32.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 19, 2026
Home Blog Page 202

Ratu OST kembali, Adira nyanyi lagu tema filem Memoir Seorang Guru berjudul Kasih

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kredibiliti dimiliki penyanyi Adira Suhaimi dalam industri muzik tanahair tiada siapa boleh pertikai.

Dia berjaya mencorak kanvas seni tersendiri dengan bakat yang dimiliki. Malah, aura bintang itu sudah terpancar sejak di awal kemunculan kerjayanya.

Selepas lebih sedekad dalam industri muzik, Adira sudah merakamkan lebih 10 lagu runut bunyi hingga diberikan jolokan ‘Ratu Soundtrack’.

Terbaharu, Adira sekali lagi berpeluang merakamkan lagu runut  bunyi bagi filem ‘Memoir Seorang Guru’ yang diterbitkan oleh Nova Music hasil ciptaan Ayden Ali, Adeef Den, Iqie Hugh serta lirik oleh Datuk Arisz Abd Rahman.

Adira berkata, dia bernasib baik dapat bekerjasama dengan barisan komposer hebat itu selain bangga diberi penghormatan sekali lagi untuk menyanyikan lagu runut bunyi buat filem terbaharu.

“Sebagai penyanyi, saya okey saja menyanyikan sebarang lagu asal sesuai melodi dan liriknya dengan suara saya. Saya tidak terlalu memilih kerana kebanyakan karya lagu diterima itu memang sedap didengar.

“Kepercayaan diberi oleh komposer dan penulis lirik kepada saya untuk merakamkan sesebuah lagu tidak akan saya ambil mudah. Oleh itu, saya akan pastikan beri komitmen penuh pada tanggungjawab yang diberi.

“Saya hanya mampu mengucapkan berbanyak terima kasih di atas segala peluang yang diberi. Bagi saya, menjadi tanggungjawab saya untuk melakukan yang terbaik dalam kerja rakaman sesebuah lagu,” katanya.

Tidak kisah dengan jolokan ‘Ratu Soundtrack’, naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan itu hanya mahu kekal relevan dalam era muzik semasa.

Adira menyifatkan dirinya bertuah apabila lagu runut bunyi yang dirakamkan kerap diputarkan baik di panggung wayang, kaca televisyen atau radio. Ini sekali gus, dapat mempopularkan lagu yang dinyanyikan.

“Ia umpama promosi secara percuma apabila lagu yang dirakam dijadikan runut bunyi sesebuah filem atau drama rantaian.

“Jika mahu mengeluarkan bajet untuk mempromosikan lagu di kaca televisyen memerlukan kos yang tinggi. Jadi bila sesebuah lagu kerap dimainkan di dalam filem atau drama rantaian mudah bagi lagu itu melekat di jiwa penonton,” katanya.

Filem ‘Memoir Seorang Guru’ bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Mei ini.

Filem adaptasi novel Azizi Abdullah ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor sebagai teraju utama serta pelakon Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa’ri, Trisha Ooi dan ramai lagi.

Filem arahan Kyoll Hamzah ini diterbitkan oleh Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd (KAHSB) dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Ia sebuah karya yang menggamit kenangan buat bekas pelajar yang pernah berguru dengan guru-guru yang garang dan tegas.

Video muzik lagu “Kasih” kini  boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’.

‘Mantap Cuy’ gabungan merentas budaya antara Saixse, Kidd Santhe dan Atta Halilintar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas mencipta fenomena dalam industri muzik Malaysia, Kidd Santhe dan Saixse muncul dengan lagu terbaru mereka berjudul, “Mantap Cuy”.

Gabungan ini turut menampilkan YouTuber popular Indonesia, Atta Halilintar (yang kini tersenarai di antara Top 3 Asia).

“Mantap Cuy’ meraikan bukan sahaja kemenangan besar, tetapi juga kemenangan kecil dalam hidup.

“Walaupun berdepan dengan sebarang halangan, lagu ini memberi inspirasi untuk kami belajar mengambil cabaran itu dengan positif,” kata Kidd Santhe, yang juga penerbit lagu berkenaan.

“Mantap Cuy” adalah gabungan slang Malaysia dan Indonesia untuk menangkap semangat dan keterujaan tentang sesuatu, sama seperti menyebut “cool, dude” atau “awesome, bro” dalam Bahasa Inggeris.

“Saya sudah lama minat budaya hip-hop Malaysia, terutamanya karya Kidd dan lagu viral Saixse, ‘Malampagi’ (yang juga trending di Indonesia).

“Apabila Kidd mencadangkan kerjasama ini, saya tidak teragak-agak langsung untuk menerimanya.

“Saya sangat teruja untuk peluang menyertai dan menyumbang kepada dunia hiburan Malaysia, di samping dua yang terbaik dalam industri,” kata Atta pula.

Kidd Santhe dan Saixse bukan sahaja menggubah “Mantap Cuy” bersama, malah mereka turut berkolaborasi menghasilkan lirik bersama Atta Halilintar.

Projek ini juga menandakan kerjasama antara syarikat Kidd Santhe, Kidd Next Door Productions dan syarikat Saixse, Bando Rahsia Legacy.

Penggambaran video muzik ini pula telah dilaksanakan di Indonesia oleh pihak Simbion, manakala Take Five Studio telah menjalankan penggambaran akhir di Malaysia. 

“Pengalaman penggambaran video muzik di Indonesia sangatlah mengujakan dan ia adalah pengalaman yang luar biasa bagi saya.

“Kreativiti, kecekapan dan sokongan mereka sungguh luar biasa dan mengagumkan, walaupun dengan tempoh garis masa yang singkat,” kata Saixse.

Saixse berkata, ini adalah pengalaman pertamanya mengadakan penggambaran video muzik di luar negara.

“Mantap Cuy” diedarkan oleh Sony Music Malaysia, dan sudah boleh didengar di semua platform strim digital utama.

Video muzik rasmi pula sudah pun dilancarkan secara eksklusif di halaman YouTube Kidd Santhe. 

‘Oppa’ adaptasi kisah benar guru jadi mangsa Love Scam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tidak dinafikan kes yang membabitkan jenayah scam sememangnya cukup serius sehingga mangsa ditipu dan mengalami kerugian dari segi wang ringgit.

Kejadian itu telah mencetuskan idea buat syarikat produksi Dream Film Sdn. Bhd. menghasilkan sebuah filem berjudul Oppa.

Pengarahnya, Captain Denil berkata, ia adalah sebuah filem tentang jenayah ‘love scam’ yang sering berlaku dalam segelintir masyarakat sekarang.

“Kadang-kadang saya berasa pelik kerana ada mangsa jenayah ini terdiri daripada golongan terpelajar. Mungkin kurangnya kesedaran menjadi faktor utama apabila masih ramai yang menjadi mangsa.

“Ia memberikan idea kepada saya untuk menghasilkan filem Oppa ini, sekurang-kurangnya mesej boleh disampaikan kepada masyarakat menerusi platform filem,” katanya.

Denil berkata, filem arahannya itu turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Oppa memaparkan kisah seorang guru yang bercinta dengan seorang jejaka Korea, tetapi mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit apabila kekasihnya itu tiba-tiba menghilangkan diri.

Lebih malang lagi, guru berkenaan turut menjadi buruan Ah Long apabila dia meminjam wang daripada mereka semata-mata untuk diberikan kepada kekasihnya itu. 

Filem berkenaan menampilkan Theo Jang, pelakon yang berasal dari Korea Selatan serta influencer popular, Jacqueline Goh Wan Yi serta pelakon-pelakon tempatan lain seperti Lee Zi Qi, Amanda Tan, Sadiq M Jamil, Chen Kuoyang dan ramai lagi.

Denil berkata, tajuk ‘Oppa’ dipilih bukanlah semata-mata kerana populariti artis K-Pop di negara ini, tetapi berlaku kejadian di mana ada individu menggunakan gambar artis kacak Korea Selatan untuk memperdayakan mangsa menerusi ‘dating apps’ di media sosial.

Jalan cerita yang dipaparkan dalam filem ini adalah adaptasi kisah sebenar yang pernah berlaku berdasarkan laporan kepada pihak polis.

“Untuk menghasilkan filem Oppa kami telah mendapat kerjasama daripada PDRM dan menariknya terdapat kira-kira 80 orang anggota polis sebenar yang turut terbabit menjadi pelakon untuk menjayakan filem ini.

“Seorang pegawai polis iaitu Penolong Ketua Pengarah ACP Lai Lee Ching turut bertindak sebagai Pengarah Projek dan beliau banyak membantu produksi dari segi penyelarasan jadual anggota polis agar kerja-kerja penggambaran dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Denil mengakui kesukaran mencari penaja dan pelabur untuk menghasilkan filem berkenaan ternyata memberi cabaran tersendiri buat dirinya.

Menurutnya, ketika peringkat awal pembikinan, tidak ramai yang berminat untuk melabur kerana Oppa bukanlah sebuah filem komersial.

“Filem ini lebih kepada memberi kesedaran dan berbeza dengan filem berbentuk komersial. Namun, ia langsung tidak melemahkan semangat kami.

“Apa pun saya lega dan ingin berterima kasih kerana masih ada yang sudi melabur untuk merealiasikan filem Oppa, termasuk kepada PDRM yang sangat banyak membantu kami,” katanya.

Dalam pada itu, Denil juga mengharapkan agar filem terbaharunya itu dapat memberi impak kepada penonton.

“Paling penting, kepada mereka yang menonton filem Oppa nanti akan sedar tentang bahayanya jenayah ‘love scam’ yang semakin kerap berlaku.

“Sekurang-kurangnya cerita yang dipaparkan boleh menjadi pengajaran supaya tidak terperangkap dengan kes jenayah sebegini.

Filem OPPA Love Scam akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 9 Mei ini.

SINOPSIS

Mengisahkan tentang seorang guru, Tien berkenalan dan jatuh cinta dengan seorang jejaka kacak dan model dari Korea Selatan iaitu Oppa.

Pada satu malam, Tien terdengar perbualan Oppa di telefon dan dimaklumkan yang ibu kekasihnya itu sedang sakit tenat dan dia perlu pulang ke Korea Selatan dengan segera.

Tien memberikan Oppa sejumlah wang yang banyak untuk memudahkan kekasihnya pulang dan menguruskan ibunya, manakala Oppa pula berjanji akan mengahwini Tien sebaik sahaja ibunya sembuh.

Bagaimanapun, Tien langsung tidak menerima sebarang perkhabaran daripada kekasihnya sehingga menimbulkan kerisauan serta tumpuannya untuk mengajar hilang.

Kemudian pengawal keselamatan di sekolah Tien terjumpa banyak poster di kawasan kaki lima sekolah yang terpapar nama dan wajah Tien yang mengatakan dirinya seorang penipu besar dan enggan membayar semula wang yang dipinjam daripada Ah Long, manakala Tien pula semakin berada dalam tekanan apabila kekasihnya itu menghilangkan diri.

MCMC siasat sejumlah aduan berkaitan Aliff Aziz

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sejumlah aduan mengenai tindakan berterusan individu tertentu ‘membuka aib’ berkaitan hal peribadi selebriti kontroversi, Aliff Aziz menerusi media sosial.

Memetik laporan Berita Harian, Fahmi berkata, pada masa ini, pihaknya mengarahkan MCMC meneliti kesemua aduan terbabit dan mengambil tindakan sewajarnya, berlandaskan undang-undang.

“Ada yang mendakwa tindakan lambat diambil dalam kes Aliff Aziz, tetapi perlu diberitahu di sini, aduan mengenai tindakan buka aib baru dibuat, mungkin dalam sehari dua ini oleh sejumlah orang awam.

“Aduan ini tak boleh datang daripada saya atau MCMC, tetapi daripada orang awam. MCMC akan ambil tindakan jika ada laporan.

“Bukan dengan cara kita ‘tag’ Fahmi Fadzil dalam media sosial, itu bukan laporan. Jadi, pada sesiapa nak buat sebarang aduan, ia perlu dibuat secara rasmi, kemudian kita teliti secara mendalam dan ambil tindakan berlandaskan undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Media Prima Berhad, hari ini.

Baru-baru ini, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menggesa wanita mendakwa kekasih Aliff Aziz, iaitu Sarah Yasmine berhenti mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang dianggap boleh mengeruhkan keadaan hingga menjejaskan imej dan kredibiliti industri kreatif.

Setiausaha Agung SENIMAN, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, sejak tercetus kontroversi Aliff dan Ruhainies ditangkap khalwat dan pendedahan dibuat Sarah, pelbagai pihak membuat andaian yang sedikit sebanyak menjejaskan imej dan kredibiliti industri hiburan tanah air.

Dalam pada itu, pengarah dan penerbit, Erma Fatima turut mendesak dan menggesa Sarah Yasmine menghentikan perbuatan membuka aib beberapa selebriti tempatan, sebaliknya, menyelesaikan kemelut yang disifatkan memalukan industri seni itu bersama Aliff.

Erma turut menggesa individu yang terkait dalam pendedahan dibuat wanita dipercayai berasal dari Singapura itu membuat laporan polis, demi menjaga reputasi mereka daripada terus tercalar.

Fahmi turut berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima perincian lanjut mengenai aduan terbabit, termasuk jumlah laporan diterima dan individu yang dituduh melakukan kesalahan berkenaan.

Ditanya mengenai bidang kuasa MCMC bagi menurunkan kandungan dikenal pasti berkongsi perkara’mengaibkan’, katanya, setakat ini, pihaknya bergantung kepada kerjasama platform media sosial untuk berbuat demikian.

“Penting untuk saya sebut di sini, untuk turunkan sesuatu kandungan, ia bergantung kepada platform media sosial itu.

“Kita boleh minta kerjasama daripada mereka tetapi tidak boleh paksa mereka menurunkannya. Platform hanya turunkan jika ia bersetuju bahawa kandungan terbabit melanggar undang-undang.

“Ada masanya, MCMC minta kandungan tertentu diturunkan, tetapi mereka tak berbuat demikian. Jadi bila ornag kata saya kuku besi, itu tak betul kerana akhirnya kita bergantung kepada platform sama ada setuju berbuat demikian atau tidak,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan sedia mengkaji untuk memberikan kuasa sepenuhnya kepada MCMC bagi memadam paparan kandungan berunsur fitnah, hasutan dan kebencian di media sosial, Fahmi berkata perkara itu akan dipertimbangkan.

“Ketika ini tidak ada lagi bidang kuasa sedemikian. Kita akan pertimbangkan pada masa depan,” katanya.

Tawar pakej umrah pada harga murah, In Saff Travel pernah di anggap ‘scammer’

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Berusaha memberikan yang terbaik terhadap pelanggannya, syarikat pengendali pakej umrah, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd menampilkan pakej umrah serendah RM4970.

Ditubuhkan pada 1 Disember 2014, tujuan pakej murah itu disediakan bagi memberi peluang kepada semua orang untuk merasa menjejakkan kaki ke Masjidil Haram dan Raudah.

Pengarah Urusan  In Saff Travel & Tours Sdn Bhd Mohd Fahmi Mohd Nawi berkata, mengambil kira situasi ekonomi yang semakin mencabar ini, pihak mereka sentiasa peka dan mencari jalan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menjadi Tetamu Allah.

“Kami yakin bahawa bukan duit yang memberikan peluang umrah, tetapi Allah SWT yang menjemput kita sebagai tetamuNya.

“Allah tidak memanggil siapa yang mampu, tetapi dia mampukan orang yang mahu, rindu dan yakin.

“Pakej ini juga ditawarkan kepada mereka yang berkerja dan agak susah untuk mendapatkan cuti yang panjang. Inilah antara peluang untuk mereka menunaikan umrah dengan selesa dan ruang masa yang tidak lama,” katanya pada majlis pelancaran pakej berkenaan, baru-baru ini.

Mohd Fahmi berkata, trip pelepasan pertama pakej yang diberi nama Pakej Super Jimat selama 9 hari 7 malam telah berlepas pada hujung Februari yang lalu dengan penerbangan AirArabia.

“Syukur, Alhamdulillah, Jemaah berpuas hati dengan harga dan perkhidmatan yang kami tawarkan. Terdapat banyak testimoni secara sukarela daripada bekas Jemaah yang kami terima, dan bukannya testimoni berbayar.

“Malah terdapat ramai ‘repeat customers’ dalam trip ini. Semua ini berlaku kerana kekuatan kami dalam merealisasikan pakej ini yang mendapat rekomendasi dari jemaah yang pernah pergi bersama kami.

“Insya-Allah, untuk trip kedua dengan harga pakej yang sama kami akan berlepas pada 2 dan 3 Mei ini menaiki penerbangan Malaysia Airlines.

“Ini adalah peluang terbaik dan sukar untuk dipercayai oleh orang ramai, kerana semua sedia maklum harga pakej umrah yang ditawarkan sekarang ini memang mahal sehingga kami pernah dicop ‘scammer’,” katanya lagi.

Untuk penerbangan pada 2 dan 3 Mei, seramai 566 Jemaah akan diterbangkan ke Tanah Suci dengan menaiki dua buah kapal Malaysia Airlines.

“Kami mempunyai ramai alumni jemaah In Saff Travel & Tours, ada yang sudah beberapa kali ‘repeat’ pakej umrah bersama kami.

“Malah ada juga yang ‘repeat’ turut membawa bersama keluarga, rakan-rakan dan saudara sehingga ada yang turut menjadi ejen sah kami,” katanya.

Pakej Super Jimat ini akan terus dilaksanakan sehingga April 2025 dengan pelbagai pilihan penerbangan. In Saff Travel & Tours akan meneruskan usaha dengan menyediakan pakej-pakej yang menjimatkan kos dan memberi keselesaan buat semua.

Salah satu kekuatan In Saff Travel & Tours ialah mempunyai ‘Group Leader dan Mutawwif yang terlatih serta berpengalaman.

“Kami juga membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai keluarga besar In Saff Travel & Tours.

“Kami turut menyediakan perkhidmatan pengurusan tiket domestik dan antarabangsa, pengurusan visa, pengurusan badal haji dan umrah serta penempahan hotel,” katanya.

Astro, TikTok jalin kolaborasi anjur edisi terbaharu ‘TikTok LIVE Gimme The Mic’ di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro berkolaborasi bersama TikTok dalam mencari bakat nyanyian baharu atau pencipta kandungan muzikal untuk menyertai uji bakat edisi terbaharu ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’, program pertandingan nyanyian di platform media sosial TikTok.

Uji bakat buat edisi terbaharu ini akan dihoskan sepenuhnya di TikTok LIVE, perkhidmatan penstriman secara langsung dengan menggunakan tanda pagar #GimmeTheMicMY menerusi platform TikTok bermula 7 Mei sehingga 24 Mei ini dan dibuka kepada seluruh warga Malaysia.

Buat edisi baharu ini, pencipta kandungan atau penyanyi yang terpilih daripada uji bakat TikTok LIVE ini akan bertanding dalam program utamanya yang akan disiarkan di Astro Ria (Saluran 104) buat pertama kalinya pada bulan Julai depan selama lapan minggu.

Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh berkata, pihaknya sangat berbesar hati untuk membawa program ini ke Malaysia menerusi Astro.

“Dengan lebih 1 bilion pengguna bulanan aktif, TikTok adalah salah satu platform media sosial terbesar di dunia, dan memiliki pengguna di kalangan warga muda yang besar dan kuat.

“Ia sejajar dengan misi kami untuk membawa remaja sebagai sasaran penonton utama ke saluran Astro Ria menerusi edisi terbaharu ini.

“Media sosial juga adalah platform yang sangat aktif dan efektif dalam pencarian bakat muda khususnya dalam bidang nyanyian.

“Justeru, kami yakin ramai akan teruja untuk menyertai uji bakat ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’ dan mempelawa semua pencipta-pencipta kandungan untuk mengambil bahagian serta memanfaatkan peluang yang ada menerusi kolaborasi ini di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Serantau TikTok LIVE, Melissa Yuen berkata, TikTok LIVE adalah satu platform yang memberi peluang kepada pengguna untuk mencipta ekpresi yang kreatif dan tulen.

“Menerusi program ‘TikTok LIVE  Gimme The Mic Malaysia’, kami teruja untuk mencari pencipta kandungan yang paling kreatif dan berbakat di platform kami.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Astro untuk mempersembahkan bakat-bakat muzik terbaik di Malaysia, menjadikan ia satu inspirasi kepada komuniti kami serta mencipta pengalaman hiburan yang unik untuk pengguna kami.

“Kami berharap kolaborasi ini dapat membuka peluang kepada bakat-bakat muzik yang sedang menaik di seluruh negara untuk lebih berkembang di pelbagai platform.

“Kami juga komited untuk mencipta cara yang lebih seronok dan menghiburkan dalam meningkatkan komuniti pencipta-pencipta kandungan yang berbakat serta sedang berkembang. Kami turut menyokong apabila mereka berkongsi minat dan kreativiti mereka dengan seluruh dunia”, katanya.

 Mengekalkan format sama yang dipecahkan kepada beberapa fasa, uji bakat ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’ akan berlangsung bermula 7 hingga 24 Mei dengan membuka penyertaan kepada seluruh warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Pengguna TikTok yang berbakat dan berminat boleh menyertai uji bakat ini dengan menghantar video nyanyian mereka berdurasi 10 minit ke aplikasi ini menggunakan tanda pagar #GimmeTheMicMY.

Selepas tarikh uji bakat ditutup pada 24 Mei, peserta yang disenarai pendek oleh Astro dan TikTok akan bertanding dalam segmen Multi-Guest yang akan dikendalikan sepenuhnya menerusi perkhidmatan penstriman TikTok LIVE.

Peserta boleh menunjukkan bakat nyanyian dan bakat muzik mereka dengan kehadiran salah seorang guru vokal terkenal untuk dipilih sebagai peserta yang layak ke peringkat seterusnya.

Peserta yang berjaya melepasi saringan ‘Multi-Guest’ akan dipilih untuk menjadi barisan peserta ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’ yang bakal bersiaran pada Julai ini di Astro Ria (saluran 104).

Pelancaran ‘Gimme The Mic’ pada tahun 2023 lalu bertujuan untuk mencari pengguna media sosial, khususnya TikTok yang berbakat dalam bidang nyanyian dan muzik serta menyokong perjalanan muzik mereka dengan menyediakan ruang untuk mempersembahkan karya nyanyian masing-masing sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menerusi edisi kali ini, juara serta enam peserta teratas yang dipilih di pentas akhir ‘ TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’ bakal mewakili negara bertanding di peringkat antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai uji bakat dan program ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’, sila layari www.gempak.com.

Jadikan diri wanita yang mahal, jaga darjat jangan bergaduh kerana lelaki buaya – Thalia Baiduri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usahawan dan selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing.

Baginya tidak perlu sampai bergaduh hanya disebabkan lelaki bersikap seperti seekor ‘buaya’.

Thalia berkongsi perkara itu ketika sesi siaran langsung yang diadakan di laman sosial TikTok miliknya @thalia.baiduri malam tadi ketika bersembang bersama pengikutnya.

Pelakon drama Cinta Dalam Hati bergandingan bersama dengan Remy Ishak itu berkata, dia berharap golongan wanita menjaga maruah mereka dalam setiap tindakan yang dibuat.

“Sebagai orang yang pernah dalam industri dan saya juga seorang wanita saya harap tak payahlah kita sampai bergaduh untuk seekor buaya atau kumbang.

“Wanita kena jaga value, awak semua cantik, kenapa kita hendak bergaduh sesama kita wanita dan buka aib sana buka aib sini.

“Macam rendah sangat darjat kita, kita wanita kena jadi mahal, bukan berlumba-lumba buka aib sesama kita, Astaghfirullah takut saya,” katanya dalam sesi siaran langsung itu.

Kata-kata Thalia itu turut disokong dan mendapat persetujuan dari netizen yang mengakui bahawa wanita perlu ada nilai dan harga diri sendiri.

“Setuju Tin (Datin), kita (wanita) ada nilai,” kata pengikut bernama Sim Ahza.

Thalia yang juga pengusaha produk makanan tambahan untuk kecantikan Dolly Milk dan jenama fesyen Talia berkata, industri hiburan Malaysia juga kecil dan tidak perlu bergaduh sesama artis.

“Industri kita kecil, pusing -pusing akan jumpa muka yang sama, lebih baik berhenti bercakap yang bukan-bukan,” katanya.

Thalia mengakui cinta juga akan membuat seseorang itu buta dan membuat tindakan yang tidak sepatutnya namun penyesalan pasti akan dirasai di kemudian hari.

” Memang cinta itu buta, kita semua dan saya pun pernah muda, contoh macam mak kita halang jangan keluar dengan orang itu, kita nak juga sebab darah muda apa yang dihalang itulah yang dibuat.

“Percayalah cakap saya suatu hari nanti sesalan akan datang dan kita tahu kenapa dulu mak kita halang,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu juga berharap warganet dan pihak lain tidak menghangatkan isu ini.

“Saya berharap semua pihak jangan menambah-nambah dalam isu ini yang memalukan dan dibaca oleh semua peringkat umur.

“Saya sendiri seorang ibu yang ada anak perempuan dan anak lelaki, memang takut bila baca pendedahan yang dibuat.

“Saya selalu berdoa dan beringat jangan seronok melihat aib orang kerana bimbang boleh terkena kepada kita, lebih baik kita doa yang baik-baik sahaja,” katanya.

Thalia berkata demikian bagi mengulas isu hangat yang sedang diperkatakan membabitkan pendedahan seorang wanita dari Singapura dalam episod curang pelakon Aliff Aziz.

Wanita itu turut mengaitkan beberapa nama selebriti lain termasuklah Ruhainies, Sophia Albarakbah dan Meerqeen.

Isu itu turut mendapat maklum balas beberapa penggiat seni lain termasuklah Erma Fatima dan Zed Zaidi yang juga berang dengan isu yang disifatkan memalukan dan memburukkan nama industri hiburan tempatan.

Disertai 8000 pelari, Twincity Marathon 2024 diadakan pada sambutan Aidilfitri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Twincity Marathon 2024 telah mencatatkan jumlah peserta yang mengagumkan, dengan lebih daripada 8000 peserta daripada 24 negara menyertainya.

Twincity Marathon, sebuah acara larian yang telah dianjurkan selama sembilan tahun berturut- turut, kini memasuki tahun ke-10 untuk menuju jubli emas pada tahun depan.

Acara tahunan yang sering dinantikan itu dianjurkan oleh Ten Senses (M) Sdn Bhd, sekali lagi menyaksikan pelari-pelari berkumpul pada 28 April lalu di Persiaran Flora, Putrajaya.

Tahun ini buat pertama kalinya, Twincity Marathon telah berlangsung pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ini bertujuan untuk meraikan semangat aidilfitri dan kebersamaan bersama pelari-pelari yang setia menyokong acara ini setiap tahun.

Seperti tradisi Twincity Marathon, setiap tahun peniaga tempatan dijemput untuk menyediakan hidangan di ‘booth’ yang disediakan dan disajikan secara percuma kepada peserta.

Lebih menarik, penganjur juga turut mengadakan rumah terbuka raya, lengkap dengan lemang dan hidangan raya yang disajikan kepada semua peserta pada hari berkenaan.

Twincity Marathon 2024 disertai oleh peserta dari negara termasuk Qatar, Brazil, Kenya, Hong Kong, Singapura, Brunei, United Kingdom, dan banyak lagi.

Pada tahun ini juga, acara larian menawarkan empat kategori yang berbeza iaitu 5km, 12km, 21km, dan 42km.

Ianya sesuai untuk keluarga yang ingin berlari secara santai dan pelari yang bersaing untuk mempertaruhkan rekod peribadi.

Pada acara berkenaan juga, Twincity Marathon memastikan terdapat sesuatu diberikan untuk setiap peserta yang mengikuti acara ini. 

Meriahkan Karnival Jom Heboh edisi Raya Baba’s di Putrajaya

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sempena bulan Syawal yang menjelma, jom singgah beraya bersama sanak saudara dan rakan-rakan tersayang di Karnival Jom Heboh (KJH) 2024.

Karnival Jom Heboh Edisi Raya BABA’S kali ini menjanjikan sambutan hari raya yang lebih meriah buat pengunjungnya untuk tiga hari berturut-turut bermula 3 hingga 5 Mei ini di Tapak Parkir Presint 3, Putrajaya. 

Raya kan sebulan? Jadi, jangan lepaskan peluang ini untuk beraya bersama BABA’S. Istimewa di lokasi kedua tahun ini, KJH Edisi Raya BABA’S dibawakan khas oleh BABA’S, produk rempah ratus terbesar di Malaysia.

Sempena Karnival Jom Heboh Edisi Raya BABA’S, sebanyak 12,000 pek nasi kari ayam percuma akan diedarkan sepanjang tiga hari karnival.

Karnival yang dibawakan oleh BABA’S ini turut menyediakan pelbagai aktiviti bersama pengunjung seperti demo masakan kari, aktiviti permainan untuk mendapatkan hadiah-hadiah misteri BABA’S serta aktiviti info halal bersama BABA’S bagi menghargai pengguna setianya.

Nantikan juga aktiviti-aktiviti menarik yang tersedia di reruai jenama popular bawah naungan Media Prima Berhad seperti Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9, Tonton), Studio Jom Heboh, New Straits Times Press, (New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro), dan Kedai Jom Heboh.

Jom beraya bersama artis kegemaran anda sambil berhibur dalam pertandingan-pertandingan khas di bulan Syawal ini.

Antara artis-artis kegemaran anda yang akan hadir adalah Ezzanie Jasny, Azah Aziz, Muaz Zabir, Raden Zaharatul, Puteri Khareeza, Arena Wan, Adam Shahz, Aqmal Ramdan, Lan Solo dan Kumpulan Suara.

Beramah mesra juga bersama hos-hos Nasi Lemak Kopi O, Erra Fazira, Fakhrul Radhi, Fizo Omar, Barr Zaizan dan Affizza Azmi.

Studio Tonton Drama Sangat juga membawakan pertandingan menarik seperti ‘pertandingan mewarna’, ‘pertandingan baju raya macam dulu-dulu’ buat si cilik, ‘pertandingan karaoke raya’ serta ‘pertandingan makan ketupat paling banyak’.

Terdapat juga pertandingan seperti ‘Buletin Challenge’ bersama penyampai berita TV3 dan TV9 iaitu Asri Badrun, Intan Syazwina, Farah Nabilah Wazer dan Asrulnizam Kadir. 

Sementara itu, The New Straits Times Press (NSTP) akan terus menawarkan reruai dinasour popularnya iaitu “Dino Land“.

Alami suasana di zaman purba dan saksikan pelbagai jenis dinasour ‘hidup’ kembali sambil bergambar dengan pelbagai jenis dinasour.

Dengan setiap pembelian beg goodie berharga RM20 untuk satu keluarga, pengunjung bukan hanya dapat masuk ke Dino Land, mereka juga akan mendapat pelbagai barangan dari rakan-rakan strategik NSTP.

Setiap pembelian beg goodie juga akan melayakkan pengunjung untuk sesi cabutan bertuah dan berpeluang memenangi lebih banyak hadiah-hadiah menarik.

Selain cenderahati dan barangan edisi terhad TV3 & Jom Heboh, Kedai Jom Heboh juga buat pertama kali menawarkan barangan eksklusif Media Prima Audio iaitu Tshirt & lanyard Hot FM, Kool FM, Fly FM, Molek FM dan Eight FM. Dapatkan barangan eksklusif ini sekarang.

Ingin serlahkan bakat terpendam anda? Inilah masanya. ‘Jom Lokal Jam’ kembali sekali lagi untuk mencungkil bakat baharu serta memberi platform kepada mereka yang ingin mengekspresikan bakat mereka.

Kepada sesiapa yang berminat untuk serlahkan bakat nyanyian yang terpendam, anda masih berpeluang untuk tunjukkan bakat anda dengan menyertai Jom Lokal Jam.

Untuk malam kedua dan ketiga (4 & 5 Mei), warga Lembah Klang akan dihiburkan dengan Konsert Jom Heboh yang akan dihoskan oleh Farah Nabilah Wazer, Hanif Miswan dan Amirulhakim Lokman.

Konsert pada hari Sabtu akan dimeriahkan oleh Puteri Khareeza, Aina Abdul, Shiha Zikir, Baggio, Sarah Suhairi & Alfie Zumi dan Aisha Retno manakala hari Ahad pula menampilkan Khai Bahar, Ara Johari, Marsha Milan, Floor 88, Lan Solo dan Wani Kayrie.

Pengunjung Karnival Jom Heboh Edisi Raya BABA’S pastinya tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana pelbagai hadiah menarik menanti anda.

Rebut peluang ini untuk membawa pulang hadiah lumayan seperti iPad, telefon pintar, konsol permainan video dan banyak lagi.

Jom beraya bersama-sama di Karnival Jom Heboh Edisi Raya BABA’S yang bakal berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini (Jumaat, Sabtu, & Ahad) di Tapak Parkir Presint 3, Putrajaya seawal jam 9.00 pagi.