29.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 21, 2026
Home Blog Page 180

HONOR Magic V3, telefon pintar boleh lipat paling nipis dan ringan bakal diperkenalkan di pentas IFA 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR akan menjadi tumpuan dunia dengan pengenalan telefon pintar boleh lipat yang paling ringan dan nipis terbaharu, HONOR Magic V3 pada IFA 2024 di Berlin, Jerman pada 5 September depan.

HONOR Magic V3 memecah rekod sendiri

Sebagai model yang menyusuli HONOR Magic V2, HONOR Magic V3 kini lebih nipis, mencatatkan rekod baharu dengan kecanggihan penanda aras industri yang baharu.

Peranti boleh lipat yang canggih ini didatangkan dengan ukuran lipat menakjubkan setebal 9.2mm dan hanya 4.35mm apabila lipatan dibuka.

Sebagai pelengkap kepada rekaan yang canggih ini, HONOR Magic V3 juga ultra ringan dengan hanya seberat 226g, mengatasi beberapa telefon flagship bar dalam pasaran.

Kombinasi rekaan ultra nipis dan ringan memberikan pegangan yang lebih selesa, sekaligus meningkatkan lagi pengalaman keseluruhan pengguna.

Saksikan penstriman langsung pelancaran global HONOR Magic V3 di IFA 2024 pada 5 September 2024

Jadilah antara yang terawal untuk menyaksikan pelancaran global HONOR Magic V3 di IFA 2024 pada 5 September 2024, jam 8 malam waktu tempatan.

Pelancaran ini akan distrimkan secara langsung di laman rasmi Facebook HONOR Malaysia.

IPT tempatan perlu ambil peluang situasi di Indonesia, Australia – MQA

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan digesa untuk mengambil peluang daripada isu akreditasi yang berlaku di Indonesia dan masalah perumahan di Australia bagi menarik minat pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata dalam konteks ini, IPT tempatan perlu sentiasa bersedia untuk menerima pelajar terutama penuntut antarabangsa dari kedua-kedua negara ini.

Beliau berkata, dengan kualiti pendidikan tinggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, IPT di Malaysia tidak menghadapi sebarang masalah dalam aspek kualiti untuk menawarkan program mereka kepada golongan yang berkenaan.

“Situasi di kedua-dua negara itu memberi peluang keemasan untuk kita terus mempromosikan pendidikan tinggi negara terutama kepada pelajar yang sebelum ini berhasrat untuk menyambung pengajian ke Australia untuk kita ‘tarik’ ke Malaysia.

“Selaku badan tunggal yang menyelia dan menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara, MQA akan menggunakan kualiti pendidikan tinggi berkualiti global sebagai ‘senjata’ atau tarikan utama kepada pelajar antarabangsa,” katanya.

Baru-baru ini, dilaporkan sebanyak 84 universiti swasta di Indonesia berkemungkinan akan ditutup kerana gagal memenuhi piawaian akreditasi, menurut Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN PT).

Institusi yang terjejas membabitkan di beberapa provinsi di Indonesia, termasuk Jawa Barat, Jakarta dan Sumatera.

Di Australia pula, kekurangan perumahan yang serius telah melanda negara itu yang sebahagian masyarakatnya menyalahkan kerajaan kerana peningkatan jumlah pelajar antarabangsa.

Kini, tindakan tegas terhadap pelajar antarabangsa menimbulkan kebimbangan meluas dalam industri pendidikan negara itu yang bernilai berbilion dolar.

Dalam langkah terbaharu kerajaan Australia untuk mengawal rekod migrasi yang melonjak sejak pandemik Covid-19, yuran visa pelajar antarabangsa meningkat lebih dua kali ganda kepada A$1,600 (US$1,068) daripada A$710 berkuat kuasa pada 1 Julai lalu, malah tiada bayaran balik jika permohonan pelajar ditolak.      

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, diharapkan IPT kita dapat mempromosikan program masing-masing dengan lebih angresif.

Katanya, inisiatif itu akan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa seterusnya menjayakan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.

“Apa yang berlaku di Indonesia dan Australia menjadi sesuatu yang menarik perhatian MQA kerana kita tidak berkompromi tentang kualiti dan sentiasa menjaga imej pendidikan tinggi negara di mata dunia.

“MQA sentiasa meneroka kerjasama dengan agensi akreditasi luar negara, namun inisiatif itu perlu mendapat sokongan IPT kita dengan menonjolkan program pendidikan masing-masing,” katanya.

Teater Jalan Menuju Akhirat bakal jelajah seluruh Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usaha untuk terus memartabatkan seni persembahan teater tidak pernah padam oleh anak-anak seni negara, tidak kira siapa atau di mana diadakan, persembahan teater tetap punya golongan peminatnya sendiri.

Pertubuhan Pembangunan Ehsan dan Multimedia (PPEM) baru-baru ini turut mengambil peluang mengadakan pementasan Teater “Jalan Ke Akhirat”.

Teater yang dipentasakan di Store Teater Wisma DBP pada 9 dan 10 Ogos itu turut mendapat kerjasama daripada ramai pihak dan jabatan.

Diadakan pada jam 9 malam, pementasan teater ini dipersembahkan melalui 4 buah persembahan Mono yang bertemakan kebenaran menewaskan kemungkaran mencari kebenaran dan jalan yang lurus menuju akhirat.

Ada yang gagal dan ada yang lulus. Persembahan Mono ini berdurasi 30 hingga 40 minit setiap satu atau 120 minit keseluruhan persembahan.

Sebanyak 4 buah persembahan mono itu ialah; SIRNA – dilakonkan oleh Razali Ridzuan, KUDUS – dilakonkan oleh Dayang Hafidah @ Dinda Halim, MADANI – dilakonkan oleh Aloeng Silalahi dan NERAKA – dilakonkan oleh Roslee Mansor.

Pengarah Program yang juga Pengerusi PPEM Razali Hussain turut mengambil bahagian sebagai penyanyi selingan Breaker dengan menyanyikan lagu Fantasia Bulan Madu pada malam pertama dan Angin Malam pada malam kedua.

Selama dua malam pementasan diadakan dan Alhamdulillah ‘Full House’.

Keempat-empat karya ini adalah nukilan saudara Roslee Mansor yang juga bertindak sebagai Pengarah dan Pelakon.

Projek pementasan teater ini telah mendapat suntikan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK-MOTAC) dengan dibantu Rakan Strategik Dewan Bahasa Pustaka, Teater Hidayah dan Sani Char Kue Tiaw.

Menurut Razali, pementasan Teater “Jalan Ke Akhirat” ini akan cuba diusahakan untuk dipentaskan secara Tour pada tahun hadapan.

“Kami gembira apabila teater ini mendapat sokongan ramai pihak dan sambutan menggalakkan daripada ramai penonton.

“Oleh itu, kami berharap dan sedang berusaha untuk membawa teater ini ke seluruh negara dan mementaskannya di tempat yang menjadi kegemaran orang ramai,” katanya.

Penuhi malam minggu di tengah kota dengan persembahan menarik bersama Masdo dan Gerhana Ska Cinta

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sudah lama tidak merasai berada di tengah-tengah kotaraya di malam minggu dengan agenda Istimewa.

Mungkin biasanya malam minggu untuk khalayak berehat, makan malam di luar sambil melihat neon dan lampu Kuala Lumpur atau berkencan. 

Namun atas usaha Panggung Malam Entertainment, suasana ini akan bertukar dengan agenda istimewa apabila mereka merencana malah melaksanakan sebuah acara dengan nama Showcase Panggung Malam Minggu @ Panggung Odeon. 

Bermula dengan tarikh 21 September yang dipilih sebagai permulaan bagi malam-malam minggu yang menarik nanti, Panggung Malam Minggu pertama akan membawakan Gerhana Ska Cinta serta Masdo dengan kemunculan MOC dan Jemput Dengar sebagai pembuka acara. 

Memilih Odeon Kuala Lumpur sebagai lokasi showcase ini, lokasi yang strategik ini dirasakan paling sesuai untuk golongan usia serta bangsa.

Malah senang untuk dikunjungi dengan kepelbagaian pengangkutan awam yang berada di sekitarnya. 

Pengarah Panggung Malam Entertainment, Khairul Afizi Aiyub atau Fizi berkata, sejak 15 tahun lalu, Panggung Malam Entertainment telah berkecimpung dalam dunia acara muzik baik tempatan mahupun luar negara.

“Untuk tahun ini kami merasakan tiba masanya untuk membawakan sesuatu yang Istimewa untuk peminat muzik yang mencari-cari lokasi strategik untuk berhibur di samping menyokong industri muzik tempatan khsususnya.

“Disebabkan itu wujudlah Showcase Panggung Malam Minggu dengan pilihan artis utama Gerhana Ska Cinta dan Masdo sebagai pembuka acara,” katanya.

Fizi berkata, Masdo dipilih kerana lagu-lagu mereka adalah kombinasi masa lalu dan tenaga segar yang semakin terkenal di Malaysia dan luar negara. Manakala Gerhana Ska Cinta yang sentiasa aktif dan memeriahkan industri muzik tempatan.

“Masdo membawakan kembali  kebangkitan muzik pop 60-an. Selain itu, nama mereka semakin harum di luar terutamanya di Indonesia.

“Nampaknya jalan untuk kumpulan ini melangkaui dan terus maju ke hadapan sangat cerah seperti bola disko. Manakala tentunya kita menghargai Kumpulan Gerhana Ska Cinta yang muncul dari kebangkitan Ska Malaysia pada akhir 90-an dan pihak penganjur menjemput mereka sempena meraikan ulang tahun ke 25 dalam industri seni.

“Gerhana Ska Cinta juga kini banyak tampil mempersembahkan lagu-lagu popular Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersama single terbaru mereka berjudul Rasa Sayang,” katanya.

“Rasakan malam minggu yang menarik di tengah kota dengan acara yang Istimewa untuk peminat kami berkumpul dan menikmati hiburan yang menarik,” kata Putu Ceri mewakili Masdo. 

Tiket-tiket berharga RM98 (early bird) dan RM118 (harga asal CAT 1) untuk free standing dan RM128 (early bird) dan RM158 (harga asal CAT 2) untuk  free seating telah mula dijual sejak 13 Ogos, di laman www.myticketempire.com

SAY Aspire edisi kelima nobat usahawan kecantikan sebagai juara

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Memasuki edisi kelima penganjurannya, Komuniti Belia Selangor (SAY) Aspire menobatkan usahawan kecantikan iaitu DASC International Sdn Bhd sebagai juara program berkenaan.

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor berkenan menyampaikan anugerah kepada pengasas yang juga pengarah urusan produk Dr Anne Skin Care iaitu Dr Nurhidayah Roslan dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Subang Jaya, baru-baru ini.

Berkongsi perasaannya memenangi program itu, Dr Nurhidayah berkata, dia terharu apabila Tengku Amir Shah melihat potensi produknya yang boleh dibawa keluar negara.

“Selepas ini saya akan mempertingkatkan lagi usaha untuk memastikan produk ini mampu ke peringkat global dan menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya juga menyasarkan untuk membawa jenama produk ini ke Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura,” katanya.

Pada majlis itu, Tengku Amir Shah turut menyampaikan anugerah kepada pemenang tempat kedua, Citra Kesom Sdn Bhd dan Skinny Bakers Group Sdn Bhd (tempat ketiga).

Ketiga-tiga pemenang menerima ganjaran termasuklah tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk promosi dan rundingan perniagaan.

Pemenang juga bakal menerima bimbingan khas, reruai dan sesi rangkaian perniagaan selain berpeluang menjalinkan kolaborasi dengan agensi berkaitan.

Sementara itu, syarikat ubat gigi Al-Meswak Mu’min Sdn Bhd dan penjual pakaian solat segera, Zaahara Ventures Sdn Bhd dipilih sebagai penerima anugerah khas.

Terdahulu Tengku Amir Shah berkenan mengetuai proses penjurian yang membabitkan 10 peserta akhir bersama beberapa individu lain termasuk EXCO Keusahawanan, Najwan Halimi.

SAY Aspire adalah program pembangunan usahawan untuk belia yang berpontensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan serta latihan strategi eksport.

Program yang dianjurkan sejak 2018 itu terbuka kepada syarikat yang beroperasi di Selangor, pengarah syarikat berumur antara 18 hingga 40 tahun dan tidak diisytiharkan muflis atau disenarai hitam.

Untuk tahun ini program yang berlangsung sejak Januari itu membabitkan penyertaan 30 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana sebelum 10 syarikat yang layak terpilih ke peringkat akhir.

Reformasi perkhidmatan awam, Maritim Malaysia komited laksana tugas dengan lebih cekap

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, menyambut baik intipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai reformasi perkhidmatan awam yang diumumkan di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 ‘Perkhidmatan Awam Madani’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Saiful Lizan menjelaskan bahawa reformasi perkhidmatan awam yang digariskan oleh Perdana Menteri amat relevan dan penting bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan mempunyai daya saing dan berkualiti tinggi.

“Warga Maritim Malaysia akan memberi sokongan penuh terhadap usaha-usaha reformasi ini dan komited untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.

Mengulas mengenai aspek pertama yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri, iaitu peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, Saiful menekankan bahawa Maritim Malaysia akan terus memfokuskan kepada penambahbaikan sistem operasi dan proses kerja.

Beliau juga menegaskan bahawa Maritim Malaysia sentiasa berusaha untuk memastikan sumber daya manusia yang dimiliki adalah berkualiti tinggi dan dilengkapi dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran yang semakin kompleks dalam bidang keselamatan maritim.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Maritim Malaysia selepas menghadiri MAPPA ke-19, hari ini.

Turut hadir Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Tuan Mohd Norzam Mustapa serta pegawai kanan Maritim Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Maritim Malaysia telah memastikan pegawai dan anggotanya bersedia dengan teknologi terkini dan lanskap aktiviti jenayah yang semakin kompleks seiring dengan perubahan zaman.

Jelasnya, seiring dengan apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri iaitu meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan.

Mengulas lanjut berkenaan meningkatkan daya saing negara sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, beliau menyatakan Maritim Malaysia akan terus berusaha memastikan perairan negara sentiasa selamat untuk aktiviti ekonomi dan perdagangan khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Terdahulu, beliau menyeru seluruh warga Maritim Malaysia untuk terus berusaha dengan gigih dan memberikan perkhidmatan terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan khususnya selepas Perdana Menteri mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuatkuasa bermula 1 Disember nanti.

Justeru, beliau berharap seluruh warga Maritim Malaysia bertekad memberikan perkhidmatan yang terbaik memandangkan SSPA berteraskan prestasi di mana ganjaran akan diberikan kepada pegawai dan anggota yang menunjukan prestasi dan tatakelakuan sebagai penjawat awam yang berkualiti.

Maritim Malaysia gagalkan kemasukan 206 pati melalui perairan negara

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau aktiviti jenayah di kawasan Zon Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat dan sejahtera.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, hasil daripada operasi yang dijalankan Maritim Malaysia dari Januari hingga Julai tahun ini, Agensi telah berjaya merekodkan beberapa kes tangkapan seperti 446 kes membabitkan vesel nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan, 68 kes tangkapan membabitkan pencerobohan vesel nelayan asing, 151 kes membabitkan vesel kargo, 6 kes penyeludupan kontraban dan tangkapan 206 individu dari pelbagai negara bagi kes Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam perairan Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Maritim Malaysia sempena Program Pemasangan Jalur Gemilang bagi Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Maritim Malaysia.

Hadir sama Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Kehormat Maritim Mohd Norzam Mustapa.

Dalam pada itu, Saiful turut menegaskan usaha menjaga keselamatan negara tidak terletak kepada tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, namun ia adalah peranan semua pihak dalam memastikan keamanan dan keharmonian tanah air terus terpelihara.

Katanya, beliau berharap agar seluruh lapisan masyarakat, sama ada komuniti maritim mahupun komuniti bandar menjadi ‘mata dan telinga’ Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Maritim Negeri di seluruh negara atau melalui talian kecemasan NG 999.

Terdahulu ketika menyempurnakan pelancaran program berkenaan, Saiful turut meminta kepada seluruh warga Maritim Malaysia memberikan taat setia dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang bagi memperkasa agenda pembangunan negara sebagaimana yang dihasratkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, baru-baru ini.

Bersempena program ini beliau turut mengalu-alukan pelaksanaan Kibar Jalur Gemilang di peringkat Maritim Negeri dan Zon Maritim dalam bersama-sama menyemarakkan semangat patriotisme Jiwa Merdeka di kalangan warga Maritim Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67.

Program Pemasangan Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Ibu Pejabat Maritim Malaysia kali ini membabitkan hampir 50 buah kenderaan terdiri daripada kenderaan jabatan dan motosikal milik warga Maritim Malaysia.

Prihatin kebajikan hidup wira negara, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM anjur Malam Amal Tabung Pahlawan 2024

editormaxinfo@gmail.com

Foto Maestro Media

KUALA LUMPUR – Iktikad untuk terus menjadi sebuah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) melalui Yayasan Veteran ATM yang sentiasa ada menghulur bantuan buat wira dan wirawati negara sesuai slogan yang dipegang selama ini, Memperkasa Veteran Tanggungjawab Bersama, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM kembali dengan acara tahunan mereka.

Malam Amal Tabung Pahlawan 2024 yang mengangkat tema Meraikan Bintang, Metamorfosis Hadapan sekali lagi akan menjadi medan buat jasa, pengorbanan dan bakti veteran ATM yang pernah menjaga keamanan serta kemakmuran negara diraikan.

Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang bakal diadakan pada 24 September depan di Dewan Perkasa Wisma Perwira ATM bermula jam 8 sehingga 10.30 malam.

Objektif Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 masih sama seperti penganjuran tahun-tahun sebelumnya iaitu menyalur serta menyampaikan sumbangan kepada yang layak serta diraikan dalam suasana hangat apabila penyanyi jemputan menghiburkan tetamu yang dihormati.

Majlis Makan Malam Amal ini turut disulami dengan Pelancaran Kad Veteran Digital yang akan dirasmikan oleh Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, selaras dengan era transformasi digital dan kesedaran mengenai kepentingan pembudayaan pendigitalan dalam memacu ke arah organisasi berprestasi tinggi, JHEV ATM berhasrat untuk melaksanakan transformasi kad veteran ATM manual (kad plastik) kepada Kad Veteran Digital dengan pelbagai fungsi yang memberikan kebaikan dan faedah kepada keseluruhan warga veteran ATM.

Inisiatif ini masih dalam proses pembangunan dan dijangka akan diperkenalkan kepada veteran ATM pada pelancaran Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan (KTP) pada 24 September.

Kad veteran digital akan dipaparkan dalam aplikasi mudah alih Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0.

“JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM sangat berbesar hati kerana sekali lagi dapat melaksanakan penganjuran tahunan kami iaitu Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang.

“Majlis ini bertujuan bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan dan menghargai pengorbanan serta bakti Veteran ATM tetapi akan menjadi medan merapatkan silaturahim semua wira dan wirawati yang pernah berjuang mempertahankan negara dan mencapai keamanan yang kita nikmati sekarang.

“Semua sumbangan yang diperoleh akan diagihkan kepada veteran ATM yang memerlukan sekaligus membantu mereka berjuang meneruskan kelangsungan hidup,” kata Ketua Pengarah JHEV; Mejar Jeneral Dato Zambery Jefry Darus. 

Bersama sumbangan yang akan disalurkan, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM juga menyuntik suasana makan malam dengan sedikit hiburan demi meraikan sekitar 700 tetamu yang diundang.

Dua bintang tersohor negara iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Liza Hanim bakal menghiburkan dan menyantuni veteran ATM dengan alunan merdu vokal mereka.

Jamal menyifatkan penglibatan melakukan persembahan pada majlis makan malam amal ini sebagai penghormatan buat veteran ATM dan wira serta wirawati yang bergadai nyawa menjaga kedaulatan negara.

Liza Hanim pula berkata, beliau terharu kerana bakal menghiburkan tetamu yang begitu istimewa bukan buat dirinya tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

“Tentu saja saya dengan senang hati bersetuju untuk melakukan persembahan Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024.

“Mereka adalah bintang yang tidak akan pernah terpadam sinarnya kerana jasa, bakti serta pengorbanan yang diberikan kepada negara juga tidak akan terpadam.

“Untuk itu saya sangat berbesar hati menghiburkan veteran ATM yang akan menghadiri majlis makan malam ini nanti.

“Harapan saya juga agar pihak penganjur meneruskan inisiatif serta usaha murni ini demi menjaga dan prihatin terhadap kelangsungan hidup pejuang negara ini,” katanya.

Sepanjang penubuhan, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM aktif mengumpul dana untuk tabung kecemasan bagi menyantuni pejuang yang memerlukan yang mungkin tidak mendapat bantuan kerajaan dalam keadaan tertentu.

Antara inisiatif Kutipan Tabung Pahlawan yang dilaksanakan adalah melalui surat-surat yang dihantar kepada syarikat dan rakan strategik, program-program Kempen Tabung Pahlawan, tabung yang diletakan di beberapa BHPetrol dan Jabatan/Kementerian dan juga sumbangan atas talian serta beberapa inisiatif lain.

Untuk Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 yang bakal berlangsung pada 24 September ini, sebanyak tiga jenis kategori meja dijual.

Kategori meja yang dijual adalah 10 Perkasa bernilai RM50,000, 20 Perwira (RM20,000) dan 20 Pahlawan berharga RM10,000.

JHEV ATM berharap agar lebih banyak dermawan yang menghulurkan sumbangan kepada Kempen Tabung Pahlawan ini supaya lebih besar jalur bantuan yang boleh diberikan kepada Veteran ATM yang memerlukan serta serba kekurangan.

Veteran ATM adalah permata Malaysia yang telah memerah keringat demi mencapai kemerdekaan dan keselesaan yang kita nikmati sekarang. Sumbang sedikit tanda ingat, sumbang lebih tanda mampu.

Sebarang keterangan lanjut hubungi pihak sekreteriat Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 di talian 019 6576 127 (Adawiyah), 012 7398586 (Nur Indra Dini) atau emel ke sekreteriatTabungPahlawan@gmail.com.

Pakistan, Turkiye teruskan usaha tangani Islamofobia

editormaxinfo@gmail.com

NEW DELHI – Pakistan dan Turkiye akan meneruskan usaha bersama di forum pelbagai hala (multilateral) untuk memerangi Islamofobia.

Kenyataan itu dikeluarkan dalam satu kenyataan bersama pada akhir rundingan politik terbaharu kedua-dua negara, diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Turkiye, Nuh Yilmaz dan Setiausaha Luar Pakistan, Muhammad Syrus Sajjad Qazi di Islamabad pada Isnin.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan inisiatif bersama di forum multilateral dalam semua bidang yang menjadi kepentingan bersama termasuk dalam memerangi Islamofobia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pakistan dan Turkiye menyuarakan kebimbangan terhadap perang berterusan Israel di Gaza dan genosid terhadap rakyat Palestin.

Kedua-dua pihak juga berpuas hati dengan penglibatan mereka di pelbagai forum termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Kerjasama Ekonomi (ECO) dan kumpulan D-8 untuk kerjasama ekonomi. – Bernama