penganjur Sembang Kari Entertainment dan Tourism Malaysia berbangga membawakan satu-satunya konsert yang akan dibanjiri genre muzik disko nan ‘dilarang diputar di disko’ menerusi A Time Travel Diskoria With A Special Guest Sheila Majid.

Penonton bakal mendapatkan bonus berganda kerana penampilan perdana Diskoria di Malaysia akan disertai pesohor seni tempatan nan bersinar di Nusantara, Datuk Sheila Majid sebagai penampilan khas.

“Ucapkan selamat datang kepada Diskoria yang akan menyebarkan aura disko dan pesta dalam konsert istimewa pada 14 Jun ini di Zepp Kuala Lumpur.

“Selaku penganjur kami di MY Deteksi bersama Sembang Kari Entertainment dan Tourism Malaysia berbesar hati dan berasa terhormat di atas persetujuan legendaris Datuk Sheila Majid sebagai penampilan khas.

“Mahu tahu bagaimana konsert berlangsung nanti saat Diskoria ‘berpesta’ dan Sheila Majid menjadi ‘bumbu khas’, jangan lewatkan pertemuan bersama mereka dalam konsert ini.

“Ucapan terima kasih juga kepada Jemput Dengar yang akan menjadi artis pembuka konsert ini,” kata Shafika Mazlan dari My Deteksi.

Pertama kali berkongsi panggung bersama Sheila Majid, pendiri Diskoria, Merdi Simanjuntak dan Fadli Aat punya harapan agar konsert ini mencipta magis dan membawa masa silam hadir ke dunia masa kini lewat persembahan mereka.

“Diskoria sangat senang dijemput hadir ke Malaysia dan apa lagi di konsert perdana kami nanti yang menjadi tamu specialnya adalah the one and only Datuk Sheila Majid.

“Bagaimana konsert akan berlangsung nanti, kami akan pastikan semua berpesta ria. Pulang ke masa silam muzik disko yang dinikahi teknologi kini,” kata duo berkenaan.

Dengarkan Balada Insan Muda, Pelangi Cinta atau Serenata Jiwa Lara dengan harga tiket SERENATA JIWA LARA (RM165), SINARAN (RM165), C.H.R.I.S.Y.E (RM220) BADAI PASTI BERLALU (RM320).

Pembelian tiket boleh dibuat menerusi www.myticket.asia.

Dari filem ke novel, Abnormal Buas beri peluang pembaca selami dengan lebih mendalam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem Abnormal Buas yang bakal menemui penonton pada 20 Jun ini memulakan sesi pengenalannya menerusi pelancaran novelnya yang diadaptasi daripada filem berkenaan.

Menemui pembaca novel dengan lebih dekat, pelancaran novel berkenaan berlangsung di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.

Menggunakan judul yang sama, novel itu ditulis oleh Shahriman Wahap, Nadzri Kamsin dan Syamzaly Musa serta diterbitkan oleh Karya Publika Sdn Bhd.

Pelakon yang juga penerbit filem itu Aeril Zafrel berkata, penerbitan novel ini memberi ruang kepada penonton dan orang ramai untuk lebih memahami jalan cerita dengan lebih mendalam lagi.

“Novel ini diterbitkan disebabkan cerita ini begitu kaya dan mendalam, sehingga tidak dapat dimuatkan sepenuhnya dalam format filem.

“Dengan menerbitkan novel terlebih dahulu, saya berharap pembaca dapat menyelami perjalanan cerita ini dengan lebih terperinci dan komprehensif.

“Walaupun tanpa mengikuti keseluruhan trilogi, mereka yang menonton filem ini akan tetap dapat memahami alur dan makna ceritanya dengan baik. Ini menunjukkan betapa hebat dan lengkapnya penceritaan dalam novel ini.

“Sebenarnya, menggambarkan keseluruhan cerita dari novel dalam bentuk filem mungkin tidak mencukupi. Novel ini seolah-olah menjadi tambahan yang memperkaya pemahaman penonton terhadap dunia cerita yang begitu mendalam.

“Bagi mereka yang membaca novel ini, pasti akan dapat menyelami dan memahami cerita ini dengan lebih menyeluruh dan bermakna lagi,” katanya.

Berkongsi tentang jalan cerita filem itu, Aeril berkata, ia mengisahkan manusia yang bersifat ‘kebinatangan’ dengan diselitkan eleman fiksyen.

“Filem ini tidak berlatarbelakangkan Malaysia, sebaliknya ia berkisarkan di negara yang berbeza.

“Bandar dan watak yang diketengahkan juga bukan dari Malaysia, memandangkan cerita ini mengandungi unsur-unsur yang mungkin dikenakan tapisan sekiranya ia berlatar di negara kita.

“Untuk memberikan kebebasan kreatif, kami mencipta satu negara yang berbeza sebagai latar belakang. Apa yang menarik mengenai novel dan cerita ini ialah ia agak unik dan mempunyai banyak unsur yang mendebarkan serta membangkitkan rasa teruja,” katanya.

Selain Aeril, filem terbitan Respected Citizen Production ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Nabila Huda, Wawa Zainal, Johan Asari, Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosemila, Kodi Rasheed, Ahmad Yatim, Datuk Tarmimi Siregar, Datuk Rahim Razali, Jalil Hamid dan ramai lagi.

Novel ini mengisahkan, Dahliya yang mahu melupakan sejarah hitamnya dan mahu memulakan hidup baru bersama anak tunggal kesayangannya Izo.

Namun detik hitam muncul lagi dalam hidup Dahliya apabila rumah mereka dimasuki oleh pasangan penyamun, Bullet dan Speed.

Dahliya dan Izo berjaya mengusir mereka, namun sewaktu dia membuat laporan di balai polis, ASP Musa Grey bertindak memperkosa Dahliya di depan Izo.

Dahliya dan Izo didatangi oleh tiga lelaki yang mewakili E-1, agensi rahsia yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan politik di Kota Lemuriya.

Mereka berdua diangkat menjadi pembunuh upahan pasukan E-1 yang berpengkalan rahsia di hospital mental Pusat Aman Bahagia.

20 tahun selepas itu, dalam satu pertemuan yang tidak dijangka, Izo bertemu semula dengan ASP Musa Grey, Bullet dan Speed di Harmoni Vila. Izo kali ini sudah bersedia dan tragedi berdarah bakal berlaku di vila itu.

Bagi yang ingin mendapatkan novel dijual pada harga RM33.90 (Semenanjung Malaysia) dan RM35.90 (Sabah dan Sarawak).

Perkenal kaedah hafalan al-Quran secara ‘fast track’, AKMAL sasar lahir lebih ramai anak-anak selesai hafazan 30 juzuk dalam setahun

editormaxinfo@gmail.com

KUALA TERENGGANU – Terus mengorak langkah dalam usaha melahirkan lebih ramai hafiz dan hafizah menjelang 2025, Akademi al-Quran Amalillah (AKMAL) memperkenalkan kaedah hafalan al-Quran secara sistematik (fast-track).

Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Mohd Saifullah Hussin berkata, Akademi al-Quran Amalillah mengambil pelajar seawal usia 10 tahun menggunakan kaedah ‘fast track‘ bagi hafazan 30 juzuk al-Quran dengan sasaran hafiz dalam tempoh setahun.

Katanya, modul itu dicipta bagi menyelesaikan masalah anak-anak yang mengambil masa terlalu lama menghafaz al-Quran disamping membantu ibu bapa yang mempunyai perancangan melanjutkan pengajian anak-anak ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan mengaplikasikan strategi program Speed Tahfiz, Modul AKMAL menyajikan pendekatan yang unik dengan mengintegrasikan sistem hafalan, dorongan motivasi harian, kajian pelajar yang berfokus dan pengurusan psikologi.

“Impian AKMAL ingin melihat pelajar menjadi hafiz 30 juzuk Al Quran pada usia muda sebelum mereka melangkah ke peringkat menengah,” katanya selepas majlis perasmian graduasi AKMAL yang diadakan di Pusat Konvesyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Majlis yang dihadiri 2000 tetamu itu turut dirasmikan oleh Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Dato Seri Abdul Hadi Awang dan diserikan dengan kehadiran barisan Exco Agama Kerajaan Negeri Terengganu.

Mohd Saifullah berkata, pendaftaran pelajar baharu dibuat secara berfasa iaitu enam bulan sekali.

“AKMAL berharap dapat melahirkan lebih ramai mujahid dan mujahidah yang bukan sahaja menghafal al-Quran tetapi berjaya Syahadah dimana memiliki kemahiran teknik hafazan berstrategi dalam masa setahun atau kurang dari itu.

“Bukan itu sahaja, kami juga ingin melihat lebih ramai golongan intelektual mahir dan menghafal al-Quran dapat dilahirkan pada masa akan datang.

“Kami mahu menjadi peneraju konsep ’fast track’ hafazan menjelang 2025 sekali gus melahirkan ramai pelajar tahfiz yang berkualiti dan berketrampilan.

“Kami juga mahu menjadi pelengkap sistem pendidikan negara dalam tempoh akan datang dengan izin Allah.

“Kami berharap usaha ini mendapat sokongan semua pihak dan pastinya dengan bantuan semua, cita-cita ini akan dapat direalisasikan tidak lama lagi,” katanya.

Mohd Saifullah berkata, AKMAL bakal menaik taraf akademi pengajiannya dengan menubuhkan kolej pengajian al-Quran yang menawarkan pengajian peringkat diploma pada tahun 2025.

Majlis Haflah Takrimiyah Graduasi 5.0 ini menyaksikan seramai 86 pelajar berjaya Hafiz dan Hafizah 30 juzuk al-Quran manakala 19 orang pelajar berjaya Syahadah al-Quran.

“Kami turut berbangga kerana salah seorang pelajar yang diraikan iaitu Muhammad Iman anakanda kepada personaliti TV, Aidid Marcello dan isterinya yang juga bekas penyampai berita, Norzie Pak Wan Chek,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi Awang dalam sidang media berkata, al-Quran adalah panduan terbaik dalam kehidupan yang wajib dipupuk sejak kecil.

“Pelajar yang menghafal al-Quran didapati lebih mudah untuk memahami ilmu lain tidak kira dalam mana-mana lapangan.

“Atas dasar itu, kita mesti terus beramal dengan al-Quran. Barang siapa yang beramal dengan ilmu yang Allah berikan kepadanya, Allah tambahkan lagi ilmunya.

“Menjadi kewajipan untuk mendalami ilmu selepas daripada kejayaan untuk menghafal al-Quran dan disambung pengajian ilmu itu dalam pelbagai bidang,” katanya.

AKMAL yang berpusat di Marang, Terengganu dan telah beroperasi sejak lima tahun lalu kini memiliki lima cawangan antaranya di Bukit Beruntung, Sepang dan Shah Alam, Selangor serta di Batu Pahat, Johor.

 

‘The Next Supermokh’ sentuhan terakhir Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah

editormaxinfo@gmail.com

ALOR STAR – Majlis pratonton program realiti bola sepak `The Next Supermokh’ di House Of Sang Kenari, Alor Star, berlangsung dalam keadaan penuh keterujaan dan sedih apabila melihat watak utama dalam program ini, ketua jurulatih Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah.

Pratonton episod pertama program The Next Supermokh ini juga sebagai mengenang penghargaan Allahyarham Mohd Azraai dalam program ini.

Majlis disertai oleh pasukan pengurusan dan jurulatih program ini, balu dan keluarga serta sahabat rapat Allahyarham serta peminat bola sepak negeri Kedah.

The Next Supermokh adalah program Realiti Bola Sepak Pertama di RTM. Program 60 minit untuk 13 Episod ini mula bersiaran di RTM sejak semalam (pada setiap Sabtu jam 4 petang dan ulangan Khamis jam 9.00 malam).

Program realiti ini yang berakhir pada March 2023 di Thailand diketuai oleh jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah dan ini adalah sentuhan terakhir yang amat berharga daripada Allahyarham dalam sumbangannya mencungkil bakat ubi muda bola sepak di seluruh negara.

Majlis dimulakan dengan tahlil buat Allahyarham yang meninggal dunia pada awal Februari lalu.

Ia kemudian disusuli dengan tayangan program The Next Supermokh yang bersiaran untuk episod pertama di RTM.

Ketika wajah dan kelibat Allahyarham muncul di layar, semua hadirin kelihatan sedih. Keluarga Allahyarham dan beberapa rakan rapatnya juga kelihatan menitiskan air mata.

Pengarah Teknikal Kedah Darul Aman FC, Nelson San Martin yang begitu rapat dengan Allahyarham Azraai ketika bersama dalam pasukan yang menjuarai `Double Treble’ 2007 & 2008 juga bersama dalam majlis ini bersama keluarganya dan kelihatan hiba apabila melihat paparan Allahyarham Azrai.

Turut hadir dalam program ini ialah kesemua barisan jurulatih yang terlibat dalam program pencarian bakat ini yang berlangsung pada awal tahun lalu.

Mereka ialah jurulatih penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail, penolong jurulatih,  Raja Shaharul Amri Raja Adzhar, Pengarah Teknikal,  Haji Mohd Fuad Abdullah dan Pengarah Program, Dato’ Jasni Shafie.

The Next Supermokh adalah program realiti Bola Sepak Pertama di RTM. Program 60 minit untuk 13 Episod ini disiarkan di RTM di Saluran Sukan HD bermula 1 Jun 2024. Siaran pada setiap Sabtu (jam 4.00 petang) dan Khamis Jam 9.00 malam (siaran ulangan).

Lebih 1500 orang pemain menyertai ujian di empat zon di seluruh negara dan 36 pemain dipilih ke latihan pusat sebelum membentuk skuad 18 pemain yang dibawa ke Thailand untuk menyertai latihan pendedahan antarabangsa serta perlawanan menentang pasukan akademi kelab Liga 1 Thailand, PT Prachuap FC.

“Kami berbangga dengan program pencarian bakat muda ini. Lebih membanggakan ialah beberapa pemain yang dipilih dan digilap oleh Coach Azraai telah mendapat tempat dalam pasukan Piala Presiden dan Belia kelab-kelab di tanahair seperti Melaka, Perlis dan Perak,” kata pengarah dan penerbit program, Dato’ Jasni Shafie.

Beliau yang juga kelihatan sedih dalam majlis ini mengungkapkan segala tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan oleh Allahyarham Azraai dalam program ini akan menjadi peninggalan dan panduan berguna yang akan ditonton oleh seluruuh peminat bola sepak, terutamanya pemain-pemain muda.

“Ia akan menjadi suatu dokumentasi yang amat berharga untuk generasi akan datang kerana dalam program ini Allahyarham berkongsi segala ilmu yang selama ini diperturunkan kepada pemain-pemain di bawah bimbingannya,” kata Jasni lagi.

‘Campak Bintang’ gabung pop terkini dengan warisan budaya Melayu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah sejarah dilakarkan untuk industri muzik apabila dua ikon muzik Malaysia, Datuk M.Nasir dan Faizal Tahir berduet dalam sebuah kolaborasi single terbaru mereka berjudul Campak Bintang terbitan Faithful Music Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd.

Campak Bintang adalah sebuah karya menyatukan pop dengan warisan budaya melayu yang membuktikan sinergi antara rentak muzik moden dan irama tradisional.

Dengan gabungan kreatif dari mereka yang tak tertandingi, mereka telah menyatukan irama dan sentuhan ikonik dalam sebuah lagu yang mencengkam hati dan merentasi generasi. 

Faizal berkata, “Campak Bintang” adalah lagu yang mengisahkan pengorbanan melepaskan sesuatu yang dicintai untuk mendapatkan sesuatu yang jauh lebih berharga.

Mengenai pemilihan M.Nasir untuk berduet, Faizal Tahir menjelaskan pemilihan M. Nasir kali ini adalah sesuatu yang besar dan keputusan ini tidak dilakukan sebarangan.

“Kami merasakan kehadiran M.Nasir sangat diperlukan dengan kehendak lagu dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. M.Nasir dan tim Luncai Emas memberikan kerjasama yang sangat baik,” katanya.

Sementara itu, M Nasir berkata, dunia muzik telah digegarkan oleh bakat seperti Faizal Tahir dan hampir juga ia diselamatkan generasi ini.

“Lega kerana ada sang pengkarya yang tidak habis-habis melahirkan karya-karya baru yang berkualiti sejak kemunculannya, Lagu ini, sumbangan kami berdua, adalah satu manifestasi,” kata M.Nasir. 

Single “Campak Bintang” nyanyian M.Nasir dan Faizal Tahir adalah hasil ciptaan Faizal Tahir sendiri bersama Romeo, Glowrush dan juga Karim Karam.

“Kolaborasi ini telah dilahirkan dengan kerjasama kedua-dua pihak.

“Syukur keatas hadrat Illahi dengan izinNya, maka sempurnalah satu lagi karya muzik dari dua penyanyi ikon muzik seperti M.Nasir & Faizal Tahir,” kata Luncai Emas Sdn Bhd.


Tentang langkah seterusnya, Faizal belum mempunyai sebarang perancangan, tetapi tidak menolak jika ada rezeki untuk berkolaborasi dengan M.Nasir sekali lagi atau penyanyi yang lain. 

Sebuah video klip bagi single ini telah dibuat penggambarannya pada 19 April yang lalu bertempat di Cine Studio.

Single ini telah dilancarkan di semua saluran digital dan muzik videonya di saluran youtube Faizal Tahir pada 3 Mei lalu.

Faithful Muzik dan Luncai Emas berharap single duet ini dapat diterima oleh semua peminat M.Nasir & Faizal Tahir.

‘Perjalanan Pembuktian Cinta’ angkat kisah benar Hafizah al-Quran dipaksa berkahwin dengan lelaki berusia dan poligami

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem-filem yang mengetengahkan unsur-unsur Islamik sebagai tema utama agak jarang dihasilkan oleh kebanyakan pembikin filem.

Justeru, syarikat produksi dari Indonesia, Film Maker Muslim (FMM Studios) dengan kerjasama PPA Institute dan Pejuang Subuh telah menghasilkan sebuah filem Islamik tentang perkahwinan tanpa rela berjudul Perjalanan Pembuktian Cinta.

Filem berkenaan telah diadaptasi daripada sebuah novel best seller dengan tajuk yang sama karya penulis Nusaibah Azzahra yang mendapat sambutan hangat di Indonesia.

Menariknya, karya yang dipaparkan itu adalah kisah benar yang telah dilalui sendiri oleh penulis berkenaan apabila dia telah dipaksa berkahwin dengan lelaki yang telah beristeri.

Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar selaku pengedar filem itu untuk tayangan di Malaysia berkata, pihaknya berminat membawakan filem Perjalanan Pembuktian Cinta ke Malaysia kerana ia menawarkan sesuatu yang unik dan segar dalam genre filem Islamik romantik. 

“Dengan jalan cerita yang memberi inspirasi tentang kekuatan wanita mengharungi cabaran hidup, filem ini dijangka mampu menyentuh hati penonton dan memberi pengajaran bermakna. D’Ayu Pictures berbangga membawa karya istimewa ini untuk tontonan penonton Malaysia.

“Tarikan filem ini terletak pada kisah benar yang diangkat, watak-watak yang menyerlah dan alur cerita yang tersusun indah.

“Gabungan elemen komedi, drama dan juga latar belakang nilai keagamaan yang seimbang bakal mengadun emosi penonton. 

“D’ Ayu Pictures sudah pasti menyokong kelainan filem ini kerana ia menyaksikan sebuah kisah cinta dan nilai murni agama digabungkan dengan agung yang bakal menyentuh jiwa penonton,” katanya.

Perjalanan Pembuktian Cinta menceritakan tentang seorang penghafaz Al-Quran, Fathia menempuh rintangan hidup apabila dipaksa berpoligami oleh ayahnya sendiri dan berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya.

Diarahkan oleh M. Amrul Ummami, filem itu dibintangi ramai pelakon hebat seperti Dea Annisa, Teuku Ryan, Muzakki Ramdhan, Donny Damara, Elma Theana dan ramai lagi.

Mengenai sambutan di Indonesia pula, Rosmarayu memberitahu penerimaan penonton di sana luar biasa, meskipun ditayangkan semasa bulan Ramadan.

“Respons hebat penonton Indonesia membuktikan filem ini berjaya mengusik jiwa semua lapisan masyarakat. Kini, giliran penonton Malaysia pula untuk menghayati karya seni bernilai ini. 

“Sudah tentu saya meletakkan harapan tinggi agar filem ini turut mendapat sambutan baik. Namum, saya juga melihat dari sudut jalan ceritanya yang sememangnya memberikan banyak mesej-mesej positif serta pemahaman yang lebih mendalam tentang cara mengenali diri,” katanya.

Sementara itu, M. Amrul selaku pengarah berkata, Perjalanan Pembuktian Cinta menampilkan jalan cerita yang unik berbanding filem-filem genre yang sama.

“Perjalanan Pembuktian Cinta diadaptasi daripada sebuah novel yang ditulis seorang penghafal Al-Quran, yang mana ia adalah kisah benar penulis itu sendiri dan itu adalah keistimewaan tentang filem ini.

“Jalan cerita yang dipaparkan akan membuatkan penonton memahami dengan lebih dekat mesej-mesej yang terkandung dalam jalan cerita filem ini bagi menempuhi kehidupan seharian,” katanya.

Sudah ditayangkan di Indonesia sejak 7 Mac lalu, Perjalanan Pembuktian Cinta akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 20 Jun 2024.

SINOPSIS

Perjalanan Pembuktian Cinta mengisahkan tentang seorang penghafal atau Hafidzah Al-Quran iaitu Fathia  (Dea Annisa) dan Raehan (Teuku Ryan) yang saling menyukai antara satu sama lain.

Bagaimanapun, Fathia terpaksa menjauhkan dirinya daripada Raehan atas kepatuhan kepada agama.

Pada masa sama, ayah Fathia juga telah memaksa dia untuk berkahwin dengan seorang lelaki berusia dan sudah beristeri.

Berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintai dan terpaksa berpoligami membuatkan kehidupan Fathia menjadi lebih sukar.

Suria FM raih Anugerah Asia-Pacific Broadcasting+ 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suria FM sekali lagi berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi Anugerah Asia-Pacific Broadcasting+ 2024 bagi kategori “Penstriman Radio Secara Langsung Di Malaysia” pada 30 Mei 2024 (Khamis) di Crowne Plaza Changi Airport, Singapura.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berkata, pihaknya meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak atas kemenangan berprestij ini.

“Mewakili Suria FM, kami sangat bersyukur dan gembira di atas pengiktirafan antarabangsa daripada Anugerah Asia-Pacific Broadcasting+ 2024.

“Saya percaya bahawa kejayaan ini adalah hasil usaha dan komitmen padu daripada anak-anak buah saya di Suria FM yang sentiasa komited dalam menghasilkan produk dan kandungan yang berkualiti bagi semua pendengar setia kami.

“Terima kasih kepada pihak Asia-Pacific Broadcasting+ atas anugerah ini, juga kepada pendengar Suria yang sentiasa memberi inspirasi kepada kami untuk terus berinovasi dalam dunia penyiaran radio. Kejayaan ini tidak akan mungkin tercapai tanpa sokongan padu daripada anda semua,” katanya.

Anugerah Asia-Pacific Broadcasting+ adalah sebuah acara menarik yang bertujuan mengiktiraf inovasi dan kecemerlangan dalam projek yang memajukan industri penyiaran menerusi kandungan, inovasi & digitalisasi.

Program ini terbuka kepada semua syarikat penyiaran dan rakan kongsi industri di sekitar rantau Asia Pasifik.

US Coast Guard perkukuh hubungan dengan Maritim Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Commandant of United States Coast Guard (USCG), Admiral Linda Lee Fagan telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam usaha memperkukuhkan hubungan dan kerjasama melalui penguatkuasaan khususnya bagi membanteras aktviti jenayah rentas sempadan bermula 28 Mei hingga 30 Mei.

Ia adalah lawatan kali pertama Admiral Linda ke negara ini selepas beliau dilantik sebagai Commandant USCG pada 1 Jun 2022.

Sempena rangka lawatan rasmi berkenaan, beliau bersama deligasi USCG telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta pertemuan bilateral dengan Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Antara intipati perbincangan mengisi pada pertemuan itu adalah mengenai kegiatan jenayah di perairan sempadan negara serta status pemberian kapal USCG Cutter kepada Maritim Malaysia yang bakal diterima akhir tahun ini.

Selain kunjungan hormat, pihak USCG juga telah menganjurkan Women in Law Enforcement Forum yang turut membabitkan seorang pegawai kanan Maritim Malaysia iaitu Laksamana Pertama Maritim Zulinda Ramly sebagai salah seorang panel forum yang diadakan di Putrajaya pada 29 Mei.