27.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

Jadikan diri wanita yang mahal, jaga darjat jangan bergaduh kerana lelaki buaya – Thalia Baiduri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usahawan dan selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing.

Baginya tidak perlu sampai bergaduh hanya disebabkan lelaki bersikap seperti seekor ‘buaya’.

Thalia berkongsi perkara itu ketika sesi siaran langsung yang diadakan di laman sosial TikTok miliknya @thalia.baiduri malam tadi ketika bersembang bersama pengikutnya.

Pelakon drama Cinta Dalam Hati bergandingan bersama dengan Remy Ishak itu berkata, dia berharap golongan wanita menjaga maruah mereka dalam setiap tindakan yang dibuat.

“Sebagai orang yang pernah dalam industri dan saya juga seorang wanita saya harap tak payahlah kita sampai bergaduh untuk seekor buaya atau kumbang.

“Wanita kena jaga value, awak semua cantik, kenapa kita hendak bergaduh sesama kita wanita dan buka aib sana buka aib sini.

“Macam rendah sangat darjat kita, kita wanita kena jadi mahal, bukan berlumba-lumba buka aib sesama kita, Astaghfirullah takut saya,” katanya dalam sesi siaran langsung itu.

Kata-kata Thalia itu turut disokong dan mendapat persetujuan dari netizen yang mengakui bahawa wanita perlu ada nilai dan harga diri sendiri.

“Setuju Tin (Datin), kita (wanita) ada nilai,” kata pengikut bernama Sim Ahza.

Thalia yang juga pengusaha produk makanan tambahan untuk kecantikan Dolly Milk dan jenama fesyen Talia berkata, industri hiburan Malaysia juga kecil dan tidak perlu bergaduh sesama artis.

“Industri kita kecil, pusing -pusing akan jumpa muka yang sama, lebih baik berhenti bercakap yang bukan-bukan,” katanya.

Thalia mengakui cinta juga akan membuat seseorang itu buta dan membuat tindakan yang tidak sepatutnya namun penyesalan pasti akan dirasai di kemudian hari.

” Memang cinta itu buta, kita semua dan saya pun pernah muda, contoh macam mak kita halang jangan keluar dengan orang itu, kita nak juga sebab darah muda apa yang dihalang itulah yang dibuat.

“Percayalah cakap saya suatu hari nanti sesalan akan datang dan kita tahu kenapa dulu mak kita halang,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu juga berharap warganet dan pihak lain tidak menghangatkan isu ini.

“Saya berharap semua pihak jangan menambah-nambah dalam isu ini yang memalukan dan dibaca oleh semua peringkat umur.

“Saya sendiri seorang ibu yang ada anak perempuan dan anak lelaki, memang takut bila baca pendedahan yang dibuat.

“Saya selalu berdoa dan beringat jangan seronok melihat aib orang kerana bimbang boleh terkena kepada kita, lebih baik kita doa yang baik-baik sahaja,” katanya.

Thalia berkata demikian bagi mengulas isu hangat yang sedang diperkatakan membabitkan pendedahan seorang wanita dari Singapura dalam episod curang pelakon Aliff Aziz.

Wanita itu turut mengaitkan beberapa nama selebriti lain termasuklah Ruhainies, Sophia Albarakbah dan Meerqeen.

Isu itu turut mendapat maklum balas beberapa penggiat seni lain termasuklah Erma Fatima dan Zed Zaidi yang juga berang dengan isu yang disifatkan memalukan dan memburukkan nama industri hiburan tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular