29.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 8, 2025

Afgan dan Lyodra bersatu dalam sebuah konsert epik September depan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peminat muzik di Malaysia bakal dihiburkan oleh dua nama besar industri muzik Indonesia, Afgan dan Lyodra, dalam sebuah konsert epik yang berjudul ‘Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur’ pada 28 September ini di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Konsert ini dibawakan khas oleh Kharisma Music (KM) bersama-sama jenama kosmetik popular tanah air iaitu Alha Alfa, dengan Intan Gelombang dan Futurace.

Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny berkata, buat pertama kalinya di Malaysia, mereka mengandingkan dua penyanyi ‘top’ Indonesia dalam satu pentas buat tatapan khas penonton di Malaysia.

Idea disebalik penganjuran konsert ini terbit dari single duet Afgan dan Lyodra berjudul ‘Ada’ yang telah diluncurkan hampir setahun lalu dengan respon yang luar biasa dari pendengar.

“KM sentiasa ke depan dalam menyajikan hiburan secara ‘live’ dalam bentuk fizikal buat peminat muzik di Malaysia, dan apabila melihat keserasian Afgan dan Lyodra berduet dalam ‘Ada’ membuat kami teruja untuk menggandingkan mereka berdua dalam sebuah konsert buat pertama kalinya di Malaysia.

“Selain itu Afgan adalah penyanyi yang tidak asing lagi di Malaysia dan mempunyai ‘fanbase’ yang kuat di sini.

“Manakala Lyodra pula adalah juara Indonesian Idol 2020 yang seangkatan dengan Mahalini, Tiara Andini dan Ziva Magnolya,” katanya.

Pada malam konsert nanti, penonton bakal disajikan dengan hiburan tanpa henti selama 2 jam 30 minit dengan 20 buah lagu yang akan dipersembahkan bersama iringan 12 pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia, dan menariknya, Afgan dan Lyodra sendiri yang akan merencanakan koordinasi muzik mereka.

Ahmad Jeffny berkata, penonton konsert berpeluang menikmati susunan muzik yang digubah khas oleh mereka berdua yang belum pernah didengarkan di mana-mana acara sebelum ini.

“Pastinya ada kejutan bagi penonton yang hadir, jadi rugi buat mereka yang terlepas membeli tiket konsert.

“Kami berharap penonton yang hadir dapat menyaksikan sendiri ‘sepasang’ bakat besar dari Indonesia secara ‘live’, dan pastinya malam konsert nanti menjanjikan persembahan dan paduan suara yang memukau,” katanya.

Tiket-tiket konsert sudah pun mula dijual di laman web www.ticket2u.com.my/afganlyodra dan beberapa kategori tiket seperti VVIP dan VIP sudah habis terjual dalam masa beberapa hari sahaja.

Manakala kategori tiket lain masih lagi ada tetapi dalam kuantiti yang terhad Pesan Terakhir (RM258), Escape (RM338), Sang Dewi (RM458) dan Panah Asmara (RM488).

ARTIKEL BERKAITAN

Popular