29.1 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 183

Precious Of Malaysia iktiraf bakat terpendam pelajar IPT dalam rekaan fesyen

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pereka fesyen muda di negara ini sememangnya mempunyai bakat terpendam dalam menghasilkan busana dengan pelbagai inspirasi dan kreativiti.

Bagi menyokong dan terus memperjuangkan budaya Malaysia melalui fesyen, pereka fesyen yang juga penganjur acara (FM Group) Jonathan dan Farel Mikhail mengambil inisiatif menganjurkan International Cultural Fashion Week (ICFW) sempena festival Precious Of Malaysia.

Menurut  Farel, pertandingan fesyen itu mendapat sambutan luar biasa yang turut membabitkan penyertaan empat Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia iaitu Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM Shah Alam), Taylor’s University, ESMOD Kuala Lumpur  dan  Kolej Komuniti Selayang.

“Sehingga ke hari ini kami menerima permohonan dari banyak IPT untuk menyertai pertandingan ICFW.

“Namun, untuk penganjuran kali ketiga ini, kami hanya memilih empat IPT sahaja kerana mahu lebih fokus dan mementingkan kualiti.

“Insya-Allah, ICFW tahun depan kami akan membabitkan lebih banyak IPT untuk menghantar peserta.

“Kami melihat juga kesungguhan dan rekaan yang bakal ditampilkan. Ini kerana, kami mahukan sentuhan baharu, kreatif dan idea luar kotak terhadap busana tradisional.

“Pada masa sama, ICFW adalah platform buat mereka untuk dikenali dan terus ‘terbang tinggi’ dalam bidang rekaan fesyen. Melalui pertandingan seperti inilah bakat mereka boleh digilap dan bersaing secara sihat.

“Ada juga yang bertanya, buat apa penat lelah memberi ruang kepada pelajar IPT. Jawapannya adalah rasa tanggungjawab kami sebagai anak muda untuk terus memartabatkan budaya Malaysia,” katanya.

Farel ditemui media pada acara ICFW (sesi pelajar IPT) di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Farel juga berharap segelintir warganet yang gemar merendah-rendahkan bakat pereka fesyen muda, dapat memberi kritikan secara membina.

“Tidak dinafikan, netizen bebas berkata atau menulis apa sahaja dalam media sosial mereka. Itu hak mereka yang kita tidak boleh sekat.

“Namun, janganlah menghina atau mengeji rekaan pereka muda yang masih dalam proses belajar. Janganlah patahkan semangat mereka yang berusaha gigih untuk lakukan yang terbaik.

“Kami tahu bagaimana sakitnya rasa dihina dan rekaan kita diperlekehkan. Bukan tidak boleh menegur atau memberi komen, tetapi biarlah kritikan yang membina.

“Tegur kelemahan dan berikan cadangan apa yang lebih baik agar mereka dapat mempelajari sesuatu,” katanya.

Sementara itu, Jonathan pula berharap ICFW akan menjadi pemangkin kepada anak-anak muda di IPT untuk menyerlahkan bakat mereka.

“Saya rasa berbangga apabila ramai anak muda yang cenderung memperjuangkan busana tradisional yang juga sebahagian daripada budaya kita. Inilah masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka.

“Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka dan terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen. ICFW adalah tempat dan peluang buat mereka,” katanya.

Katanya, tahun 2024 menyaksikan kelainan  ICFW berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Keputusan ICFW sesi IPT turut memperlihatkan mereka berentap dengan pereka fesyen muda yang sudah mempunyai jenama sendiri.

Precious Of Malaysia disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya.

Selain itu, antara penaja yang turut serta menyokong acara ini adalah Affin Bank Berhad, Vivo, Pavilion Damansara Heights, MyCar, Sunshine Asia Group, Famous Amos, Ascott Kuala Lumpur dan banyak lagi.

Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia  bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September depan.

Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights  mensasarkan 1001 orang hadir memakai tanjak pada hari tersebut.

Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos. Orang ramai dijemput hadir memakai tanjak bagi memeriahkan lagi acara.

ARAS Restaurant saji menu ‘International Buffet’ buat pengunjung

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Terus merancakkan penjenamaan semulanya bagi menarik lebih ramai pengunjung, restoran berputar Menara Kuala Lumpur yang diberi nafas baru kini sudahpun beroperasi sejak 29 Januari yang lalu.

Diberi nama ARAS Restaurant, Menara Kuala Lumpur, lebih daripada 40,000 pengunjung sudah merasai pengalaman makan dan menikmati suasana yang serba baharu itu.

Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Menara Kuala Lumpur, Aemizureen Kamarudin berkata, sejak dibuka kembali kepada orang ramai sambutan yang sangat menggalakkan diterima terutamanya untuk slot makan malam yang sentiasa ‘full house’.

Katanya, mereka sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi memberi pengalaman pengunjung merasai suasana menjamu selera dengan pemandangan indah bandar Kuala Lumpur.

“Di ARAS Restaurant ini kami menawarkan suasana makan pada waktu tengah hari, petang dan malam.

“Namun setakat ini sambutan yang kami terima lebih banyak untuk makan malam disebabkan pengunjung dapat melihat sendiri suasana pertukaran waktu senja kepada malam.

“Selain disaji dengan hidangan dan pemandangan yang memukau, pada sesi makan malam turut diadakan acara tertutup Sky Band, iaitu persembahan nyanyian bagi menghibur pengunjung,” katanya.

Saji menu ‘International Buffet’, ARAS Restaurant sedia lebih 70 jenis hidangan

Menampilkan lebih 70 jenis hidangan merangkumi cita rasa tempatan dan antarabangsa, menu ‘International Buffet’ juga menjadi antara tarikan pengunjung dari seluruh dunia.

Apatah lagi ia disusun mengikut waktu yang bersesuaian bagi memberikan pengalaman makan yang sempurna kepada pengunjung.

Setiap hidangan disediakan oleh cef terkemuka iaitu Cef De Cuisine, Cef Yasir Omar yang sudah berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kulinari.

Pakej makanan yang disediakan juga mengikut tema sambutan seperti Valentine’s Day, Tahun Baharu Cina dan sambutan perayaan lain juga turut disediakan.

Aemizureen berkata, buat masa ini, ARAS Restaurant sedang mengadakan promosi diskaun sebanyak 20 peratus untuk sesi makan tengah hari.

“Bagi hari biasa, iaitu Isnin hingga Khamis, harga untuk makan tengah hari bagi dewasa ialah RM169 manakala untuk kanak-kanak pula RM99.

“Untuk hujung minggu pula, harga bagi dewasa ialah RM189 manakala kanak-kanak RM109 dan untuk bayaran ini kami beri percuma kemasukan ke Sky Deck dan Observation Deck bermula dari 1 Ogos sehingga 16 September ini,” katanya.

Sementara itu, Cef Yasir Omar, berkata ‘Serawa Pulut Durian’ ialah ‘signature dish’ yang wajib dirasai pengunjung ketika singgah di ARAS Restaurant.

“Pelbagai menu dari pelbagai negara kami sediakan namun menjadi keutamaan adalah menu masakan Malaysia antaranya  Nasi Ayam Hainan, nasi kacang kuda dan Laksa Johor antara hidangan istimewa yang perlu dinikmati termasuk pelbagai pencuci mulut seperti aneka kek, aiskrim, sagu, bubur kacang dan lain-lain lagi.

“Kami sentiasa menyediakan pelan mengenai menu makanan yang hendak dihidangkan dan biasanya jika waktu itu ramai pelancong dari India, kami turut menyediakan menu masakan India.

“Biasanya pelancong dari India kami akan tawarkan menu makanan berkonsepkan ‘vegetarian’ dan roti.

“Dengan konsep ‘International Buffet’ yang diperkenalkan kami turut menyediakan menu makanan dari negara Timur Tengah, Barat, India dan banyak lagi,” katanya.

Perkenal pencuci mulut berkonsepkan Olimpik

Sempena Olimpik Paris 2024 yang sedang berlangsung sekarang ini, ARAS Restaurant turut mengambil peluang dengan memperkenalkan pencuci mulut berkonsepkan Olimpik.

“Warna logo Olimpik iaitu biru, kuning, hitam, hijau dan merah kita letakkan pada kuih-muih selain hiasan bendera negara yang terbabit dengan Olimpik juga kita hiasi di ruang letak pencuci mulut.

“Manakala, sempena Bulan Kebangsaan Ogos ini, ARAS Restaurant juga akan menawarkan menu makanan tempatan dari seluruh Malaysia,” kata Cef Yasir lagi.

Siri HONOR 200 perkasakan impian pencipta kandungan di TikTok Awards Malaysia 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Berikutan kejayaan kolaborasi pada tahun lalu, HONOR Malaysia kembali bergandingan dengan anugerah TikTok Awards Malaysia 2024 buat tahun kedua, membawakan telefon pintar Flagship Estetik AI, Siri HONOR 200.

Bertemakan ‘Celebrating New Dreams’, majlis anugerah ini mengiktiraf pencipta kandungan TikTok yang paling kreatif dalam negara, termasuk pencipta e-dagang dari TikTok Shop.

Anugerah ini mengetengahkan dua segmen utama iaitu Pilihan Juri (Judge’s Pick) dan Pilihan Ramai (People’s Choice).

Orang ramai kini boleh mengundi untuk pencipta kandungan TikTok kegemaran mereka sehingga 9 Ogos ini.

Pemenang akan diumumkan semasa majlis pada 11 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. HONOR akan menyampaikan telefon pintar HONOR 200 Pro baharu yang berkuasa kepada pemenang Creator of the Year.

Menangi HONOR 200 bernilai RM1,899

Orang ramai juga berpeluang untuk memenangi telefon pintar HONOR 200 bernilai RM1,899 dengan menyertai cabaran #ImpianMuTikTokAwards dan kongsikan pencapaian hebat berinspirasi mereka dalam tahun sebelumnya di akaun TikTok dengan menggunakan tanda pagar berkenaan.

Peserta boleh berkongsikan kisah mereka sebelum 9 Ogos 2024, dan tiga pemenang akan menerima HONOR 200 setiap seorang.

Siri HONOR 200, pilihan pencipta kandungan Malaysia

Siri HONOR 200 yang adalah peranti Flagship Estetik AI amat popular dalam kalangan pengguna dan menjadi antara telefon pintar kelas pertengahan yang terlaris di Malaysia.

Siri ini dilengkapi dengan sistem tiga kamera utama 50MP. Direka bersama Studio Harcourt yang terkemuka dari Paris, Siri HONOR 200 menawarkan fotografi potret bertaraf studio, membolehkan pencipta kandungan merakam potret profesional yang menawan dengan lancar.

Selain itu, Siri HONOR 200 menampilkan prestasi bertaraf flagship termasuk bateri karbon silikon 5,200mAh dengan pengecasan berwayar 100W Wired HONOR SuperCharge, Magic AI Experience serta paparan jagaan mata. Semua ciri-ciri ini juga didapati dalam Siri Magic.   

TikTok Awards Malaysia 2024 meraikan kreativiti, dikuasakan oleh Siri HONOR 200

HONOR Malaysia amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan TikTok bagi penganjuran TikTok Awards Malaysia 2024, sambutan untuk pencipta kandungan paling berbakat di negara.

Melangkaui inovasi teknologi, HONOR amat komited untuk memperkasakan pencipta tempatan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

Siri HONOR 200 akan menjadi nadi kepada majlis ini yang mempersembahkan potensi hebat teknologi dalam memperkayakan kreativiti dan inovasi.

Dengan detik menjelang anugerah kini bermula, HONOR mempelawa orang ramai untuk mengundi pencipta kegemaran mereka.

Setiap undi menyumbang kepada pengiktirafan dan ganjaran kepada bakat tersohor dalam kalangan masyarakat. Marilah kita meraikan kuasa impian dan kreativiti bersama-sama.

Saksikan siaran langsung TikTok Awards di TV3 dan akaun rasmi TikTok Malaysia pada 11 Ogos, jam 9 malam.

Ara Johari terbang ke Jakarta demi ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pernah melalui fasa putus cinta, penyanyi Ara Johari meluahkan kesakitan yang dirasai itu menerusi single baharunya berjudul Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL).

Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 27, berkata single berentak balada itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana pasti menyentuh jiwa sesiapa yang pernah melalui pengalaman sama.

“Saya jatuh cinta ketika pertama kali dengar demo lagu ini. Kebetulan ketika itu memang sedang patah hati, bila dengar lagu ini rasa sakitnya menusuk ke hati.

“Saya yakin sesiapa yang mendengar juga tersentuh terutama yang pernah ada pengalaman putus cinta dan bekas kekasih sudah berkahwin dengan orang lain,” katanya. 

Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) adalah lagu ciptaan komposer dari seberang, Ilham Baso yang sebelum ini pernah menyumbang karya-karyanya kepada penyanyi papan atas Indonesia seperti Judika (Bukan Dia Tapi Aku) dan banyak lagi.

Lebih istimewa, gubahan muzik lagu ini mendapat sentuhan daripada penggubah muzik terkenal Indonesia iaitu Adrian Rahmat Purwanto.

Manakala, proses rakaman dilakukan di Bro’s Studio di Jakarta dibawah bimbingan vokal stail Bowo Soulmate.

“Saya bertuah dapat bekerja dengan pemuzik-pemuzik handal Indonesia. Ia adalah satu pengalaman baru dalam career seni saya.

“Mereka banyak bekerja dengan nama besar seperti Mahalini, Lyodra dan Keisya Levronka.

“Alhamdulillah urusan rakaman berjalan lancar seperti yang dirancang. Bekerja dengan mereka juga mudah dan pantas,” katanya.

Lagu Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) edaran Universal Music Malaysia ini sudah boleh didengari di semua platform streaming bermula sejak 31 Julai yang lalu.

GV Ride tawar komisen lebih rendah kepada pemandu e-hailing

editormaxinfo@gmail.com

KAJANG – Berusaha memberikan lebih banyak pilihan pengangkutan atas talian kepada pengguna, syarikat e-hailing GV Ride mengadakan pra pelancaran perkhidmatan mereka, baru-baru ini.

GV Ride atau Green Vision adalah perkhidmatan e-hailing mesra bajet dan inovatif di Malaysia.

Menyasarkan 10,000 pemandu, GV Ride bakal dilancarkan penggunaannya bulan ini dan memulakan perkhidmatan di sekitar kawasan Lembah Klang.

Pengarah Urusan GV Ride, Ir Vincent Chew Hian Sern berkata, sebagai permulaan mereka hanya memfokuskan kawasan di sekitar Lembah Klang terlebih dahulu.

“Kami menawarkan pelbagai pelan untuk memenuhi keperluan semua orang. Tidak hanya pemandu, pengguna juga akan merasai pengalaman yang sama.

“Sistem yang disediakan juga sangat fleksibel di mana kami menyediakan sistem bidaan dengan kadar tambang pemandu minimum bermula dari RM1.25/km.

“Kami juga sedang menawarkan bonus pra-pelancaran untuk ‘pick-up’ lebih dari 5 km sebagai insentif untuk pemandu,” katanya.

GV Ride yang ditubuhkan pada 2023, adalah salah satu daripada 30 syarikat yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Vincent berkata, GV Ride komited untuk menyediakan Lesen Kenderaan E-hailing (EVP) kepada pemandu mereka sebelum pengaktifan akaun dalam talian.

“Syarikat sangat menekankan keutamaan untuk sentiasa mendengar maklum balas daripada pengguna dan pemandu bagi memastikan perkhidmatan yang lebih baik.

“Kami juga menawarkan ciri-ciri menarik termasuklah sistem rundingan harga yang membolehkan penumpang menetapkan tambang pilihan mereka.

“Perjalanan akan disahkan jika pemandu bersetuju dengan harga yang ditawarkan.

“Penumpang juga boleh memilih pemandu mereka, menjejaki lokasi kenderaan, mendapatkan anggaran masa ketibaan, serta memilih kaedah pembayaran yang pelbagai.

“Selain itu, pengguna juga diberi pilihan untuk memilih jenis kereta yang mereka inginkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, usaha untuk mempromosikan penggunaan tenaga yang lebih bersih, GV Ride juga merancang untuk memperkenalkan kereta elektrik pada akhir tahun ini.

Syarikat ini juga akan menawarkan skim penjimatan di mana pemandu boleh menyewa kereta elektrik untuk kegunaan e-hailing, sebagai sebahagian daripada komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar.

Pemandu turut ditawarkan kadar komisen yang jauh lebih rendah berbanding pesaing e-hailing lain di Malaysia.

GV Ride turut melancarkan kempen pengiklanan pemandu dan menyediakan kod promo serta baucar kepada pengguna.

Pemandu yang berminat boleh mendaftar melalui aplikasi, dengan perkhidmatan pelanggan yang sedia membantu 24/7 melalui Autobot dan ejen perkhidmatan pelanggan.

Buka pusat rehabilitasi jantung berteknologi tinggi pertama di Asia, IJN jadi perintis utama

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) memulakan langkah baharu dalam penjagaan jantung dengan pelancaran pusat rehabilitasi pertama di Asia yang menampilkan teknologi senaman pneumatik termaju.

Kemudahan tercanggih ini menggabungkan inovasi dari Jerman, Finland dan Belanda, menawarkan pesakit sokongan yang tiada tandingan dalam perjalanan pemulihan mereka.

Pemulihan jantung ialah program tersuai yang bertujuan membantu pesakit pulih daripada pelbagai keadaan berkaitan jantung seperti serangan jantung dan pembedahan, dan mengurangkan risiko serangan jantung pada masa hadapan.

Program ini menggalakkan pendekatan holistik untuk pemulihan dengan menggabungkan latihan senaman, nasihat pemakanan, dan pendidikan tentang tabiat gaya hidup sihat jantung.

Bekerjasama dengan pengilang peralatan pemulihan dan senaman Finland HUR, Pusat Pemulihan Jantung yang diperbaharui menampilkan peralatan senaman pneumatik termaju.

Tidak seperti sistem berasaskan berat tradisional, sistem pneumatik ini menggunakan tekanan udara untuk mencipta rintangan, menawarkan pengalaman senaman yang lebih lancar dan terkawal.

Rintangan udara menjadikannya lebih mudah untuk mula mengangkat beban dan membantu memperlahankannya dengan lancar pada akhir latihan.

Memandangkan teknologi ini mengurangkan ketegangan pada sendi dan mengurangkan risiko kecederaan, menjadikan senaman lebih selamat dan berkesan.

Ketua Jabatan Fisioterapi, Khairullizam Ahmad Termizi berkata, walaupun mereka sangat menggalakkan senaman bagi golongan yang pulih daripada masalah jantung, pihaknya juga perlu mengambil kira keperluan dan kebolehan khusus pesakit.

“Peralatan baharu ini boleh disesuaikan dengan senaman supaya ia menjadi lebih baik kepada setiap pesakit yang menggunakannya.

“Dengan menggabungkan teknologi baharu seperti ini, kami berharap dapat mengembangkan lagi latihan senaman yang tersedia untuk lebih ramai orang,” katanya.

Penyesuaian yang ditawarkan oleh mesin HUR dikuasakan oleh teknologi HUR SmartTouch, yang membolehkan input program latihan dan sasaran yang diperibadikan.

Sistem ini membimbing pengguna melalui latihan dengan melaraskan tetapan secara automatik seperti ketinggian tempat duduk, rintangan dan ulangan, sambil menjejaki kemajuan pada masa yang sama.

Selain itu, penangkapan data automatik sistem memberikan pandangan berharga tentang kualiti senaman, membolehkan bimbingan dan sokongan yang berkesan untuk pesakit dan pemantauan masa nyata untuk kakitangan.

Persediaan baharu pusat itu juga termasuk Pengurus Pemulihan Jantung Lode, perisian pemantauan yang mendokumenkan data berkaitan seperti elektrokardiogram (ECG), kadar denyutan jantung dan kelajuan, yang membolehkan sehingga 16 pesakit dikesan sekaligus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan berkata, matlamat mereka adalah untuk menyokong pesakit melalui setiap langkah perjalanan pemulihan mereka, memperkasakan mereka untuk mencapai potensi penuh dari segi kesihatan jantung dan kesejahteraan keseluruhan.

“Peningkatan ini menandakan komitmen berterusan kami untuk menyediakan penjagaan yang penuh ikhlas dan komprehensif yang bermakna dalam kehidupan pesakit kami,” katanya.

Sebagai tambahan kepada peralatan senaman yang canggih, Pusat Pemulihan Jantung IJN menawarkan pasukan profesional penjagaan kesihatan pelbagai disiplin, termasuk pakar kardiologi, ahli fisioterapi, pakar diet dan pakar kesihatan mental.

Pasukan ini menyediakan penjagaan holistik yang menangani aspek pemulihan fizikal, emosi dan pemakanan.

Pusat ini juga memberikan penekanan yang kuat terhadap pendidikan pesakit, menawarkan sumber dan sokongan untuk membantu individu mengamalkan tabiat gaya hidup sihat jantung.

Daripada memahami pengurusan ubat-ubatan dan mempelajari teknik pengurangan tekanan kepada menggabungkan perancangan hidangan berkhasiat, IJN melengkapkan pesakit dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang sihat jantung di luar perjalanan pemulihan mereka.

Automechanika Kuala Lumpur 2024, serlah kemampanan, teknologi hijau dan pembangunan bakat tempatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pameran automotif antarabangsa, Automechanika Kuala Lumpur 2024 bagi edisi ke-13 kini sedang berlangsung sehingga Sabtu, 3 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dirasmikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Faizal Mohd Yusof, pameran tahun ini selari dengan matlamat nasional Malaysia untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), mempromosikan kenderaan cekap tenaga dan berteknologi tinggi, serta memperkukuh rantaian bekalan tempatan sambil menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Pameran ini juga menekankan kelestarian, teknologi hijau, dan pembangunan bakat tempatan.

Automechanika Kuala Lumpur 2024 akan menjadi medan bagi pemain industri global untuk meneroka penyelesaian mobiliti automotif terkini, termasuk elektrifikasi, digitalisasi, pembuatan automotif dan automasi, rantaian bekalan dan logistik, kelestarian, serta produk dan perkhidmatan inovatif pasca-pasaran.

Pameran ini juga memberikan peluang kepada pemain-pemain industri dalam dan luar negara untuk mengembangkan kenalan niaga, berkongsi pengetahuan dan menjalin kerjasama strategik bagi memajukan industri.

Edisi tahun ini menyaksikan 310 gerai pameran dari 19 negara dan wilayah yang akan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka, menjadi tarikan kepada profesional dari lebih 45 negara.

Automechanika tahun ini menjangkakan kehadiran pengunjung dari Australia, Kemboja, Kanada, Perancis, Indonesia, Itali, Jepun, Filipina, Arab Saudi, Singapura, UAE, dan Vietnam.

Penyertaan jenama-jenama kenderaan elektrik (EV) terkemuka juga dijangka mempercepatkan transformasi rantaian bekalan automotif tempatan, menjadikan Malaysia pilihan utama untuk FDI dari pembuat kenderaan global.

Faizal berkata, mereka menunggu dengan penuh debar dan harapan kenderaan elektrik (EV) tempatan dari Perodua dan Proton.

“Untuk mencapai matlamat kita agar kenderaan xEV—termasuk kenderaan penumpang dan komersial serta motosikal EV—membentuk 80 peratus daripada jumlah industri menjelang 2050, adalah penting untuk terus memenuhi permintaan orang ramai dengan menyediakan EV yang mampu milik di pasaran.

“Kehadiran jenama EV luar yang terkemuka dalam pasaran Malaysia juga menjadi bukti komitmen kita dalam membentuk masa depan yang lebih bersih dan hijau.

“Peralihan ini bukan sahaja bermanfaat untuk alam sekitar kita tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pembuat kenderaan global dan pelabur,” katanya.

Salah satu sorotan acara ini adalah Persidangan & Zon Penyelesaian Mobiliti Automotif, yang mempamerkan trend terkini dalam elektrifikasi, digitalisasi, penerimaan AI, pembuatan automotif dan automasi, peningkatan logistik dan rantaian bekalan, kelestarian, dan ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus).

Disokong oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), persidangan ini akan menampilkan lebih 30 pemimpin industri, termasuk Bosch Rexroth, Forwardlog, Henkel, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Persatuan Kenderaan Tanpa Emisi Malaysia (MyZEVA), Siemens, Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC), Swift, Universiti Teknologi Malaysia, Vinfast, Volkswagen, dan Volvo Trucks.

Inovasi akan menjadi tema utama pameran ini, dengan MDEC mempersembahkan pavilion pertamanya yang didedikasikan untuk Teknologi Automotif, menonjolkan teknologi automotif canggih dan memupuk inovasi.

Persatuan Pedagang Alat Ganti Motor Dan Kejuruteraan Selangor Dan Wilayah Persekutuan (EMPTA) akan menganjurkan pavilion yang mempamerkan produk dan perkhidmatan alat ganti asal (OE) dan aftermarket automotif terkini. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan CyberSecurity Malaysia juga akan menonjolkan kemajuan dalam keselamatan kenderaan dan piawaian alam sekitar.

Untuk meningkatkan pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran, pameran ini akan merangkumi Bengkel Latihan Pembetulan Pelanggaran.

Bengkel ini, yang diadakan bersama dengan institusi terkenal dan pakar industri, akan merangkumi asas dan spesifikasi teknikal subsistem EV, diagnostik, pembaikan, dan amalan badan dan pengecatan yang lestari.

Sementara itu, Pengurus Besar Messe Frankfurt (HK) Limited yang juga penganjur Automechanika Fiona Chew berkata, Malaysia adalah destinasi yang harus diberi perhatian dalam usahanya untuk menjadi kuasa serantau bagi kenderaan tenaga baru dan perintis penyelesaian mobiliti.

“Rangkaian dan sumber yang kita bina dapat menyokong kemajuan dan pertumbuhan ini.

“Pameran tahun ini menandakan pencapaian penting, berubah dari acara dua tahunan kepada tahunan untuk membantu pemain industri berhubung lebih kerap dan mengikuti trend global,” katanya.

Automechanika Kuala Lumpur 2024 bersedia untuk memainkan peranan penting dalam industri automotif Malaysia dengan menarik FDI, mempromosikan pertumbuhan industri, menyokong inisiatif kelestarian, dan memupuk pembangunan bakat.

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah acara penting ini, menyediakan platform penting bagi profesional industri untuk berhubung, berjejaring, dan meneroka kerjasama.

Sijil palsu: semak sebelum terpedaya – MQA

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Masyarakat di negara ini dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan atau tawaran sijil palsu yang kembali berleluasa di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pembabitan kegiatan ini salah di sisi undang-undang dan mengundang risiko tidak diingini kepada penjual, pembeli dan majikan yang merekrut pemegang sijil kelayakan palsu ini.

Beliau berkata, bagi peringkat pendidikan tinggi, MQA ialah badan yang bertanggungjawab mengawal selia kualiti program akademik di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.

Katanya, bagi lulusan dari luar negara, pihaknya mempunyai jaringan badan akreditasi antarabangsa yang boleh menyemak kesahihan kelayakan seseorang.

“Semakan ini penting terutama kepada majikan yang ingin mendapatkan pengesahan kelayakan calon yang memohon pekerjaan di syarikat masing-masing.

“Diharap masyarakat tidak mudah terpedaya dengan iklan sijil palsu ini kerana ia perkara yang merugikan individu dari aspek kewangan seterusnya memberi imej buruk kepada mereka yang terbabit kerana ia satu bentuk penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan sebuah akhbar bertajuk ‘Beli Sijil PhD RM4,000’, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, secara umumnya penjualan sijil palsu peringkat pendidikan tinggi ini bukan perkara baru kerana ia sudah berlaku sejak 1980-an lagi di Amerika Syarikat (AS) dan dijual secara terang-terangan.

Katanya, sekiranya masyarakat menerima iklan atau tawaran yang ‘terlalu bagus untuk dipercayai’ dalam konteks sijil kelayakan pendidikan tinggi, dinasihatkan untuk merujuk kepada MQA terlebih dahulu supaya tidak terjerat dengan tipu daya sindiket sijil palsu.

Tambahnya, bagi semakan program akademik, masyarakat boleh rujuk terus ke Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) menerusi pautan https://www2.mqa.gov.my/mqr/ atau bagi peringkat ijazah kedoktoran/ijazah kehormat semakan boleh dibuat menerusi portal yang disediakan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) iaitu https://dohe.mohe.gov.my/award/

“Dalam dunia digital kini, sukar untuk kita membendung semua maklumat yang datang terutama daripada media sosial, namun semakan boleh dibuat sama ada melalui MQA, JPT atau  terus kepada IPT yang berkenaan.

“Di MQA, kita tidak mahu masyarakat Malaysia tertipu dengan sindiket ini yang mengaut keuntungan jutaan ringgit kerana ‘pelaburan’ yang mereka keluarkan akan menjadi sia-sia sahaja kerana sijil yang dikeluarkan tidak sah,” katanya.

Membongkar penyelewengan, merungkai kebenaran skandal terbesar dalam ‘The Auditors’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – K-drama atau drama Korea memang digemari oleh penonton di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Dengan jalan cerita yang menarik, produksi berkualiti tinggi, dan lakonan mantap, K-drama berjaya menarik perhatian penonton dari pelbagai lapisan masyarakat.

The Auditors adalah salah satu K-drama yang dinanti-nantikan tahun ini, menambah senarai drama popular yang telah mencapai tahap wajib tonton di kalangan peminat K-drama apatah lagi ia telah menduduki carta teratas dan mencetus perbincangan hangat di kalangan peminat serta ulasan positif daripada pengkritik dan penonton.

Drama yang dinanti-nantikan ini menjanjikan plot yang penuh dengan aksi, komedi, misteri, dan konflik yang mendebarkan serta barisan pelakon hebat yang pastinya akan memikat hati penonton.

Saksikan The Auditors yang kini ditayangkan di saluran linear tvN Asia melalui Tonton setiap hari Ahad dan Isnin, pada jam 9.15 malam, hanya selepas 24 jam selepas siarannya di Korea.

Episod pertama drama ini ditayangkan sejak 7 Julai lalu, dan setiap episod tersedia untuk ditonton semula di platform Tonton sehingga 30 hari. 

Drama menarik The Auditors ini menyingkap tentang kehidupan sekumpulan juruaudit yang terbabit dalam penyiasatan kes penipuan korporat besar-besaran di JU Construction, sebuah syarikat yang korup.

Drama ini bukan sahaja menampilkan plot yang kompleks dan penuh dengan liku-liku, tetapi juga memperlihatkan hubungan peribadi dan konflik antara watak-watak utamanya.

Dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Shin Ha-kyun yang melakonkan watak Shin Cha-il, ketua pasukan audit yang tegas dan berprinsip. 

Bersama-sama beliau ialah bintang muda yang sedang meningkat naik Lee Jung-ha sebagai Goo Han-soo, pekerja baharu yang bersemangat, Jin Goo sebagai Hwang Dae-woong yang bercita-cita tinggi, dan Jo A-ram sebagai Yoon Seo-jin yang degil.

Shin Cha-iI, ketua pasukan audit di JU Construction, terkenal dengan sikapnya yang dingin, ketidakpercayaan terhadap orang lain dan tegas membuatkan beliau sentiasa membuat pertimbangan yang tajam dan tepat.

Pasukan audit ini juga terdiri daripada seorang pekerja baharu, Goo Han-soo (Lee Jung-ha), seorang yang sangat mesra dan baik hati, bertentangan sifat dengan ketua pasukannya.

Goo Han-soo bercita-cita untuk berpindah ke cawangan syarikat di Florida, bekerja sepenuh hati untuk mengembangkan kemahirannya dan membantu dalam pasukan audit ini.

Seorang lagi pemuda yang sangat berdedikasi dan bercita-cita tinggi dalam kerjayanya, Yoon Seo-jin (Jo A-ram).

Personalitinya yang individualistik berbeza dengan Goo Han-soo, walaupun mereka bekerja bersama.

Manakala Hwang Dae-woong (lakonan Jin Goo), adalah Naib Presiden JU Construction yang memasang cita-cita untuk mengatasi dua abangnya dengan mengambil alih tugas sebagai presiden.

Yoon Seo-jin dan Hwang Dae-woong merupakan sahabat baik sejak kecil. Namun sifat mereka yang profesional ketika bekerja membuatkan mereka seolah-olah tidak mengenali sesama sendiri di tempat kerja.

Syarikat JU Construction sering menghadapi kehilangan wang sehingga bilion won. Maka di sinilah bermulanya tanggungjawab pasukan audit ini menyelidik setiap butiran dalam penyelewengan wang yang akhirnya membongkar rahsia syarikat. 

Mereka terpaksa menyelidik dan memutuskan siapa yang perlu dipercayai dan siapa yang mereka syaki terlibat dalam penyelewengan wang syarikat. 

Dapatkah pasukan audit ini membongkar penyelewengan dan mencari kebenaran yang sebenar?