editormaxinfo@gmail.com
KAJANG – Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad menerusi TV3, Tonton, dan DIDIKTVKPM, meneruskan komitmen mereka untuk memperkasa generasi muda dengan penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah’.
Program yang telah berjaya diadakan di SMK Ayer Keroh, Melaka, kini berlangsung di SMK Convent (M) Kajang pada 18 Februari 2025 lalu, dari jam 9 pagi hingga 1 petang.
Program ini dirancang untuk meningkatkan kreativiti, interaksi, dan semangat murid-murid melalui aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan berinteraktif.

Ia menyediakan platform bagi murid untuk berinteraksi, menyertai aktiviti yang menggalakkan penglibatan komuniti, serta memberi peluang untuk mereka mengekspresikan diri dengan lebih yakin dan berani.
Lebih 400 murid mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang merangsang kreativiti dan kemahiran komunikasi, termasuk sesi perkongsian ilmu, ceramah pendidikan, dan kesedaran kebersihan, serta rakaman kandungan video untuk platform digital TV3.
Selain itu, terdapat permainan eksplorasi seperti Uji Bakat Drama, Uji Bakat Berita, Mix & Match dan Tic Tac Toe yang turut memeriahkan suasana.

Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Farah Shamsudin berkata, program ini bukan hanya hiburan, tetapi ia memberi peluang kepada murid-murid untuk menonjolkan potensi mereka, meningkatkan keyakinan diri, dan mengekspresikan diri dengan cara yang menyeronokkan.
“Kami berharap program ini dapat memberi impak positif kepada kehidupan mereka serta memberi dorongan untuk mencapai impian,” katanya.
Sebagai rakan kongsi, Safi Shayla turut menyertai program ini dan memperkenalkan inisiatif ‘Sis Shay, Inspirasi Hijabi’.

Dalam sesi ini, Safi Shayla berkongsi tips penjagaan rambut kepada pelajar hijabi, menyokong usaha meningkatkan kesedaran tentang penjagaan diri dan keyakinan diri dalam kalangan remaja perempuan.
Selain itu, murid-murid turut menikmati aktiviti interaktif seperti sesi ‘Cergas+’, kuiz interaktif LED Q&A, persembahan sekolah, serta peluang bertemu dan beramah mesra dengan selebriti yang hadir, antaranya Nisa Kay, Saree Abdullah, Malia Baby, Imran Aqil, Nabil Aqil, dan Aizat Saha.
Sebagai penghargaan, anugerah khas diberikan kepada pelajar yang menyerlah, di samping penyampaian plak penghargaan kepada pihak sekolah atas sokongan mereka terhadap program ini.

Turut hadir dalam menjayakan program ini adalah Nor Aishah Raduan, Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Sains Sosial, PPD Hulu Langat, Ruzihan Jantan, Pengetua SMK Convent (M) Kajang, dan Kazlina Mohd Kassim, Pakar Jenama & Tinjauan Maklumat SAFI.
Program ‘Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah’ ini diharapkan dapat memberi impak yang bermakna dalam memperkasakan generasi muda.
Dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk rakan kongsi seperti Safi Shayla dan kehadiran selebriti tempatan, ia berpotensi untuk mencetuskan perubahan positif dalam kehidupan murid-murid.