26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025

Maritim Malaysia gagalkan kemasukan 206 pati melalui perairan negara

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau aktiviti jenayah di kawasan Zon Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat dan sejahtera.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, hasil daripada operasi yang dijalankan Maritim Malaysia dari Januari hingga Julai tahun ini, Agensi telah berjaya merekodkan beberapa kes tangkapan seperti 446 kes membabitkan vesel nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan, 68 kes tangkapan membabitkan pencerobohan vesel nelayan asing, 151 kes membabitkan vesel kargo, 6 kes penyeludupan kontraban dan tangkapan 206 individu dari pelbagai negara bagi kes Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam perairan Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Maritim Malaysia sempena Program Pemasangan Jalur Gemilang bagi Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Maritim Malaysia.

Hadir sama Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Kehormat Maritim Mohd Norzam Mustapa.

Dalam pada itu, Saiful turut menegaskan usaha menjaga keselamatan negara tidak terletak kepada tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, namun ia adalah peranan semua pihak dalam memastikan keamanan dan keharmonian tanah air terus terpelihara.

Katanya, beliau berharap agar seluruh lapisan masyarakat, sama ada komuniti maritim mahupun komuniti bandar menjadi ‘mata dan telinga’ Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Maritim Negeri di seluruh negara atau melalui talian kecemasan NG 999.

Terdahulu ketika menyempurnakan pelancaran program berkenaan, Saiful turut meminta kepada seluruh warga Maritim Malaysia memberikan taat setia dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang bagi memperkasa agenda pembangunan negara sebagaimana yang dihasratkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, baru-baru ini.

Bersempena program ini beliau turut mengalu-alukan pelaksanaan Kibar Jalur Gemilang di peringkat Maritim Negeri dan Zon Maritim dalam bersama-sama menyemarakkan semangat patriotisme Jiwa Merdeka di kalangan warga Maritim Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67.

Program Pemasangan Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Ibu Pejabat Maritim Malaysia kali ini membabitkan hampir 50 buah kenderaan terdiri daripada kenderaan jabatan dan motosikal milik warga Maritim Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular