editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 peserta disasarkan pada acara PERKESO Run & Ride 2025 yang akan diadakan di Dataran Wawasan, Putrajaya pada 20 April ini.
Sebagai daya tarikan utama, sebuah Perodua Bezza akan menjadi hadiah cabutan bertuah untuk peserta yang bertuah.
Pengerusi Jawatankuasa Program, Dr. Azlan Darus berkata, acara ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kami ingin mempromosikan gaya hidup aktif serta mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan peserta, tanpa mengira usia, bangsa, atau latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan.
PERKESO Run & Ride 2025 bukan sahaja menekankan aspek kesihatan, malah ia juga selaras dengan usaha berterusan PERKESO dalam menggalakkan amalan hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia.
Terdapat pelbagai kategori untuk individu yang ingin menyertai acara ini. Bagi kategori larian, peserta boleh memilih antara jarak tiga kilometer (km), enam km, atau 10 km dengan yuran penyertaan bermula daripada RM50.
Untuk sukan berbasikal, kategori 35 km ditawarkan pada harga RM60.
Selain itu, acara ini turut menawarkan pakej keluarga untuk empat orang, dengan harga RM180 bagi kategori larian dan RM220 untuk kategori berbasikal.
Dr. Azlan berkata, acara ini akan bermula pada jam 7 pagi dan akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti sesi zumba serta pameran daripada vendor.
Semua peserta yang mendaftar akan menerima t-shirt rasmi, pingat, beg acara, serta kit larian yang mengandungi kejutan istimewa.
Pendaftaran dibuka sehingga 28 Februari ini, dan orang ramai yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian melalui laman sesawang runandride.perkeso.gov.my.
Jangan lepaskan peluang untuk memeriahkan acara ini dan berpeluang memenangi Perodua Bezza.

