NEW DELHI – Pakistan dan Turkiye akan meneruskan usaha bersama di forum pelbagai hala (multilateral) untuk memerangi Islamofobia.
Kenyataan itu dikeluarkan dalam satu kenyataan bersama pada akhir rundingan politik terbaharu kedua-dua negara, diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Turkiye, Nuh Yilmaz dan Setiausaha Luar Pakistan, Muhammad Syrus Sajjad Qazi di Islamabad pada Isnin.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan inisiatif bersama di forum multilateral dalam semua bidang yang menjadi kepentingan bersama termasuk dalam memerangi Islamofobia,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pakistan dan Turkiye menyuarakan kebimbangan terhadap perang berterusan Israel di Gaza dan genosid terhadap rakyat Palestin.
Kedua-dua pihak juga berpuas hati dengan penglibatan mereka di pelbagai forum termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Kerjasama Ekonomi (ECO) dan kumpulan D-8 untuk kerjasama ekonomi. – Bernama
KUALA LUMPUR – Peminat muzik di Malaysia bakal dihiburkan oleh dua nama besar industri muzik Indonesia, Afgan dan Lyodra, dalam sebuah konsert epik yang berjudul ‘Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur’ pada 28 September ini di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Konsert ini dibawakan khas oleh Kharisma Music (KM) bersama-sama jenama kosmetik popular tanah air iaitu Alha Alfa, dengan Intan Gelombang dan Futurace.
Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny berkata, buat pertama kalinya di Malaysia, mereka mengandingkan dua penyanyi ‘top’ Indonesia dalam satu pentas buat tatapan khas penonton di Malaysia.
Idea disebalik penganjuran konsert ini terbit dari single duet Afgan dan Lyodra berjudul ‘Ada’ yang telah diluncurkan hampir setahun lalu dengan respon yang luar biasa dari pendengar.
“KM sentiasa ke depan dalam menyajikan hiburan secara ‘live’ dalam bentuk fizikal buat peminat muzik di Malaysia, dan apabila melihat keserasian Afgan dan Lyodra berduet dalam ‘Ada’ membuat kami teruja untuk menggandingkan mereka berdua dalam sebuah konsert buat pertama kalinya di Malaysia.
“Selain itu Afgan adalah penyanyi yang tidak asing lagi di Malaysia dan mempunyai ‘fanbase’ yang kuat di sini.
“Manakala Lyodra pula adalah juara Indonesian Idol 2020 yang seangkatan dengan Mahalini, Tiara Andini dan Ziva Magnolya,” katanya.
Pada malam konsert nanti, penonton bakal disajikan dengan hiburan tanpa henti selama 2 jam 30 minit dengan 20 buah lagu yang akan dipersembahkan bersama iringan 12 pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia, dan menariknya, Afgan dan Lyodra sendiri yang akan merencanakan koordinasi muzik mereka.
Ahmad Jeffny berkata, penonton konsert berpeluang menikmati susunan muzik yang digubah khas oleh mereka berdua yang belum pernah didengarkan di mana-mana acara sebelum ini.
“Pastinya ada kejutan bagi penonton yang hadir, jadi rugi buat mereka yang terlepas membeli tiket konsert.
“Kami berharap penonton yang hadir dapat menyaksikan sendiri ‘sepasang’ bakat besar dari Indonesia secara ‘live’, dan pastinya malam konsert nanti menjanjikan persembahan dan paduan suara yang memukau,” katanya.
Tiket-tiket konsert sudah pun mula dijual di laman web www.ticket2u.com.my/afganlyodra dan beberapa kategori tiket seperti VVIP dan VIP sudah habis terjual dalam masa beberapa hari sahaja.
Manakala kategori tiket lain masih lagi ada tetapi dalam kuantiti yang terhad Pesan Terakhir (RM258), Escape (RM338), Sang Dewi (RM458) dan Panah Asmara (RM488).
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini yang kini bernaung di bawah syarikat label Rocketfuel Entertainment tampil dengan single ketiganya dari album Antonim Part 1 yang berjudul Kejora.
Video muzik eksklusif lagu Kejora sudahpun ditayangkan pada 9 Ogos lalu di saluran YouTube rasmi Hael Husaini.
Dalam video muzik ini, Hael Husaini bergandingan dengan Qasrina Karim, yang juga pasangan beliau dalam drama popular My Famous Ex-Boyfriend.
Video muzik ini dihasilkan oleh Rocketfuel Studios dan penggambaran telah dijalankan selama satu hari di Shah Alam.
Proses penggambaran yang intensif ini berjaya menghasilkan visual yang memukau dan penuh emosi di samping menggambarkan jalan cerita yang menyentuh hati.
Apa yang membezakan video muzik Kejora adalah konsep dan arahan kreatifnya yang memaparkan Qasrina Karim dalam sisi berbeza.
Berbeza dengan wataknya dalam drama dan penampilannya di media sosial, Qasrina mempamerkan kemahiran menarinya yang jarang dilihat oleh peminat.
Koreografi yang dihasilkan khas untuk video muzik ini memperlihatkan kebolehan Qasrina dalam menari, sekaligus menambahkan dimensi baru kepada lakonannya.
Hael Husaini memainkan peranan sebagai seorang penyanyi dalam video muzik ini, sementara Qasrina Karim menggambarkan watak seorang wanita yang menunggu cinta sejatinya.
Kisah cinta yang digambarkan dalam video muzik ini adalah refleksi kepada lirik dan melodi lagu Kejora, yang menceritakan tentang kesetiaan seseorang terhadap kekasihnya.
Lagu Kejora adalah hasil ciptaan Hael Husaini bersama dua komposer berbakat, Firdaus Rahmat dan Hanis Rafi.
Lagu ini menceritakan tentang kesetiaan dan pengorbanan dalam cinta, dengan melodi yang merdu dan lirik yang mendalam.
Hael Husaini, yang terkenal dengan kebolehan vokalnya yang luar biasa, sekali lagi membuktikan kepakarannya dalam menghasilkan karya muzik yang berkualiti tinggi.
Album Antonim Part 1 oleh Hael Husaini telah dilancarkan pada Januari 2024 dan boleh distrim di semua platform penstriman digital.
Album ini telah mendapat sambutan yang luar biasa, dengan lebih daripada 3 juta penstriman di Spotify setakat ini.
Setiap lagu dalam album ini mencerminkan kepelbagaian emosi dan pengalaman hidup, menjadikannya sebuah karya seni yang lengkap dan memuaskan.
Strim terus lagu Kejora dan album Antonim Part I di semua digital platform seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music serta berpeluang menghasilkan kandungan video pada TikTok dan Instagram Reels menggunakan lagu ini.
KUALA LUMPUR – Tidak lengkap bulan sakti Ogos tanpa pengisian yang melestarikan patriotisme terhadap negara yang mencapai kemerdekaan setiap tanggal 31 Ogos.
Selepas Ogos diraikan dengan semangat kemerdekaan, September hadir dengan semarak cinta yang lebih besar apabila negara menyambut Hari Malaysia setiap 16 September.
Tentu sahaja pengisian hiburan menjadikan Ogos dan September seperti dua bulan keraian patriotisme yang cukup istimewa berbanding 10 bulan lainnya.
Selaras itu, Perbadanan Stadium Malaysia dengan kerjasama MND Sport & Event selaku penganjur bersama dengan bangga menganjurkan Konsert Jiwa Malaysia 2024 sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 dan juga Hari Malaysia.
Konsert Jiwa Malaysia yang dijadual berlangsung pada 7 September 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil ini disifatkan sebagai bukan hiburan kosong sebaliknya penuh
dengan nilai-nilai yang mampu menyemarakkan semangat kemerdekaan terutama dalam kalangan generasi muda.
Enam kugiran tanah air akan menggerakkan keghairahan dan semangat kemerdekaan pengunjung nanti.
Mereka ialah kugiran legenda Spider, band kegemaran ramai- Hujan, RuRegde yang penuh warna, tiga gadis sensasi mewakili Dolla, band energatik Bunkface dan Insomniacks serta si kecil molek dari Sandakan Sabah, Bella Astillah.
Sedar Ogos dan September dibanjiri pelbagai acara, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Iliyas Jamil menyifatkan Konsert Jiwa Malaysia 2024 berbeza daripada penganjuran lainnya.
Dengan matlamat menyatu padukan seluruh generasi pelbagai lapisan masyarakat dan usia, Konsert Jiwa Malaysia 2024 juga akan menjadi sebuah platform bagi anak-anak muda untuk mengekspresikan rasa cinta mereka terhadap tanah air melalui pelbagai persembahan muzik yang penuh dengan semangat patriotik.
“Bertemakan Jiwa Malaysia, konsert ini bukan sahaja akan menghiburkan pengunjung yang majoriti dari kalangan generasi muda, malah turut menginspirasi mereka tentang kepentingan memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara.
“Pembabitan Spider, Hujan, RuRedge, Dolla, Bunkface, Insomniacks dan Bella Astillah mewakili setiap generasi masing-masing disifatkan relevan dalam usaha membangkitkan nilai-nilai kemerdekaan dalam masyarakat hari ini,” katanya.
Buat satu-satunya permata yang menghiburkan pengunjung bermula jam 8 malam di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 7 September, Bella Astillah berkata, kesempatan yang diberi kepadanya akan dimanfaatkan sebaik mungkin.
Sementelah, Bella secara tidak langsung seperti mewakili Sabah yang melengkapkan negara bernama Malaysia.
“Sejujurnya Konsert Jiwa Malaysia 2024 akan menjadi platform yang sangat bermakna buat saya sebagai satu-satunya penyanyi wanita solo pada malam itu serta wakil pengiat seni dari Sabah.
“Terima kasih buat penganjur yang memberi kepercayaan kepada saya untuk berkongsi pentas dengan lima kugiran hebat tanah air demi menyemarakkan rasa cinta terhadap negara kita yang tercinta.
“Tidak kira saya dari Sabah atau Spider dari Johor misalnya, kita semua satu. Kita adalah wajah Malaysia,” katanya.
Lebih mengujakan, penganjur yang menyasarkan seramai 15,000 penonton meletakkan dua harga cukup berbaloi dibeli pengunjung untuk menikmati Konsert Jiwa Malaysia 2024.
Pengunjung boleh membeli tiket berharga RM70 (JIWA- berdiri) dan RM50 (MERDEKAduduk) untuk EARLY BIRD serta RM120 (JIWA- berdiri) dan RM 90 (MERDEKA- duduk) bagi harga asal menerusi https://ilassotickets.com untuk merasai pengalaman berbeza eraikan semangat patriotisme di Konsert Jiwa Malaysia 2024.
Pastikan anda adalah salah seorang calon pengunjung yang akan melakar sejarah bersama Konsert Jiwa Malaysia 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 7 September ini.
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu terkenal Indonesia, Kunto Aji, akan membawa konsert jelajah yang dinanti-nantikan, “Perjalanan Menawar Racun” ke Kuala Lumpur pada 28 Ogos ini.
Konsert ini adalah perhentian penting dalam jelajahnya yang telah memukau penonton di seluruh Indonesia dan Malaysia dengan perjalanan muzik yang penuh emosi dan mendalam.
Bertempat di Zepp Kuala Lumpur, jelajah “Perjalanan Menawar Racun” Kunto Aji, yang bermaksud “Perjalanan untuk Menawar Racun,” menyelami tema penyembuhan, penemuan diri, dan ketahanan.
Jelajah ini menampilkan lagu-lagu dari album yang mendapat banyak pujian, yang dikenali dengan lirik yang menyentuh hati dan landskap bunyi yang inovatif.
Penonton boleh menjangkakan pengalaman yang mendalam penuh dengan kedalaman emosi dan muzik.
Konsert Kunto Aji akan berlangsung selama dua jam, memberikan peluang kepada peminat untuk menikmati setiap detik persembahan Kunto Aji dengan penuh kepuasan.
Tambahan pula, Kunto Aji akan membawakan sebanyak 20 buah lagu yang merangkumi bukan saja daripada album terbarunya, malah lagu-lagu daripada album lamanya seperti “Terlalu Lama Sendiri”, “Rehat” dan “Saudade” yang menjadikan Kunto Aji terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia.
Terdahulu, penyanyi ini telah menempatkan dirinya sebagai salah seorang pemuzik kontemporari yang berpengaruh di Indonesia, malah telah memikat hati peminat muzik di Malaysia. Dikenali dengan suara yang merdu dan penulisan lagu yang introspektif, beliau telah mengumpulkan ramai peminat yang setia dan telah menerima pelbagai anugerah.
Muziknya melangkaui genre, menggabungkan elemen pop, folk, dan bunyi tradisional Indonesia untuk mencipta gaya yang unik.
“Saya amat teruja untuk membawa jelajah ‘Perjalanan Menawar Racun’ ke Kuala Lumpur. Setiap persembahan adalah perjalanan peribadi, dan saya tidak sabar untuk berkongsi pengalaman ini dengan peminat saya di Malaysia.
“Saya juga tidak sabar mahu berjalan keliling kota dan berjumpa dengan orang Malaysia untuk berkongsi cerita dalam Kelas Urup & Update Kehidupan yang akan dilangsungkan sebelum konsert bermula,” katanya.
Tiket dijual dengan harga bermula dari RM108 hingga RM1,988. Tiket konsert boleh dibeli secara dalam talian di laman web www.malamgalau.com.
Tempahan awal adalah disyorkan untuk mendapatkan tempat duduk untuk malam yang tidak dapat dilupakan ini.
Untuk maklumat lanjut, layari www.malamgalau.com atau ikuti @hashtagmalaysia di Instagram.
KUALA LUMPUR – Pembuat video yang merasa diri mereka kreatif dan berbakat dijemput menyertai pertandingan menghasilkan video pendek yang dianjurkan oleh Vintage Wellness.
Dengan durasi antara 2 hingga 3 minit peserta boleh menghasilkan video kreatif pelbagai cara menggunakan produk keluaran Vintage Wellness yang terdiri daripada set penjagaan diri seperti shampo, serum, pencuci muka dan pelbagai lagi.
Pertandingan bermula sekarang sehingga 16 September dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Seramai lima pemenang akan dipilih di mana hadiah menarik disediakan seperti kamera, tablet dan banyak lagi keseluruhan bernilai RM10,000.
Wakil Vintage Wellness, Umagandhan Krishnan berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan daripada orang ramai tidak kira bangsa atau agama asalkan warganegara Malaysia.
“Penyertaan terbuka kepada semua, jika ada di bawah umur 18 tahun kami juga terima asalkan ada keizinan daripada ibu bapa mereka.
“Bagi peserta yang tidak mempunyai kelengkapan seperti kamera dan tempat untuk membuat video mereka boleh menghubungi kami dan semua kelengkapan itu mereka boleh gunakan secara percuma termasuklah penggunaan studio kami,” katanya.
Bagi yang berminat ikuti TikTok@vintagewellness atau hubungi talian Uma 0166027487 / Dewa 0128853056 untuk sebarang pertanyaan lebih lanjut.
KUALA LUMPUR – Bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, Astro telah melancarkan kempen Inilah KITA bermula 15 Ogos sehingga 16 September 2024.
Sasaran pelancaran kempen ini bertujuan untuk meraikan kepelbagaian dan juga kesamarataan yang telah memberikan impak positif dalam masyarakat.
Antara inisiatif menarik yang dibawa menerusi kempen Inilah KITA adalah Saluran KITA (CH100), Tontonan 6 Saluran Percuma, lagu tema kempen Inilah KITA yang dinyanyikan oleh artis-artis Malaysia, SYOK FEST KITA, program Inilah Hero KITA dan banyak lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Euan Smith berkata, mereka mengangkat ‘Inilah KITA’ sebagai nama kempen kali ini kerana ia mencerminkan budaya Malaysia iaitu pelbagai, bersatu padu dan juga berdaya tahan.
“Fokus kami pada tahun ini adalah untuk meraikan semangat ‘KITA’ sebagai Masyarakat yang berbilang bangsa, berbilang latar budaya dan juga bersama.
“Di Astro kami teruja untuk membawakan kandungan yang pelbagai ke setiap isi rumah bagi mengangkat semangat KITA.
“Sepanjang kempen berlangsung, kami menjemput anda untuk menonton Saluran KITA, mendengar lagu tema kempen Inilah KITA yang dinyanyikan oleh barisan artis tempatan, dan mengambil bahagian dalam pergerakan sosial Inilah Hero KITA,” katanya.
Sebagai jenama yang diasaskan di Malaysia, Astro membawa cerita dan juga hiburan terbaik Malaysia menerusi Saluran KITA (CH100) dengan menampilkan lebih dari 100 tajuk terpilih, bermula 15 Ogos sehingga 16 September ini di Astro, NJOI dan sooka.
Tambahan pula, pelanggan Astro berpeluang untuk menikmati enam saluran percuma bermula 30 Ogos sehingga 16 September iaitu SHOWCASE (CH413), HITS MOVIES (CH401), tvN Movies (CH416), HITS NOW (CH702), Zee Cinema (CH251), dan ABO Movies Thangathirai (CH241).
Pelanggan berpeluang untuk menonton tayangan perdana dan tajuk baru di Saluran KITA (CH100), seperti:
–Lion Girl, mengisahkan tentang Sakina, lakonan Erysha Emyra, seorang gadis yang meminati tarian singa yang kemudian mendorangnya untuk menjadi seorang penari singa, mengharungi dugaan keluarga dalam mengejar impiannya dengan menonjolkan keteguhan dan budaya Malaysia.
–Rombongan Makciks Ke Dataran Merdeka, sebuah drama menampilkan Rozita Che Wan, Mandy Chong dan Satthiya Kandi sebagai makcik-makcik dari Kg Wahab Satu yang dalam perjalanan untuk melihat perarakan Bomba ahli keluarga mereka berubah menjadi huru-hara dan menguji kesetiaan persahabatan mereka dalam menzahirkan semangat sejati Malaysia.
–The Music Journey, sebuah program muzik menampilkan barisan artis Malaysia seperti, Priscilla Abby, Firdhaus, 3p Caven, Uriah See dan Ryota dalam menginterprestasikan lagu-lagu kegemaran rakyat Malaysia dalam meraikan budaya Malaysia.
–Pasanga Musim ke-2, Siri Tamil tempatan dengan jumlah 100 episod telah menjadi tontonan tertinggi yang pertama di Malaysia, menampilkan penerbit dan pelakon Denes Kumar dengan mengetengahkan hubungan kekeluargaan untuk menghadapi dugaan dan cabaran di Malaysia.
–Oga & Friends, satu lagi judul siri animasi tempatan oleh penerbit Didi & Friends, mengisahkan pengembaraan sekumpulan haiwan yang tinggal di dalam hutan di Malaysia. Animasi ini membawa mesej mengenai kepentingan memelihara alam sekitar, bertepatan dengan Astro RimbaKita ESG.
Pelanggan juga boleh menikmati episode istimewa Family Feud Malaysia dan rancangan lain seperti Hantu Karipap, Terompak Sana Tertukar Sini, Call Me Handsome -Malaysia KITA, Sofa Kentang Selebriti, dan banyak lagi.
‘Inilah KITA’ Meraikan Perpaduan Malaysia Beserta Bakat Tempatan
Bagi meraikan perpaduan Malaysia dan juga bakat tempatan, rakyat Malaysia bakal disajikan dengan lagu tema kempen Inilah KITA.
Lagu tema ini dinyanyikan oleh artis-artis berikut antaranya Hael Husaini, Wani Kayrie, Daniel Fong, Joey Leong, Balan Kash dan Roshini. Lagu ini boleh distrim bermula 15 Ogos 2024 di semua platform kegemaran anda.
Bermula 6 sehingga 8 September, anda dijemput hadir ke SYOK FEST KITA bagi meraikan budaya Malaysia di Setia City Park Oval Lawn.
Ikuti kami meraikan muzik dipersembahkan oleh lebih dari 25 artis tempatan seperti Floor 88, Hattan, Misha Omar, Luqman Podolski, Zayn Nakal, Syamil, Bunga, Claudia Tan, Sya, Music Kitchen, Arvind Raj, Zen, Jie Ying, Elva, Daniel Wong, Mag Lai, Kaka Azraff, Zubir Khan, Ezra Kairo, K Town Clan, Sarah Suhairi, 53 Universe, DEF Jam Artist dan ramai lagi!
Ikuti saluran Astro Radio OR1 FM pada 6 September, dimana 13 buah stesen radio dalam 4 bahasa – Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil – akan berganding bahu dalam membawakan saluran langsung di luar konti sambil berinteraksi dengan masyarakat.
Rakyat Malaysia juga dijemput untuk mengambil bahagian dalam pergerakan sosial Astro Inilah Hero KITA bermula 15 Ogos hingga 16 September, dimana mereka boleh berkongsi cerita-cerita tauladan mengenai rakyat Malaysia bercirikan sifat kebaikan, dedikasi dan positiviti.
Cerita boleh dikongsikan dalam format berbentuk teks, gambar ataupun video di laman media social dengan tanda pagar #InilahKITA.
Tonton Berita Terkini KITA di segmen Astro AWANI (CH501) jam 5pm dan KITA (CH100) pada jam 8.30pm dimana kami membawakan cerita-cerita menarik mengenai individu ‘Inilah Hero KITA’ yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.
Raikan semangat KITA dengan Astro sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan juga Hari Malaysia ini.
Langgan Astro dengan hanya RM41.99/sebulan, nikmati potongan sebanyak 30 peratus serta pemasangan percuma bagi merasai pengalaman masyarakat Malaysia di saluran KITA (CH100) sambil nikmati enam saluran percuma.
Jangan ketinggalan program SYOK FEST KITA dan dengarkan Astro Radio secara langsung di OR1 FM. Mari kita bersama berganding bahu sesama rakyat Malaysia dengan mengambil bahagian dalam pergerakan Inilah Hero KITA dengan membina impak positif dalam Masyarakat.
KUALA LUMPUR – Aktivis kemanusiaan yang juga pelakon Nur Hazwani Afiqah Helmi, 27, atau lebih dikenali sebagai Hazwani Helmi kini muncul dengan lagu solo pertama berjudul You Are Not Alone (YANA).
Hazwani sebelum ini di dalam The Helmis bersama dengan Heliza Helmi pernah berduet dengan Sigma.
Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Hazwani ini turut dibantu oleh Wan Saleh dari segi susunan muzik dan diterbitkan oleh Nurflix Production.
Menariknya, lagu itu terhasil ketika dia pulang daripada bantuan misi kemanusiaan di Gaza pada 2019.
Menurutnya, lagu YANA memiliki makna yang sangat mendalam sekaligus menjadikan ia karya yang sangat istimewa bagi dirinya.
“Lagu ini sudah lama iaitu dari 2019, waktu itu baru balik dari Misi Gaza. Waktu itu terdapat ilham untuk katakan ‘you are not alone’.
“Ada seorang daripada kumpulan misi kami cakap apa kata buat lagu ‘you are not alone’. Ketika itu hanya ada melodi saja, lirik pun belum ada.
“Sehinggalah pada Ramadan tahun lalu iaitu pada 27 Ramadan, tiba-tiba teringat semula lagu ini dan saya terus tulis lirik. Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit siaplah lirik lagu ini.
“Semangat juang anak Palestin yang mengalir, maka lagu ini juga turut lahir. Saya berdiri kuat sehingga kini, bukan kerana diri saya, tetapi kerana diri anak Palestin yang ada dalam diri saya.
“Disebabkan itu, mengambil inspirasi daripada mereka, saya pulangkan semula semangat lagu ini kepada mereka.
“Oleh itu, dengan merenung diri saya dalam perjuangan dan kemenangan mereka, saya berasakan tanggungjawab yang mendalam untuk berkongsi mesej ini harapan dan daya tahan dengan dunia yang lebih luas,” katanya.
Menurutnya, mesej yang ingin disampaikan menerusi YANA adalah isu-isu yang berlaku dalam kehidupan seharian sebagai contoh hal keluarga, suami isteri, perceraian, patah hati, gelandangan, kelaparan dan banyak lagi.
“Dalam konteks ini, perlu disedari bahawa persoalan-persoalan seumpama ini menimpa penduduk di Palestin dengan lebih mendalam dan mungkin membawa implikasi yang lebih besar pada kehidupan mereka sehari-hari.
“Dengan penekanan pada isu-isu ini, YANA berusaha untuk menggerakkan pemikiran dan perasaan masyarakat secara meluas agar mereka dapat lebih menghargai serta memahami cabaran yang dihadapi oleh individu dalam kehidupan sosial mereka.
“Itulah sebabnya, dalam konteks perbandingan, masalah yang diketengahkan ini diyakini membawa impak yang lebih mendalam kepada penduduk di Palestin, dan perlu disorot secara berterusan untuk membolehkan pemahaman dan empati yang lebih luas terhadap realiti kehidupan yang tidak dapat dielakkan itu.
“Ketahuilah kita tidak bersendirian dan kita tidak akan pernah membiarkan mereka sendirian.
“Di dalam lagu ini terdapat doa iaitu ‘Wahai Dzat yang Maha Hidup, serta Maha Berdiri Sendiri, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaiki seluruh urusan atau keadaanku, dan janganlah Engkau mewakilkan aku kepada diriku sendiri dalam sekejap mata pun.
“Doa ini mengajarkan kita untuk memohon pertolongan kepada Allah yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri.
“Kita menyedari bahawa hanya dengan rahmat-Nya, segala masalah dan urusan dalam hidup dapat diselesaikan.
“Selain itu, doa ini juga mengingatkan kita untuk tidak menyandarkan segala urusan hanya kepada diri kita sendiri yang lemah, tetapi mempercayakan sepenuhnya kepada Allah yang Maha Kuasa.
“Bahagian ini ditutup dengan mengajak kita untuk merasa mengenainya kerana mengetahui bahawa segala urusan kehidupan adalah didalam percaturan Allah, sepertimana yang Allah mahukan,” katanya.
Istimewanya juga, lagu YANA ini adalah projek sulung gabungan pelajar Latihan Industri (LI) di Nurflix yang terdiri daripada pelajar perfileman Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Yayasan Melaka jurusan Multimedia dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bidang Komunikasi.
“Video muzik ini diarahkan oleh Imran Hakim. Video muzik Virtual Production dengan latar belakang CyberPunk ini dihasilkan dengan menggunakan Unreal Engine bagi mencapai impian saya dalam penerbitan music YANA.
“Untuk benar-benar menghayati maksud lagu ini, penonton perlu menonton video muziknya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Lagu ini adalah satu ungkapan dari hati saya yang ingin berkongsi inspirasi dan pengalaman yang mendalam,” katanya.
Lagu You Are Not Alone telah dilancarkan secara rasmi di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBOX, dan Deezer sejak 26 Julai lalu.
Serentak itu, video muzik terbitan Nurflix Production Sdn Bhd itu juga boleh disaksikan di saluran YouTube peribadinya iaitu The Helmis.
KUALA LUMPUR – Penganjur acara pertandingan fesyen Precious Of Malaysia, International Cultural Fashion Week (ICFW) bakal membawa pemenang ke Paris tahun depan.
Penganjurnya Jonathan dan Farel Mikhail dari FM Group berkata, usaha ini adalah untuk terus memartabatkan budaya Malaysia ke luar negara sekaligus memberi peluang kepada pereka muda untuk terus berkarya menghasilkan yang terbaik.
“Kami tidak mahu kemenangan mereka hanya berakhir dalam pertandingan ini sahaja, sebaliknya kami merancang membawa rekaan mereka ke Paris.
“Jika ikut perancangan yang disusun dan telah mendapat persetujuan, mereka akan ke Paris pada Jun tahun depan.
“Dalam program itu, pemenang akan bawa rekaan fesyen mereka yang bertemakan budaya Malaysia ini ke sana. Beberapa program telah diatur dan akan diumumkan nanti.
“Ini adalah satu peluang keemasan buat mereka apabila bakal memperkenalkan budaya Malaysia ke Paris. Dalam masa yang sama, pereka fesyen muda dari Paris juga akan menyertai Precious Of Malaysia.
“Secara tidak langsung kita boleh lihat perkongsian budaya yang berbeza sekaligus menaikkan imej pereka fesyen muda dari Malaysia,” kata Jonathan.
Pada pertandingan yang diadakan, sebanyak 23 jenama berentap dan menampilkan keunikan masing-masing.
Pereka muda Afiq Syazani merangkul juara sekaligus mengetepikan pesaing hebat lain iaitu naib juara Rashid Moshi, UiTM (tempat ketiga) dan Zuramir (tempat keempat).
Selain jenama-jenama tempatan, wakil dari negara luar iaitu Indonesia dan Filipina turut memberikan saingan sengit.
Bukan itu sahaja, Farel Mikhail berkata, pemenang diberi keistimewaan untuk memperagakan rekaan mereka di hadapan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang mencemar duli hadir ke Malam Gala Precious Of Malaysia yang berlangsung pada 4 Ogos lalu di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur.
“Ini juga satu penghargaan buat pemenang apabila dapat menampilkan hasil rekaan mereka di hadapan Sultanah Nur Zahirah.
“Koleksi yang dibawa oleh peserta Precious Of Malaysia kali ini sangat mengagumkan. Sebenarnya agak terkejut juga dengan hasil rekaan mereka. Kami sangat bangga dengan pencapaian luar biasa mereka.
“Menang atau kalah, soal itu nombor dua. Apa yang lebih penting adalah masing-masing ada kekuatan dan keunikan tersendiri.
“Ini secara tak langsung, baik peserta dari dalam atau luar negara, mereka telah menaikkan elemen budaya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Katanya lagi, dalam pertandingan ini, hasil rekaan dinilai dari empat sudut iaitu motif, kreativiti, koleksi dan rekaan itu sendiri.
“Hasil usaha mereka dalam memenuhi empat kriteria ini telah memberi gambaran di mana tahap mereka dan sebagai persediaan untuk bersaing secara sihat dengan pereka-pereka fesyen di luar sana.
“Jika dilihat rekaan daripada tim UiTM sebenarnya mereka sudah boleh berdiri hebat sebaris pereka-pereka fesyen yang berada dalam pasaran,” katanya.
Precious Of Malaysia disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya.
Selain itu, antara penaja yang turut serta menyokong acara ini adalah Affin Bank Berhad, Vivo, Pavilion Damansara Heights, MyCar, Sunshine Asia Group, Famous Amos, Ascott Kuala Lumpur dan banyak lagi.
Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September depan.
Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights mensasarkan 1001 orang hadir memakai tanjak pada hari berkenaan.
Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos. Orang ramai dijemput hadir memakai tanjak bagi memeriahkan lagi acara.