28.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026
Home Blog Page 112

Peningkatan dividen KWSP 2024 lonjak keyakinan pencarum terhadap kerajaan MADANI

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenai kadar dividen tertinggi 6.30 peratus bagi tahun 2024 telah menerima sambutan positif dari pencarum, dengan ramai yang menganggapnya sebagai berita terbaik menjelang Ramadan yang bakal disambut umat Islam esok.

Pencarum di Johor, Fazilah Fazli, meluahkan rasa syukur dan berkata simpanannya yang pernah dikeluarkan ketika pandemik Covid-19 pada tahun 2021 kini dijangka akan pulih secara berperingkat.

Fazilah berkata, kadar dividen yang memberangsangkan ini turut memberi motivasi untuk beliau menambah simpanan persaraan dengan caruman sukarela KWSP yang turut disertakan dengan bonus tahunan.

“Melihat kepada kadar dividen yang amat menggalakkan ini, saya rasa ia akan membantu saya menambah simpanan persaraan, terutamanya melalui caruman sukarela yang disediakan oleh KWSP apabila saya menerima bonus setiap tahun,” katanya.

Pandangan positif turut disuarakan oleh Muhammad Syahir Salehuddin dari Perlis, yang mewakili golongan belia.

Menurutnya, penambahan kadar dividen KWSP yang setara untuk simpanan konvensional dan syariah berupaya menarik minat anak muda untuk beralih kepada simpanan yang patuh syariah.

“Saya melihat, apabila KWSP menyama ratakan kadar dividen antara simpanan konvensional dan syariah, ia memberi peluang kepada golongan muda beragama Islam untuk lebih yakin menyimpan dalam simpanan yang berlandaskan prinsip syariah,” katanya.

Pengumuman itu jelas menunjukkan peningkatan keyakinan pencarum terhadap usaha kerajaan yang dipacu oleh pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh sepanjang tahun lalu.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, juga memuji pengumuman kadar dividen KWSP 6.30 peratus yang dianggap sebagai pencapaian luar biasa, selain menjadi kadar tertinggi sejak tahun 2017.

Menurut Nga, kadar dividen itu adalah bukti kejayaan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kestabilan politik yang turut memberi impak positif kepada ekonomi negara.

“Pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh sebanyak 5.1 peratus tahun lalu dan kestabilan politik yang dipelihara oleh Kerajaan MADANI telah memainkan peranan penting dalam memulihkan keyakinan pencarum terhadap KWSP.

“Ini adalah petanda positif untuk masa depan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan kadar dividen yang memberangsangkan ini, pencarum semakin optimis dengan masa depan simpanan mereka di bawah sistem KWSP yang terus memberikan manfaat jangka panjang.

Tujuh artis indahkan suasana Ramadan menerusi ‘Ijmal Cinta Ramadan 2.0’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bulan Ramadan yang penuh berkat, rahmat, dan kebajikan akan kembali, menawarkan peluang untuk meraih pahala berganda.

Bagi mereka yang menyedari keistimewaan bulan suci ini, Ramadan menjadi masa untuk mempertingkatkan ibadah, mendekatkan diri kepada Allah SWT, serta memperbanyakkan amal kebajikan.

Setiap tahun, banyak pihak mengambil peluang untuk meraih keberkatan bulan mulia ini dengan menganjurkan program-program dakwah dan kebajikan.

Salah satu acara yang dinantikan ialah Ijmal Cinta Ramadan, yang kini kembali dengan edisi kedua, Ijmal Cinta Ramadan 2.0.

Berlangsung pada 21 Mac 2025 di Saloma, Kuala Lumpur, program ini akan menampilkan tujuh artis popular tanah air yang akan memeriahkan suasana Ramadan, antaranya Ramlah Ram, Noorshila Amin, Zur Eda, Man Bai, Ameng Spring, Amir Ukays, dan Zamani Slam.

Penganjur acara, Datin Ismariza bersama rakan kongsi Mubarak Akhtar, berkata Ijmal Cinta Ramadan 2.0 akan menampilkan persembahan yang mengangkat nilai-nilai spiritual, selari dengan keindahan bulan Ramadan.

“Bagi mereka yang membeli tiket, ia bukan sahaja peluang untuk menikmati hiburan, tetapi juga untuk beramal.

“Kami akan memulakan acara dengan tadarus al-Quran dan tazkirah yang menyentuh hati, diikuti dengan berbuka puasa bersama.

“Seterusnya, solat Maghrib berjemaah akan dilakukan, diikuti dengan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan,” katanya.

Acara ini juga akan menyediakan peluang untuk melakukan solat Isyak dan tarawih secara berjemaah sebelum memulakan persembahan artis.

Tambahan pula, penganjur tidak lupa untuk memberikan sumbangan kepada 10 anak seni yang menghadapi kesulitan kesihatan dan kewangan, menjelang Aidilfitri.

“Pada acara kali ini, kami turut meraikan 10 anak seni yang sedang menghadapi cabaran hidup.

“Ini adalah usaha kami untuk sedikit sebanyak meringankan beban mereka menjelang sambutan raya yang bakal tiba,” kata Mubarak pula.

Mengenai tujuh artis yang terbabit, Mubarak berkata, mereka adalah nama besar dalam industri muzik Malaysia dengan peminat yang setia.

“Kesemua artis ini tidak hanya terkenal, tetapi juga memiliki kelompok peminat yang kuat.

“Kesudian mereka untuk terbabit dalam program ini sangat kami hargai, dan kami yakin peminat mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk hadir,” katanya.

Fipper x Bayu Somerset: Gabungan selesa dan rekaan eksklusif untuk setiap langkah anda

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama terkenal dengan selipar getah ikoniknya, Fipper kini menjalin kerjasama istimewa bersama Bayu Somerset, label fesyen tempatan yang dikenali dengan rekaan berani dan komitmen terhadap keselesaan.

Kolaborasi ini membawa dua jenama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, menawarkan koleksi kasut yang mengutamakan keselesaan tanpa mengorbankan gaya.

Menggabungkan inovasi dan kreativiti dalam setiap inci produk mereka, Fipper dan Bayu Somerset bertujuan untuk mengangkat jenama tempatan ke peringkat global.

Ketua Pemasaran Fipper Fadila Aziz berkata, kerjasama ini adalah lebih daripada sekadar pengeluaran produk baru; ia adalah perayaan bakat dan inovasi tempatan.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Bayu Somerset Dania Kamalul,  turut menekankan bahawa keselesaan adalah teras dalam setiap rekaan mereka, terutamanya ketika menjelang Ramadan dan Raya, di mana setiap langkah perlu dirasai dengan keyakinan dan kemudahan.

Hasil daripada kolaborasi ini adalah koleksi kasut baru yang bukan sahaja memenuhi tuntutan fungsional, tetapi juga mempamerkan rekaan yang penuh estetika dan revolusioner.

Salah satu elemen utama yang membezakan koleksi ini adalah sole kasut yang direka khas.

Dikenali dengan bentuk baru yang unik, sole ini memberikan keselesaan maksimum dan sokongan ergonomik yang luar biasa, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian dari perjalanan balik kampung hingga perjumpaan keluarga.

Keunikan ini mencerminkan komitmen Fipper terhadap penggunaan teknologi terkini dalam pembuatan kasut.

Selain itu, koleksi bercetak pertama Fipper membawa seni dalam bentuk corak yang penuh warna.

Setiap rekaan mencerminkan identiti tempatan, dengan motif yang kaya dan warna yang menggambarkan kepelbagaian budaya Malaysia.

Gabungan sole inovatif dan rekaan bercetak ini membuktikan kemampuan kedua-dua jenama dalam menyatukan fungsi dan gaya, sekaligus membawa produk ini ke pasaran global.

Menjelang musim Raya yang penuh dengan tradisi pakaian seperti baju kurung, Fipper dan Bayu Somerset menyedari pentingnya kasut harian yang selesa dan bergaya, terutama bagi mereka yang pulang ke kampung atau menghadiri majlis keluarga.

Koleksi khas ini memberi jaminan keselesaan dan penampilan menarik dalam satu pakej, memastikan pemakainya kekal “presentable” dalam setiap pertemuan dengan sanak saudara.

Ciri-ciri Koleksi Eksklusif Fipper x Bayu Somerset:

-Rekaan Penuh Warna: Corak dan palet warna yang diilhamkan daripada kepelbagaian budaya Malaysia.

-Keselesaan Tanpa Tandingan: Teknologi tapak getah Fipper yang menjamin setiap langkah selesa dan tahan lama.

-Inovasi Reka Bentuk: Koleksi bercetak pertama Fipper digabungkan dengan bentuk tapak baru untuk meningkatkan keselesaan dan penampilan.

-Edisi Terhad: Koleksi ini hanya dikeluarkan sekali sahaja, menjadikannya lebih istimewa.


Koleksi Fipper x Bayu Somerset kini tersedia di seluruh negara dan juga secara dalam talian di www.fipperslipper.com.my & www.bayusomerset.com.

POLONG: Kisah seram polong belaan membalas dendam kematian tuannya

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) memperkenalkan filem sulung terbitan mereka, POLONG, sebuah karya bergenre seram yang pastinya akan menjadi pilihan penonton.

Menyusuri trend perfileman yang kian pesat, filem seram terus mendapat perhatian, dan Polong hadir untuk memberikan pengalaman menonton yang mendalam dan menggerunkan.

Pengarah filem ini, Zulkarnain Azhar berkata, dia tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan kerana jalan ceritanya yang mempunyai daya tarikan tersendiri.

“Polong bukan hanya sebuah filem seram, tetapi ia turut mengangkat tema dosa silam, legasi, dan akibat yang tidak dapat dielakkan daripada perbuatan masa lalu, terutamanya apabila membabitkan ilmu hitam.

“Filem ini lebih daripada sekadar elemen seram, ia menjadi simbolik kepada kegelapan yang ada dalam diri kita, sama ada akibat dosa masa lalu atau trauma yang sukar untuk diselesaikan,” katanya.

Polong menceritakan kisah Maria Hadi, seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam dan dihantui oleh dosa-dosa lampaunya.

Menjelang akhir hayatnya, Maria berusaha mencari keampunan, namun dia terpaksa melepaskan polong belaan kepada seseorang yang tidak sepatutnya.

Polong berkenaan, yang dipenuhi dendam, berusaha membalas kematian Maria dan pewarisnya terpaksa menghadapi sumpah laknat yang ditinggalkan.

Penggambaran filem ini akan dimulakan pada bulan Mei 2025, dan Polong menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong, dan Nadiya Nisaa.

Sementara itu, penerbit eksekutif filem ini Onn Norshal Hamzah, berkata pihak mereka memilih filem seram sebagai projek sulung syarikat kerana genre ini sentiasa mendapat sambutan hangat di kalangan penonton.

“Kami percaya genre seram masih memiliki permintaan yang tinggi di pasaran.

“Kami juga yakin dengan potensi filem ini untuk memberikan impak besar dalam industri perfileman tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Onn berkata, pemilihan Zulkarnain Azhar sebagai pengarah adalah keputusan yang tepat berdasarkan kejayaannya sebelum ini dengan filem-filem seperti Takluk, Air Force, dan J Revolusi.

“Kami yakin dengan pengalaman dan kreativiti Zulkarnain, filem ini pasti menjadi satu karya yang dinanti-nantikan oleh pencinta filem tempatan,” katanya lagi.

Filem ini turut mendapat sokongan daripada 10 Star Cinemas Sdn Bhd sebagai pengedar dan agen pemasaran.

Onn berkata, kerjasama dengan 10 Star Cinemas akan menjadi langkah strategik untuk memastikan filem ini sampai kepada penonton di seluruh negara, dengan kelebihan rangkaian pawagam dan pengalaman pengedaran mereka yang luas.

Polong dijangka menjadi sebuah karya seram yang bakal menggegarkan pawagam, dengan penceritaan yang kuat, kualiti penerbitan yang tinggi, serta daya tarikan komersil yang pastinya menarik perhatian penonton dari pelbagai lapisan masyarakat.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem seram yang penuh dengan elemen misteri dan kekuatan emosi ini.

Polong akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara tidak lama lagi.

“Karnival Warisan @ Saloma”, peluang berniaga di lokasi strategik dan premium di Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peluang keemasan menanti usahawan serta peniaga kecil dan sederhana (PKS) apabila Karnival Warisan @ Saloma membuka pintunya sepanjang bulan Ramadan bermula 3 Mac hingga 28 Mac 2025 di Lanai @ MATIC, Kuala Lumpur.

Terletak di lokasi premium yang strategik, bersebelahan dengan restoran Saloma Kuala Lumpur, bazar ini menjadi platform terbaik untuk peniaga memaksimumkan jualan dalam suasana yang kaya dengan budaya dan warisan.

Dengan lebih 150 reruai jualan, bazar ini bakal menjadi tumpuan pembeli, termasuk golongan profesional, ekspatriat, dan pelancong di kawasan Segitiga Emas yang mencari pengalaman membeli-belah eksklusif dan unik.

Majlis perasmian karnival ini akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada 16 Mac 2025 (Ahad), jam 6 petang.

Karnival ini turut mendapat sokongan agensi kerajaan dan akan membabitkan penyertaan usahawan di bawah KUSKOP untuk memperluaskan pasaran dan memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung.

Selain KUSKOP, Karnival ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi di bawahnya untuk mempromosikan sektor pelancongan negara.

Presiden Saloma Kuala Lumpur Datin Ismariza Che Umar berkata, peniaga turut berpeluang memasarkan pelbagai produk seperti fesyen, aksesori, makanan tradisional, kelengkapan rumah, dan barangan keperluan Ramadan & Aidilfitri dalam persekitaran yang selesa dan strategik.

“Sebagai salah satu bazar utama di Kuala Lumpur, Karnival Warisan @ Saloma menawarkan kelebihan lokasi di kawasan pelancongan utama dengan aliran trafik tinggi, sekali gus memberikan visibiliti jenama yang lebih luas,” katanya.

Dengan harga tapak serendah RM5,000, peniaga akan menikmati akses kepada ribuan pengunjung setiap hari, terutama menjelang Syawal apabila permintaan terhadap barangan keperluan meningkat.

Bazar ini akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran selebriti tanah air yang akan turut serta dalam penjualan bazar serta menyertai sesi khas ‘Meet & Greet’.

Antara selebriti yang akan turut serta termasuklah Aidil & Fasha Sandha, Rozita Che Wan, Betty Banafee, Ashraf Muslim, Sharifah Shahirah, Fiz Fairuz, Syikin Maembong, Cat Farish, Jue Aziz, Cheb Ali & Azura Aziz, Nad Zainal, Aprena Manrose, dan ramai lagi.

Selain itu, pelbagai aktiviti promosi dan cabutan bertuah juga akan diadakan, termasuk peluang memenangi motosikal elektrik (EV) setiap minggu.

Pelbagai agensi kerajaan seperti KEMAS turut mengambil bahagian dengan menaja peniaga-peniaga di bawah kendalian mereka.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai perkhidmatan seperti kaunter diskaun, bayaran saman trafik oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, PDRM, serta kaunter bayaran zakat.

Sebagai tambahan, Karnival Warisan @ Saloma akan mendapat liputan media yang meluas menerusi platform digital serta kolaborasi bersama pempengaruh media sosial.

Dengan liputan media secara meluas ini, peniaga yang menyertai acara ini dijangka akan mendapat pendedahan maksimum.

Bazar ini juga menawarkan waktu operasi yang fleksibel, bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah malam, dengan acara jualan 24 jam pada minggu terakhir Ramadan.

Ini memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membeli-belah pada bila-bila masa tanpa kesesakan.

“Karnival Warisan @ Saloma adalah peluang terbaik untuk peniaga memperluaskan pasaran mereka di lokasi premium Kuala Lumpur.

“Dengan gabungan elemen warisan songket dan modern, bazar ini bakal menjadi destinasi utama bagi persiapan Syawal,” kata Ismariza lagi.

Sebagai penganjur, Saloma Kuala Lumpur juga memberi peluang kepada pelbagai agensi dan persatuan yang terbabit dengan PKS untuk mengambil peluang berniaga di “Heritage Fiesta @ Saloma” demi untuk meningkatkan pendapatan ahli atau peserta mereka.

Karnival ini menjanjikan pengalaman membeli-belah yang luar biasa sambil mempromosikan budaya dan warisan Malaysia kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Kongsi Rezeki: Perfume Paradise X Abam Panda beri lebih 300 ekor ayam kepada orang ramai

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bagi berkongsi rezeki dengan masyarakat, Perfume Paradise, bersama personaliti media sosial terkenal Abam Panda, menjalin kerjasama menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) “Kongsi Rezeki Perfume Paradise X Abam Panda”.

Program ini akan diadakan di Flat Danau Kota, Jalan Genting Klang, di sini, dengan hasrat untuk diperluaskan ke lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) di masa hadapan.

Program ini bertujuan membantu komuniti setempat dengan pengagihan lebih 300 ekor ayam secara percuma kepada penduduk PPR, berdasarkan konsep ‘first come, first serve’ tanpa mengira latar belakang.

Pengasas Perfume Paradise, Nur Afiqah, berkata kejayaan syarikat dalam industri wangian telah menjadi pemangkin untuk mereka melaksanakan lebih banyak inisiatif kebajikan.

“Dengan pencapaian memberangsangkan yang kami capai, ini adalah masa terbaik untuk kami berkongsi rezeki dengan masyarakat,” katanya.

Kolaborasi bersama Abam Panda muncul apabila kedua-dua pihak menyedari bahawa beliau adalah ikon kepada banyak ketua keluarga yang berusaha keras untuk mengubah kehidupan mereka.

Melalui kerjasama ini, mereka berharap dapat mempereratkan hubungan dengan masyarakat dan terus menyokong golongan yang memerlukan.

Abam Panda bukan sahaja menjadi wajah utama program ini, tetapi beliau juga akan turut serta dalam pengagihan sumbangan di lokasi.

Selain itu, beliau turut merancang untuk terus bekerjasama dengan Perfume Paradise bagi inisiatif CSR akan datang.

Abam Panda berkata, Flat Danau Kota mempunyai nilai sentimental kerana beliau dan isteri pernah tinggal di situ sebelum berpindah ke rumah yang lebih selesa.

“Kami pernah tinggal di flat ini ketika baru berkahwin. Di sinilah saya dan isteri bermula secara suka-suka membuat kandungan di media sosial dan tidak sangka ia membawa tuah kepada kami sekeluarga.

“Kami menerima banyak tawaran daripada pelbagai jenama. Memang tidak dinafikan kerja sebagai ‘rider’ sangat mencabar, saya sendiri bekerja sehingga tengah malam untuk menyara keluarga,” katanya.

Sementara itu, Perfume Paradise sebelum ini terbabit dalam beberapa program CSR, termasuk menerusi program “Kongsi Kasih” terbitan Astro.

Dengan pelancaran Kongsi Rezeki Perfume Paradise X Abam Panda, syarikat berharap bukan sahaja dapat membantu komuniti tetapi juga meningkatkan kesedaran jenama di seluruh Malaysia.

Sebagai langkah jangka panjang, Perfume Paradise bercadang untuk menjadikan inisiatif CSR ini bukan hanya acara tahunan, tetapi juga boleh diadakan secara berkala, sama ada mingguan atau bulanan, bergantung kepada keputusan pengurusan.

Dengan permulaan yang positif ini, Perfume Paradise berharap agar program “Kongsi Rezeki” dapat terus berkembang dan menjadi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk bersama-sama membantu masyarakat yang memerlukan.

Warga KL sudah terbeban, jangan ditambah dengan caj kesesakan – Muqharabbin

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penduduk ibu kota semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi, dan cadangan pelaksanaan ‘Caj Kesesakan’ hanya akan menambah lagi tekanan kepada mereka. 

Ketua Bersatu Bahagian Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, pihaknya menggesa kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan caj ini sehingga pengangkutan awam mencapai tahap yang lebih baik.

Menurutnya, beban hidup di Kuala Lumpur sudah cukup berat dengan peningkatan kos barangan keperluan, kadar tol yang tinggi, serta gaji yang tidak seiring dengan kenaikan kos hidup. 

“Kos sara hidup di KL semakin meningkat, lebuhraya bertol ada di mana-mana, tetapi pendapatan rakyat tidak meningkat seiring. Mengapa perlu menambah beban dengan caj kesesakan seperti di Eropah?” katanya.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaleha Mustafa, memberi keutamaan kepada kajian mengenai tekanan kos hidup rakyat Kuala Lumpur berbanding mekanisme caj kesesakan. 

“Lebih baik kajian dilakukan mengenai kesempitan hidup warga KL. Itu lebih relevan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Muqharabbin berkata, pihaknya yakin majoriti penduduk Kuala Lumpur akan menolak pelaksanaan caj ini sekiranya ia dikuatkuasakan. 

“Saya percaya 100 peratus warga KL tidak bersetuju dengan cadangan ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi sebagai penduduk ibu kota yang terpaksa menanggung kos tol sehingga RM300 hingga RM400 sebulan. 

“Setiap hari saya menggunakan lebuhraya bertol, kadangkala terpaksa menggunakan motosikal untuk menjimatkan kos. 

“Namun, itu masih belum cukup kerana perbelanjaan lain seperti sewa rumah, harga makanan, dan cukai terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mencari jalan lain untuk meningkatkan pendapatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan negara tanpa membebankan rakyat. 

“Kerajaan harus lebih kreatif dalam mencari sumber pendapatan lain. Jangan sesekali menggunakan poket rakyat yang sudah cukup terbeban,” katanya.

Katanya lagi, sebelum memperkenalkan caj kesesakan, kerajaan perlu memastikan sistem pengangkutan awam berada pada tahap yang lebih baik. 

“Selagi sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur belum memuaskan, cadangan ini tidak sepatutnya dibincangkan. Fokuslah kepada penambahbaikan pengangkutan awam terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berharap kerajaan mendengar keluhan rakyat dan tidak meneruskan cadangan yang hanya akan membebankan penduduk Kuala Lumpur. 

“Dengar suara rakyat, jangan buat keputusan yang membebankan mereka,” katanya lagi.

Fitnah di media sosial: Nora Ariffin ambil tindakan undang-undang terhadap anak tiri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Nora Ariffin, mengambil tindakan undang-undang terhadap Alia yang juga anak tirinya, ekoran penyebaran kenyataan fitnah yang telah mencemarkan reputasinya dan menjejaskan kerjayanya sebagai seorang artis.

Menurut Nora, sejak tahun 2019, Alia telah memuat naik pelbagai kenyataan di media sosial yang menyebabkan kebencian terhadapnya.

Ini termasuk kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah yang diterbitkan sebelum konsertnya “Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey)” yang berlangsung pada 18 Disember 2024.

Kenyataan terbabit jelas memberi impak negatif terhadap promosi dan penjualan tiket konsert berkenaan.

“Saya dan suami (Dr Rushdi) telah berusaha untuk mendamaikan perkara ini dan beberapa kali cuba mengaturkan pertemuan dengan Alia dan Puan Rose.

“Pada 2 Disember 2024, kami telah menghantar surat jemputan untuk sesi mediasi, namun Alia memilih untuk tidak hadir dan mengabaikan usaha penyelesaian secara baik ini,” katanya.

Menyedari kesan besar dari tindakan Alia, Datuk Nora yang telah berkecimpung dalam industri muzik sejak tahun 1991, turut menerima pelbagai tohmahan tidak berasas dan kebencian yang melampau dari orang ramai, sekali gus mencalar imejnya.

Pada 4 Februari 2025, Nora melalui peguamnya, Tetuan Sarah Ali & Co, telah mengeluarkan Notis Tuntutan yang antara lain menuntut Alia untuk:

-Berhenti menyebarkan kenyataan fitnah di mana-mana platform media sosial.

-Mengalih keluar sebarang kandungan berunsur fitnah yang telah dimuat naik.

-Memohon maaf secara terbuka dan menerbitkan permohonan maaf di platform media sosial selama sebulan.

-Pembayaran kompensasi atas kerugian yang telah ditanggung.

Namun, balasan yang diterima dari Alia pada 21 Februari 2025, hanya menunjukkan niat untuk memadamkan kenyataan-kenyataan yang telah dimuat naik atas permintaan Rushdi, tanpa sebarang permohonan maaf atau pembayaran kompensasi.

Ini menambah kekecewaan Nora yang berpendapat balasan terbabit tidak mencukupi, terutama setelah mengalami banyak kesan negatif dari tindakan itu.

Walau bagaimanapun, demi menjaga keharmonian, pada 24 Februari 2025, Nora merendahkan hati dan memohon maaf secara terbuka dengan harapan dapat menyelesaikan kemelut ini dan berdamai dengan Puan Rose serta Alia.

“Tindakan saya memohon maaf ini adalah untuk mendamaikan keadaan, namun saya berharap agar pihak yang terbabit bertanggungjawab atas tindakan yang telah menyebabkan kerugian dan reputasi saya tercemar,” katanya.

Dalam situasi ini, Nora menegaskan penyebaran kenyataan tidak benar boleh menjejaskan banyak pihak dan berharap agar kes ini menjadi pengajaran untuk semua.

Isu tulisan Cina di Jalan Petaling: Hentikan fitnah dan spekulasi yang menggugat keharmonian

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dakwaan yang mengatakan terdapat arahan untuk menghapuskan tulisan Cina pada papan tanda di Jalan Petaling adalah tidak benar dan rekayasa yang tidak berasas.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menafikan perkara terbabit.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa menghormati kepelbagaian budaya dan identiti setiap kaum di Malaysia, sesuai dengan semangat perpaduan yang menjadi asas negara ini.

“Penyebaran dakwaan palsu ini harus dihentikan segera. Mereka yang terbabit dalam penyebaran fitnah ini perlu bertanggungjawab dan memohon maaf kepada komuniti yang terkesan,” katanya.

Sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman dalam arena politik, Azman menegaskan pentingnya berhati-hati dalam menilai maklumat sebelum ia disebarkan kepada umum.

Beliau juga mengingatkan bahawa penyebaran maklumat palsu tidak hanya mencetuskan keresahan, tetapi juga berisiko merosakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Dalam suasana politik dan sosial yang semakin mencabar ini, kita semua perlu berwaspada sebelum mengeluarkan kenyataan yang berpotensi memecahbelahkan rakyat.

“Hormatilah identiti dan warisan setiap kaum di Malaysia dan elakkan dari menangguk di air keruh demi kepentingan politik sempit,” katanya lagi.

Azman berkata, kepelbagaian budaya dan identiti kaum harus diraikan dalam semangat perpaduan yang terkandung dalam ikrar Rukun Negara.

“Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan semangat perpaduan ini dan tidak memberi ruang kepada pihak-pihak yang cuba memainkan isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian bersama,” katanya.

Beliau turut menegaskan, komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan perpaduan masyarakat terus terpelihara daripada ancaman pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya menyeru semua pihak untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat dan memastikan fakta yang disebarkan diperoleh daripada sumber yang sahih,” katanya.