27.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

ARAS Restaurant saji menu ‘International Buffet’ buat pengunjung

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Terus merancakkan penjenamaan semulanya bagi menarik lebih ramai pengunjung, restoran berputar Menara Kuala Lumpur yang diberi nafas baru kini sudahpun beroperasi sejak 29 Januari yang lalu.

Diberi nama ARAS Restaurant, Menara Kuala Lumpur, lebih daripada 40,000 pengunjung sudah merasai pengalaman makan dan menikmati suasana yang serba baharu itu.

Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Menara Kuala Lumpur, Aemizureen Kamarudin berkata, sejak dibuka kembali kepada orang ramai sambutan yang sangat menggalakkan diterima terutamanya untuk slot makan malam yang sentiasa ‘full house’.

Katanya, mereka sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi memberi pengalaman pengunjung merasai suasana menjamu selera dengan pemandangan indah bandar Kuala Lumpur.

“Di ARAS Restaurant ini kami menawarkan suasana makan pada waktu tengah hari, petang dan malam.

“Namun setakat ini sambutan yang kami terima lebih banyak untuk makan malam disebabkan pengunjung dapat melihat sendiri suasana pertukaran waktu senja kepada malam.

“Selain disaji dengan hidangan dan pemandangan yang memukau, pada sesi makan malam turut diadakan acara tertutup Sky Band, iaitu persembahan nyanyian bagi menghibur pengunjung,” katanya.

Saji menu ‘International Buffet’, ARAS Restaurant sedia lebih 70 jenis hidangan

Menampilkan lebih 70 jenis hidangan merangkumi cita rasa tempatan dan antarabangsa, menu ‘International Buffet’ juga menjadi antara tarikan pengunjung dari seluruh dunia.

Apatah lagi ia disusun mengikut waktu yang bersesuaian bagi memberikan pengalaman makan yang sempurna kepada pengunjung.

Setiap hidangan disediakan oleh cef terkemuka iaitu Cef De Cuisine, Cef Yasir Omar yang sudah berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kulinari.

Pakej makanan yang disediakan juga mengikut tema sambutan seperti Valentine’s Day, Tahun Baharu Cina dan sambutan perayaan lain juga turut disediakan.

Aemizureen berkata, buat masa ini, ARAS Restaurant sedang mengadakan promosi diskaun sebanyak 20 peratus untuk sesi makan tengah hari.

“Bagi hari biasa, iaitu Isnin hingga Khamis, harga untuk makan tengah hari bagi dewasa ialah RM169 manakala untuk kanak-kanak pula RM99.

“Untuk hujung minggu pula, harga bagi dewasa ialah RM189 manakala kanak-kanak RM109 dan untuk bayaran ini kami beri percuma kemasukan ke Sky Deck dan Observation Deck bermula dari 1 Ogos sehingga 16 September ini,” katanya.

Sementara itu, Cef Yasir Omar, berkata ‘Serawa Pulut Durian’ ialah ‘signature dish’ yang wajib dirasai pengunjung ketika singgah di ARAS Restaurant.

“Pelbagai menu dari pelbagai negara kami sediakan namun menjadi keutamaan adalah menu masakan Malaysia antaranya  Nasi Ayam Hainan, nasi kacang kuda dan Laksa Johor antara hidangan istimewa yang perlu dinikmati termasuk pelbagai pencuci mulut seperti aneka kek, aiskrim, sagu, bubur kacang dan lain-lain lagi.

“Kami sentiasa menyediakan pelan mengenai menu makanan yang hendak dihidangkan dan biasanya jika waktu itu ramai pelancong dari India, kami turut menyediakan menu masakan India.

“Biasanya pelancong dari India kami akan tawarkan menu makanan berkonsepkan ‘vegetarian’ dan roti.

“Dengan konsep ‘International Buffet’ yang diperkenalkan kami turut menyediakan menu makanan dari negara Timur Tengah, Barat, India dan banyak lagi,” katanya.

Perkenal pencuci mulut berkonsepkan Olimpik

Sempena Olimpik Paris 2024 yang sedang berlangsung sekarang ini, ARAS Restaurant turut mengambil peluang dengan memperkenalkan pencuci mulut berkonsepkan Olimpik.

“Warna logo Olimpik iaitu biru, kuning, hitam, hijau dan merah kita letakkan pada kuih-muih selain hiasan bendera negara yang terbabit dengan Olimpik juga kita hiasi di ruang letak pencuci mulut.

“Manakala, sempena Bulan Kebangsaan Ogos ini, ARAS Restaurant juga akan menawarkan menu makanan tempatan dari seluruh Malaysia,” kata Cef Yasir lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular