30.1 C
Kuala Lumpur
Monday, June 1, 2026
Home Blog Page 113

Program Kongsi Rezeki Ramadan 2025, beri manfaat kepada ramai golongan yang memerlukan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Semangat kebersamaan dan keprihatinan terus diterjemahkan dalam Program Kongsi Rezeki: Infaq Ramadan 2025 yang dianjurkan dengan kerjasama penaja utama, SoftRein dan Biofitrah.

Misi tahun ini lebih besar, menyasarkan bantuan kepada 1,000 individu yang terdiri daripada asnaf, pelajar tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, penghuni rumah orang tua, serta golongan gelandangan.

Mewakili penganjur, pelakon dan penyanyi Putra Amaris berkata, program ini bertujuan mengumpulkan sumbangan dalam bentuk barang keperluan harian, wang tunai, makanan sedia dimakan, peralatan sekolah, lampin pakai buang dan banyak lagi untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan, termasuk anak-anak tahfiz, anak yatim, anak-anak pesakit kanser, orang tua, dan golongan gelandangan.

“Pelbagai program sudah kami aturkan untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Program ini turut menyasarkan dana untuk membina sebuah bangunan baru bagi Maahad Tahfiz Misbahul Falah Keramat, Kuala Lumpur.

“Bagi mencapai matlamat berkenaan, satu majlis amal, Tahfiz Berselawat, akan diadakan pada 15 Mac 2025 di Warung Pagi Pagi.

“Majlis ini bertujuan untuk mengumpulkan dana melalui penjualan meja, di mana hasilnya akan disalurkan terus kepada Maahad Tahfiz berkenaan,” katanya selepas melancarkan program berkenaan, semalam.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Rakan Kongsi Saloma; Mohd Khairi Mohamed, Pengerusi The Muslim world womens summit; Dr Raja Laila Rani Mohammad Abdullah dan C.O.O SoftRein; Aman Rasyidi Mohd Noor.

Amaris berkata, Pada 22 Mac pula, satu lagi Majlis Tahfiz Berselawat akan diadakan di Saloma Kuala Lumpur, di mana sebanyak 30 meja akan dijual, bersamaan dengan 300 kerusi.

“Dana yang terkumpul akan disalurkan ke Maahad Tahfiz, dan sebahagian daripadanya akan disumbangkan kepada Pesakit Kanser Kanak-Kanak melalui Adina Charity Circle.

“Dana juga akan digunakan untuk membeli baju sekolah, baju raya, lampin pakai buang, serta susu bernutrisi bagi anak-anak pesakit kanser di seluruh Malaysia,” katanya lagi.

Amaris berkata, program ini juga tidak ketinggalan bekerjasama dengan Rumah Orang Tua Mesra Home Ampang dalam usaha mengumpulkan dana melalui penjualan buku Aku Penjaga Nenek.

Hasil penjualan buku ini akan membantu penjaga di sana untuk menjaga lebih 20 orang warga emas yang tidak mempunyai waris.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, Team Kongsi Rezeki bersama sukarelawan akan menyantuni asnaf di kawasan PPR sekitar Kuala Lumpur dan Malaysia dengan menyampaikan 1000 set bakul makanan, 1000 kampit beras, makanan sedia dimakan dan pelbagai bantuan lain.

“Platform infaq turut disediakan melalui kerjasama dengan Today Assist, yang membolehkan semua orang berinfaq dengan mudah melalui hujung jari.

“Semua program yang dirancang akan dimuatkan dalam platform berkenaan, memudahkan orang ramai membuat sumbangan kepada rumah kebajikan yang dipilih,” katanya.

Satu lagi usaha murni yang dilakukan adalah program Infaq Surau di kawasan perumahan asnaf, khususnya di PPR.

Sasaran adalah untuk menyumbangkan 1000 sejadah dan 1000 botol sabun SoftRein bagi keperluan solat mereka.

Team Kongsi Rezeki bersama SoftRein komited untuk memastikan setiap sumbangan disalurkan sepenuhnya tanpa sebarang potongan, menjadikan setiap infaq yang diberikan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Kami juga mengajak mana-mana individu, komuniti, dan syarikat korporat untuk turut sama menjayakan inisiatif ini.

“Walaupun sumbangan kita mungkin kecil, tetapi ia mampu memberi impak besar kepada mereka yang dalam kesusahan.

“Mari kita jadikan Ramadan kali ini lebih bermakna dengan memberi dan berkongsi rezeki bersama SoftRein,” kata Amaris.

Kolaborasi eksklusif, SAH Entertainment & Universal Music Malaysia umum senarai konsert 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – SAH Entertainment terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik dengan melancarkan kolaborasi eksklusif bersama Universal Music Malaysia.

Kerjasama ini akan menyaksikan penganjuran tiga konsert mega membabitkan artis-artis popular tanah air seperti Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks, yang akan membawa muzik tempatan ke pentas yang lebih besar, termasuk di Singapura.

Penganjur utama konsert-konsert ini, Sufi Rashid berkata, inisiatif ini adalah langkah strategik untuk memberikan lebih banyak peluang kepada artis berbakat menyerlah di pentas antarabangsa.

“SAH Entertainment berbesar hati untuk membawa nama-nama besar seperti Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks ke pasaran yang lebih luas.

“Kerjasama ini juga menjadi pemangkin untuk mengangkat martabat seni suara negara,” katanya.

Jadual Konsert SAH Entertainment 2025:

31 Mei 2025 – Ernie Zakri Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)


Ogos 2025 – DOLLA Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)


12 Julai 2025 – Insomniacks Live in Kuala Lumpur (Zepp Kuala Lumpur)
November 2025 – Insomniacks Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)

Dengan memilih venue ikonik seperti Capitol Theatre di Singapura dan Zepp Kuala Lumpur, SAH Entertainment memastikan setiap konsert menawarkan pengalaman muzik yang luar biasa dengan suasana eksklusif dan teknologi audio serta visual yang canggih.

“Kami berharap kerjasama ini akan berterusan untuk memberikan lebih banyak peluang kepada artis berbakat beraksi di pentas yang lebih besar,” tambah Sufi lagi

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, kerjasama ini memberi tumpuan untuk mengembangkan bakat-bakat seperti Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks, dan membawa mereka ke pasaran muzik serantau.

“Dengan rekod prestasi yang baik oleh SAH Entertainment dalam menganjurkan konsert-konsert baru-baru ini, termasuk konsert solo sold-out Ernie Zakri di Kuala Lumpur, kami yakin gandingan kedua-dua pihak akan mencipta platform luar biasa untuk ketiga-tiga artis ini,” kata Kim.

Ernie Zakri, yang baru sahaja mengadakan Konsert Aura di Kuala Lumpur pada Januari lalu, mengungkapkan keterujaannya untuk mengadakan konsert solo pertama di Singapura pada Mei nanti.

“Saya teruja kerana konsert ini akan menjadi sangat meriah. Orang di Singapura memberikan sokongan yang luar biasa, dan saya tidak sabar untuk bernyanyi di sana,” katanya.

Bagi DOLLA, mereka turut berkongsi kegembiraan mengenai konsert solo pertama di Singapura.

“Ini adalah impian kami sejak sekian lama. Kami janji akan memberikan persembahan terbaik dan menjadikan malam itu satu kenangan yang tidak akan dilupakan,” kata Angel dan Tabby.

Insomniacks juga tidak ketinggalan, menyifatkan konsert ini sebagai pencapaian besar.

“Tahun 2025 sangat bermakna kerana kami akhirnya berpeluang mengadakan konsert besar di Kuala Lumpur dan Singapura.

“Kami sangat berterima kasih kepada semua peminat yang telah menyokong kami,” kata kumpulan ini.

Peminat boleh mengikuti laman media sosial rasmi SAH Entertainment untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai konsert dan pembelian tiket.

Dengan kolaborasi hebat ini, SAH Entertainment dan Universal Music Malaysia pasti akan terus mencipta gelombang besar dalam industri muzik tempatan dan serantau.

MySTEP dilancarkan di 274 sekolah menengah, kurangkan beban guru

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan inisiatif Pembantu Guru Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) di 274 sekolah menengah di seluruh negara, bertujuan untuk mengurangkan beban tugas guru dan memastikan kesejahteraan mereka terus terjaga.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengumumkan pada fasa awal pelaksanaan, seramai 548 pembantu guru MySTEP akan ditempatkan di sekolah menengah dengan lebih 1,500 murid, serta di tujuh Sekolah Menengah Pendidikan Khas.

“Inisiatif ini adalah antara usaha KPM untuk menangani isu beban tugas guru, sekaligus meningkatkan kesejahteraan mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Fadhlina berkata, ini adalah kali pertama inisiatif ini dilaksanakan, dengan tujuan utama untuk meringankan beban tugas guru.

Ini membolehkan mereka memberi fokus sepenuhnya kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) di dalam bilik darjah.

Beliau berharap langkah ini akan memperbaiki ekosistem pendidikan dan memberi manfaat jangka panjang kepada semua pihak yang terbabit.

Baru-baru ini, ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih atas Titah Diraja bagi KPM di Dewan Rakyat, Fadhlina juga menegaskan usaha ini selaras dengan komitmen kementerian untuk memperkasakan pendidikan dan menjaga kesejahteraan tenaga pengajar sebagai keutamaan.

GV Ride lancar kempen ‘Free Ride’ di Subang, Petaling Jaya, Kajang, tawar perjalanan percuma sepanjang Mac

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Penyedia perkhidmatan e-hailing GV Ride mengumumkan pelancaran Kempen ‘Free Ride’ yang menawarkan perjalanan percuma kepada pengguna di Subang, Petaling Jaya, dan Kajang mulai 1 Mac hingga 31 Mac 2025.

Kempen ini adalah sebahagian daripada inisiatif besar yang bertujuan untuk memberikan satu juta tempahan percuma kepada rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Singh Maand berkata, kempen ini adalah usaha mereka untuk memberi manfaat kepada komuniti, khususnya sempena bulan Ramadan yang penuh berkat ini.

“Kami berharap, inisiatif ini dapat meringankan beban masyarakat dan memberi peluang kepada lebih ramai orang menikmati perkhidmatan e-hailing yang lebih berpatutan serta fleksibel,” katanya.

Majlis pelancaran yang diadakan di Sunway Pyramid itu telah dirasmikan oleh Exco Pelaburan dan Perdagangan, Pembangunan IKS dan Wilayah Ekonomi Baharu, Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

Ng dalam ucapannya berkata, pihaknya mengalu-alukan kempen ini sebagai satu langkah yang sangat positif dan menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing di Selangor.

Ng berkata, tawaran perkhidmatan percuma ini adalah satu langkah yang sangat baik untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan e-hailing di Selangor, sekaligus memberikan lebih banyak pilihan kepada orang ramai dalam perkhidmatan pengangkutan.

Dengan inisiatif ini, GV Ride berharap untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka dan memastikan pengalaman perjalanan yang lebih mudah, efisien, dan berpatutan, terutama sekali menjelang bulan Ramadan.

Sementara itu, Kabeer berkata, kempen ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengguna untuk menikmati perjalanan tanpa kos, tetapi juga memperkenalkan GV Ride sebagai alternatif e-hailing yang lebih sempurna.

“Dengan ciri-ciri penjejakan masa nyata, pembayaran tanpa tunai, dan sistem bidaan harga yang mesra pengguna, kami berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien dan telus kepada semua pelanggan kami,” katanya.

Promosi ini menawarkan perjalanan percuma setiap hari untuk setiap penumpang dengan had tambang RM30 termasuk tol.

Sekiranya jumlah tambang melebihi RM30, penumpang hanya perlu membayar baki berkenaan. Kempen ini mempunyai had keseluruhan sebanyak RM500,000, dan setelah jumlah ini digunakan sepenuhnya, promosi akan berakhir.

Kabeer berkata, pihaknya berharap kempen ini tidak hanya memberikan manfaat kepada pengguna tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai perkhidmatan e-hailing yang boleh dipercayai dan mesra pengguna.

400 pemilik Ducati berkumpul, perhimpunan terbesar Ducati di Asia Tenggara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-8 Ducati Official Club Malaysia (DOCM) 2025 mencatatkan sejarah besar apabila lebih 400 pemilik jentera Ducati yang mengagumkan meramaikan ibu negara, menjadikannya salah satu perhimpunan terbesar Ducati di Asia Tenggara.

Perhimpunan yang berlangsung pada Sabtu lalu itu menarik perhatian ramai dengan kehadiran ahli DOCM dan peminat tegar jenama motosikal Itali ini.

Perhimpunan ini bertujuan untuk membincangkan pencapaian kelab, hala tuju serta inisiatif yang bakal dilaksanakan pada masa depan.

Acara dimulakan dengan aktiviti konvoi dari pusat beli-belah Publika yang membabitkan 400 jentera Ducati pelbagai model.

Konvoi megah ini menuju ke Menara Berkembar Petronas, simbolik kepada kerjasama antara DOCM dan Petronas Sprinta.

Selepas itu, konvoi berkenaan bergerak ke Sepang sebelum berakhir di Movenpick Hotel & Convention Centre, lokasi bagi program AGM tahunan dan Majlis Pelantikan Presiden DOCM 2025 yang baharu, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Majlis pelantikan ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Datuk Seri Nazir, yang sebelum ini adalah penasihat kelab pada tahun 2023 dan menguruskan hal korporat DOCM, kini menggantikan Hishamuddin Md Sani sebagai Presiden DOCM setelah perkhidmatan Hishamuddin berakhir.

Nazir, yang telah aktif dalam kelab selama tiga tahun berturut-turut, menyatakan komitmennya untuk memperkukuhkan hubungan antara ahli dan pemilik Ducati sebagai satu keluarga besar.

Dalam ucapannya, Nazir berkata, beliau akan memberikan komitmen sepenuh hati untuk menyatupadukan semua ahli kelab, bukan hanya sebagai platform untuk ukhuwah dan hobi, tetapi untuk membawa nama Malaysia ke pentas dunia.

“Ramai anak Melayu pemilik Ducati, kita akan menjadi gergasi di Asia Tenggara dan pada masa yang sama menarik pelancong ke negara ini untuk menunggang bersama kita,” kata Nazir dengan penuh semangat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, turut memberi sokongan kepada perkembangan sukan permotoran sebagai platform penyatuan belia dan menjalin kolaborasi strategik.

“Penajaan Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM) kepada DOCM adalah bukti gandingan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengeluar unggul minyak terbaik dunia yang saling memberi impak positif antara satu sama lain,” katanya.

DOCM, yang didaftarkan pada tahun 2016, kini memiliki lebih 1,500 ahli, termasuk dari Singapura dan Thailand, dan terus berkembang pesat sebagai kelab pemilik rasmi Ducati Malaysia.

Kejayaan acara ini membuktikan bahawa dunia permotoran terus mendapat perhatian dan sokongan yang kukuh, dan Ducati terus mencipta impak yang besar di rantau ini.

Dengan visi dan semangat baru yang dibawa oleh Presiden DOCM yang baharu, kelab ini dijangka akan terus berkembang dan membawa jenama Ducati ke lebih banyak pentas global.

Ara Johari teruja ‘MJOL’ jadi lagu nombor 1 paling banyak distrim di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Ara Johari, tidak dapat menahan rasa syukur dan kegembiraannya apabila lagu terbarunya, Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL), mencatatkan kejayaan luar biasa dengan sambutan hebat dari pendengar.

Lagu yang dicipta oleh komposer Indonesia, Ilham Baso, telah berjaya menduduki tangga pertama dalam carta RIM (Recording Industry Music of Malaysia) selama dua minggu berturut-turut.

“Alhamdulillah, penat lelah saya dan pasukan berbaloi, dan ini menjadi pemangkin semangat untuk saya mengeluarkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.

“Saya gembira kolaborasi pertama saya bersama komposer Indonesia ini membuahkan hasil yang amat membanggakan,” katanya.

Lagu Menjaga Jodoh Orang Lain turut mencatatkan pencapaian hebat di platform YouTube, dengan lirik video dan audio rasmi yang dilancarkan pada 31 Julai tahun lalu kini melebihi 10 juta tontonan.

Kejayaan ini semakin mengukuhkan kedudukan Ara sebagai salah seorang penyanyi yang sedang mencipta nama di industri muzik tempatan.

Selain itu, Ara turut berkongsi perancangannya untuk membawa lagu berkenaan ke peringkat antarabangsa.

“Kami masih dalam perancangan untuk mempromosikan lagu ini di Indonesia. Mungkin ada sedikit kelainan daripada lagu asal untuk kesesuaian pasaran di sana.

“InsyaAllah, selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, kami akan ke sana,” katanya dengan penuh harapan.

Sebagai seorang artis yang sentiasa berusaha memberi yang terbaik untuk peminat, Ara juga tidak menafikan bahawa kejayaan lagu ini memberikan sedikit tekanan untuknya menghasilkan karya yang lebih baik pada masa hadapan.

“Sekarang saya masih dalam proses mencari bahan untuk lagu seterusnya. Memang agak stres, tetapi saya mahu mencari lagu yang lebih baik lagi.

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan komposer-komposer baru dan tidak menolak jika diberi peluang untuk mencuba genre yang berbeza,” katanya.

Ara juga amat teruja apabila lagu MJOL pertama kali dipersembahkan secara langsung di pentas besar di Gempak Most Wanted Award 2024 yang berlangsung malam Ahad lalu.

Ini adalah satu lagi pencapaian yang membanggakan bagi penyanyi berbakat ini, yang kini semakin mendapat tempat di hati peminat muzik tanah air.

Dengan sokongan peminat yang padu dan pencapaian yang memberangsangkan, masa depan Ara Johari kelihatan cerah, dan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain dijangka akan terus meraih kejayaan di peringkat antarabangsa.

Pembukaan Belle Sense Clinic di Mid Valley, bawa perubahan dalam dunia kecantikan estetik di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Satu langkah besar dalam industri kecantikan estetik di Malaysia telah dilaksanakan dengan rasminya pembukaan Belle Sense Clinic di Mid Valley, Kuala Lumpur.

Klinik berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato Sri Suriani Dato Ahmad, yang turut menyaksikan komitmen klinik ini dalam menyediakan perkhidmatan kecantikan yang inovatif dan berkualiti.

Belle Sense Clinic, yang terletak di salah satu pusat membeli-belah terbesar di Kuala Lumpur, menawarkan pelbagai rawatan kecantikan terkini yang menggunakan teknologi canggih dan dipantau oleh pasukan doktor pakar yang berpengalaman dalam bidang estetik.

Klinik ini menekankan kepentingan memberikan hasil yang terbaik untuk pelanggan dengan memastikan setiap rawatan disesuaikan mengikut keperluan individu.

Dato Sri Suriani berkata, pembukaan Belle Sense Clinic ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan kecantikan yang berkualiti, tetapi juga menyokong perkembangan industri estetik yang semakin pesat di negara ini.

“Ini adalah satu langkah positif untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan kecantikan yang profesional dan selamat,” katanya pada majlis perasmian.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Belle Sense Clinic turut merancang untuk memperluaskan rangkaian perkhidmatannya.

Klinik ini akan membuka dua cawangan baharu di Pulau Pinang dan Johor dalam masa terdekat.

Langkah ini diambil untuk memastikan lebih ramai pelanggan dari pelbagai lokasi dapat menikmati rawatan kecantikan yang berkesan dan berkualiti tinggi.

Selain itu, Belle Sense Clinic juga mengumumkan kerjasama strategik dengan Universiti Malaya (UM) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan rawatan kecantikan.

Usahasama ini bertujuan untuk menghasilkan rawatan-rawatan inovatif yang lebih berkesan, selamat, dan sesuai dengan keperluan pasaran semasa.

Kerjasama ini juga berfungsi untuk memperkukuhkan kedudukan klinik sebagai pemimpin dalam bidang kecantikan estetik di Malaysia.

Apa yang menarik, Belle Sense Clinic menawarkan harga yang berpatutan dan boleh disesuaikan dengan bajet pelanggan, memastikan bahawa lebih ramai individu berpeluang untuk menikmati rawatan kecantikan yang berkualiti tanpa perlu membebankan kewangan mereka.

Ini adalah salah satu strategi utama Belle Sense Clinic untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kecantikan yang profesional dan berkesan.

Belle Sense Clinic kini bersedia untuk memberi impak yang besar dalam industri kecantikan Malaysia, dan dengan adanya sokongan daripada doktor pakar serta kerjasama dengan institusi akademik terkemuka, klinik ini dijangka akan terus berkembang dan memajukan bidang estetik di negara ini.

KEADILAN Sarawak sahkan bertanding pada PRN-13, persediaan maju ke pertandingan

editormaxinfo@gmail.com

KUCHING – KEADILAN Sarawak secara rasmi mengumumkan mereka akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13) yang dijangka berlangsung tahun depan.

Keputusan penting ini diumumkan selepas mesyuarat gabungan Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang dipengerusikan oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, KEADILAN Sarawak menegaskan komitmennya untuk menyertai pilihan raya negeri Sarawak.

Keputusan ini mendapat sambutan positif daripada rakan-rakan PH yang lain.

“Sebelum ini, terdapat beberapa pihak dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mendesak PH untuk menarik diri sepenuhnya daripada PRN Sarawak yang akan datang.

“Namun, KEADILAN tetap dengan pendirian kami untuk bertanding pada pilihan raya negeri yang dijadualkan pada tahun depan,” kata kenyataan itu.

Gabungan komponen PH Sarawak seperti DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebelum ini juga telah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding pada PRN-13 Sarawak.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak yang berlangsung pada 2021, KEADILAN meletakkan 28 calon namun tidak berjaya memenangi sebarang kerusi.

Kini, GPS menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dengan kemenangan besar, memperoleh 80 daripada 82 kerusi.

PRN-13 Sarawak dijangka akan diadakan tahun depan, selepas PRN-12 diadakan pada 18 Disember 2021 yang lalu.

KEADILAN Sarawak kini bersiap sedia untuk memperkukuhkan cabaran mereka dalam pilihan raya yang bakal datang.

Demi permintaan anak tiri, Nora Ariffin tekad minta cerai dari suami

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin, 53, kini berada dalam situasi yang penuh emosi apabila memaklumkan melalui Instagram bahawa dia telah beberapa kali memohon agar suaminya, Rushdi Ramli, menceraikannya, demi memenuhi permintaan anak tirinya.

Menurut penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu, ini bukanlah permintaan pertama, sebaliknya sudah lebih 10 kali dia meminta supaya suaminya yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Malaya, menceraikan dirinya.

Namun, sehingga kini, permintaan berkenaan tidak dipenuhi.

“Sudah lebih 10 kali saya meminta suami lepaskan saya kerana ingin tunaikan kehendak ustazah dan anak-anak, tetapi ustaz tak nak lepaskan.

“Saya akan penuhi permintaan Alia dari dulu lagi untuk kami bercerai. Insya-Allah Ustazah Rose akan kembali monogami seperti yang diinginkan,” tulis Nora dalam hantaran Instagram story miliknya.

Nora yang juga ibu kepada empat orang anak berkata, dia sedang berusaha memujuk Rushdi untuk menceraikannya sekali lagi, bagi mengelakkan kata-kata fitnah, cacian, dan penghinaan yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baiknya di media sosial.

Selain itu, Nora turut memohon maaf kepada pihak keluarga suaminya atas keputusannya yang menerima lamaran dan berkahwin dengan Rushdi.

Nora turut memberitahu bahawa dia telah memadamkan semua gambar bersama suaminya di media sosial, dan hanya meninggalkan gambar bersama keluarga.

“Saya minta maaf kerana terima dan rujuk kembali. Saya minta maaf kerana memuat naik gambar bersama ustaz.

“Saya sudah padamkan semua gambar kami berdua, yang ada hanya gambar beramai-ramai,” katanya lagi.

Sejak tahun 2019, Nora berkata dia sudah lama diganggu dengan pelbagai tuduhan di media sosial, namun tidak pernah memberi reaksi terhadap kata-kata terbabit.

Namun, kali ini, Nora mengambil pendirian untuk mengambil tindakan undang-undang setelah apa yang berlaku.

“Sejak 2019, saya tidak pernah bersuara atau memberi respon terhadap semua kata-kata yang ditujukan pada saya dalam media sosial.

“But now, damage has been done. Biar undang-undang yang menentukan,” tegasnya.

Pada Ogos tahun lalu, Nora memuat naik video yang menunjukkan Rushdi menceraikannya dengan talak satu, tetapi beliau menjelaskan perceraian berkenaan berlaku sebelum video itu dimuat naik.

Pada 14 September 2024, Nora mengesahkan bahawa dia dan Rushdi sudah merujuk semula selepas bercerai pada tahun lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2021, dan Rushdi adalah sahabat baik kepada bekas suami Nora, Allahyarham Johan Nawawi, yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.