28.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 16, 2025

GV Ride tawar komisen lebih rendah kepada pemandu e-hailing

editormaxinfo@gmail.com

KAJANG – Berusaha memberikan lebih banyak pilihan pengangkutan atas talian kepada pengguna, syarikat e-hailing GV Ride mengadakan pra pelancaran perkhidmatan mereka, baru-baru ini.

GV Ride atau Green Vision adalah perkhidmatan e-hailing mesra bajet dan inovatif di Malaysia.

Menyasarkan 10,000 pemandu, GV Ride bakal dilancarkan penggunaannya bulan ini dan memulakan perkhidmatan di sekitar kawasan Lembah Klang.

Pengarah Urusan GV Ride, Ir Vincent Chew Hian Sern berkata, sebagai permulaan mereka hanya memfokuskan kawasan di sekitar Lembah Klang terlebih dahulu.

“Kami menawarkan pelbagai pelan untuk memenuhi keperluan semua orang. Tidak hanya pemandu, pengguna juga akan merasai pengalaman yang sama.

“Sistem yang disediakan juga sangat fleksibel di mana kami menyediakan sistem bidaan dengan kadar tambang pemandu minimum bermula dari RM1.25/km.

“Kami juga sedang menawarkan bonus pra-pelancaran untuk ‘pick-up’ lebih dari 5 km sebagai insentif untuk pemandu,” katanya.

GV Ride yang ditubuhkan pada 2023, adalah salah satu daripada 30 syarikat yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Vincent berkata, GV Ride komited untuk menyediakan Lesen Kenderaan E-hailing (EVP) kepada pemandu mereka sebelum pengaktifan akaun dalam talian.

“Syarikat sangat menekankan keutamaan untuk sentiasa mendengar maklum balas daripada pengguna dan pemandu bagi memastikan perkhidmatan yang lebih baik.

“Kami juga menawarkan ciri-ciri menarik termasuklah sistem rundingan harga yang membolehkan penumpang menetapkan tambang pilihan mereka.

“Perjalanan akan disahkan jika pemandu bersetuju dengan harga yang ditawarkan.

“Penumpang juga boleh memilih pemandu mereka, menjejaki lokasi kenderaan, mendapatkan anggaran masa ketibaan, serta memilih kaedah pembayaran yang pelbagai.

“Selain itu, pengguna juga diberi pilihan untuk memilih jenis kereta yang mereka inginkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, usaha untuk mempromosikan penggunaan tenaga yang lebih bersih, GV Ride juga merancang untuk memperkenalkan kereta elektrik pada akhir tahun ini.

Syarikat ini juga akan menawarkan skim penjimatan di mana pemandu boleh menyewa kereta elektrik untuk kegunaan e-hailing, sebagai sebahagian daripada komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar.

Pemandu turut ditawarkan kadar komisen yang jauh lebih rendah berbanding pesaing e-hailing lain di Malaysia.

GV Ride turut melancarkan kempen pengiklanan pemandu dan menyediakan kod promo serta baucar kepada pengguna.

Pemandu yang berminat boleh mendaftar melalui aplikasi, dengan perkhidmatan pelanggan yang sedia membantu 24/7 melalui Autobot dan ejen perkhidmatan pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular