29.1 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 182

Kolej Universiti Inovatif perkenal Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api

editormaxinfo@gmail.com

KAJANG – Demi memperkenalkan bidang kerjaya yang mempunyai pasaran kerja yang tinggi, Kolej Universiti Inovatif menerusi Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-Undang (LPU) mengambil pelbagai inisiatif dengan memberi pendedahan amali kepada pelajar.

Kolej Universiti Inovatif  yang mula beroperasi sejak tahun 1999 adalah pusat pengajian pertama di Malaysia yang menawarkan latihan menembak dalam Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api sejak 2023.

Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api adalah salah satu silibus dalam pengajian peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda Penguatkuasaan Undang-Undang di LPU.

Selain latihan menembak di lapang sasar, LPU juga memberi pendedahan latihan kawad dan pengalaman di mahkamah bagi memperkukuhkan pengetahuan serta pengalaman dalam bidang pengkhususan pelajar.

Bagi memperkasakan lagi Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-Undang pihak kolej melancarkan Majlis Perkasa untuk merasmikan Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan  Senjata Api dan Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang (Dengan kepujian).

Perasmian Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan Senjata Api dan Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang (Dengan kepujian) dirasmikan oleh Ketua Lesen Pasukan dan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Ibu Pejabat  Polis Diraja Malaysia, SAC Dato’ Dzulkhairi Mukthar di Kelab Menembak Bandar Kajang.

Dato’ Dzulkhairi dalam ucapannya berkata, usaha memperkenalkan Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan Senjata Api oleh pihak kolej adalah inisiatif yang sangat baik.

“Saya meneliti usaha pihak fakulti dalam memberikan latihan kecergasan jasmani, ujian psikologi dan latihan kawad sebagai satu usaha fakulti dalam memperkukuhkan program pendidikan berasaskan latihan amali demi melahirkan kadet elit program penguatkuasaan undang-undang.

“Inisiatif kolej dalam memperkenalkan latihan berasaskan program penguatkuasaan undang-undang iaitu dengan Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan Senjata Api adalah usaha yang pertama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, di Malaysia pemilikan dan penggunaan senjata api di kawal ketat undang-undang di bawah Akta Senjata Api 1960 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat)  1971.

Justeru, memupuk sikap disiplin yang tinggi dalam penggunaan senjata api amatlah penting.

Dalam pada itu, Dzulkifli mengucapkan sekalung tahniah kepada Kolej Universiti Inovatif kerana telah mendapat perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi program pengajian Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang (Dengan Kepujian) atau dikenali sebagai Bachelor in Low Enforcement (Honours).

“Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa pihak kolej memiliki prestasi cemerlang dalam akdemik dan ko-kurikulum.

“Harapan saya agar pelajar mencapai cita-cita, menggandakan usaha, membanggakan ibu bapa serta tanamkan cinta kepada bangsa agama, perlembagaan undang-undang dan negara,” katanya.

Sementara itu, penyanyi popular Syafiq Farhain yang juga seorang anggota Bomba telah dilantik sebagai duta Fakulti Penguatkuasaan Undang-Undang (LPU) sejak September tahun lalu.

Syafiq yang telah berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selama hampir 11 tahun menjadi selebriti pertama yang menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang.

Pengarah Urusan Innovative Student Management, Johari Jamaluddin berkata, pemilihan Syafiq sebagai duta dan penerima biasiswa adalah kerana pengaruhnya selaku selebriti yang mempunyai kredibiliti dan masih berkhidmat dalam unit beruniform.

Sebagai penerima biasiswa, Syafiq berbesar hati dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus menjadi contoh kepada anak muda di luar sana tentang kepentingan menyambung pelajaran.

“Meskipun saya sudah mempunyai karier yang tetap sebagai anggota bomba dan juga penyanyi, bagi saya penting untuk meningkatkan diri ke peringkat yang lebih tinggi dengan menyambung pengajian.

“Bagi saya menyambung pelajaran dapat membentuk sahsiah serta memberi pengalaman yang baru kepada saya yang sebelum ini hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

“Saya menyeru kepada golongan muda, jika ada peluang tolonglah sambung belajar demi masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

SAY bantu tingkat jati diri golongan belia menerusi Program The King’s Trust 2024

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Program The King’s Trust 2024 mengiktiraf beberapa peserta dalam usaha membantu mempertingkatkan jati diri dan keperibadian anak muda masa kini.

The King’s Trust International adalah sebuah organisasi global yang diasaskan oleh Raja Charles III telah menjalinkan kerjasama dengan Selangor Youth Community (SAY) di bawah naungan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Program ini telah memulakan inisiatif untuk menyokong belia berisiko melalui program pembangunan peribadi dan profesional selama 9 minggu yang membabitkan pelbagai aktiviti.

Seorang peserta dalam program ini Amirul Mukminin telah dipilih sebagai pemenang serantau Anugerah Kelestarian The King’s Trust 2024 untuk Asia dalam Anugerah Global The King’s Trust 2024, anugerah yang mengiktiraf golongan muda yang cemerlang dalam program The King’s Trust di seluruh dunia.

Amirul telah diraikan bersama beberapa alumni program, rakan strategik, dan semua pihak berkepentingan yang terbabit.

Acara ini turut dihadiri oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Kisah Amirul yang melalui pembangunan peribadi signifikan melalui Program Team telah membuka mata ramai mengenai kepentingan program sebegini.

Memulakan program dengan harapan di hati, pencapaian pertama Amirul ialah membuang perasan malu dan rendah diri yang menghalangnya.

Apabila kemahiran komunikasinya berkembang, dia berubah dari seorang peserta yang pemalu kepada individu yang lebih yakin.

Semasa fasa projek komuniti dalam program Team, semangat Amirul terhadap alam sekitar jelas terserlah.

Kepimpinannya telah membimbing kumpulan ke arah inisiatif komuniti alam sekitar yang memberi tumpuan kepada penanaman pokok bakau sebagai strategi pencegahan banjir.

Usaha ini bukan sahaja mempamerkan ketekunannya tetapi juga menandakan permulaan perjalanan transformasinya.

“Saya menjadi seorang yang lebih yakin dan berani sejak menyertai program ini. Bagi saya program ini sangat bagus untuk disertai oleh ramai anak muda kerana ia membantu menambah keyakinan diri kita.

“Kita menjadi lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan yang kita minati disamping dapat berkongsi pengalaman dan ilmu dengan orang lain,” kata Amirul.

Pada majlis sama, Selangor Youth Community juga telah memberi penghargaan kepada rakan strategik dengan anugerah pengiktirafan masing masing.

Nestle Malaysia dianugerahkan sebagai The Most Supportive Corporate Partner Award manakala kedua-dua Perkeso dan Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) menerima pengiktirafan sebagai The Most Supportive Employment Partner Award.

Seorang Alumni Program Team yang lain, Syafiq Affizuddin juga dianugerahkan Perseverance Award sebagai pengiktirafan terhadap semangat jitu beliau dalam mengharungi kesulitan hidup.

Sementara itu, Pengurus Program Team, Siti Nurainin Nabillah Mohd Azman berkata, SAY menyasarkan golongan muda yang mencari hala tuju dalam pemilihan kerjaya diminati.

Katanya, program ini memfokuskan dua aspek utama iaitu alam sekitar dan komuniti untuk dijadikan aktiviti bersama peserta.

“Untuk bidang kerjaya yang ditawarkan kepada peserta Team ada banyak dan kami tidak fokus kepada alam sekitar sahaja.

“Kami juga menawarkan pekerjaan kategori entry level seperti industri makanan dan minuman, komunikasi dan banyak lagi, yang penting ia menepati pasaran terkini,” katanya.

Pada majlis sama, turut berlangsung pemeteraian antara Nestle Malaysia dan Selangor Youth Community di mana kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman yang disaksikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor.

Spider akhirnya “Keluar Sarang”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selari dengan tujuan mengekalkan nama mereka sebagai kumpulan rock muzik Malaysia, Spider yang sentiasa ‘’evergreen’’ di hati peminat sejak album pertama Ngam Ho (1999) dengan lagu-lagu popular mereka, “Relaku Pujuk” “Aladin”, dan banyak lagi kini tampil dengan single baharu mereka berjudul ‘’Keluar Sarang’’. 

“Keluar Sarang”, lagu ciptaan Tam manakala lirik oleh Keon, menjadi taruhan Spider dalam era muzik kini selepas rilisnya album ke-6 mereka iaitu Ankabut pada tahun 2016. 

Bagi mengikuti arus perubahan muzik masa kini, single ini dirakamkan dengan menerapkan bunyian elektronik di dalam penyusunan lagu berkenaan.

Bertindak selaku Produser & Penyusun lagu, Spider dianggotai Tam (vokalis/gitar), Aie (dram), Pown (gitar) dan Is (bass).

Nafie yang juga gitaris ahli kumpulan Spider buat masa ini direhatkan kerana masalah kesihatan,  juga turut berkesempatan menyumbang dalam rakaman lagu ini untuk bahagian muzik gitar bersama-sama Tam dan juga Pown.

Nafie telah dikejarkan ke hospital baru-baru ini akibat serangan strok dan terkini masih di hospital setelah menjalani pembedahan di otak.

Menurut Spider sendiri, ‘’Keluar Sarang’’ adalah sebuah single terbaharu Spider yang dicetus dan diinspirasikan daripada Konsert Solo Keluar Sarang.

Menggunakan tajuk yang sama, lagu ini akan dimuatkan dalam album kompilasi serta album penuh akan datang.

Album kompilasi dan album baharu ini adalah projek seterusnya untuk Spider selepas Konsert Solo ‘’Keluar Sarang’’ yang dijayakan mereka.

Kedua-dua projek ini  bakal diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music Entertainment. 

“Single “Keluar Sarang” ini adalah sebagai pengenalan sebelum album sepenuhnya dirilis di pasaran.

“Album terakhir Spider adalah pada 8 tahun lalu. Spider kini sedang dalam studio untuk menyiapkan lagu-laqu yang terbaik dan ‘hit’ untuk album baru ini agar mereka dapat terus menangkap hati peminat di luar sana, seperti mana lagu-lagu hit mereka terdahulu dapat menangkap jiwa pendengar sehingga kini,” kata Dato M.Nasir yang juga penasihat album terbaharu Spider nanti.

“Keluar Sarang” terbitan bersama Luncai Emas Sdn. Bhd. dan Sony Music Entertainment Malaysia dengan pengedaran digital oleh Sony Music Malaysia kini boleh dinikmati di platform YouTube dan digital yang lain. 

’40’ masih muda buat Sharifah Zarina

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Nama penyanyi Sharifah Zarina sudah tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air. Mana mungkin kita boleh lupa dengan lagu Langit Ketujuh yang berjaya menaikkan namanya sehingga ke hari ini.

Sepanjang 20 tahun menjadi anak seni, selain menyanyi, Sharifah Zarina juga mencuba nasib sebagai pelakon selain pernah menyertai beberapa pertandingan program realiti.

Kali terakhir Sharifah Zarina, 43, atau nama sebenar Sharifah Zarina Wan Hassan muncul dengan lagu menerusi single Pernah Bahagia pada 2019.

Terbaharu, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini kembali memeriahkan persada seni suara dengan melancarkan lagu berjudul 40 hasil ciptaan Fahimi, Glowrush dan Eugene Lai serta lirik oleh Fahimi dan Mal Hamka.

Sharifah Zarina berkata, lagu ini adalah sebuah karya yang penuh emosi dan refleksi, menggambarkan perjalanan hidup dan pengalaman yang mendalam.

Menurutnya, karya ini juga sebuah lagu segar dan ceria yang meraikan babak baharu dalam kehidupan. 

“40 adalah sebuah lagu yang mewakili mereka yang berada dalam lingkungan umur 40-an dengan mesej ’40 masih muda’ dan menjadi seruan untuk menyambut kehidupan dengan semangat dan keyakinan.

“Sambutan terhadap usia ini disampaikan dengan penuh keyakinan dalam vokal yang penuh semangat, mengajak pendengar untuk menyambut setiap detik kehidupan dengan keceriaan tanpa mengenal kembali.

“Pesan yang terkandung di dalam lagu ini bukanlah sekadar rekaan, tetapi representasi yang jujur dan menyentuh bagi individu yang telah memasuki dekad keempat kehidupan mereka, menegaskan bahawa usia hanyalah angka dan semangatlah yang sebenarnya menentukan bagaimana kita menghayati kehidupan. 

“Berbekalkan ritma yang menggembirakan, melodi lagu ini menemani setiap langkah dalam perjalanan menuju kematangan diri, memberikan dorongan positif dan semangat kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya. 

“Melodi yang membahagiakan dan lirik yang penuh inspirasi, lagu 40 membawa makna yang mendalam dan berbeza bagi setiap individu, mendorong kita untuk memandang usia 40-an sebagai permulaan sebuah petualangan yang baru dan mengembirakan,” katanya.

Sharifah Zarina berkata, lagu ini diilhamkan oleh kesedarannya bahawa tidak banyak lagu TikTok untuk kumpulan usianya, dan dia memutuskan untuk mengisi kekosongan itu. 

Kepulangan Sharifah Zarina ke dunia muzik membuktikan kemampuannya untuk berhubung dengan peminat lama dan baharu, seperti yang dibuktikan oleh video TikTok tular yang memaparkan kehidupan seharian.

“Lagu ini sebuah karya yang tidak hanya mencerminkan keaslian dan identiti sebagai seorang artis, tetapi juga mencuba menghadirkan sesuatu yang boleh menjadi semacam pelengkap yang kurang pada platform TikTok. 

“Saya percaya, dalam menggarap lagu ini, ia tidak hanya berfokus pada penciptaan lagu yang menarik dan enak didengar, tetapi juga berusaha menyampaikan pesan positif serta semangat kreativiti kepada pendengar. 

“Dari situlah muncul sebuah lagu yang tidak hanya menjadi ciptaan muzik semata, melainkan juga menjadi sebuah pernyataan penuh makna mengenai keinginan untuk memberikan sesuatu yang berharga dan bermakna kepada komuniti TikTok,” katanya.

Sharifah Zarina berharap, peluncuran lagu 40  ini dapat memberi inspirasi dan menyentuh hati pendengar dari semua lapisan umur. 

“Lagu ini bukan hanya sebuah persembahan muzik, tetapi juga sebuah karya seni yang mendalam dan penuh makna.

“Saya sangat berharap lagu ini tidak hanya mampu memberikan inspirasi, tetapi juga mampu menggetarkan hati setiap pendengar, tanpa terkecuali dari segala kalangan usia yang ada di masyarakat. 

“Dengan lirik yang penuh makna dan melodi yang menyentuh, saya berharap lagu ini dapat menembus emosi dan membawa kesan mendalam bagi siapa pun yang mendengarkannya, memberikan suatu pengalaman yang tak terlupakan serta menjadi sumber semangat dan motivasi untuk meraih mimpi dan tujuan dalam kehidupan,” katanya.

Jangan lepaskan peluang bersama Sharifah Zarina menerusi ‘LIVE Star Segment’ malam ini, 8 Ogos, jam 10 hingga 11 malam di akaun rasmi TikTok beliau.

Lagu ini boleh didapati di semua platform penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

Konsert By Ajai & Mega Friends pukau penonton dengan himpunan lagu popular

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Konsert By Ajai & Mega Friends telah melakar satu sejarah bagi industri hiburan Malaysia apabila telah berjaya mengumpulkan kira-kira 4,000 ribu peminat tegar termasuk dari negara singapura yang telah berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Selain Ajai, Mega Friends yang dimaksudkan ialah Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hafiz Suip, Illa Sabri, Hazama selain penyanyi Aufahanie dan kemunculan bersama Raes dari program realiti Gimme The Mic terbitan Astro.

Memang tidak dapat dinafikan sepanjang perjalanan 33 tahun dalam dunia seni, Ajai berjaya menghasilkan lagu-lagu hit yang menjadi pilihan sehingga ke hari ini. Tidak keterlaluan jika Ajai dianggap ‘genius’ dalam penghasilan lagu yang berkualiti.

Sebanyak 18 buah lagu yang telah dipilih untuk dipersembahkan didalam konsert ini. Dan lagu Semua Orang tahu nyanyian asal Rem, menjadi pembuka tirai lagu untuk persembahan pertama Ajai.

Seterusnya Ajai menyampaikan lagu Percayalah nyanyian penyanyi tersohor negara iaitu Dato’ Seri Siti Nurhaliza. Rata-rata peminat mula menyanyikan lagu ini bersama.

Penyanyi Aufahanie begitu mendalami lagu Saat Hilang Cintamu nyanyian asal Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin dengan kelunakan suara merdu yang begitu mengasyikkan.

Tanpa berlengah, konsert diserikan dengan jenaka oleh penyanyi Hazama, dan telah menyampaikan lagu yang pernah dinyanyikan oleh Allahyarham Saleem iaitu Juwita dan Amaran Mama.

Penyanyi Illa Sabri diantara yang paling mendapat tepukan gemuruh serta ‘standing ovation’ dari semua peminat didalam Mega Star Arena. Lagu keramat Keranamu Kekasih berkumandang secara ‘live’ setelah bertahun-tahun penyanyi itu menyepikan diri. Ternyata Illa Sabri masih bertenaga dan bersungguh-sungguh menyempurnakan nyanyiannya.

Aina Abdul mengambil tempat dengan memulakan persembahan menerusi lagu popular Selagi Ada Cinta yang pernah didendangkan oleh penyanyi soprano Malaysia, iaitu Ning Baizura.

Penyanyi dan pencipta lagu yang sangat berbakat ini telah mengolah nyanyian dengan caranya yang tersendiri. Lagu popular Ajai dan Kris Dayanti, Hati Ini Telah Dilukai telah menjadi lagu duet bagi Ajai dan Aina Abdul.

Kehangatan konsert semakin terasa apabila vokal penyanyi Hafiz Suip dialunkan, bagai gegak gempita diseluruh Mega Star Arena. Dengan nyanyian yang mantap menerusi lagu Ku Akui.

Lagu Datin Alyah juga menjadi pilihan yang bertajuk Tak Mungkin Kerna Sayang berjaya disampaikan dengan begitu baik sekali oleh Hafiz.

Telahan kami berjaya apabila penghibur yang ditunggu-tunggu iaitu Dayang Nurfaizah muncul di segmen terakhir.

Dayang turut menyampaikan lagu dari Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin yang bertajuk Kesetiaan. Lagu Seandainya Masih Ada Cinta menjadi lagu terakhir pada malam yang penuh beremosi dan nostalgia itu.

Hanya sekadar pendapat peribadi, konsert yang berlangsung lebih dari 2 jam ini sebenarnya tidak cukup untuk menyelusuri karier seni Ajai. Dan untuk pengetahuan, Ajai sudah menghasilkan lebih daripada 1,000 buah lagu. Dan lebih 80 lagu hits ciptaan beliau masih menjadi siulan sehingga ke hari ini.

Tahniah Ajai! 

AYIMUN ke-14 gabung idea generasi muda dari seluruh dunia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih 500 perwakilan dari 28 negara menyertai 14th Asia Youth International Model United Nations (AYIMUN) ke-14 yang telah berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.

Acara berprestij itu berjaya menghubungkan impian anak muda daripada seluruh dunia dalam berkongsi idea dan pandangan masing-masing.

Majlis perasmian persidangan itu dihadiri oleh beberapa tetamu kehormat termasuk Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Shamsul Iskandar Md Akin yang turut merasmikan majlis berkenaan.

Selain itu, penaja utama seperti MyCEB, Jabatan Pendidikan Tinggi Malaysia, dan Tourism Malaysia turut hadir memberikan sokongan penting bagi kelancaran acara ini.

Presiden Rangkaian Global Antarabangsa merangkap penganjur AYIMUN, Muhammad Fahrizal berkata, beliau memperkenalkan konsep Model Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (MUN) kepada perwakilan, menekankan kepentingan penyertaan dalam persidangan ini untuk membangunkan diplomasi dan kemahiran kepimpinan global.

“Ketika kami berkumpul di sini untuk AYIMUN ke-14, kami memulakan lembaran baharu dalam dialog dan kerjasama.

“Matlamat bersama kami adalah untuk memupuk persefahaman dan kerjasama di seluruh negara, dan saya yakin bahawa dengan semangat dan dedikasi anda, kami akan mencapai keputusan yang cemerlang,” katanya.

AYIMUN ialah persidangan tahunan yang menghimpunkan belia dari pelbagai negara untuk menyertai sesi simulasi PBB.

Ia dihadiri oleh barisan perwakilan berumur 17 hingga 25 tahun yang dipilih dari pelbagai negara dan ditugaskan ke negara lain bagi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai diplomat.

Persidangan ini juga bagi melengkapkan generasi muda dengan kemahiran diplomasi, pemahaman tentang isu global, serta pengalaman berharga dalam berunding dan bekerjasama.

AYIMUN edisi ke-14 membawa tema “Mempercepat Kerjasama Global: Kolaborasi Melangkaui Sempadan”, yang menekankan kepentingan kerjasama global yang melangkaui sempadan untuk menggalakkan pembangunan dan inovasi.

Setiap perwakilan mengambil bahagian dalam perbincangan dan simulasi dengan meneroka cara kerjasama antarabangsa agar dapat menangani cabaran global dengan berkesan.

Kehadiran Elliot Bonfils dari Perancis sebagai setiausaha agung AYIMUN 14, memberikan ucapan yang penuh inspirasi, menonjolkan peranan penting belia dalam diplomasi dan kerjasama global.

Kehadiran beliau memberikan motivasi tambahan kepada semua perwakilan.

Sementara itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri Malaysia, Shanmugam Mookan berkata, pihaknya amat menitikberatkan peranan belia dalam kemajuan negara.

“Membangunkan belia adalah sama dengan membangunkan negara kita kerana masa depan kita adalah Anda!

“Dalam Bajet 2023, yang menangani keperluan belia yang merangkumi lebih 28 peratus penduduk, kerajaan telah mencadangkan pelbagai langkah untuk menyokong pembangunan belia,” katanya.

Persidangan ini bukan sahaja memberikan pengalaman dalam bidang pendidikan, tetapi juga pertukaran budaya, memupuk rangkaian dan hubungan persahabatan.

Perwakilan pulang ke tanah air dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang hubungan antarabangsa dan kepentingan kerjasama global.

Kejayaan AYIMUN ke-14 adalah bukti komitmen dan semangat pemimpin muda di seluruh dunia.

Apabila perwakilan kembali ke negara mereka, mereka membawa pengetahuan dan inspirasi untuk memberi kesan positif kepada komuniti mereka dan dunia.

Pereka fesyen dituduh guna bomoh untuk menang Precious Of Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kecoh di media sosial apabila tular video seorang wanita berselubung kain hitam dan berperwatakan seperti bomoh muncul dalam pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week, yang berlangsung di Menara Affin @TRX, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ada yang mendakwa, pereka fesyen Nik Amri yang membawa jenama Kin By Nik melakukan perbuatan khurafat bagi membolehkannya memenangi pertandingan fesyen berkenaan.

Menyedari video itu dikongsi oleh ramai pihak, Nik Amri yang dihubungi media tampil memberi penjelasan.

“Pada awalnya saya hanya ketawa sahaja apabila ada yang mendakwa saya menggunakan khidmat ‘Mak Esah’ (bomoh) untuk menang Precious Of Malaysia.

“Tetapi apabila telefon saya tidak henti-henti terima panggilan bertanyakan hal itu, kononnya saya guna bomoh, saya jadi hairan dan pelik. Takkanlah ianya terlalu serius.

“Atas sebab itu, saya memberanikan diri menjawab pertanyaan media bagi menjelaskan situasi yang sebenar.

“Bukan apa, saya tak nak orang beranggapan seolah-olah benar saya buat perkara khurafat itu. Minta dijauhi,” katanya.

Nik berkata, salah faham itu timbul apabila ada yang tidak menonton video penuh dan keseluruhan situasi ketika itu.

“Iya, memang saya bawa wanita berkenaan dalam pertandingan itu. Tetapi tugasnya untuk berlakon sahaja yang juga gimik persembahan saya sebelum menampilkan koleksi penuh Kin By Nik.

“Asap yang dibawakan wanita itu bukanlah kemenyan, sebaliknya ais kering dan diserikan taburan bunga Melur.

“Tidak ada perbuatan khurafat sebaliknya hanya gimik persembahan bagi memeriahkan lagi acara itu. Saya masih tahu dosa pahala sebagai orang Islam.

“Saya pun tak salahkan sesiapa kerana mereka tak tahu konsep sebenar dan tidak melihat keseluruhan gimik yang  dibuat dalam pertandingan itu.

“Sebenarnya, dalam persembahan itu terdapat tiga individu yang tampil berselubung di pentas adalah rakan penari daripada Antava Projects.

“Jika kami benar-benar bomoh, sudah pasti akan menggunakan kelebihan itu untuk meraih kejayaan lebih besar.

“Sebelum ini pun, Kin by Nik sentiasa tampil dengan elemen dramatik dalam setiap rekaan dan persembahan pentas.

“Untuk Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week tahun ini, sedikit elemen konseptual teaterikal umpama upacara membuka panggung dan meraikan tetamu dimulakan dengan taburan bunga klasik yang sinonim dengan adat Melayu iaitu bunga Melur.

“Bunga Melur, yang biasanya mewangi pada waktu senja pula dipilih sebagai simbol kesucian, kemurnian dan keindahan,” katanya.

Katanya lagi, gimik yang dibuat itu mengikut konsep koleksinya yang diberi nama Sore Soirée.

“Sore Soirée menggabungkan dua konsep yang mana ‘sore’ bermaksud senja, masa antara lewat petang dan awal malam ketika matahari mulai terbenam.

“Manakala ‘soirée’ pula boleh diterjemahkan sebagai majlis malam atau pertemuan malam. Ia merujuk kepada acara atau perjumpaan yang diadakan pada waktu malam dalam suasana penuh elegan.

“Konsep ini menunjukkan transisi waktu senja menuju malam. Persembahan dimulakan dengan gerakan misteri dan suntikan elemen mistikal untuk membangkitkan mood sebelum persembahan fesyen bermula.

“Saya tegaskan sekali lagi, tiada sebarang ritual pembomohan pada acara pertunjukan fesyen kerana ia sekadar gimik persembahan untuk tampil berbeza dengan pereka fesyen lain,” katanya.

Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week telah mengiktiraf Kin by Nik menerusi anugerah Best Showcase tahun ini.

Jika diteliti, konsep persembahan rekaan fesyen oleh Kin by Nik kali ini mengolah konsep senja glamorama malam diibaratkan satu majlis mewah penuh gemerlapan pada waktu senja.

Sebanyak 8 rekaan dipersembahkan menggabungkan inspirasi daripada rekaan tradisional Melayu seperti baju kebaya Kota Bharu, Baju Kebaya Riau, Baju Melayu Cekak Musang, Baju Melayu Teluk Belanga dan Kurung Kedah.

Rekaan juga dimodenkan dengan menggunakan fabrik seperti PVC, faux leather, vinyl, poliester, tulle dan faux fur.

Beberapa rekaan moden seperti sut lelaki, jaket panjang dan ball gown turut menjalinkan elemen tradisional dengan penggunaan fabrik songket.

Selain itu, tiga jenis destar lelaki, Tanjak Cogan Daun Kopi, Tanjak Gajah Melaung dan Tanjak negeri Pahang juga diangkat dalam persembahan kali ini.

Liku-liku kehidupan pekerja cari rezeki dalam longgokan sampah dalam ‘Pungut’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tidak dinafikan naskhah yang bergenre aksi antara filem-filem yang diminati serta sering mendapat tempat dalam kalangan penonton.

Perkara itu telah menarik minat syarikat produksi Studio Screen untuk menerbitkan sebuah filem aksi yang diberi tajuk Pungut.

Menariknya, filem berkenaan juga telah diarahkan oleh pengarah yang cukup terkenal dengan filem-filem aksi seperti Geran dan Walid iaitu Areel Abu Bakar.

Penerbitnya, Datuk Saifulhaq Anani berkata, Pungut adalah sebuah naskhah yang memaparkan hakikat yang berlaku dalam masyarakat sekarang.

“Ia mencerminkan tentang kuasa, kedudukan serta kepayahan masyarakat dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang terlalu sukar demi mencari sesuap nasi.

“Naratif ini diolah dengan situasi yang berlaku sekarang dengan dijadikan sebuah kisah memaparkan kehidupan pekerja mencari rezeki sebagai pemungut sampah,” katanya.

Saifulhaq berkata, pemilihan Areel selaku pengarah setelah pihaknya melihat dua filem arahannya sebelum ini yang memang dekat dengan konsep cerita yang ingin mereka sampaikan.

Menurutnya, filem Pungut juga memberikan kelainan tersendiri kerana ia bukan sekadar filem aksi semata-mata, malah akan membuka mata penonton untuk menilai sendiri konsep naratif dalam filem ini.

“Pungut memberikan kesedaran bahawa di sebalik pembangunan yang semakin pesat, masih ada segelintir yang mencari rezeki dalam longgokan sampah,” katanya.

Sementara itu, Areel berkata, tajuk Pungut dipilih kerana naskhah filem berkenaan itu sendiri berkisar tentang sekumpulan pekerja yang bekerja di pusat pelupusan sampah.

“Sebenarnya saya suka menghasilkan filem yang menjurus kepada kisah-kisah realiti yang sangat dekat dengan masyarakat seperti dua filem saya sebelum ini.

“Untuk kali ini, saya angkat kisah kehidupan tentang pekerja pemungut sampah yang berhadapan dengan pelbagai dugaan dalam pekerjaan mereka, namun turut diperkuatkan lagi dengan babak-babak aksi pergaduhan,” katanya.

Areel berkata, filem terbaharu arahannya itu juga menampilkan kelainan tersendiri, terutama sekali dari segi sudut penceritaan yang pastinya jarang diangkat dalam mana-mana filem aksi yang pernah dihasilkan.

“Pada saya, kisah dalam filem Pungut adalah sebuah cerita rakyat yang agak ‘terpencil’, misalnya dengan menjadikan kisah pekerja pemungut sampah ini sebagai premis utama.

“Namun begitu, filem ini boleh dikatakan sebagai ‘simbolik’ kepada kerosakkan sistem yang ada dalam sesebuah organisasi setempat dan itu yang saya cuba sampaikan dalam bentuk filem,” katanya.

Areel berkata, pihaknya tidak menafikan turut berhadapan dengan cabaran ketika penggambaran filem berkenaan.

Katanya, penggambaran dilakukan di tempat pelupusan sampah yang sebenar dan pastinya ia mengundang risiko dengan persekitaran yang tidak sihat.

“Itu antara cabaran utama, namun semuanya berjalan lancar. Apapun yang lebih penting saya ingin penonton lihat sendiri tentang kehidupan pekerja pemungut sampah ini mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan.

“Mungkin ada segelintir yang memandang jijik pekerjaan sebegitu, namun cuba bayangkan pula jika tiada orang yang sanggup melakukan kerja-kerja sedemikian,” katanya.

Areel berkata, dia juga sangat bersyukur kerana mendapat barisan pelakon yang mantap dan tidak mengeluh apabila perlu berlakon di tempat pelupusan sampah sebenar.

Kesemua pelakon yang terbabit cukup teruja dengan konsep yang diketengahkan serta memberi komitmen yang sepenuhnya.

Dalam masa sama, Areel turut meletakkan harapan agar penonton dapat menonton filem Pungut dengan minda yang terbuka.

“Kepada mereka yang meminati filem-filem aksi, Pungut adalah sebuah filem yang sangat sesuai untuk ditonton kerana ia memberikan kelainan yang tersendiri,” katanya lagi.

Filem Pungut akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 29 Ogos ini.

Sinopsis

Pungut mengisahkan tentang Salleh yang tinggal di sebuah perkampungan setinggan berhampiran dengan sebuah kawasan pelupusan sampah.

Di kampung kotor lagi hapak yang tidak pernah dipeduli dan diberikan perhatian oleh kerajaan, Salleh menyara diri dengan bekerja sebagai pengutip barang-barang lusuh.

Sejak tinggal di situ, Salleh tenang menjalani kehidupan walaupun ada beberapa orang penduduk asal di situ yang melakukan aktiviti tidak bermoral seperti judi, mabuk dan pemerasan.

Din Cengkoi yang juga seorang ketua kumpulan jenayah turut melihat kawasan pelupusan sampah di kampung setinggan itu mempunyai potensi yang bagus untuk urusniaga haramnya.

Setelah perniagaan senjata api dan dadahnya dikhianati di kawasan lama, dia mahu menerokai kawasan baru untuk dijadikan markas.

Kampung setinggan dan kawasan pelupusan sampah yang tidak dihiraukan oleh pihak berkuasa itu menarik minat Din Cengkoi. 

Dolla tampil magis dan aksi gah di konsert Dolla Re: Birth The Experience

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penantian berbulan-bulan mereka berakhir apabila kumpulan wanita paling berpengaruh Malaysia, Dolla berjaya menyelesaikan konsert sulung mereka Dolla Re: Birth The Experience.

Berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam Sabtu lalu, Dolla yang dianggotai oleh Angel, Sabronzo, dan Tabby siap sedia memukau peminat yang hadir.

Selepas persiapan intensif dan rapinya, penonton dapat saksikan corak persembahan menakjubkan dan berbeza daripada yang pernah disajikan sebelum ini.

Penganjurnya, Hitman Solutions, menyifatkan konsert sulung Dolla selepas lebih empat tahun mencipta nama dalam industri bakal menjadi bukti hasil kerja keras mereka selama ini.

Kumpulan itu melakar tahap baharu dalam corak persembahan dan mutu produksinya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal cukup teruja dan berbesar hati dapat menampilkan penghibur masa kini penuh inovatif itu.

Beliau menyifatkan pesona Dolla sudah cukup memuncak dan setaraf penghibur antarabangsa.

“Koreografi padu, vokal secara langsung yang mantap, dan tenaga tanpa batas mereka, apabila digabung produksi serta reka bentuk set bermutu tinggi, menghasilkan persembahan luar biasa.

“Konsert pengenalan Dolla yang cukup hebat ini adalah bukti ketara terhadap masa depan yang cerah buat kumpulan wanita Malaysia terus maju.

“Matlamat kami adalah untuk sediakan artis meningkat naik dengan pementasan dan kualiti produksi yang menyaingi taraf antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, pihaknya sangat teruja untuk mempersembahkan pencapaian terkini Dolla dengan konsert mereka yang sangat dinantikan ini.

“Konsert ini menjadi pengalaman yang luar biasa dan mendalam untuk peminat setia yang digelar iDolla, dan walaupun anda bukan peminat tegar, saya yakin anda akan menikmati setiap lagu, gerakan dan koreografi yang mencerminkan usaha keras yang telah dilakukan oleh seluruh pasukan dalam beberapa bulan terakhir ini.

“Konsert ini adalah kolaborasi bersama Hitman Solutions dan langkah besar dalam menggabungkan teknologi produksi terkini dengan hiburan, dan membolehkan kami memperluaskan kreativiti kami serta berkongsi muzik unik Dolla.

“Terima kasih juga kepada Samsung atas sokongan tanpa henti yang diberikan kepada Dolla sejak awal perjalanan mereka.

Dolla Re: Birth The Experience bukan sekadar konsert biasa, ia adalah sambungan kepada semangat dan komitmen yang telah kami curahkan sepenuh hati.

“Kami tidak sabar untuk membawa pengalaman ini dan mengembangkan hubungan Dolla dengan peminat di seluruh kawasan tidak lama lagi,” katanya.

Tambahan pula, perjalanan persiapan mereka turut mendapat khidmat nasihat dan penambahbaikan daripada pengarah konsert tersohor, Jenn Thompson.

Berganda hebatlah setiap aspek mereka takluk sekaligus meninggalkan impak tersendiri pada malam itu.

Jenn yakin pesona Dolla lebih menyala di pentas dengan perincian merangkumi pelbagai aspek. Kelainan yang nyata dipamerkan mereka dengan dilengkapi sudut teknikal pada mutu tahap tertinggi.

“Persiapan konsert berjalan dengan sangat intensif terutama buat ke semua anggotanya. Baik pada susunan muzik, latihan vokal, tarian, dan kecergasan.

“Ia adalah konsert yang cukup berbeza. Bukan sekadar muzikal saja, namun sangat mendalam disebabkan koreografi tarian serta tata riasnya yang mana menjadi aspek terpenting Dolla,” kata Jen.

Jen berkata, aspek teknikal muzikalnya juga cukup unik berbanding melakukan persembahan dengan muzik semata-mata seperti sebelum ini, Dolla diiringi band pada malam konsert berkenaan.

“Buat julung kali, mereka diiringi band dengan empat pemuzik. Paling penting ia digabungkan bersama susunan digital demi kekalkan bunyi serta perisa Dolla.

“Kesemua anggotanya serta setiap pihak yang bekerjasama dengan mereka sudah berhempas pulas untuk menyediakan corak hiburan paling memuaskan buat peminat mereka,” katanya.

Dolla adalah antara artis tempatan yang memiliki ‘lightstick’ tersendiri, konsert bertukar ke sebuah lautan kemilau berona ungu.

Elemen itu sekaligus memberi sentuhan suasana menjadi lebih magis. Peminatnya yang dikenali sebagai iDolla larut dalam visual memukau, kesan khas, dan reka bentuk pentas.

Sepertinya penonton dibawa berlayar bersama dalam dunia Dolla.