28.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026
Home Blog Page 115

Anwar Ibrahim sifatkan ucapan di IIDC sebagai penghormatan besar untuk negara

editormaxinfo@gmail.com

MANAMA (BAHRAIN) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menganggap peluang yang diberikan untuk menyampaikan ucapan utama di Persidangan Dialog Intra-Islam (IIDC) sebagai satu bentuk pengiktirafan besar terhadap peranan Malaysia dalam dunia Islam.

Sebagai satu-satunya ketua kerajaan yang diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan pada sesi utama persidangan terbabit, di hadapan Imam Besar Al-Azhar, Al Sharif Profesor Dr. Ahmed El-Tayyeb, serta lebih 400 ulama dan cendekiawan Islam dari seluruh dunia, Anwar berkata, ia adalah bukti pengiktirafan terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam memartabatkan Islam.

“Raja Bahrain (Sheikh Hamad Isa Al Khalifa) dan Sheikh Al-Azhar (Profesor Dr. Ahmed El-Tayyeb) memberi peluang kepada saya untuk hadir dan memberikan ucaptama pada persidangan IIDC ini.

“Persidangan ini membabitkan tokoh-tokoh Islam utama dari pelbagai mazhab dan aliran untuk mencari titik persetujuan, mengelakkan perseteruan, dan menerima hakikat bahawa terdapat perbezaan pendapat dalam beberapa aspek, baik dari segi teologi mahupun amalan,” kata Anwar dalam sidang media selepas selesai lawatan rasmi ke Bahrain, yang diakhiri dengan pertemuan bersama Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.

Dalam ucaptamanya di IIDC, Anwar menekankan peranan penting ulama dan cendekiawan Islam dalam memberi nasihat kepada kerajaan serta umat Islam secara keseluruhan.

Beliau turut menyampaikan hasrat yang sama kepada Imam Besar Al-Azhar dan Raja Hamad Isa Al Khalifa dalam pertemuan mereka.

“Saya memberitahu Imam Besar Al-Azhar bahawa saya akan terus mendukung peranan ulama.

“Saya juga menyampaikan perkara ini kepada Raja Hamad, supaya hasrat murni ini mendapat sokongan.

“Ini kerana, apabila para ulama berani dan tegas menegur umat, menegur ulama pelampau, atau menegur kerajaan yang tidak mematuhi semangat ini, ia adalah contoh kemampuan ulama dan elit Islam yang kita semua patut banggakan,” katanya lagi.

Persidangan dua hari itu, dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain, dengan kerjasama Al-Azhar Al Sharif, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam (SCIA) Bahrain, dan Muslim Council of Elders.

Inisiatif ini adalah kesinambungan dari Forum Dialog Bahrain yang diadakan pada November 2022.

Menurut Agensi Berita Bahrain, usaha ini bertujuan memperkukuh perpaduan umat Islam dan mendalamkan dialog antara sarjana Islam. -Bernama

Hael Husaini & Nadeera curi tumpuan di pentas AJL39: Persembahan epik & pencapaian gemilang dua bintang Rocketfuel Entertainment

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) sekali lagi mempamerkan keunggulan muzik tempatan, dengan dua bintang hebat di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, Hael Husaini dan Nadeera, mencuri tumpuan dengan persembahan yang penuh magis.

Tidak hanya memukau, kedua-duanya berjaya menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia, membuktikan bahawa bakat, emosi, dan dedikasi mereka mampu menghasilkan pengalaman luar biasa bagi peminat muzik tempatan.


Momen yang menyentuh hati turut hadir sebelum acara besar ini, apabila Hael menerima kejutan istimewa berupa mikrofon bertatahkan kristal Swarovski berwarna hijau, yang turut dipadankan dengan busana rekaan pereka terkenal Rizman Ruzaini.

Hadiah ini datang dari seseorang yang amat bermakna dalam hidupnya, menjadikan momen terbabit lebih emosional dan peribadi.


Bagi Nadeera pula, perjalanan menuju AJL39 disertai dengan pelbagai emosi mendalam.

Momen paling bermakna baginya adalah ketika mendengar lagunya pertama kali berkumandang di Axiata Arena, yang juga impian dan akhirnya menjadi kenyataan setelah bertahun-tahun berjuang.


Di karpet merah dan semasa persembahan, Nadeera tampil menawan dengan gaun merah rekaan Farrarahim Atelier, diserikan dengan barang kemas eksklusif dari jenama Ceres Jewels bernilai RM2 juta.

Hael pula, dengan penampilan penuh gaya, mengenakan rekaan daripada jenama terkenal Dolce & Gabbana, yang menambah aura bintang pada malam berkenaan.


Selain penampilan, persiapan vokal juga diberi perhatian serius. Kedua-dua artis menjalani latihan vokal intensif bersama guru vokal tersohor, Dato’ Syafinaz Selamat, dibantu oleh Cikgu Azrin Nor, memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik untuk memberikan persembahan yang luar biasa.


Nadeera yang tampil anggun dalam busana putih oleh Haute Couture by Rizalman Ibrahim sepatutnya mempamerkan gimik ‘flying veil’ dalam persembahannya.

Namun, atas sebab teknikal, pihak Rocketfuel Entertainment dan Huge Entertainment House terpaksa melakukan perubahan di saat akhir dan menggantikannya dengan ‘The Fallen Veil’.

Walaupun begitu, Nadeera menguasai pentas dengan penuh yakin dan berjaya meraih ‘standing ovation’ dari penonton, yang jelas terpesona dengan vokalnya dan penghayatan mendalam dalam lagu “Bukan Lagi Kita”.

Tidak kurang hebatnya, Hael Husaini turut mengukir momen tersendiri ketika beliau terjatuh semasa menyanyikan lagu “Diam”.

Walaupun insiden kecil itu, Hael bangkit semula dengan profesionalisme tinggi dan meneruskan persembahan tanpa rasa gentar, membuktikan semangat ‘The show must go on’ yang diterapkannya.


Namun, momen yang paling menyentuh hati seluruh Malaysia adalah ketika Hael dilihat mengalirkan air mata ketika menyaksikan persembahan Nadeera.

Video reaksinya yang tular di media sosial mencetuskan perbualan hangat tentang sokongan dan hubungan erat antara kedua-dua bintang ini.


Rocketfuel Entertainment amat berbangga dengan pencapaian luar biasa kedua-dua artis berbakat ini.

Hael, sebagai bekas juara AJL, sekali lagi membuktikan kehebatannya sebagai komposer apabila lagu ciptaannya “Bukan Lagi Kita” dinobatkan sebagai salah satu lagu terbaik tahun ini.

Nadeera, yang sudah lama berjuang untuk mencapai impiannya, akhirnya berjaya menjadi naib juara AJL39, selepas hampir sedekad berusaha keras.

“Alhamdulillah, Nadeera berkongsi rezeki yang sangat besar dengan saya. Saya hanya doakan yang terbaik.

“Semoga Nadeera setaraf dengan artis-artis lain yang pernah berada di pentas AJL ini,” kata Hael.


“Dapat masuk ke final AJL ini sudah menjadi kemenangan buat diri saya dan menjadi naib juara ini adalah rezeki besar buat saya,” kata Nadeera pula.


Selepas kejayaan di AJL39, peminat pasti tidak sabar untuk melihat apa yang seterusnya untuk Hael dan Nadeera.

Rocketfuel Entertainment memberi bayangan bahawa kedua-dua artis ini bakal muncul dengan lebih banyak projek menarik dalam masa terdekat.

Astro bawa isu pengurusan harta pusaka dalam drama terbaharu ‘Dendam Seorang Madu’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro sekali lagi memukau peminat drama tempatan dengan membawa isu penting mengenai pengurusan harta pusaka dalam drama terbaharu mereka, Dendam Seorang Madu.

Drama berkonflik kekeluargaan ini bakal menemani penonton sepanjang bulan Ramadan, yang akan disiarkan di saluran Astro Prima (saluran 105) bermula 3 Mac 2025, jam 6 petang, setiap Isnin hingga Jumaat.

Mengangkat tema tentang pengurusan harta peninggalan, drama ini diselitkan dengan konflik perkahwinan bermadu yang membentuk inti pati penceritaan.

Penonton akan disajikan dengan konflik emosi dan ketegangan antara watak utama, Putri Rayhana dan Faris Alfian, yang terjebak dalam komplot untuk membolot harta pusaka peninggalan bapa Putri Rayhana.

Dendam Seorang Madu bukan hanya sebuah hiburan, tetapi turut memberikan penekanan kepada pentingnya menguruskan harta dengan bijaksana dan adil.

Drama ini adalah hasil sentuhan pengarah terkenal, Riza Baharuddin, yang juga di belakang kejayaan drama Andai Tiada Dia yang menjadi hit pada 2024.

Barisan pelakon yang membintangi drama ini termasuklah Hannah Delisha (Putri Rayhana), Redza Rosli (Faris Alfian), Sweet Qismina (Izara) dan Emelda Rosemila (Hanum).

Runut bunyi rasmi drama ini, berjudul Tipu Helah, dinyanyikan oleh Hannah Delisha, yang turut menyemarakkan lagi perjalanan drama ini.

Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Salleh berkata, drama ini tidak hanya menampilkan konflik perkahwinan, tetapi turut memberi mesej penting tentang pengurusan harta pusaka dan pentingnya menguruskan harta faraid mengikut syariat.

“Kami mahu menonjolkan kepentingan menguruskan harta pusaka secara adil dan saksama dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, drama ini juga mengetengahkan aspek menjaga keturunan yang sangat penting,” katanya.

Dendam Seorang Madu mengisahkan perjalanan hidup Putri Rayhana yang terpaksa mengorbankan impian untuk menyambung pelajaran demi mengubah nasib keluarganya.

Dia akur dengan kehendak neneknya untuk berkahwin dengan Faris Alfian, anak seorang CEO syarikat besar, demi menampung kos rawatan ibunya yang sakit.

Namun, kehidupan perkahwinan mereka terbongkar selepas Faris sudah pun berkahwin secara rahsia dengan Izara, pembantu peribadinya.

Faris meminta Rayhana merahsiakan perkahwinan rahsia itu daripada ibunya, Hanum, yang mengatur perkahwinan mereka.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton drama yang penuh emosi dan pengajaran ini, Dendam Seorang Madu, di Astro Prima (saluran 105) mulai 3 Mac 2025, setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang.

AppAsia jalin kerjasama dengan CAU, lancar eConfirm di Uzbekistan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Syarikat tersenarai Pasaran ACE, AppAsia Bhd, baru-baru ini memeterai perjanjian kerjasama selama 15 tahun untuk memperkenalkan platform pengesahan bank elektronik, eConfirm, di Uzbekistan.

Anak syarikat milik penuhnya, AppAsia International Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian eksklusif dengan Chamber of Auditors of Uzbekistan (CAU) dan Infinite Finance and Advisory LLC.

Kerjasama ini bertujuan untuk membangunkan rangka kerja bagi pelaksanaan platform eConfirm di Uzbekistan.

Perjanjian ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha pendigitalan proses pengesahan audit di Uzbekistan, sekaligus memperkukuh komitmen eConfirm dalam meningkatkan ketelusan dan kecekapan kewangan di negara berkenaan.

Melalui perkongsian strategik ini, eConfirm, bersama-sama CAU dan Infinite Finance & Advisory, akan memudahkan pengenalan dan pelaksanaan platform berkenaan di Uzbekistan.

Langkah ini menjadi inisiatif pertama dalam usaha mendigitalisasikan proses pengesahan audit di pelbagai wilayah, dengan memastikan penyelesaian yang selamat, memenuhi piawaian, dan cekap untuk juruaudit serta institusi kewangan.

Inovasi ini selaras dengan visi untuk memperkasakan sektor audit di Uzbekistan melalui penggunaan teknologi digital, dengan menyediakan juruaudit dan institusi kewangan kaedah pengesahan audit yang dipercayai, automatik, dan selamat.

Sebagai rakan pelaksanaan tempatan, Infinite Finance & Advisory LLC akan memainkan peranan utama dalam memacu penggunaan platform ini dalam kalangan firma audit dan bank di Uzbekistan.

Pengarah Eksekutif AppAsia, Calvert Wong, berkata, kerjasama ini membuktikan komitmen AppAsia dalam memperluaskan capaian eConfirm ke peringkat global.

“Uzbekistan adalah pasaran yang amat penting, dan kami sangat berbesar hati untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsi bagi memastikan kejayaan pelaksanaan ini,” katanya.

Pelaksanaan eConfirm di Uzbekistan dijangka akan memberikan manfaat besar kepada juruaudit, bank, dan institusi kewangan, terutamanya dalam mengurangkan risiko penipuan serta meningkatkan kecekapan proses audit.

Pemakaian pangkat pegawai kanan Maritim Malaysia: Pengiktirafan dedikasi dan tanggungjawab

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang diadakan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia hari ini menjadi simbol penghargaan terhadap pengorbanan dan komitmen pegawai dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam ucapan beliau berkata, kejayaan yang diraih bukan hanya hasil usaha individu, tetapi juga sokongan padu daripada keluarga serta rakan setugas.

“Di sebalik setiap pencapaian seorang pegawai, ada insan tersayang yang sentiasa memberi sokongan dan semangat.

“Begitu juga dengan peranan rakan setugas yang bekerja bersama dalam memastikan kejayaan dicapai melalui semangat berpasukan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kenaikan pangkat bukan sekadar satu penghormatan, tetapi amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Pegawai yang dipromosikan diingatkan untuk menjaga kebajikan anggota bawahan, kerana kesejahteraan mereka memainkan peranan utama dalam keberkesanan operasi di lapangan.

Mohd Rosli turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu yang telah membina asas kukuh untuk Maritim Malaysia, membolehkan agensi ini terus berkembang dan berperanan sebagai benteng pertahanan maritim negara.

“Kita berdiri teguh pada hari ini berkat usaha dan kepimpinan generasi terdahulu.

“Penghormatan harus diberikan kepada mereka yang telah meletakkan asas kukuh bagi kita untuk terus memperkasa perkhidmatan dan menjaga keselamatan perairan negara,” katanya lagi.

Majlis ini menyaksikan pemakaian pangkat kepada Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria yang dinaikkan pangkat kepada Laksamana Muda Maritim Gred Utama C, berkuat kuasa pada 17 Februari 2025, dan dilantik sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim.

Tiga lagi pegawai kanan turut menerima pemangkuan pangkat Laksamana Pertama Maritim Gred T14, iaitu Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz (Pengarah Maritim Negeri Sarawak), Kepten Maritim Mohd Rizal Hishamuddin (Pengarah Bahagian Kejuruteraan), dan Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah (Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim), yang berkuat kuasa pada 20 Februari 2025.

Dengan pemakaian pangkat ini, diharapkan barisan kepimpinan Maritim Malaysia terus komited dalam menggalas amanah dengan dedikasi, menjunjung integriti, dan memperkukuh keselamatan maritim demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan perairan negara.

Dermalene perkukuh komitmen dalam dunia kecantikan, lantik Ustazah Asma’ Harun sebagai penasihat syariah rasmi

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Dermalene, jenama kecantikan yang terkenal dengan komitmen terhadap standard tinggi dan etika yang patuh syariah, baru-baru ini mengumumkan satu langkah besar dengan melantik Ustazah Asma’ Harun sebagai penasihat syariah rasmi mereka.

Kerjasama strategik ini dibuat melalui sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mempromosikan kecantikan yang selamat dan patuh syariah, serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya memilih produk kecantikan yang halal dan beretika.

Pengasas Dermalene Dr. Alina Hasni berkata, pelantikan Ustazah Asma’ Harun adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk mendidik masyarakat tentang rawatan kecantikan yang menepati nilai-nilai Islam.

“Kami sangat yakin dengan kepakaran Ustazah Asma’ Harun, yang bukan sahaja membawa pengalaman luas, tetapi juga nilai-nilai Islam yang selari dengan visi dan misi jenama kami,” katanya.

Sementara itu, Ustazah Asma’ Harun, yang terkenal sebagai pendakwah dan ahli dalam bidang gaya hidup Islam, turut menyatakan komitmennya untuk memastikan kecantikan yang ditawarkan oleh Dermalene adalah selaras dengan prinsip syariah.

Beliau menegaskan, rawatan tanpa suntikan yang diperkenalkan oleh Dermalene adalah seiring dengan garis panduan syarak.

“Suntikan bukanlah satu-satunya aspek yang perlu dipertimbangkan dalam soal patuh syariah. Yang lebih penting ialah bahan yang digunakan dan keselamatan rawatan itu sendiri,” katanya.

Beliau juga turut mengingatkan agar memilih pusat kecantikan yang benar-benar mengutamakan aspek halal, dan menolak tawaran kerjasama dari pusat kecantikan lain yang mencampurkan rawatan patuh syariah dengan yang tidak menepati piawaian Islam.

Sementara itu, Dermalene baru-baru ini turut mendapat pengiktirafan dengan pensijilan ISO 9001:2015, yang membuktikan komitmen mereka terhadap pengurusan kualiti yang tinggi.

Pensijilan ini turut memperkukuhkan keyakinan pelanggan terhadap profesionalisme produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, Dermalene juga akan melancarkan program Raya Ready 2025 dengan jenama terkenal Siti Khadijah untuk memberikan pengalaman kecantikan terbaik menjelang Hari Raya.

Tidak hanya itu, Dermalene juga sedang dalam proses pengubahsuaian cawangan Bangi untuk menambah ruang bagi lebih ramai pelanggan, dan merancang pembukaan cawangan baru di Melaka.

“Dengan semua inisiatif ini, kami berharap dapat terus memberi nilai tambah kepada masyarakat melalui perkhidmatan kecantikan yang beretika dan selaras dengan nilai-nilai Islam,” kata Dr. Alina lagi.

Dermalene juga mengalu-alukan sokongan pelanggan dan masyarakat untuk terus memperkukuh komitmen mereka terhadap kecantikan yang selamat dan memenuhi syariah.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Dermalene atau mengikuti perkembangan terkini mereka di media sosial.

Carcosa Seri Negara bakal diberi wajah baharu menjelang Julai 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas hampir enam tahun ditutup, ikon warisan negara, Carcosa Seri Negara, akan kembali dengan wajah yang segar dan lebih memukau menjelang Julai 2025 tahun ini.

Proses pemulihan dan pembangunan bangunan bersejarah ini kini giat dijalankan, dengan matlamat untuk mengembalikan kegemilangan sejarahnya yang kaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, berkata usaha ini adalah selaras dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dan persediaan bagi Asean-Malaysia 2025.

Menurutnya, projek ini bertujuan untuk memastikan warisan negara yang berharga ini terus dihargai dan dipelihara.

“Insya-Allah, pembangunan semula Carcosa Seri Negara ini dijangka siap pada Julai tahun ini.

“Kami berhasrat untuk mengadakan program khas seperti majlis minum petang bagi memperkenalkan Heritage Malaysia kepada delegasi-delegasi luar negara,” kata Dr. Zaliha dalam hantaran Facebooknya.

Menerusi kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Khazanah Nasional, projek ini akan menjadi bintang kedua dalam usaha pemuliharaan warisan di Kuala Lumpur.

Dalam hantaran yang sama, Dr. Zaliha turut berkongsi foto beliau meninjau tapak pembangunan semula Carcosa Seri Negara sebagai sebahagian daripada Kuala Lumpur Creative and Cultural District (KLCCD).

Projek ini akan dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa pertama akan menyaksikan pemuliharaan bangunan ikonik ini untuk dijadikan muzium serta galeri seni, sementara fasa kedua pula akan menyaksikan pembangunan Hotel Lindungan-Eko, yang menggabungkan kemudahan bertaraf dunia dengan prinsip kelestarian alam.

“Kerajaan komited untuk menjadikan Kuala Lumpur bukan sahaja sebuah bandar raya moden, tetapi juga sebuah kota yang kaya dengan sejarah dan budaya,” katanya.

Carcosa Seri Negara, yang telah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, telah ditutup sejak 1 Jun 2019 setelah kerajaan Persekutuan mengambil alih premis bersejarah ini daripada pihak ketiga.

Dibina oleh Sir Frank Swettenham, Residen Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Carcosa Seri Negara telah menjadi simbol penting dalam sejarah negara.

Tapping Tapir lancar perisa Mix Berry Baharu di Pickle Nation sempena Hari Valentine

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peneraju pengeluar minuman semula jadi dan sihat di Malaysia, Tapping Tapir dengan bangga memperkenalkan produk terbaharu mereka, gutC perisa Mix Berry.

Dilancarkan pada 14 Februari lalu di Pickle Nation, pelancaran ini menjadi lebih istimewa dengan tema ‘Self-Love’ dan ‘Gut Love’, yang disambut sempena Hari Valentine, menggalakkan gaya hidup sihat dan penyelenggaraan kesihatan usus.

gutC, sebahagian daripada rangkaian minuman prebiotik Tapping Tapir, bertujuan untuk menyokong kesihatan usus dan meningkatkan imuniti badan.

Dengan kandungan prebiotik dan Vitamin C yang menyokong sistem imun, gutC mengandungi kurang daripada 2 gram gula dan hanya kurang dari 15 kalori setiap tin, menjadikannya pilihan yang sihat dengan rasa yang lazat.

Produk ini diperkaya dengan 1 sudu besar Apple Cider Vinegar (ACV) dan inulin sebagai prebiotik, yang penting untuk kesejahteraan usus, kerana usus adalah asas kepada 70 peratus sistem imun badan.

Pada pelancaran berkenaan, pelbagai aktiviti menarik ditawarkan seperti sesi latihan pickleball, bengkel meditasi dan pernafasan, serta sesi rendaman ais yang bertujuan untuk menggalakkan kesihatan tubuh secara menyeluruh.

Hadirin turut berpeluang menikmati pemotretan, demonstrasi bola acar, dan perlawanan bola acar ringkas, di samping sesi pernafasan oleh Piyachai Teo yang berfokus kepada kelonggaran dan kesedaran.

Selain itu, hadirin turut menikmati pensampelan produk dan peluang untuk merasai gutC perisa Mix Berry yang baharu serta produk Tapping Tapir yang lain.

Antara tetamu terkenal yang hadir adalah Cik Manggis, Mark O’Dea, Luqman Hafidz, dan Intan Sarah, manakala VIP seperti tetamu dari Diamond & Platinum dan jurulatih Pickle Fox turut memeriahkan acara berkenaan.

Kejohanan pickleball sosial turut menjadi acara utama pada hari itu, dengan selebriti, pemain bola acar profesional, serta pemimpin pendapat utama seperti Toi Sieu Ee (Pemain Pickleball 2 Teratas) menyertai pertandingan beregu lelaki dan beregu campuran.

Hadiah utama sebanyak RM500 untuk setiap kategori serta hadiah istimewa berupa dayung Six Zero Quartz yang ditaja oleh PickleFox menambah kemeriahan acara.

Dengan acara yang meriah ini, Tapping Tapir berharap dapat menggalakkan orang ramai untuk menjaga kesihatan usus mereka sambil menikmati perisa Mix Berry gutC yang menyegarkan, dalam suasana yang penuh dengan kecergasan, kesejahteraan, dan kegembiraan.

Tapping Tapir mengajak semua untuk turut serta dalam meraikan kesihatan dan kecergasan melalui produk inovatif dan acara yang memberi manfaat untuk tubuh dan minda.

HONOR bersedia perkenal Pelan Alpha yang mengubah landskap peranti AI di MWC Barcelona 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama teknologi global, HONOR, akan memperkenalkan inisiatif strategik terbaharunya, Pelan HONOR Alpha, semasa pembentangan utama pada 2 Mac 2025, sehari sebelum Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) di Barcelona, Sepanyol, bermula secara rasmi.

Acara ini juga akan menyaksikan pelancaran inovasi terkini HONOR dalam bidang AI serta produk berasaskan AI.

Selepas acara terbabit, HONOR akan mempamerkan rangkaian inovasinya kepada pengunjung semasa MWC.

Istilah ‘Alpha’ membawa makna yang kuat. Secara simboliknya, ia mewakili semangat perintis yang mendorong penjelajahan ke arah teritori yang belum diterokai.

Dari segi pencapaian, ia menandakan prestasi puncak dan tahap kecemerlangan yang tertinggi.

Dari segi struktur, ia menggambarkan kekuatan teras dan daya penggerak yang fundamental.

Dalam konteks pasaran, sementara ‘beta’ mewakili pulangan pasaran yang stabil dan mengikut aliran, ‘alpha’ menggambarkan prestasi luar biasa yang melepasi penanda aras melalui inovasi aktif dan pandangan strategik.

Bagi HONOR, pelbagai dimensi ‘Alpha’ ini sangat selari dengan strategi jenama ini.

Sebagai pelopor dalam industri teknologi, HONOR memacu inovasi ke hadapan, dan usaha berterusan dalam bidang teknologi dan inovasi membuktikan komitmennya terhadap kecemerlangan.

Sebagai kuasa penting dalam ekosistem AI, HONOR memanfaatkan kekuatan terasnya untuk mencipta penyelesaian terobosan.

Dalam era transformasi AI ini, Pelan Alpha HONOR meletakkan jenama ini di barisan hadapan kemajuan teknologi.

HONOR bertujuan untuk membina ekosistem AI yang terbuka dan kolaboratif bersama rakan kongsi globalnya, membuka kemungkinan yang luar biasa untuk masa depan peranti AI.