editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang diadakan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia hari ini menjadi simbol penghargaan terhadap pengorbanan dan komitmen pegawai dalam menjaga keselamatan perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam ucapan beliau berkata, kejayaan yang diraih bukan hanya hasil usaha individu, tetapi juga sokongan padu daripada keluarga serta rakan setugas.
“Di sebalik setiap pencapaian seorang pegawai, ada insan tersayang yang sentiasa memberi sokongan dan semangat.
“Begitu juga dengan peranan rakan setugas yang bekerja bersama dalam memastikan kejayaan dicapai melalui semangat berpasukan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kenaikan pangkat bukan sekadar satu penghormatan, tetapi amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Pegawai yang dipromosikan diingatkan untuk menjaga kebajikan anggota bawahan, kerana kesejahteraan mereka memainkan peranan utama dalam keberkesanan operasi di lapangan.
Mohd Rosli turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu yang telah membina asas kukuh untuk Maritim Malaysia, membolehkan agensi ini terus berkembang dan berperanan sebagai benteng pertahanan maritim negara.
“Kita berdiri teguh pada hari ini berkat usaha dan kepimpinan generasi terdahulu.
“Penghormatan harus diberikan kepada mereka yang telah meletakkan asas kukuh bagi kita untuk terus memperkasa perkhidmatan dan menjaga keselamatan perairan negara,” katanya lagi.
Majlis ini menyaksikan pemakaian pangkat kepada Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria yang dinaikkan pangkat kepada Laksamana Muda Maritim Gred Utama C, berkuat kuasa pada 17 Februari 2025, dan dilantik sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim.

Tiga lagi pegawai kanan turut menerima pemangkuan pangkat Laksamana Pertama Maritim Gred T14, iaitu Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz (Pengarah Maritim Negeri Sarawak), Kepten Maritim Mohd Rizal Hishamuddin (Pengarah Bahagian Kejuruteraan), dan Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah (Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim), yang berkuat kuasa pada 20 Februari 2025.
Dengan pemakaian pangkat ini, diharapkan barisan kepimpinan Maritim Malaysia terus komited dalam menggalas amanah dengan dedikasi, menjunjung integriti, dan memperkukuh keselamatan maritim demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan perairan negara.