editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sudah lama tidak merasai berada di tengah-tengah kotaraya di malam minggu dengan agenda Istimewa.
Mungkin biasanya malam minggu untuk khalayak berehat, makan malam di luar sambil melihat neon dan lampu Kuala Lumpur atau berkencan.
Namun atas usaha Panggung Malam Entertainment, suasana ini akan bertukar dengan agenda istimewa apabila mereka merencana malah melaksanakan sebuah acara dengan nama Showcase Panggung Malam Minggu @ Panggung Odeon.
Bermula dengan tarikh 21 September yang dipilih sebagai permulaan bagi malam-malam minggu yang menarik nanti, Panggung Malam Minggu pertama akan membawakan Gerhana Ska Cinta serta Masdo dengan kemunculan MOC dan Jemput Dengar sebagai pembuka acara.
Memilih Odeon Kuala Lumpur sebagai lokasi showcase ini, lokasi yang strategik ini dirasakan paling sesuai untuk golongan usia serta bangsa.

Malah senang untuk dikunjungi dengan kepelbagaian pengangkutan awam yang berada di sekitarnya.
Pengarah Panggung Malam Entertainment, Khairul Afizi Aiyub atau Fizi berkata, sejak 15 tahun lalu, Panggung Malam Entertainment telah berkecimpung dalam dunia acara muzik baik tempatan mahupun luar negara.
“Untuk tahun ini kami merasakan tiba masanya untuk membawakan sesuatu yang Istimewa untuk peminat muzik yang mencari-cari lokasi strategik untuk berhibur di samping menyokong industri muzik tempatan khsususnya.
“Disebabkan itu wujudlah Showcase Panggung Malam Minggu dengan pilihan artis utama Gerhana Ska Cinta dan Masdo sebagai pembuka acara,” katanya.
Fizi berkata, Masdo dipilih kerana lagu-lagu mereka adalah kombinasi masa lalu dan tenaga segar yang semakin terkenal di Malaysia dan luar negara. Manakala Gerhana Ska Cinta yang sentiasa aktif dan memeriahkan industri muzik tempatan.

“Masdo membawakan kembali kebangkitan muzik pop 60-an. Selain itu, nama mereka semakin harum di luar terutamanya di Indonesia.
“Nampaknya jalan untuk kumpulan ini melangkaui dan terus maju ke hadapan sangat cerah seperti bola disko. Manakala tentunya kita menghargai Kumpulan Gerhana Ska Cinta yang muncul dari kebangkitan Ska Malaysia pada akhir 90-an dan pihak penganjur menjemput mereka sempena meraikan ulang tahun ke 25 dalam industri seni.
“Gerhana Ska Cinta juga kini banyak tampil mempersembahkan lagu-lagu popular Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersama single terbaru mereka berjudul Rasa Sayang,” katanya.
“Rasakan malam minggu yang menarik di tengah kota dengan acara yang Istimewa untuk peminat kami berkumpul dan menikmati hiburan yang menarik,” kata Putu Ceri mewakili Masdo.
Tiket-tiket berharga RM98 (early bird) dan RM118 (harga asal CAT 1) untuk free standing dan RM128 (early bird) dan RM158 (harga asal CAT 2) untuk free seating telah mula dijual sejak 13 Ogos, di laman www.myticketempire.com.

