28.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026
Home Blog Page 114

Prasarana kesal insiden pengguna OKU di Stesen Titiwangsa, ambil tindakan tingkatkan keselamatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) amat kesal dan berdukacita dengan insiden yang membabitkan seorang pengguna orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Stesen Titiwangsa pada Sabtu lalu.

Sebagai respons, Prasarana mengumumkan akan memberikan bantuan ihsan kepada keluarga mangsa yang terbabit untuk membantu mereka menghadapi saat yang penuh cabaran ini.

“Dalam usaha untuk memastikan keselamatan semua pengguna, terutama golongan OKU, Prasarana segera mengambil langkah-langkah proaktif untuk meningkatkan kawalan keselamatan di stesen-stesen yang tidak dilengkapi dengan pintu platform automatik (PSD) dan yang mempunyai bilangan pengguna OKU yang tinggi.

“Antara langkah yang diambil adalah dengan menambah bilangan anggota polis bantuan di platform-platform terbabit bagi memantau dan memberi pertolongan dengan lebih efisien,” katanya dalam satu kenyataan.

Prasarana juga telah memperkenalkan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk meningkatkan mutu pemantauan keselamatan, khususnya di platform-platform stesen.

“Sebagai tambahan, pihak Prasarana sedang dalam proses menaiktaraf kamera litar tertutup (CCTV) kepada model SMART yang lebih canggih, yang mampu mengesan perilaku mencurigakan serta memberikan amaran awal kepada pihak operasi sekiranya berlakunya sebarang insiden.

“Pemasangan sistem kamera ini dijangka selesai menjelang akhir tahun ini, bermula dengan Laluan Monorel, diikuti dengan laluan-laluan lain.

“Untuk langkah jangka panjang, Prasarana sedang merancang untuk memasang pintu platform automatik (PSD) di Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Kelana Jaya,” katanya kenyataan itu lagi.

Katanya, pemasangan PSD yang sudah siap di Laluan Monorel pada tahun lalu, dijangka akan mengurangkan risiko pengguna terjatuh ke atas landasan, sekaligus meningkatkan tahap keselamatan.

“Bagi memastikan penyelesaian yang lebih menyeluruh, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menjalankan siasatan terperinci.

“Hasil laporan terbabit akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan Prasarana akan segera melaksanakan sebarang cadangan penambahbaikan berdasarkan laporan itu.

“Prasarana juga berkomitmen untuk meningkatkan penglibatan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan OKU bagi mendapatkan maklum balas dan memperbaiki prosedur keselamatan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mereka menggesa semua pengguna yang memerlukan bantuan tambahan, terutamanya golongan OKU, agar mendapatkan khidmat sokongan daripada petugas stesen sebelum menaiki tren.

Semua petugas di stesen telah dilatih untuk membantu golongan OKU, warga emas, dan kanak-kanak, memastikan mereka dapat menikmati perjalanan yang selamat dan lancar.

Dengan komitmen berterusan untuk menyediakan pengangkutan awam yang selamat, selesa, dan mesra OKU, Prasarana terus memperkasakan keselamatan dan kemudahan bagi semua lapisan masyarakat.

Majlis Makan Malam 2025, Keadilan Wilayah Persekutuan berjaya kutip lebih RM650,000

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengumpul dana untuk memperkukuh latihan jentera parti dan program kebajikan anggota, Keadilan Wilayah Persekutuan baru-baru ini mengadakan sebuah majlis makan malam yang mencatat kejayaan luar biasa dengan kutipan melebihi sasaran.

Dengan sasaran awal sebanyak RM500,000, dana yang diperoleh pada malam berkenaan mencecah RM650,000, satu jumlah yang melebihi jangkaan.

Kejayaan ini menunjukkan sokongan yang kukuh daripada masyarakat, terutamanya golongan ahli perniagaan, yang percaya kepada perjuangan parti dan kestabilan yang sedang diperjuangkan oleh Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami sangat berterima kasih kepada semua yang telah menyumbang. Ini menunjukkan bahawa ramai yang menyokong usaha kami untuk memastikan kerajaan yang stabil dan bertanggungjawab terus diperkukuh.

“Insya-Allah, sokongan ini akan terus membantu kami dalam membangunkan ekonomi negara dan memastikan kestabilan yang lebih baik,” kata Datuk Azman Abidin.

Selain itu, majlis makan malam ini juga adalah satu tanda penghargaan kepada perjuangan berterusan Keadilan.

Azman turut menyeru agar setiap anggota parti terus memperkasakan jentera parti di peringkat akar umbi dan bekerja keras untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau turut memberikan sokongan dan berbicara mengenai pentingnya kesatuan di kalangan rakyat pelbagai kaum yang menjadi asas kekuatan negara.

Sementara itu, Azman Abidin yang juga anggota Keadilan Cabang Bandar Tun Razak, dalam ucapannya juga menekankan betapa pentingnya mengukuhkan parti di setiap peringkat, memandangkan parti ini kini menerajui kerajaan Persekutuan.

Beliau juga mengingatkan pemimpin parti untuk lebih peka terhadap maklum balas akar umbi dan terus menjalankan amanah dengan rendah hati.

“Kita di sini bukan kerana kedudukan, tetapi kerana tanggungjawab yang harus kita pikul,” katanya.

Katanya, Keadilan terus berjuang untuk mengukuhkan parti, memperkukuh hubungan dengan rakyat pelbagai lapisan masyarakat, dan memastikan kestabilan negara dengan menjaga keharmonian pelbagai kaum di bawah pemerintahan kerajaan Madani.

HijabistaHub lancar ibu pejabat baru dan kempen ‘Raya Paling Epik’ bersama Tune Talk

editormaxinfo@gmail.com

KLANG – Jenama fesyen terkemuka, HijabistaHub, baru-baru ini mengumumkan pembukaan ibu pejabat baharunya yang lebih besar serta melancarkan kempen Raya Paling Epik hasil kolaborasi bersama Tune Talk.

Dengan keluasan lebih satu ekar, ibu pejabat baru HijabistaHub yang berkonsep moden ini turut dilengkapi butik di tingkat bawah.

Langkah ini diambil bagi memperkukuhkan jenama dan memberikan pengalaman lebih baik kepada pelanggan.

Pengasas HijabistaHub, Wanie Elena berkata, pembukaan ibu pejabat ini adalah simbol pertumbuhan pesat syarikat dan komitmen mereka untuk terus menawarkan produk fesyen berkualiti tinggi.

“Pelancaran ibu pejabat baru ini adalah satu pencapaian penting bagi kami, dan melalui kempen ‘Raya Paling Epik!’, kami mahu memberikan lebih dari sekadar pakaian bergaya.

“Pelanggan juga berpeluang memenangi hadiah impian, termasuk sebuah rumah dua tingkat, kereta, motosikal, dan pakej umrah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi HijabistaHub, Ahmad Syafiq Hilmi, berkata kempen Raya Paling Epik ini adalah kolaborasi pertama kali dengan Tune Talk, syarikat telco terkenal di Malaysia.

Gabungan dua industri berbeza ini menghasilkan sebuah kempen mega yang menawarkan hadiah-hadiah hebat kepada pelanggan.

“Setiap pembelian atau langganan Tune Talk memberi peluang orang ramai untuk memenangi hadiah-hadiah eksklusif seperti rumah, kereta Perodua Axia, motosikal, dan banyak lagi.

“Pelanggan juga berpeluang bertemu secara langsung dengan duta HijabistaHub, Fuji dan Davina, yang kini menyertai keluarga kami,” katanya.

Dalam majlis yang sama, HijabistaHub turut memperkenalkan dua selebriti Indonesia, Fuji dan Davina, sebagai duta rasmi.

Kehadiran mereka di HijabistaHub memperkukuh lagi jenama ini di pasaran serantau, terutama di Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, HijabistaHub juga mengumumkan pelantikan Dato’ Sri Aliff Syukri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru mereka.

Dikenali sebagai usahawan berjaya dalam industri fesyen dan kecantikan, pelantikan ini diharapkan dapat membawa HijabistaHub ke arah yang lebih inovatif.

Bagi menyokong kempen ini, HijabistaHub memperkenalkan MUSE HijabistaHub 2025 yang membabitkan selebriti dan ikon terkenal seperti Zizan Razak, Emma Maembong, KRU, Maya Karin, Nasha Aziz, dan The Sara Sisters.

Dengan langkah-langkah strategik ini, HijabistaHub terus mengorak langkah sebagai peneraju dalam industri fesyen Muslimah.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Raya Paling Epik dan produk terbaru HijabistaHub, layari laman web rasmi atau ikuti media sosial HijabistaHub.

Program interaktif tingkat kreativiti dan keyakinan pelajar

editormaxinfo@gmail.com

KAJANG – Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad menerusi TV3, Tonton, dan DIDIKTVKPM, meneruskan komitmen mereka untuk memperkasa generasi muda dengan penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah’.

Program yang telah berjaya diadakan di SMK Ayer Keroh, Melaka, kini berlangsung di SMK Convent (M) Kajang pada 18 Februari 2025 lalu, dari jam 9 pagi hingga 1 petang.

Program ini dirancang untuk meningkatkan kreativiti, interaksi, dan semangat murid-murid melalui aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan berinteraktif.

Ia menyediakan platform bagi murid untuk berinteraksi, menyertai aktiviti yang menggalakkan penglibatan komuniti, serta memberi peluang untuk mereka mengekspresikan diri dengan lebih yakin dan berani.

Lebih 400 murid mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang merangsang kreativiti dan kemahiran komunikasi, termasuk sesi perkongsian ilmu, ceramah pendidikan, dan kesedaran kebersihan, serta rakaman kandungan video untuk platform digital TV3.

Selain itu, terdapat permainan eksplorasi seperti Uji Bakat Drama, Uji Bakat Berita, Mix & Match dan Tic Tac Toe yang turut memeriahkan suasana.

Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Farah Shamsudin berkata, program ini bukan hanya hiburan, tetapi ia memberi peluang kepada murid-murid untuk menonjolkan potensi mereka, meningkatkan keyakinan diri, dan mengekspresikan diri dengan cara yang menyeronokkan.

“Kami berharap program ini dapat memberi impak positif kepada kehidupan mereka serta memberi dorongan untuk mencapai impian,” katanya.

Sebagai rakan kongsi, Safi Shayla turut menyertai program ini dan memperkenalkan inisiatif ‘Sis Shay, Inspirasi Hijabi’.

Dalam sesi ini, Safi Shayla berkongsi tips penjagaan rambut kepada pelajar hijabi, menyokong usaha meningkatkan kesedaran tentang penjagaan diri dan keyakinan diri dalam kalangan remaja perempuan.

Selain itu, murid-murid turut menikmati aktiviti interaktif seperti sesi ‘Cergas+’, kuiz interaktif LED Q&A, persembahan sekolah, serta peluang bertemu dan beramah mesra dengan selebriti yang hadir, antaranya Nisa Kay, Saree Abdullah, Malia Baby, Imran Aqil, Nabil Aqil, dan Aizat Saha.

Sebagai penghargaan, anugerah khas diberikan kepada pelajar yang menyerlah, di samping penyampaian plak penghargaan kepada pihak sekolah atas sokongan mereka terhadap program ini.

Turut hadir dalam menjayakan program ini adalah Nor Aishah Raduan, Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Sains Sosial, PPD Hulu Langat, Ruzihan Jantan, Pengetua SMK Convent (M) Kajang, dan Kazlina Mohd Kassim, Pakar Jenama & Tinjauan Maklumat SAFI.

Program ‘Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah’ ini diharapkan dapat memberi impak yang bermakna dalam memperkasakan generasi muda.

Dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk rakan kongsi seperti Safi Shayla dan kehadiran selebriti tempatan, ia berpotensi untuk mencetuskan perubahan positif dalam kehidupan murid-murid.

Astro semarakkan Ramadan dengan ‘Assalamualaikum RaRa 2025’ di tiga negeri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Memulakan bulan Ramadan yang bakal tiba dengan penuh keceriaan, Astro kembali menganjurkan program ‘Assalamualaikum RaRa 2025’, yang berlangsung di tiga lokasi berbeza: Masjid Sri Sendayan (Negeri Sembilan), Masjid Murtadha Dakwah Centre MADAD (Kedah) dan Masjid Sultan Ismail Petra (Kelantan), dari 1 hingga 14 Februari.

Acara ini menarik lebih daripada 10,000 pengunjung di ketiga-tiga lokasi, dengan kehadiran selebriti popular, personaliti radio, rakan media dan komuniti setempat. ‘Assalamualaikum RaRa 2025’ bertujuan untuk merapatkan hubungan sesama masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang mengimarahkan suasana Ramadan.


Tahun ini, enam duta Ramadan Raya Astro, termasuk duta Astro Oasis, turut memeriahkan setiap lokasi sambil memperkenalkan lebih 70 kandungan baharu yang akan ditayangkan di Astro sepanjang Ramadan ini.

Dengan tema ‘Meriah Lain Macam’, Astro berusaha untuk mengeratkan ukhuwah sesama umat Islam melalui aktiviti yang melibatkan komuniti.

Antara aktiviti menarik yang berlangsung di setiap lokasi termasuk agihan makanan kepada komuniti setempat, sesi ramah mesra bersama selebriti, pertandingan mewarna, pertandingan tulisan khat, memanah, cabutan bertuah, serta persembahan istimewa daripada artis-artis terkenal.


Lokasi pertama, Masjid Sri Sendayan, mencatatkan hampir 3,000 pengunjung yang meriah dengan pelbagai aktiviti berunsur tradisi dan budaya.

Acara ini dihadiri selebriti seperti Sherry Alhadad, Zizan Razak, Nadhir Nasar, dan Meerqeen, yang terlibat dalam aktiviti ‘Mantai Bersama-sama’ dengan para pengunjung.

Persembahan istimewa oleh Mawi dan kumpulan UNIC turut memeriahkan suasana dengan lagu-lagu kerohanian.


Lokasi kedua, Kedah, menyaksikan hampir 8,000 pengunjung hadir untuk aktiviti ‘Berkongsi Rezeki’.

Duta utama seperti Meerqeen, Mierul Aiman, dan Zizan Razak menyertai pelbagai aktiviti bersama peminat dari seluruh negeri.

Persembahan lagu-lagu kerohanian oleh Putera Muhammad dan Rabbani turut menghidupkan suasana.

Program ‘Tazkirah Malam Jumaat’ yang turut dihadiri oleh Alif Satar dan pendakwah terkenal juga menarik perhatian ramai.


Jelajah ini berakhir di Kelantan, dengan aktiviti ‘Battle KAFA: Geng D.U.I.T Challenge’ yang menguji pengetahuan kanak-kanak mengenai Fardhu Ain.

Aktiviti ini mengeratkan ikatan keluarga dan mempromosikan siri terbaharu Astro, Geng D.U.I.T. Persembahan oleh Fairuz Selamat dan kehadiran selebriti seperti Zizan Razak dan Aiman Ameer menjadikan acara ini lebih meriah.


Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, Astro Kasih menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Sebanyak 300 pek prihatin diagihkan di tiga lokasi utama, mengandungi barangan asas seperti beras, minyak masak, dan gula.

Astro Kasih juga memberi 300 beg sekolah kepada Yayasan Munarah untuk membantu anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan memulakan sesi persekolahan mereka dengan lebih semangat.


Sempena Ramadan dan Raya, Astro One melancarkan kempen ‘Langgan dan Menang Macam-Macam’ dengan hadiah bernilai sehingga RM200,000.

Dari 1 Februari hingga 26 April, pelanggan yang melanggan di outlet terpilih berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa seperti televisyen, telefon bimbit, baucar membeli-belah dan banyak lagi.

Astro juga memperluaskan kempen ini ke seluruh negara, memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk menikmati pengalaman perayaan yang lebih meriah.


Dengan penganjuran ‘Assalamualaikum RaRa 2025’, Astro tidak hanya meraikan bulan Ramadan tetapi juga memperkukuhkan hubungan sosial melalui aktiviti yang menggabungkan hiburan, pendidikan dan ukhuwah.

Inisiatif-inisiatif seperti ini menunjukkan komitmen Astro untuk memberi kesan positif kepada komuniti sambil memeriahkan sambutan Ramadan dan Raya di seluruh Malaysia.

Festival Seni Yayasan Sime Darby (YSDAF) 2025 kembali meriahkan komuniti di seluruh semenanjung Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Festival Seni Yayasan Sime Darby (YSDAF) kembali lagi tahun ini dengan edisi istimewa untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-10.

Mengusung tema Komuniti, festival ini hadir dengan wajah baru dan format yang lebih segar, bertujuan untuk terus menggalakkan seni dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Dianjurkan oleh Yayasan Sime Darby (YSD) dan Pentas Seni Kuala Lumpur (klpac), festival ini mendapat sokongan daripada beberapa pihak termasuk Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad, Sime Darby Property Berhad, serta Kerajaan Malaysia yang menyokong melalui Belanjawan 2025.

Tahun ini, YSDAF 2025 bakal dimulakan pada bulan Februari dan menampilkan acara yang lebih meluas, berfokus pada keterangkuman dan kelestarian seni di Malaysia.

Seni untuk Semua – Dari Kampung ke Bandar

Salah satu perubahan besar tahun ini adalah jelajah YSDAF 2025 yang membawa festival ini ke 10 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Dari kampung yang kaya dengan budaya hinggalah ke bandar-bandar besar, festival ini bertujuan untuk mendekatkan seni kepada masyarakat Malaysia dari pelbagai lapisan.

Langkah ini selaras dengan misi YSDAF untuk mengatasi halangan akses kepada seni, memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk turut serta dalam aktiviti seni tempatan.

Penerbit Eksekutif klpac dan YSDAF, Dato’ Dr. Faridah Merican berkata, festival ini bukan sekadar untuk mempamerkan seni, tetapi untuk menyampaikan mesej bahawa seni adalah milik semua rakyat Malaysia.

“Dari kampung hingga ke bandar, kami ingin mengajak semua untuk berkongsi dan merasai keindahan seni yang penuh dengan kreativiti,” katanya.

Jelajah Kampung – Membawa Seni ke Komuniti

Buat pertama kalinya, festival ini akan mengunjungi komuniti luar Lembah Klang dari bulan April hingga Mei, membawa pelbagai persembahan seni kepada mereka.

Penduduk di kawasan-kawasan ini berpeluang menikmati teater, seni tarian, serta bengkel kreatif seperti bengkel dram menggunakan bahan kitar semula.

Antara persembahan utama adalah pementasan teater Dollah, sebuah kisah yang mengangkat kehidupan seorang guru besar melalui perspektif anaknya, diikuti dengan pementasan daripada KL Shakespeare Players.

Selain itu, program Ceritaku akan mengumpul kisah kehidupan sebenar penghuni kampung yang akan dipersembahkan di lokasi lain sebagai satu penghormatan terhadap budaya tempatan.

Jelajah Kota – Aktiviti Menarik di Lembah Klang

Mulai Jun, YSDAF 2025 akan bergerak ke tiga lokasi utama di Lembah Klang: KL East Mall, PARC di Subang Jaya, dan Elmina Lakeside Mall di Shah Alam.

Di sini, pengunjung akan dapat menikmati persembahan seni, bengkel, dan aktiviti menarik yang pernah ditawarkan di Jelajah Kampung.

Tidak ketinggalan, pameran gerai seni dan aktiviti ekologi turut akan memeriahkan suasana, memberikan pengalaman seni yang lebih mendalam kepada semua.

Kemuncak YSDAF 2025 – Persembahan Khas dan Penuh Makna

Festival ini akan mencapai kemuncaknya pada bulan Ogos di Elmina Lakeside Mall dengan persembahan jalanan untuk kanak-kanak, busker, dan kumpulan muzik tempatan.

Selain itu, YSDAF 2025 juga menampilkan karya-karya baharu yang membabitkan penyertaan Orang Kurang Upaya (OKU), memberikan platform untuk kesaksamaan dalam seni.

Seni untuk Semua – Percuma dan Terbuka kepada Semua

YSDAF 2025 bukan sekadar festival seni biasa, tetapi sebuah perayaan perpaduan dan kreativiti yang menghubungkan komuniti melalui seni.

Dengan lebih 130 aktiviti seni yang melibatkan lebih 1,000 peluang pekerjaan untuk artis dan pekerja seni, festival ini dijamin akan memberi impak yang besar kepada landskap seni Malaysia.

Apa yang lebih menarik, semua aktiviti ini adalah percuma untuk orang ramai.

Festival seni yang telah memasuki edisi kelima ini bukan hanya sekadar hiburan, tetapi juga satu inisiatif untuk mengeratkan hubungan masyarakat, merayakan kepelbagaian seni, dan memperkukuhkan warisan budaya Malaysia.

Jemputan untuk Semua

YSDAF 2025 mengajak semua rakyat Malaysia, dari pencinta seni tegar hingga mereka yang baru pertama kali ingin terbabit dalam dunia seni, untuk turut serta dalam festival ini.

Dengan semangat Seni Untuk Semua, festival ini memberikan peluang kepada kita semua untuk bersama-sama menikmati dan meraikan keindahan seni dalam pelbagai bentuk.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai festival ini dan jadual aktiviti di laman rasmi YSDAF. Jangan lepaskan peluang untuk turut serta dalam meraikan kekayaan seni Malaysia.

Kolaborasi Ain Edruce & Sherry Alhadad dalam lagu raya “Balik Kampung…Gosip Raya” penuh dengan havoc

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Musim perayaan tahun ini akan dimeriahkan dengan sebuah lagu Raya yang penuh kejutan. Dua personaliti TV terkenal, Ain Edruce dan Sherry Alhadad, bergabung dalam single Raya terbaharu mereka, “Balik Kampung…Gosip Raya”.

Tidak sekadar lagu Raya biasa, tetapi penuh dengan kisah realiti yang pasti akan mencuit hati dan mengundang tawa pendengar.

Lagu ini mengetengahkan tradisi ‘berbalas gosip’ yang selalu meriah setiap kali musim Aidilfitri menjelang, dengan elemen humor dan drama yang pastinya dekat di hati rakyat Malaysia.

Kolaborasi Menarik dengan AEON dan Sony Music Malaysia
Dilancarkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama AEON untuk muzik video (MV) lagu ini, “Balik Kampung…Gosip Raya” hadir dengan tema “Seloka Raya – Dari Dulu Hingga Kini”.

Kolaborasi ini menggabungkan tradisi Raya yang penuh nostalgia dengan gaya fesyen terkini.

AEON mengambil peranan penting dalam menggambarkan suasana meriah dan semangat perayaan melalui koleksi pakaian Raya mereka, termasuk baju kurung elegan, kebaya berwarna-warni, dan kaftan kontemporari yang menonjolkan keceriaan musim Raya.


Lagu ini bukan sekadar tentang perayaan, tetapi juga tentang mempereratkan hubungan antara keluarga dan sahabat.

Ain Edruce dan Sherry Alhadad berjaya menyampaikan mesej mengenai bagaimana “gosip” dalam kalangan keluarga dan teman-teman bukanlah sesuatu yang negatif, tetapi lebih kepada cara untuk mengeratkan hubungan dan mencipta kenangan manis bersama.

Seperti kata mereka, musim Raya adalah masa yang paling tepat untuk berkongsi cerita, tawa, dan gurauan semuanya dalam suasana kasih sayang dan kegembiraan.

Sherry berkata, kolaborasi ini terjalin dengan begitu pantas apabila Sony Music menghubunginya mengenai idea lagu Raya ini, tanpa ragu terus Sherry mengatakan ‘YES!’!.

“Ain dan saya sudah mengenali antara satu sama lain sejak dulu, jadi kerja bersama dalam studio rakaman menjadi sangat mudah dan menyeronokkan.

“Gelak ketawa dan keletah kami berdua pastinya menceriakan suasana,” katanya.

Bagi Ain pula mereka bukanlah penyanyi profesional, setiap kali rakaman, pasti ada sesi ketawa panjang. 

“Kadang-kadang kami pun susah nak bezakan suara masing-masing ketika mendengarnya semula nasib baik ada komposer Afif Tirmizie yang membantu kami.

“Kami mahu lagu ini membawa kegembiraan kepada semua yang mendengarnya. Apabila dalam perjalanan balik kampung nanti, boleh nyanyikan bersama-sama dengan keluarga dan sahabat,” kata Ain dengan teruja.

Sherry pula menambah, dia berharap lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi memberi pengajaran.

“Kalau kita tak mahu menjadi bahan gosip, marilah kita nikmati Raya dengan penuh kasih sayang, tanpa menghiraukan gosip orang lain,” katanya.

Dapatkan “Balik Kampung…Gosip Raya” di Semua Platform Digital.


Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube.

Ia juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan di semua syarikat telekomunikasi tempatan.

PERKESO Run & Ride 2025 sasar 10,000 peserta, Perodua Bezza menanti pemenang cabutan bertuah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 peserta disasarkan pada acara PERKESO Run & Ride 2025 yang akan diadakan di Dataran Wawasan, Putrajaya pada 20 April ini.

Sebagai daya tarikan utama, sebuah Perodua Bezza akan menjadi hadiah cabutan bertuah untuk peserta yang bertuah.

Pengerusi Jawatankuasa Program, Dr. Azlan Darus berkata, acara ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kami ingin mempromosikan gaya hidup aktif serta mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan peserta, tanpa mengira usia, bangsa, atau latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

PERKESO Run & Ride 2025 bukan sahaja menekankan aspek kesihatan, malah ia juga selaras dengan usaha berterusan PERKESO dalam menggalakkan amalan hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia.

Terdapat pelbagai kategori untuk individu yang ingin menyertai acara ini. Bagi kategori larian, peserta boleh memilih antara jarak tiga kilometer (km), enam km, atau 10 km dengan yuran penyertaan bermula daripada RM50.

Untuk sukan berbasikal, kategori 35 km ditawarkan pada harga RM60.

Selain itu, acara ini turut menawarkan pakej keluarga untuk empat orang, dengan harga RM180 bagi kategori larian dan RM220 untuk kategori berbasikal.

Dr. Azlan berkata, acara ini akan bermula pada jam 7 pagi dan akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti sesi zumba serta pameran daripada vendor.

Semua peserta yang mendaftar akan menerima t-shirt rasmi, pingat, beg acara, serta kit larian yang mengandungi kejutan istimewa.

Pendaftaran dibuka sehingga 28 Februari ini, dan orang ramai yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian melalui laman sesawang runandride.perkeso.gov.my.

Jangan lepaskan peluang untuk memeriahkan acara ini dan berpeluang memenangi Perodua Bezza.

Ruang Rama: Menyemarakkan semangat Ramadan dengan bufet iftar pertama dan persembahan memikat

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Ruang Rama, ruang acara baru yang terletak di Petaling Jaya, telah melancarkan majlis pertamanya yang penuh bermakna dengan Bufet Iftar yang menyatukan komuniti dalam suasana harmoni.

Acara yang berlangsung pada 12 Februari lalu, tidak hanya menyajikan hidangan berbuka puasa yang lazat, tetapi juga memberi peluang kepada tetamu untuk menikmati persembahan dari kumpulan nasyid ikonik, Rabbani.

Bufet Iftar di Ruang Rama menawarkan pelbagai pilihan hidangan tradisional serantau, membawa pengalaman berbuka puasa yang kaya dengan rasa dan budaya.

Sebagai tambahan, kumpulan nasyid Rabbani mempersembahkan alunan muzik harmoni sepanjang bulan Ramadan di Ruang Rama, menghidupkan suasana dengan melodi yang penuh makna.

Pengurus dan anggota Rabbani Azadan Abd Aziz berkata, bulan Ramadan adalah waktu yang penuh makna dan mereka berasa teruja untuk menyambutnya bersama Ruang Rama.

“Dengan muzik dan kebersamaan, kami berharap dapat memberi sedikit sumbangan kepada komuniti,” katanya.

Selain itu, penyanyi legenda Malaysia, Dato’ Aishah, turut memukau tetamu dengan persembahan yang bertenaga dan penuh jiwa di malam Bufet Iftar Preview.

Persembahan gamelan turut menambah elemen budaya, melengkapkan malam istimewa ini dengan alunan muzik tradisional yang menyentuh hati.

Bufet Iftar ini turut diserikan dengan kehadiran nama-nama besar dalam industri hiburan, seperti Dato’ Amy Search, Dato’ Acis, dan ahli kumpulan Popshuvit serta Bunkface, yang turut memeriahkan suasana bersama lebih 400 tetamu yang hadir.

Untuk meningkatkan lagi keterujaan, Ruang Rama mengumumkan cabutan bertuah eksklusif bagi pengunjung Bufet Iftar yang akan berlangsung dari 4 hingga 26 Mac 2025.

Antara hadiah menarik termasuk pakej Umrah percuma dan percutian pelayaran Star Cruise, yang pastinya membuatkan pengalaman di Ruang Rama semakin tidak terlupakan.

Ruang Rama kini bukan sahaja menjadi destinasi pilihan untuk acara berbuka puasa, tetapi juga untuk majlis perkahwinan, perayaan, dan acara korporat dengan pakej promosi eksklusif yang bermula serendah RM12,999+.

Tawaran ini termasuk sistem AV, dekorasi klasik, meja & kerusi, serta pelbagai kemudahan lain yang memastikan setiap acara di Ruang Rama menjadi pengalaman yang istimewa.

Untuk maklumat lanjut mengenai Bufet Iftar atau perkhidmatan Ruang Rama, hubungi +6012-230 5783.