editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Konsert By Ajai & Mega Friends telah melakar satu sejarah bagi industri hiburan Malaysia apabila telah berjaya mengumpulkan kira-kira 4,000 ribu peminat tegar termasuk dari negara singapura yang telah berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Selain Ajai, Mega Friends yang dimaksudkan ialah Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hafiz Suip, Illa Sabri, Hazama selain penyanyi Aufahanie dan kemunculan bersama Raes dari program realiti Gimme The Mic terbitan Astro.
Memang tidak dapat dinafikan sepanjang perjalanan 33 tahun dalam dunia seni, Ajai berjaya menghasilkan lagu-lagu hit yang menjadi pilihan sehingga ke hari ini. Tidak keterlaluan jika Ajai dianggap ‘genius’ dalam penghasilan lagu yang berkualiti.
Sebanyak 18 buah lagu yang telah dipilih untuk dipersembahkan didalam konsert ini. Dan lagu Semua Orang tahu nyanyian asal Rem, menjadi pembuka tirai lagu untuk persembahan pertama Ajai.
Seterusnya Ajai menyampaikan lagu Percayalah nyanyian penyanyi tersohor negara iaitu Dato’ Seri Siti Nurhaliza. Rata-rata peminat mula menyanyikan lagu ini bersama.

Penyanyi Aufahanie begitu mendalami lagu Saat Hilang Cintamu nyanyian asal Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin dengan kelunakan suara merdu yang begitu mengasyikkan.
Tanpa berlengah, konsert diserikan dengan jenaka oleh penyanyi Hazama, dan telah menyampaikan lagu yang pernah dinyanyikan oleh Allahyarham Saleem iaitu Juwita dan Amaran Mama.
Penyanyi Illa Sabri diantara yang paling mendapat tepukan gemuruh serta ‘standing ovation’ dari semua peminat didalam Mega Star Arena. Lagu keramat Keranamu Kekasih berkumandang secara ‘live’ setelah bertahun-tahun penyanyi itu menyepikan diri. Ternyata Illa Sabri masih bertenaga dan bersungguh-sungguh menyempurnakan nyanyiannya.
Aina Abdul mengambil tempat dengan memulakan persembahan menerusi lagu popular Selagi Ada Cinta yang pernah didendangkan oleh penyanyi soprano Malaysia, iaitu Ning Baizura.
Penyanyi dan pencipta lagu yang sangat berbakat ini telah mengolah nyanyian dengan caranya yang tersendiri. Lagu popular Ajai dan Kris Dayanti, Hati Ini Telah Dilukai telah menjadi lagu duet bagi Ajai dan Aina Abdul.

Kehangatan konsert semakin terasa apabila vokal penyanyi Hafiz Suip dialunkan, bagai gegak gempita diseluruh Mega Star Arena. Dengan nyanyian yang mantap menerusi lagu Ku Akui.
Lagu Datin Alyah juga menjadi pilihan yang bertajuk Tak Mungkin Kerna Sayang berjaya disampaikan dengan begitu baik sekali oleh Hafiz.
Telahan kami berjaya apabila penghibur yang ditunggu-tunggu iaitu Dayang Nurfaizah muncul di segmen terakhir.
Dayang turut menyampaikan lagu dari Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin yang bertajuk Kesetiaan. Lagu Seandainya Masih Ada Cinta menjadi lagu terakhir pada malam yang penuh beremosi dan nostalgia itu.

Hanya sekadar pendapat peribadi, konsert yang berlangsung lebih dari 2 jam ini sebenarnya tidak cukup untuk menyelusuri karier seni Ajai. Dan untuk pengetahuan, Ajai sudah menghasilkan lebih daripada 1,000 buah lagu. Dan lebih 80 lagu hits ciptaan beliau masih menjadi siulan sehingga ke hari ini.
Tahniah Ajai!