editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penganjur acara pertandingan fesyen Precious Of Malaysia, International Cultural Fashion Week (ICFW) bakal membawa pemenang ke Paris tahun depan.
Penganjurnya Jonathan dan Farel Mikhail dari FM Group berkata, usaha ini adalah untuk terus memartabatkan budaya Malaysia ke luar negara sekaligus memberi peluang kepada pereka muda untuk terus berkarya menghasilkan yang terbaik.
“Kami tidak mahu kemenangan mereka hanya berakhir dalam pertandingan ini sahaja, sebaliknya kami merancang membawa rekaan mereka ke Paris.
“Jika ikut perancangan yang disusun dan telah mendapat persetujuan, mereka akan ke Paris pada Jun tahun depan.
“Dalam program itu, pemenang akan bawa rekaan fesyen mereka yang bertemakan budaya Malaysia ini ke sana. Beberapa program telah diatur dan akan diumumkan nanti.
“Ini adalah satu peluang keemasan buat mereka apabila bakal memperkenalkan budaya Malaysia ke Paris. Dalam masa yang sama, pereka fesyen muda dari Paris juga akan menyertai Precious Of Malaysia.

“Secara tidak langsung kita boleh lihat perkongsian budaya yang berbeza sekaligus menaikkan imej pereka fesyen muda dari Malaysia,” kata Jonathan.
Pada pertandingan yang diadakan, sebanyak 23 jenama berentap dan menampilkan keunikan masing-masing.
Pereka muda Afiq Syazani merangkul juara sekaligus mengetepikan pesaing hebat lain iaitu naib juara Rashid Moshi, UiTM (tempat ketiga) dan Zuramir (tempat keempat).
Selain jenama-jenama tempatan, wakil dari negara luar iaitu Indonesia dan Filipina turut memberikan saingan sengit.
Bukan itu sahaja, Farel Mikhail berkata, pemenang diberi keistimewaan untuk memperagakan rekaan mereka di hadapan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang mencemar duli hadir ke Malam Gala Precious Of Malaysia yang berlangsung pada 4 Ogos lalu di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur.

“Ini juga satu penghargaan buat pemenang apabila dapat menampilkan hasil rekaan mereka di hadapan Sultanah Nur Zahirah.
“Koleksi yang dibawa oleh peserta Precious Of Malaysia kali ini sangat mengagumkan. Sebenarnya agak terkejut juga dengan hasil rekaan mereka. Kami sangat bangga dengan pencapaian luar biasa mereka.
“Menang atau kalah, soal itu nombor dua. Apa yang lebih penting adalah masing-masing ada kekuatan dan keunikan tersendiri.
“Ini secara tak langsung, baik peserta dari dalam atau luar negara, mereka telah menaikkan elemen budaya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Katanya lagi, dalam pertandingan ini, hasil rekaan dinilai dari empat sudut iaitu motif, kreativiti, koleksi dan rekaan itu sendiri.

“Hasil usaha mereka dalam memenuhi empat kriteria ini telah memberi gambaran di mana tahap mereka dan sebagai persediaan untuk bersaing secara sihat dengan pereka-pereka fesyen di luar sana.
“Jika dilihat rekaan daripada tim UiTM sebenarnya mereka sudah boleh berdiri hebat sebaris pereka-pereka fesyen yang berada dalam pasaran,” katanya.
Precious Of Malaysia disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya.
Selain itu, antara penaja yang turut serta menyokong acara ini adalah Affin Bank Berhad, Vivo, Pavilion Damansara Heights, MyCar, Sunshine Asia Group, Famous Amos, Ascott Kuala Lumpur dan banyak lagi.

Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September depan.
Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights mensasarkan 1001 orang hadir memakai tanjak pada hari berkenaan.
Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos. Orang ramai dijemput hadir memakai tanjak bagi memeriahkan lagi acara.